29.9 C
Kuala Lumpur
Wednesday, October 9, 2024

Temu Duga Tanpa Mandi

Mesti Baca

Lukman Ismail
Lukman Ismail
Editor Edisi 9

[SIRI CERITERA SANG PENCERITA – BAHAGIAN 2]

TERINGAT aku pergi temu duga di Utusan lepas habis belajar di negara orang. Sambil tunggu panggilan, aku kerja sambilan di negeri kelahiran.

Habis kerja pukul lapan dengan sehelai sepinggan aku naik bas malam. Sampai di Pudu Raya dah pukul 5 pagi, aku hanya cuci muka dan gosok gigi dengan baju pun tak berganti.

Pukul 8 aku dah terpacak di tepi jalan, fikirkan ke mana haluan sebab aku bukan tahu sangat jalan-jalan di tengah kota raya metropolitan.

Akhirnya aku ke satu hentian menunggu teksi yang mencari penumpang. “Bang, boleh bawa saya ke Utusan,” bila datang satu teksi merah putih entah apa yang ditulis di pintu kenderaan tak sempat aku bacakan.

Pemandunya Cina tua yang tak begitu mesra, cuma angguk tanda iya. Aku masuk teksi sambil dalam hati bimbang bukan kepalang bila mula fikir yang bukan-bukan. Dibawanya aku ke lorong belakang, bukannya aku faham.

Sampai di depan satu bangunan usang aku fikir dalam-dalam. Apakah betul ini pejabat Utusan atau gudang tempat simpan barang. Pemandu teksi arah aku turun sekarang sambil aku hulur duit tambang.

Kepada seorang pengawal keselamatan aku tanya, “bang, betul ke ini pejabat Utusan,” lalu dia angguk sambil suruh aku masuk dalam.

Sampai dalam pejabat terkebil-kebil aku cari tempat buang hajat. Bukan nak lepaskan hajat tapi tali leher belum diikat.

Aku diminta tunggu di tingkat satu kerana semua calon sudah menunggu. Sambil menunggu pegawai interview, kami diminta menjamah sarapan terlebih dahulu.

Ada seorang lelaki berisi duduk di kerusi sambil memegang surat khabar di sisi. Tekun membaca tak toleh kanan dan kiri. Dalam hati agaknya dialah penemu duga kami, rupanya sama-sama minta kerja di sini. (Al-fatihah untuk Allahyarham Nordin Jonid)

Advertisements

Masuk bilik temu duga dah menunggu tiga jejaka. Duanya lebih berusia, satu lagi masih bertenaga. Aku ditanya macam-macam perkara sampai hal politik pun depa duga.

“Menurut saudara apakah Pas boleh memerintah negara.” Panik juga aku dibuatnya apabila tanya soalan sebegitu rupa. Aku jawablah sedaya upaya walaupun tidaklah sebernas mana.

Pusingan kedua kami mengadap si penemu duga, buat sidang media konon-konon polis lepas razia. Kami diminta tanya soalan, macam seorang wartawan sedang bertugas di lapangan.

Aku hentam sahaja pertanyaan sebab aku bukannya ada pengalaman. Lainlah rakan-rakan pernah bekerja sama bidang, atau paling tidak memang di universiti itulah jurusan.

Habis temu duga aku tahan bas mini. Tengok dalam poket duit pun tak ada lagi. Macam mana aku nak harungi sepanjang hari ini kalau duit pun tak berbaki. Niat nak ronda KL aku tak patuhi, akhirnya ke Pudu Raya aku kembali.

Nak beli tiket balik Terengganu duit aku tak mencukupi akhirnya tiket ke Melaka yang aku beli dan adalah baki 30 sen lagi. Untuk aku telefon mentua kalau dah sampai nanti supaya dia jemput aku pulang ke rumah isteri.

HENTIAN Pudu Raya (lama) menjadi ‘rumah persinggahan’ sementara penulis sebelum ke tempat temu duga. – Foto: Skycrapercity.com

Dua jam aku menanti, perut aku tak henti berbunyi. Maklum aku cuma sarapan pagi masa temu duga tadi, sampai sekarang tak jamah nasi lagi.

Pukul 5 petang baru nampak mentua aku datang maklum dari Tangkak jauhnya bukan sembarang. Nampak wajah mereka hati jadi girang, maklum badan dah letih perut lapar bukan kepalang.

Malu aku simpan dalam-dalam sebab mereka faham aku masih belum berwang. Kami kahwin masa belajar, belum sempat habis cita-cita kami kejar.

Belanja kahwin ditaja saudara-mara, habis nak buat macam mana kalau jodoh dah tiba. Duduk negara orang kalau tak ada ikatan banyak godaan syaitan. Kalau tak kuat iman boleh hanyut di tengah lautan.

Selang beberapa bulan aku terima surat panggilan diminta lapor diri di Utusan sekian-sekian hari bulan. Gembira hati tidak terbilang, akhirnya impian aku dimakbulkan Tuhan. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Karnival Cuti-Cuti Malaysia 2024 tawar diskaun sehingga 50 peratus

KARNIVAL Cuti-cuti Malaysia 2024 (KCCM2024) yang bakal berlangsung pas 25 hingga 27 Oktober di Kompleks Kraf, Jalan Conlay, Kuala...

Lagi Artikel Berkaitan