24.7 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 25, 2024

Jika PH pilih Anwar, Mahathir makin dipinggirkan

Mesti Baca

Zulkiflee Bakar
Zulkiflee Bakar
Penulis Khas Edisi 9

DALAM berhadapan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu, Pakatan Harapan (PH) yang disertai oleh PKR, DAP, Amanah serta Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) membuat keputusan mencalonkan Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri.

Walaupun satu ketika bekas Perdana Menteri itu menjadi bahan maki hamun dan sumpah seranah PKR, DAP dan Amanah tetapi pendirian politik mereka berubah memandangkan ketika itu Mahathir cukup popular dalam kalangan rakyat bagi menjatuhkan Kerajaan Barisan Nasional (BN).

Mahathir dipilih dengan syarat menyerahkan jawatan itu kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam tempoh dua tahun. Bagaimanapun ia tidak menjadi kenyataan. Anwar sekali lagi terpaksa akur dengan kelicikan politik Mahathir sehingga akhirnya ia mencetuskan krisis dalam PH.

Apabila Mahathir meletakkan jawatan, parti dipimpinnya terpecah dan beliau dianggap punca Kerajaan PH tumbang selepas 22 bulan memerintah, populariti Mahathir bukan sahaja merudum dalam kalangan rakyat malah dalam kalangan pemimpin-pemimpin PH pun mereka mula melihat Mahathir kini sudah menjadi liabiliti kepada pakatan itu.

Lebih daripada itu sudah ada cakap-cakap, kalau boleh PH mahu kembali memerintah tanpa bergantung kepada ahli politik berusia 95 tahun itu.

Sehubungan itu apabila Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad menyatakan, PH telah mengenal pasti calon Perdana Menteri jika gabungan itu kembali menerajui Kerajaan Persekutuan, siapa calon itu ia agak mudah diterbak.

Kata Ahli Parlimen Shah Alam itu, “Ya, sudah dan sedang (bincang tentangnya). Hanya satu jawatan Perdana Menteri, jadi kami hanya ada satu calon. Dia telah dipersetujui semua pihak.”

Kata beliau lagi, persetujuan telah dicapai dan perbincangan kini di peringkat perincian dan beberapa perkara tertentu.

Penggunaan ayat dipersetujui semua pihak mengingatkan kita kenyataan Anwar sebelum itu baru-baru ini bahawa, “Saya beritahu bahawa dalam keputusan Pakatan Harapan (PH), saya sekarang Pengerusi PH dan Ketua Pembangkang. Walaupun ada usaha-usaha atau orang lain yang mahu mencabar kedudukan itu, tetapi (itu) konsensus yang dicapai dalam PH.”

Kalau mengkaji kenyataan Khalid dan Anwar, ramai boleh meneka bahawa Anwar adalah calon yang dipersetujui untuk menjadi Perdana Menteri, sama seperti mana mereka putuskan pada 26 Februari lalu sebelum berlaku u-turn kembali menyokong Mahathir memegang jawatan berkenaan pada 29 Februari.

Namun senario sudah berubah. PH sudah melihat Mahathir kini semakin lemah. Terhakisnya sokongan kepada beliau khususnya dalam kalangan ahli Parlimen Bersatu membuktikan, Mahathir kini sudah tidak ada apa-apa kekuatan lagi.

Dari segi sokongan dalam PH, Anwar jauh lebih kuat daripada Mahathir, Anwar pasti disokong oleh ahli-ahli Parlimen daripada PKR (40), DAP (42) dan Amanah (18).

Manakala Mahathir pula hanya ada empat Ahli Parlimen Bersatu dan sembilan ahli Parlimen daripada Parti Warisan bersama beliau.

Jika begitu keadaan, apakah mungkin akan ada perjanjian peralihan kuasa sekali lagi?

KHALID SAMAD yang menyebut PH sudah ada calon tunggal Perdana Menteri jika mereka kembali memerintah. – Sumber: MM

Kalau betullah Anwar menjadi pilihan PH sebagai calon Perdana Menteri maka Mahathir akan terpinggir dalam keadaan memalukan. Kehadiran beliau di dalam PH hanya sekadar pelengkap sokongan sahaja, tidak lebih daripada itu.

Advertisements

Namun tidak mustahil juga jika PH sekali lagi memilih Mahathir tetapi dengan syarat menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Anwar pada tempoh ditetapkan.

Soalnya adakah Anwar akan terperdaya lagi walaupun kata Khalid “Sekarang persetujuan lebih tepat dan mempunyai sokongan semua pihak.”

Kalau benar begitu adakah Anwar akan dilantik buat kali kedua menjadi Timbalan Perdana Menteri sebelum mengambil alih jawatan Perdana Menteri?

Bagaimanapun apa yang kita perkatakan ini hanya spekulasi dan andaian berikutan kenyataan Khalid bahawa PH sudah ada calon Perdana Menteri, tetapi ia akan menjadi kenyataan atau tidak, itu juga antara topik menarik untuk diperkatakan.

Soalnya adakah PH mempunyai sokongan yang cukup untuk membolehkan mereka kembali berkuasa? Atau adakah kenyataan Khalid hanya sekadar perang saraf untuk mewujudkan pandangan bahawa mereka ada sokongan yang mencukupi?

Untuk mewujudkan senario lebih mendebarkan, PH beria-ia mahu undi tidak percaya ke atas Muhyiddin dilakukan di Dewan Rakyat atas alasan, “Kalau Perdana Menteri seorang yang bermaruah.”

Sepatutnya PH tidak perlu tergopoh-gapah mendesak Muhyiddin membenarkan undi tidak percaya dijalankan. Banyak lagi urusan kerajaan yang harus diselesaikan berbanding menyeret kembali negara ke dalam krisis politik yang tidak berkesudahan.

Agenda pemulihan ekonomi, menangani ribuan orang yang kehilangan pekerjaan dan memerangi Covid-19 adalah jauh lebih penting daripada membuka laluan bagi membolehkan calon Perdana Menteri daripada PH dilantik.

Kalau PH merasakan mereka mempunyai cara lain untuk menjatuhkan Muhyiddin termasuk tidak menyokong apa juga rang undang-undang seperti kata Mahathir sebelum ini, silakan sahaja.

Tetapi buat masa ini biarlah Muhyiddin menguruskan negara dengan tenang memandangkan kita kini berada dalam krisis akibat serangan Covid-19. Rakyatpun sudah muak dengan perebutan kuasa yang tidak ada penghujungnya.

Kalau PH tidak takut dengan pembubaran Parlimen, kenapa perlu mendesak undi tidak percaya dilaksanakan?

Bersabarlah, berilah ruang kepada Muhyiddin membawa negara keluar daripada krisis Covid-19. Lagi pula rakyatpun sudah semakin selesa dengan kepemimpinan beliau, walaupun pelbagai usaha dilakukan oleh pemimpin-pemimpin untuk menunjukkan kononnya mereka lebih baik daripada PN ketika menjadi kerajaan.

Tetapi tempoh 22 bulan lalu diberi peluang melalui mandat yang diperolehi hasil pembentangan manifesto yang tidak mampu ditunaikan kerana “tidak sangka akan menang” – majoriti rakyat sudah boleh menilai kemampuan sebenar PH.

Apapun agak menarik untuk mengetahui siapa calon Perdana Menteri PH kerana ia akan membentuk salah satu senario, sama ada seseorang itu akan “dipatuk ular dalam lubang yang sama” atau menyaksikan seseorang menerima nasib bagaikan “seorang tua di kaki gunung” – mengakhiri kehidupan dalam penuh penyesalan akibat salah strategi.

Sama-samalah kita tunggu.


Tulisan ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Edisi 9.

Advertisements

Terkini

Bantuan awal kepada waris mangsa nahas helikopter TLDM

KERAJAAN bersetuju menyalurkan bantuan awal sebanyak RM10,000 kepada setiap keluarga mangsa nahas dua helikopter milik Tentera Laut Diraja Malaysia...

Lagi Artikel Berkaitan