28.6 C
Kuala Lumpur
Thursday, May 2, 2024
Home Blog Page 1688

95 peratus Pakej Prihatin bernilai RM260 bilion telah dilaksanakan

KUALA LUMPUR – Kesemua 10 langkah utama pakej Prihatin telah dilaksanakan, mewakili 95 peratus daripada keseluruhan nilai pakej iaitu RM260 bilion, kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Memetik laporan Bernama, beliau berkata, jumlah peratusan tersebut meliputi bantuan kerajaan yang telah mula disalurkan termasuk Geran Khas Prihatin (GKP) yang dikhususkan bagi perusahaan kecil dan sederhana mikro.

“Pada 1 Mei, kerajaan telah memperuntukkan RM2.1 bilion (bagi GKP) yang mana RM3,000 akan diberikan kepada setiap PKS Mikro aktif yang berdaftar dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri, Suruhanjaya Syarikat Malaysia dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) pada 31 Disember 2019,” katanya semasa membentangkan Laporan Laksana Keempat Pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat, hari ini.

Menurutnya, permohonan GKP dibuka sehingga 15 Mei, 2020, dan keputusan akan diumumkan pada minggu pertama Jun dengan pembayaran dijangka dibuat pada hujung bulan yang sama.

Bagi sebarang maklumat lanjut mengenai perkara itu boleh dilayari di gkp.hasil.gov.my.

Sementara itu mengenai Fasa Pertama Bantuan Prihatin Nasional (BPN), Tengku Zafrul berkata pembayaran sebanyak RM5.5 billion telah dibuat kepada 7.78 juta penerima, peningkatan daripada 7.74 juta penerima dengan jumlah sebanyak RM5.47 bilion pada minggu lepas dan juga melibatkan mereka tanpa akaun bank yang telah menunaikan BPN di cawangan Bank Simpanan Nasional.

Manakala pembayaran Fasa Kedua dibuat secara berperingkat bermula 4 Mei, kepada 8.3 juta penerima B40 dan M40 yang diluluskan sebelum ini bernilai RM3.7 bilion.

Sehingga 29 April, 2020, hampir dua juta permohonan baharu dan rayuan telah diluluskan melibatkan jumlah sebanyak RM1.5 bilion.

“Dengan perkembangan terkini, adalah dijangka peruntukan tambahan sekurang-kurangnya RM1 billion diperlukan di atas peruntukan asal sebanyak RM10 bilion.

“Sukacita juga saya mengumumkan bahawa pembayaran untuk permohonan baharu dan rayuan yang layak akan dibuat bermula pertengahan bulan Mei,” kata Tengku Zafrul.

Sementara itu, dalam akaun Facebook beliau, Tengku Zafrul berkata, beliau telah menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk memberi taklimat dan perkembangan terkini mengenai perkara-perkara berkaitan dengan kewangan dan ekonomi negara.  

“Saya menghadap Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada 4 Mei, 2020 untuk memberi taklimat mengenai perkara-perkara berkaitan dengan kewangan dan ekonomi negara,” katanya.

Menurutnya, perbincangan semasa pertemuan itu turut merangkumi isu-isu mengenai kesan pandemik COVID-19 ke atas ekonomi negara, perniagaan dan pekerjaan serta memaklumkan kepada Seri Paduka Baginda mengenai pelan kerajaan untuk memulihkan semula ekonomi. 

Tengku Zafrul juga memberi taklimat kepada Seri Paduka Baginda mengenai pandangan terkini dan perkembangan pelan pemulihan ekonomi jangka pendek. 

Bernama

Berebut komputer, berebut berita

[SIRI CERITERA SANG PENCERITA – BAHAGIAN 3]

KALI pertama masuk pejabat, dalam hati duk ingat pejabat Utusan mesti hebat maklum namanya sudah melekat dalam benak fikiran rakyat.

Sejurus masuk aku tersentap bila diberitahu tiada meja untuk aku ditempat. Semua komputer dan meja tiada yang hak, siapa cepat dialah yang dapat.

Waktu pagi pejabatnya sepi, mula sibuk menjelang tengah hari bila rakan wartawan sudah kembali menyelesaikan tugasan yang telah diberi.

Sebelah petang kecoh sakan, bunyi keyboard komputer yang ditekan tak ada perlahan bagaikan air hujan yang jatuh atas papan. Masing-masing sibuk siapkan tugasan mengejar dateline yang perlu diikutkan.

Rakan-rakan lain pula berbaris menanti untuk guna komputer yang hanya beberapa biji. Sementara komputer tak ada lagi kami sembang macam kedai kopi.

Pejabat editorial dibahagikan beberapa bahagian mengikut segmen dalam akhbar Utusan. Ada meja jenayah, ada meja sukan, tidak ketinggalan meja hiburan.

Meja-meja sengaja disusun sedemikian umpama pulau di tengah lautan katanya untuk memudahkan pemantauan.

Aku ditempatkan di meja am bersama rakan-rakan yang lapor diri semalam. Tugasan diberi berdasarkan ketentuan oleh ketua wartawan yang segak bak pahlawan.

“Encik bagaimana saya nak ke tugasan sedangkan saya tak kenal jalan,” aku beritahu kepada ketua wartawan yang empunya nama Hanafiah Man.

“Itu kau jangan bimbang, kami tidak mungkin lepaskan kau seorang. Nanti kau ikut tugasan abang-abang yang akan berikan kau panduan.”

Aku menarik nafas lega mendengar kata sedemikian rupa. Bukan apa takut nanti aku sesat entah ke mana. Berita yang dicari tak kunjung jumpa.


SEKALI itu aku ditugaskan bersama senior, buat liputan Sidang Kemuncak ASEAN yang tersohor.

Entah apa rezeki aku, bertemu dengan bekas pemain badminton Indonesia termasyhur. Dapatlah aku berita eksklusif walaupun baru jadi wartawan junior.

VERAWATY FAJRIN (gambar kiri) ketika beraksi di gelanggang manakala (gambar kanan) Verawaty bersama suami, Fajrin Biduin Aham yang dirakam tahun 2018. – Foto: Amazon.com / Breakingnews.co.id

Nama Verawaty Fajrin cukup masyhur, tahun 1980 kejuaraan dunia sudah digondol. Kategori beregu wanita dan juga perseorangan keringat ditabur.

Datang ke Kuala Lumpur bukan bertanding, cuma bersama BJ Habibie beliau iring di bawah panji Ikatan Cendekiawan Muslim. Kalau dahulu hebat di gelanggang rupanya kini sudah menjadi pendakwah Islam.

Pulang ke pejabat dengan atasan aku ceritakan bagaimana dapat bertemu pemain badminton terbilang malang sekali wajahnya tidak dirakam.

Atasan aku tiada berhalangan, katanya: “Kalau begitu cepat berita digarapkan, supaya pembaca kita dapat pengetahuan. Bukan senang nak dapat bahan, akhbar lain tiada ketahuan.”

Gembira hati bukan kepalang, dapat penuhi apa atasan mahukan. Berita-berita eksklusif yang tidak dikongsikan dengan akhbar lain yang menjadi saingan.

Esoknya terpampang di dalam Utusan Malaysia, kisah pemain badminton dah jadi pendakwah di Indonesia.

Walaupun byline tidak diberi tapi aku puas tidak terperi dapat eksklusif pertama kali, jadi pembakar semangat untuk mencari lagi. – Edisi9

Verawaty Fajrin adalah Juara Perseorangan Wanita Dunia dan Naib Juara Beregu
Wanita Dunia tahun 1980. Bersama pasangannya Imelda Wigoena, beliau turut
menjuarai All England tahun 1979. Manakala ketika berganding dengan Rudy
Hartono, pasangan beregu campuran ini menjadi juara dunia tahun 1986 dan 
Naib Juara All England tahun 1989.

Hanya 15-35 peratus penjawat awam bertugas hari pertama PKPB

KENYATAAN pihak tertentu tentang kehadiran lebih 50 peratus awam ke pejabat di Putrajaya pada hari pertama Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) adalah kurang tepat.

Seperti yang dijelaskan oleh Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Mohd Khairul Adib Abd Rahman, purata peratusan kehadiran adaah antara 15 hingga 35 peratus.

MOHD KHAIRUL ADIB ABD RAHMAN

Maklumat itu adalah berdasarkan catatan kehadiran semasa yang dilaporkan kementerian dan jabatan.

Peratusan kehadiran beberapa kementerian dan jabatan adalah seperti berikut:

  • Kementerian Tenaga dan Sumber Asli – 15%
  • Unit Pemodenan Tadbiran Dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) – 24%
  • Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan – 29%
  • Kementerian Pengangkutan – 27%
  • Unit Perancang Ekonomi – 28%
  • Kementerian Dalam Negeri – 38%
  • Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri – 20%
  • Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia – 28.18%
  • Kementerian Pertahanan – 27.48%
  • Kementerian Pengajian Tinggi – 35.01%
  • Kementerian Kerja Raya – 30%
  • Kementerian Wilayah Persekutuan – 15%

Peratusan kehadiran ini akan berubah-ubah mengikut masa dan keperluan tanpa menjejaskan prinsip asas dan objektifnya.

“Data pelaporan peratusan yang diterima ini jelas menunjukkan bahawa walaupun pejabat kerajaan telah mula beroperasi sepenuhnya bermula pada 4 Mei 2020, namun pendekatan yang diambil oleh ketua-ketua jabatan adalah dengan meminimumkan kehadiran penjawat awam ke pejabat dengan opsyen Bekerja Dari Rumah,” kata Mohd Khairul Adib dalam kenyataan media hari ini.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Adnan Mat mendakwa lebih 60 peratus penjawat awam hadir ke pejabat di Putrajaya semalam.

Mungkin semalam nampak macam ramai tetapi sebenarnya tidak begitu. – EDISI9

Hidup tanpa maruah ibarat kayu hulu kapak

Membaca buku ini seolah-olah membawa saya merentas terowong masa kerana ia mengingatkan mengapa saya begitu berminat menceburi bidang kewartawanan lebih 10 tahun lalu.

Sebagai seorang individu yang tidak memiliki pendidikan formal dalam kewartawanan, bidang ini dahulunya memang amat asing bagi diri saya.

Seorang wartawan seharusnya memainkan peranan sebagai suara mewakili sekelompok besar rakyat akar umbi yang tidak mampu bersuara atau tidak tahu bagaimana hendak menyuarakannya.

Bukan sekadar menyalurkan arahan daripada golongan elit politik yang menganggap segala kata-kata mereka adalah keramat dan mesti dijunjung oleh rakyat.

Suarakanlah rintihan seorang bapa yang bingung apabila bayinya yang baru lahir disahkan menghidap penyakit jantung berlubang.

Sampaikanlah keluhan penoreh getah yang pendapatannya tak menentu gara-gara permainan kapitalis di pasaran komoditi dunia yang tidak berhati perut dan tidak mengenal erti belas kasihan.

Siarkanlah kisah kanak-kanak yang tidak dapat ke sekolah kerana keluarganya tidak mempunyai wang yang cukup untuk membayar yuran dan membeli barangan persekolahan.

Tidak dapat digambarkan betapa puasnya hati apabila berduyun-duyun orang datang menghulurkan bantuan selepas kisah mereka disiarkan.

Semoga Allah memberi ganjaran yang setimpal dengan kebaikan mereka.

Saya mengikuti tulisan Ku Seman sejak awal 2000-an lagi dan tertarik dengan gaya penulisan yang bersahaja tetapi padat dengan makna dan sarat dengan unsur mendidik masyarakat.

Menjadi satu kebanggaan bagi saya kerana pernah bekerja di bawah satu bumbung dengan beliau walaupun tidak bekerja secara langsung dengannya.

Anekdot Ku Seman mesti dimiliki oleh sesiapa sahaja yang bergelar wartawan, ingin menceburi bidang kewartawanan atau bakal meninggalkan dunia media.

Profesion kewartawanan harus dimurnikan agar ia bersih daripada tekanan politik haluan kiri, kanan, atas, bawah dan tengah.

Buku ini juga mesti dibaca oleh setiap anggota masyarakat dalam suasana kecelaruan nilai yang ditimbulkan oleh lambakan isme yang disebarkan melalui media sosial.

Belajarlah mengkritik secara membina dan bukannya menyokong secara membabi buta.

Jangan sesekali menjadi kayu hulu kapak. – EDISI9

Judul: Anekdot Ku Seman – Kayu Hulu Kapak
Penulis: Ku Seman Ku Hussain 
Penerbit: ITBM, Kuala Lumpur
Tahun penerbitan: 2018
Jumlah halaman: 266 

Sumber: Blog Bicara Buku

Ramai penjawat awam datang pejabat hari pertama PKPB, apa sudah jadi?

LEBIH 60 peratus penjawat awam didapati hadir ke pejabat di sekitar Putrajaya pada hari pertama Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Situasi itu dikesan melalui pemantauan yang dilakukan oleh Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) pada pukul 10 pagi, 4 Mei.

Presiden CUEPACS, Adnan Mat yang bimbang dengan keadaan tersebut menggesa ketua perkhidmatan dan ketua jabatan mengambil langkah mengawal pergerakan minimum awam penjawat awam.

Pada pandangan beliau, langkah terbaik ketika ini adalah bekerja dari rumah kerana pandemik COVID-19 belum berakhir.

Adnan memahami ramai penjawat awam yang hadir bertugas untuk menyelesaikan tugasan yang tertangguh sejak PKP mula dikuatkuasakan lebih sebulan lalu.

Bagi mengurangkan risiko penularan COVID-19, CUEPACS mencadangkan langkah-langkah berikut:

  • Ketua jabatan menyusun semula jadual agar penjawat awam boleh bekerja dari rumah.
  • Hanya mereka yang terlibat dengan pengumuman Perdana Menteri bagi memulihkan sektor ekonomi dan membantu rakyat yang perlu bekerja.
  • Hanya penjawat awam yang benar-benar sihat, tiada penyakit dan berumur di bawah 50 tahun yang ditugaskan di pejabat.
  • Ketua jabatan menyenaraikan nama-nama kakitangan yang perlu hadir ke pejabat.
  • Unit Pemodenan Tadbiran Dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) mengeluarkan garis panduan minimum tentang apa yang perlu dilakukan oleh penjawat awam yang bekerja dari rumah.

Mungkin ramai yang hadir bertugas semalam sebab mereka terlibat dengan dokumen-dokumen sulit yang tidak boleh dibawa keluar dari pejabat. – EDISI9

Haramkan jual arak, tiada lagi pemandu mabuk

SUDAH berbuih mulut rakyat merungut mengenai isu pemandu mabuk tetapi masih juga berlaku.

Bukan sekali dua, sudah banyak kali sehingga meragut nyawa pengguna jalan raya yang lain.

Yang terbaharu, melibatkan seorang anggota polis, Allahyarham Koperal Safwan Muhammad Ismail.

Dalam keadaan negara berdepan COVID-19, ada lagi manusia bengong yang memandu dalam keadaan mabuk.

Memang itu urusan peribadi dia tetapi kalau sudah sampai menyebabkan orang lain terbunuh memang tak boleh dibiarkan begitu sahaja.

Apakah pemandu-pemandu mabuk ini tak takut dengan undang-undang?

Atau peruntukan undang-undang sedia ada tidak menakutkan mereka?

Mungkin setakat denda maksimum RM10,000 dan penjara paling lama 12 bulan tak menjadi masalah bagi mereka.

Walaupun orang yang dilanggar meninggal dunia dan menyebabkan keluarga yang ditinggalkan berduka lara.

Cuba bayangkan betapa berat beban yang ditanggung jika yang meninggal dunia itu ketua keluarga yang menjadi tempat isteri dan anak-anak bergantung.

Memang pernah kedengaran kerajaan berura-ura untuk mengenakan hukuman yang lebih berat terhadap pemandu mabuk.

Itu sahajalah jawapan standard setiap kali insiden kemalangan maut yang berpunca daripada pemandu mabuk berlaku.

Ura-ura meminda undang-undang jalan raya sedia ada prosesnya pula lambat seperti kura-kura.

Selain meningkatkan jumlah denda dan tempoh penjara, kerajaan juga mesti memikirkan tentang kebajikan keluarga mangsa.

Mereka memerlukan sumber kewangan untuk meneruskan kehidupan, lebih-lebih lagi bagi keluarga yang mempunyai anak-anak kecil.

Perkenalkan peruntukan yang mewajibkan pesalah membayar pampasan dalam jumlah yang besar kepada keluarga mangsa yang terkorban atau cedera parah sehingga tidak mampu lagi bekerja.

Elok juga sekiranya lesen memandu si pemabuk ditarik balik atau digantung untuk tempoh yang panjang.

Manusia berperangai macam tenuk tidak boleh dibiarkan bebas memandu di jalan raya.

Kalau susah sangat, haramkan sahaja jualan arak di Malaysia. Bila tiada arak, tiada lagi orang memandu dalam keadaan mabuk.

Habis cerita.

Temu Duga Tanpa Mandi

[SIRI CERITERA SANG PENCERITA – BAHAGIAN 2]

TERINGAT aku pergi temu duga di Utusan lepas habis belajar di negara orang. Sambil tunggu panggilan, aku kerja sambilan di negeri kelahiran.

Habis kerja pukul lapan dengan sehelai sepinggan aku naik bas malam. Sampai di Pudu Raya dah pukul 5 pagi, aku hanya cuci muka dan gosok gigi dengan baju pun tak berganti.

Pukul 8 aku dah terpacak di tepi jalan, fikirkan ke mana haluan sebab aku bukan tahu sangat jalan-jalan di tengah kota raya metropolitan.

Akhirnya aku ke satu hentian menunggu teksi yang mencari penumpang. “Bang, boleh bawa saya ke Utusan,” bila datang satu teksi merah putih entah apa yang ditulis di pintu kenderaan tak sempat aku bacakan.

Pemandunya Cina tua yang tak begitu mesra, cuma angguk tanda iya. Aku masuk teksi sambil dalam hati bimbang bukan kepalang bila mula fikir yang bukan-bukan. Dibawanya aku ke lorong belakang, bukannya aku faham.

Sampai di depan satu bangunan usang aku fikir dalam-dalam. Apakah betul ini pejabat Utusan atau gudang tempat simpan barang. Pemandu teksi arah aku turun sekarang sambil aku hulur duit tambang.

Kepada seorang pengawal keselamatan aku tanya, “bang, betul ke ini pejabat Utusan,” lalu dia angguk sambil suruh aku masuk dalam.

Sampai dalam pejabat terkebil-kebil aku cari tempat buang hajat. Bukan nak lepaskan hajat tapi tali leher belum diikat.

Aku diminta tunggu di tingkat satu kerana semua calon sudah menunggu. Sambil menunggu pegawai interview, kami diminta menjamah sarapan terlebih dahulu.

Ada seorang lelaki berisi duduk di kerusi sambil memegang surat khabar di sisi. Tekun membaca tak toleh kanan dan kiri. Dalam hati agaknya dialah penemu duga kami, rupanya sama-sama minta kerja di sini. (Al-fatihah untuk Allahyarham Nordin Jonid)

Masuk bilik temu duga dah menunggu tiga jejaka. Duanya lebih berusia, satu lagi masih bertenaga. Aku ditanya macam-macam perkara sampai hal politik pun depa duga.

“Menurut saudara apakah Pas boleh memerintah negara.” Panik juga aku dibuatnya apabila tanya soalan sebegitu rupa. Aku jawablah sedaya upaya walaupun tidaklah sebernas mana.

Pusingan kedua kami mengadap si penemu duga, buat sidang media konon-konon polis lepas razia. Kami diminta tanya soalan, macam seorang wartawan sedang bertugas di lapangan.

Aku hentam sahaja pertanyaan sebab aku bukannya ada pengalaman. Lainlah rakan-rakan pernah bekerja sama bidang, atau paling tidak memang di universiti itulah jurusan.

Habis temu duga aku tahan bas mini. Tengok dalam poket duit pun tak ada lagi. Macam mana aku nak harungi sepanjang hari ini kalau duit pun tak berbaki. Niat nak ronda KL aku tak patuhi, akhirnya ke Pudu Raya aku kembali.

Nak beli tiket balik Terengganu duit aku tak mencukupi akhirnya tiket ke Melaka yang aku beli dan adalah baki 30 sen lagi. Untuk aku telefon mentua kalau dah sampai nanti supaya dia jemput aku pulang ke rumah isteri.

HENTIAN Pudu Raya (lama) menjadi ‘rumah persinggahan’ sementara penulis sebelum ke tempat temu duga. – Foto: Skycrapercity.com

Dua jam aku menanti, perut aku tak henti berbunyi. Maklum aku cuma sarapan pagi masa temu duga tadi, sampai sekarang tak jamah nasi lagi.

Pukul 5 petang baru nampak mentua aku datang maklum dari Tangkak jauhnya bukan sembarang. Nampak wajah mereka hati jadi girang, maklum badan dah letih perut lapar bukan kepalang.

Malu aku simpan dalam-dalam sebab mereka faham aku masih belum berwang. Kami kahwin masa belajar, belum sempat habis cita-cita kami kejar.

Belanja kahwin ditaja saudara-mara, habis nak buat macam mana kalau jodoh dah tiba. Duduk negara orang kalau tak ada ikatan banyak godaan syaitan. Kalau tak kuat iman boleh hanyut di tengah lautan.

Selang beberapa bulan aku terima surat panggilan diminta lapor diri di Utusan sekian-sekian hari bulan. Gembira hati tidak terbilang, akhirnya impian aku dimakbulkan Tuhan. – Edisi 9

Hukuman berat untuk pemandu mabuk – CUEPACS

Hukuman yang berat dan setimpal mesti dijatuhkan terhadap pemandu yang memandu secara mabuk sehingga meragut nyawa orang lain.

Lebih-lebih lagi jika mangsa yang terbunuh adalah anggota pasukan keselamatan yang bertugas di sekatan jalan raya semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Adnan Mat berkata demikian ketika meluahkan kekesalan dengan tragedi yang menimpa seorang anggota polis, Koperal Safwan Muhammad Ismail.

Allahyarham meninggal dunia selepas dirempuh Toyota Hilux yang dipercayai dipandu oleh pemandu mabuk berhampiran Plaza Tol Kajang Selatan, Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS) pada awal pagi 3 Mei lalu.

“CUEPACS menganggap kejadian tersebut merupakan satu mimpi buruk kepada seluruh pasukan keselamatan dan penjawat awam yang bertugas menjaga keamanan negara di saat krisis pandemik Covid-19 yang melanda ketika ini.

“CUEPACS menggesa siasatan terperinci dan pendakwaan kes tersebut dilakukan dengan segera sekiranya didapati berlaku kesalahan,” katanya dalam satu kenyataan.

ADNAN MAT

Pada masa yang sama, Adnan berharap pengurusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) melihat secara lebih mendalam tentang isu kebajikan anggota-anggota yang bertugas di barisan hadapan semasa penguatkuasaan PKP.

Pelbagai aduan diterima CUEPACS terutamanya yang kerenah birokrasi melibatkan tuntutan elaun COVID-19 berjumlah RM200.

Adnan menyatakan jumlah RM200 itu tidak setimpal jika dibandingkan dengan risiko yang dihadapi, malah jika dikira secara purata, anggota-anggota polis menerima sekitar RM6 sahaja sehari.

“Ada yang bertugas hampir 30 hari tanpa henti tetapi diminta mengisi pelbagai borang, kemukakan akaun bank serta meminta kelulusan daripada ketua jabatan untuk menerima elaun tersebut sedangkan semua maklumat tersebut sudah sedia ada,” katanya.

Betul juga kata Presiden CUEPACS itu, sepatutnya dipermudahkan urusan petugas-petugas barisan hadapan yang gigih bertugas memastikan orang ramai mematuhi PKP. – EDISI9

Azhar Ali dakwa jadi mangsa ‘scammer’

KEGEMBIRAAN rakyat Malaysia atas kejayaan seorang belia, Muhammad Azhar Ali yang dianugerahkan oleh biasiswa Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Negara (NASA) Amerika Syarikat (AS) tidak bertahan lama.

Ucapan tahniah yang diterima pemuda berusia 20 tahun itu bertukar menjadi kecaman setelah dia menjelaskan bahawa e-mel yang diterimanya tentang tawaran biasiswa tersebut adalah palsu.

Antara yang mengucapkan tahniah kepadanya ialah Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin dan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Wan Ahmad Fayhsal bin Wan Ahmad Kamal.

Muhammad Azhar memberi penjelasan sedemikian setelah ada pihak yang mempertikaikan kesahihan maklumat yang dikongsikannya dalam Twitter pada 30 April lalu.

Mereka mengesyaki ada sesuatu yang tidak kena selepas carian nama Muhammad Azhar dalam laman sesawang NASA tidak menemukan sebarang maklumat.

Seperti yang dijelaskan oleh pemuda yang mendakwa dirinya menjadi mangsa penipuan itu, dia memang menyertai cabaran anjuran NASA pada 20 Mac lalu.

Selepas dua minggu, Muhammad Azhar menerima e-mel yang menyatakan keputusan yang diterima melayakkannya menduduki tempat satu peratus tertinggi dalam kalangan lebih tiga juta peserta.

Kemudian dia berkongsi kegembiraan menerima tawaran tersebut dengan rakan-rakannya melalui Twitter.

“Dua perkara berlaku selepas itu, ramai yang mengucapkan tahniah kepada saya dan beberapa orang lagi menyemak kesahihan tawaran berkenaan.

“Terima kasih, anda semua adalah wira-wira saya. E-mel utama hanya mempunyai lampiran dan pautan ke portal untuk menghantar gambar saya,” jelasnya.

Muhammad Azhar juga mendapati e-mel yang kononnya diterima daripada Universiti Kebangsaan Singapura (NUS) adalah meragukan.

Dia juga mendakwa telah menghubungi NASA melalui laman sesawang agensi berkenaan.

Apa pula kata YB KJ setelah mengetahui perkembangan terkini tentang perkara ini?

“Ya, ini memang satu pengajaran untuk kita semua (termasuk saya) untuk menyemak fakta sebelum berkongsi dalam talian.

“Penghargaan yang anda terima daripada banyak pihak datang dari mereka yang mahu melihat kejayaan seorang anak muda dari Malaysia.

“Jangan berputus asa. Biarkan apa sahaja orang lain cakap, teruskan menggapai bintang.”

Namun, sebahagian besar netizen pula tidak berjiwa besar seperti YB KJ.

Berbakul-bakul juga Muhammad Azhar dikecam kerana berkongsi maklumat yang tidak sahih tentang tawaran biasiswa NASA itu.

Kalau nak kongsi kegembiraan dengan kawan-kawan pun, guna WhatsApp pun dah cukup rasanya. – EDISI9

Bagai ‘pak nujum’ dalam politik

ANDAI tajuk buku ini yang ditumpukan memang terasa mualnya. Tetapi apabila sudah membaca seluruh kandungan buku ini, maka fahamlah kenapa pengarang memilih tajuk sedemikian rupa.

Buku yang mengupas politik tanah air dalam tempoh sedekad dari tahun 2008 sehingga 2018 ini umpama buku ramalan bagi kalangan khalayak politik di mana tumbangnya parti pemerintah yang berkuasa lebih separuh abad, sudah diramalkan oleh penulis.

Buku ini dibahagikan kepada lima bahagian di mana bahagian pertama dan ketiga, tumpuan diberikan kepada ulasan dan pandangan penulis terhadap negarawan, Tun Dr Mahathir Mohamad. Ketaksuban penulis terhadap pemimpin itu akhirnya berubah arah lantaran perubahan sikap tokoh tersebut dalam berpolitik.

Manakala bahagian kedua dan keempat pula mengenai sikap pemimpin UMNO dan cara orang Melayu berpolitik yang lemah dan boleh menyebabkan parti itu menjadi lemah, sebelum tumbang selepas ditolak oleh rakyat menerusi peti undi.

Manakala bahagaian kelima pula mengupas mengenai hubungan dua parti politik Melayu dan Islam terbesar, yang gagal tidak pernah sunyi daripada pergeseran walaupun pelbagai usaha dibuat untuk menyatukan hati-hati ini.

Buku ini sesuai bagi mereka yang meminati politik dan mahu mengetahui tentang sikap dan sifat tokoh-tokoh politik tanah air mengikut perspektif penulis blog Mesin Taip Buruk. – Edisi9

Tajuk buku: KAHAK – Kompilasi Tulisan Blog Mesin Taip Buruk 2008-2018
Pengarang: Mesin Taip Buruk
Penerbit: Serata Cakra Resources, Ampang
Tahun Terbit: 2019

Jumlah Halaman: 120

Untuk pembelian buku ini, WhatsApp ke 012-6066492

DAP kembali memerintah kerana UMNO tidak berubah

BARU berusia lebih dua bulan tetapi kerajaan Perikatan Nasional (PN) sudah mula nampak goyah dalam ‘ikatan’ mereka dan menunggu masa untuk terlerai dan jika ini berlaku, maka bersedialah orang Melayu bahawa kita sekali lagi akan diperintah oleh DAP.

Demikian amaran yang dibuat oleh Presiden Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Datuk Azwanddin Hamzah dalam satu kenyataan, semalam.

Beliau berkata, hal ini berlaku kerana kepercayaan yang sudah diberikan majoriti rakyat kepada PN untuk menyelamatkan negara daripada dirosakkan Pakatan Harapan (PH) diketuai DAP kini sudah mula dikhianati.

“Ini kerana ada pemimpin UMNO yang tidak bertanggungjawab cuba mengkhianati perikatan ini hanya kerana tidak mendapat kuasa atau diberikan jawatan.

“Lebih menjijikkan lagi, pengkhianatan ini berlaku dalam kalangan UMNO sendiri antara puak tidak berjawatan dan mereka yang berjawatan,” katanya.

Azwanddin berkata, jika perkara itu dibiarkan berlarutan, akhirnya akan merugikan PN sendiri yang sudah mendapat momentum baik dan mula diterima kebanyakan rakyat.

Katanya, rakyat sanggup menerima PN kerana sebelum ini UMNO sering bercakap untuk menyatukan orang Melayu dan menolak DAP.

Malah dengan langkah yang mapan menangani Covid-19 juga berjaya mencuit hati rakyat Malaysia untuk terus menerima PN yang digelar kerajaan pintu belakang.

“Tetapi akhirnya apa yang sudah jadi? Kalangan UMNO ini sendiri yang berperangai lebih khianat daripada DAP kerana tamakkan kuasa dan kedudukan. Apakah UMNO sudah lupa bagaimana mereka dimalukan dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14)?

“Apakah UMNO lupa bahawa mereka berada dalam PN bukannya menerusi PRU, tetapi atas ihsan majoriti rakyat yang sudah serik dengan pentabdiran DAP selama 22 bulan,” tegas beliau.

Namun, katanya, suara-suara sumbang semakin rancak mengatur gerakan sama ada secara terang-terangan atau di belakang tadbir untuk mendapatkan kuasa, sekali gus mengkhianati kerjasama politik Islam-Melayu dalam PN.

Jelas Azwanddin, beliau tidak perlu menyebut nama pemimpin-pemimpin berkenaan kerana rakyat sendiri dapat menilai situasi politik semasa negara walaupun kita sibuk berjuang menentang Covid-19.

“Mungkin mereka fikir rakyat alpa dengan Covid-19 dan tidak sedar tentang percaturan jijik mereka untuk mengkhianati bangsa sendiri.

AZWANDDIN HAMZAH

“Oleh itu, saya mahu mengingatkan pemimpin PN terutamanya UMNO supaya berpegang kepada amanah dan tanggungjawab yang sudah diberikan rakyat. Renung kembali saat bagaimana UMNO dihukum oleh rakyat pada PRU-14.

“Kembalilah kepada perjuangan asal iaitu mahu menyatukan dan memperkasakan orang Melayu Islam, dan usah berlaku khianat lagi hanya kerana kuasa. Ingatlah, jika sekali lagi rakyat menolak anda, maka tiada lagi peluang yang akan diberikan,” katanya.

Tambah beliau, DAP akhirnya tersenyum kerana mereka tidak perlu membazir tenaga dan masa untuk memecahbelahkan orang Melayu kerana sifat khianat itu sudah ada dalam kalangan orang Melayu.

Justeru, dalam bulan Ramadan yang mulia ini, beliau berharap pihak-pihak berkenaan bermuhasabah dan menahan diri daripada dahagakan kuasa yang hanya bersifat sementara. – Edisi9

Catatan Pemula

DALAM ruangan ini penulis akan catatkan pengalaman sepanjang 24 tahun bergelar wartawan Utusan Malaysia. Mungkin catatan ini bersifat peribadi tetapi diharap ia dapat dijadikan pedoman kepada semua, atau paling tidak sebagai bacaan ringan semata-mata. Ikuti coretan bersiri ini:

[SIRI CERITERA SANG PENCERITA – BAHAGIAN 1]

AKU bukanlah wartawan yang hebat cuma berbekal dengan sedikit bakat. Pelbagai cerita aku garap untuk dimuat dalam akhbar Pencetus Fikiran Rakyat.

24 tahun bukan sekejap. Kalau anak dara dah boleh diayat untuk dijadikan peneman hidup sepanjang hayat. Maka banyak pengalaman sudah tersurat untuk dikenang anak cucu kelak.

Dari longkang tersembut sampai kisah-kisah cukup menyayat, aku hadap setiap saat untuk ditulis sebagai maklumat. Dari memburu bigfoot sampai kisah pencegah maksiat, semuanya aku catat kerana pengalaman itu bukan semua orang dapat.

Tugasan di luar negara dah macam tak hairan, hampir setiap bulan naik kapal terbang. Untung jadi wartawan, ke sana ke mari semua dibayarkan, mencari bahan untuk disiarkan dalam koran.

Jadi wartawan bukan semuanya seronok, kadang kala dimaki hamun atau kena kutuk hanya kerana menulis perkara yang benar, bukan sorok-sorok.

Aku pernah dilabelkan anjing kerajaan hanya kerana menjadi wartawan Utusan dan mempertahankan pemimpin pemerintahan padahal itu semua suruhan atasan sedangkan aku sekadar mencari makan.

Pernah juga aku disaman hanya kerana sedikit kesilapan, kecohlah pegawai undang-undang menyelesaikan salah-faham, akhirnya tuntutan saman tidak diteruskan. Lega hati bukan kepalang, bimbang aku dituduh sebar penipuan.

Tapi itu semua tak masuk ingatan kerana banyak lagi cabaran di hadapan. Bak kata Zam, “api di depan duri di belakang”, itulah semangat yang kami tanamkan dalam Utusan sejak zaman berzaman.

Ketua Pengarang juga pernah berpesan, kami ini ibarat pejuang, luka sana sini sudah tidak hairan kalau tak berparut tak usah nak sembang.

Lebih 20 tahun mengabdi kepada Utusan, akhirnya aku diminta ucapkan selamat jalan kerana syarikat sudah tidak mampu menanggung hutang, pada masa sama kekurangan pendapatan.

Ada yang anggap malang Utusan kerana kerajaan terdahulu tumbang, tapi bagi aku itu bukan satu-satunya alasan banyak lagi kekurangan yang terlepas pandang.

Penulis bersama beberapa rakan setugas semasa hari penutupan syarikat Utusan Melayu, Oktober tahun lalu.

Media sosial punya pukulan antara sebab Utusan tak mampu bertahan. Pembaca lebih percaya cerita songsang di telapak tangan daripada laporan akhbar yang sampaikan kebenaran.

Tidak mengapalah itu semua sudah menjadi sejarah, tidak perlulah saling menyalah atau tuduh menuduh sampai tak sudah.

80 tahun Utusan Melayu mampu bertahan, bukan calang-calang orang boleh lawan. Walaupun ditalkinkan dengan cara kurang senang, tapi aku anggap itu kehendak Tuhan. Pasti ada hikmah di sebalik kejadian.

Kini semua menunggu janji katanya Utusan Malaysia akan diterbitkan kembali, di bawah syarikat pemilik TV entah tidak entah jadi tidaklah diketahui kerana aku sendiri tidak terlibat lagi.

(Bersambung…)