30.8 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Paras alkohol pemandu: Sepatutnya sifarkan terus!

Mesti Baca

Editor
Editor
Editor Edisi 9

ENTAH kenapa ada segelintir netizen tergamak mempersoalkan respons keras rakyat Malaysia terhadap kes kemalangan maut akibat pemandu mabuk kerana warna kulit mangsa.

Dalam satu ruangan komen di sebuah portal, ada yang bertanya “apakah ini kerana melibatkan mangsa dari kaum tertentu dan jika sebaliknya apakah masih sebegitu”.

Hakikatnya kemalangan akibat pemandu mabuk adalah soal semua, sesiapa sahaja boleh jadi mangsa.

Dan mangsa dalam perkara ini juga boleh melibatkan pelaku, penumpang kenderaan pelaku dan anggota keluarga pelaku iaitu isteri atau anak yang kehilangan ketua keluarga.

Sebab itu bekas Presiden Amerika Syarikat, Ronald Reagan menyifatkan pemanduan di bawah pengaruh alkohol adalah “tragedi kepada negara”.

Malah kempennya dalam memerangi isu ini pada 80-an, beliau banyak mengetengahkan nasib seorang individu yang lumpuh akibat kemalangan setelah memandu dalam keadaan mabuk.

Pelaku itu seorang atlet remaja kebangsaan dan akhirnya potensinya musnah kerana kesalahannya sendiri.

WHO juga melaporkan satu pertiga kemalangan di seluruh dunia adalah akibat pemanduan di bawah pengaruh alkohol.

Sejak beberapa tahun lalu kempen global dilakukan dan hasilnya kesalahan memandu dengan paras alkohol dalam darah diturunkan dari 0.08 peratus kepada 0.05 peratus.

Respons ini bagaimanapun perlahan, tidak semua negara sudah mengikutinya dan Malaysia sendiri baru peringkat cadangan.

Utah misalnya menjadi negeri pertama di AS menurunkan paras tersebut pada 2018 dan hasilnya memang ada.

Namun pada masa sama wujud kempen supaya dijadikan terus kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol, sama ada seteguk atau sampai melebihi paras dibenarkan.

Logiknya cukup jelas. Membenarkan pengendali jentera seperti kereta mengambil benda memabukkan adalah sangat berisiko khususnya kepada mereka yang tidak berdosa.

Justeru, kenapa tidak Malaysia mempelopori peraturan keras kepada pemanduan di bawah pengaruh yang mengkhayalkan.

Bukan setakat 0.05 peratus alkohol tetapi sifar sama sekali.

Selain itu, hukuman keras memang dinantikan ke atas kesalahan pemanduan berkait alkohol dan bahan memabukkan apatah lagi yang menyebabkan kematian.

Pendakwa raya di Korea Selatan pernah mengutarakan hukuman penjara seumur hidup. Bukan sekadar penjara sehingga 20 tahun. – M. HERMAN HAMID (Twitter: @Hermanpiew)


Tulisan ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Edisi 9.

Terkini

Bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar meninggal dunia

BEKAS Ketua Polis Negara (KPN), Tun Mohammed Hanif Omar meningggal dunia di kediamannya di Shah Alam, Selangor pagi ini. Allahyarham...

Lagi Artikel Berkaitan