28.8 C
Kuala Lumpur
Friday, May 17, 2024
Home Blog Page 1687

PKR tak yakin Anwar boleh jadi PM?

PKR yang ditubuhkan pada tahun 1999 disebabkan pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada Kabinet dan UMNO dilihat tidak mempunyai keyakinan untuk mencalonkan Presiden PKR itu sebagai Perdana Menteri (PM)?

Berikutan itulah walaupun Tun Dr. Mahathir Mohamad meletakkan jawatan sebagai PM sehingga tumbangnya Kerajaan Pakatan Harapan (PH) namun PKR dilihat terus tidak bergantung kepada ahli politik berusia 95 tahun tersebut.

Justeru penulis tidak terkejut apabila Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil menafikan parti itu menarik balik sokongannya terhadap Mahathir untuk menjadi Perdana Menteri.

Beliau menyifatkan laporan akhbar Sin Chew bahawa Jawatankuasa Kepemimpinan Pusat PKR telah memutuskan menarik balik sokongan parti itu kepada Mahathir dalam pertemuan pada 17 Mei adalah palsu.

Dalam laporannya akhbar berkenaan, memetik satu sumber yang memberitahu, Anwar pada pertemuan tersebut bercakap mengenai hubungan dengan Mahathir dan antaranya menyatakan PKR masih akan terus mempertahankan hubungan kerja dengan bekas Perdana Menteri itu tetapi tidak lagi mendukung Ahli Parlimen Langkawi tersebut sebagai Perdana Menteri.

Mungkin Fahmi boleh menafikannya, namun sebagai seorang yang pernah bertugas dalam media arus Perdana, penulis percaya Sin Chew tidak akan sewenang-wenangnya membuat laporan berkenaan tanpa asas.

Sumber: FB Fahmi Fadzil

Bagaimanapun kenyataan Fahmi akan menyebabkan pelbagai spekulasi atau tafsiran dibuat. Apakah penafian itu membuktikan PKR masih bergantung kepada Mahathir untuk kembali berkuasa? Dan Adakah PKR sendiri tidak mempunyai keyakinan bahawa Anwar boleh menerajui PH memerintah negara dan sekaligus menjadi PM

Kalau begitu apa gunanya perjuangan PKR selama ini?

Lupakah PKR bahawa Mahathir yang bertanggungjawab memecat Anwar daripada Kabinet dan UMNO pada 1998 sehingga tercetusnya demonstrasi jalanan sebelum lahirnya PKR? Dan tak ingatkah apabila PH menang PRU-14, Mahathir dijulang sebagai wira dan dilantik sebagai PM dengan perjanjian jawatan itu diserahkan kepada Anwar selepas dua tahun.

Tetapi lagi dua bulan nak genap 24 bulan, Mahathir meletakkan jawatan sehingga menyebabkan Kerajaan PH yang baru memerintah selama 22 bulan tumbang. Walaupun sudah bertindak demikian, PKR nampaknya terlalu lemah dan tetap mahu mendukung Mahathir.

Adakah ini bermaksud jika PN berjaya ditumbangkan tak kiralah melalui undi tidak percaya atau pilihan raya, Anwar akan jadi ‘Bakal Perdana Menteri’ sekali lagi manakala Mahathir akan menjadi PM buat kali ketiga? Kasihan PKR walaupun mempunyai kedudukan parti ketiga terkuat di Dewan Rakyat selepas DAP dan UMNO, namun parti berkenaan masih berharap kepada Mahathir yang mempunyai lima sahaja kerusi termasuk beliau.

Kenyataan Fahmi itu membolehkan rakyat berpendapat, sia-sia sungguh perjuangan PKR sejak 1998 – sebuah parti yang ditubuhkan untuk menumbangkan Mahathir tetapi akhirnya dilihat terpaksa bergantung kepada ahli politik berusia 95 tahun bagi survival politik mereka.

Patutlah dari semasa ke semasa semakin ramai wakil rakyat, pemimpin dan ahli PKR meninggalkan parti itu dengan alasan, ” tidak lagi ada keyakinan dan kepercayaan kepada idealisme perjuangan serta hala tuju parti pada hari ini.”

Macam mana mahu ada hala tuju, kalau asyik bergantung kepada Mahathir sahaja untuk menjadi PM dan meraih sokongan rakyat kepada PH? Tidak yakinkah pemimpin dan ahli PKR kepada kehebatan Anwar yang sudah bersabar begitu lama untuk menjadi PM?

Tak kanlah mahu bergantung lagi kepada Mahathir yang semua orang tahu bukan sahaja semakin kehilangan cengkaman dalam kalangan ahli Parlimen malah dalam parti sendiri pun pengaruh beliau semakin luntur sehingga orang pun ‘dah tak tau apa jawatan dia.’

Oleh itu kalau PKR mahu terus setia dengan Mahathir, silakan sahaja…tetapi bagaimana dengan pemimpin dan ahli di peringkat umbi? Apa pendirian mereka? Kalau sekadar terus mendokong Mahathir sebagai PM, lebih baik jemput sahaja Mahathir menyertai PKR.

Tiada gunanya Anwar menjadi Presiden PKR dan Penasihat PH tetapi Mahathir yang tidak ada apa-apa jawatan dan semakin luntur kekuatan akan dilantik menjadi PM. Buat penat sahaja berjuang. – EDISI9

Tulisan ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Edisi 9.

Ada apa dengan Maybank, tiba-tiba trending dalam Twitter?

RAMAI pelanggan Maybank hairan hari ini sebaik sahaja melihat nama bank yang terkemuka di Malaysia itu tiba-tiba popular dalam Twitter.

Mereka menyangka mungkin banyak aduan timbul berkaitan bank berkenaan sehingga menyebabkan nama Maybank sering dipetik oleh pengguna-pengguna media sosial.

Gambar: Twitter

Jangan bimbang, sebenarnya tiada apa masalah pun dengan Maybank.

Semuanya baik-baik sahaja setakat ini.

Yang tular dan popular sebenarnya ialah nama salah seorang watak utama dalam siri drama Outer Banks yang bersiaran melalui Netflix sejak 15 April lalu.

Gambar: Twitter

Watak yang bernama JJ Maybank tersebut dilakonkan oleh Rudy Pankow.

JJ digambarkan sebagai seorang remaja lelaki berusia 16 tahun yang berjiwa memberontak dan suka cari masalah.

Gambar: Netflix

Mungkin sebab itulah namanya popular sehingga menyebabkan nama Maybank tiba-tiba meletop.

Kalau hendak tahu ada apa dengan JJ Maybank ini, kenalah tonton Outer Banks. – EDISI 9

Penduduk Gaza dibenarkan solat Jumaat di masjid

MASJID-MASJID di Gaza akan dibuka semula untuk solat Jumaat terakhir bulan Ramadan minggu ini.

Memetik laporan Palestinian Information Center, perkara itu diumumkan oleh Jawatankuasa Susulan COVID-19 Gaza pada Ahad lalu.

Walau bagaimanapun, tidak semua penduduk Gaza dibenarkan datang ke masjid.

Mereka yang mempunyai masalah kesihatan dan penyakit kronik, warga emas, kanak-kanak dan individu yang baru pulang dari luar negara diminta berada di rumah.

Jemaah juga mesti mematuhi langkah-langkah mencegah penularan COVID-19 yang diperkenalkan oleh Kementerian Kesihatan Gaza.

Dalam perkembangan berkaitan, penduduk Gaza dibenarkan untuk menunaikan solat sunat Aidilfitri di masjid.

Selain mengamalkan penjarakan sosial, memakai pelitup hidung dan mulut serta mengelakkan berjabat tangan, jemaah turut diminta membawa sejadah sendiri.

Pada 23 Mac lalu, Kementerian Wakaf dan Hal Ehwal Agama Islam Gaza mengumumkan semua masjid di wilayah itu ditutup sepenuhnya bagi mengekang penularan COVID-19. – EDISI 9

Bekas pengadil FIFA meninggal dunia

0

BEKAS pengadil Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Jaswant Singh Sran meninggal dunia semalam.

Berita sedih itu diumumkan dalam laman Facebook rasmi Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Mendiang yang berusia 80 tahun pernah mengadili perlawanan yang disertai legenda bola sepak negara, Datuk Soh Chin Aun dan mendiang Datuk R. Arumugam sekitar tahun 1970-an dan 1980-an.

Antara pengadil dan penjaga garisan yang sezaman dengan Jaswant ialah S. Kathirvale, Othman Omar, Koh Guan Kiat dan Mohd Noh Saud.

Selepas bersara sebagai pengadil di peringkat kebangsaan dan antarabangsa, mendiang seterusnya menjadi Penilai Pengadil.

Jaswat juga pernah berkhidmat sebagai pegawai polis dan jawatan terakhirnya ialah Deputi Superintendan. – EDISI 9

Penentuan Serie A berentap semula 28 Mei

0

BAGI kaki bola yang mengikuti perkembangan Serie A, kelab-kelab yang bersaing dalam liga tersebut dijangka beraksi pada pertengahan bulan depan sekiranya kerajaan Itali memberi lampu hijau pada 28 Mei ini.

Memetik laporan ESPN, Menteri Sukan Itali, Vincenzo Spadafora mengumumkan semua kelab dibenarkan untuk memulakan sesi latihan penuh.

Beliau juga telah mengaturkan mesyuarat dengan ketua-ketua persekutuan bola sepak Itali dan Serie A minggu depan.

“Saya fikir kita akan mempunyai semua data yang kita perlukan untuk menentukan sama ada liga boleh disambung semula dan bila.

“28 Mei adalah tarikh di mana kita akan mengetahui bila liga akan disambung semula,” jelasnya kepada stesen penyiaran Rai.

Liga bola sepak Itali telah ditangguhkan sejak 9 Mac dan dijangka bermula pada pertengahan Jun, bergantung kepada kelulusan kerajaan.

Pada masa ini, kerajaan Itali menegaskan bahawa semua pemain dalam sesebuah kelab mesti dikuarantin selama 14 hari sekiranya salah seorang daripada mereka didapati positif COVID-19.

Walau bagaimanapun, peraturan itu dibantah oleh kelab-kelab Serie A yang berpandangan, hanya pemain yang positif COVID-19 perlu dikuarantin.

Serie A mempunyai baki 12 pusingan perlawanan dan empat perlawanan dari pusingan terdahulu sebelum musim ini berakhir.

Juventus yang sedang mengejar kejuaraan kesembilan mendahului Lazio dalam carta liga dengan kelebihan tipis 1 mata.

Sumber: Sky Sports

Itali merupakan antara negara yang terjejas teruk akibat COVID-19 di mana sebanyak 226,699 kes positif dicatatkan setakat ini.

Daripada jumlah itu, seramai 32,169 pesakit meninggal dunia manakala 129,401 orang lagi telah sembuh. – EDISI 9

Aminuddin dan Amirudin wajar bimbang

“KAMI di Selangor – PKR Team Azmin 21 + Bersatu Team PM 8 + BN 5 + Pas 1 = 35 seat, PH plak 21 tumbang lagi, salah Najib la ni.” – Mesej ini tular di dalam media sosial semalam.

Ia mungkin perang psikologi berikutan satu demi satu negeri di bawah Pakatan Harapan (PH) beralih arah kepada Perikatan Nasional (PN).

Empat negeri yang sebelum ini berada di bawah PH iaitu Johor, Melaka, Perak dan Kedah kini dikuasai PN berikutan perpecahan di dalam Bersatu dan PKR.

Ketika ini PH hanya menguasai tiga negeri iaitu Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan.

Berbanding Pulau Pinang, bibit-bibit perpecahan akibat kemelut dalam dua parti itu sedikit sebanyak mula ‘mengoncang’ kedudukan PH di Selangor dan Negeri Sembilan. Mungkin menyedari hakikat inilah, kedua-dua Menteri Besar mula bersuara.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun menangkis dakwaan bahawa enam Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PH akan menyertai PN dan menganggap ia satu fitnah.

Di Shah Alam, Datuk Seri Amirudin Shari menyifatkan sabotaj paling besar kepada usaha pemulihan ekonomi negeri dan negara akibat kesan penularan wabak Covid-19 adalah “ganggu gugat politik.”

Tanpa berdolak dalih, Menteri Besar Selangor itu turut mengakui wujud “usaha sedemikian dalam pentadbirannya, namun beliau yakin kerajaan Selangor di bawah PH masih kuat kerana mempunyai jumlah majoriti kerusi dalam Dewan Undangan Negeri (DUN).

DUN Selangor mempunyai 56 kerusi dengan PH memiliki 48 kerusi, Barisan Nasional (5), Pas (1) dan Bebas (2).

Kalau mengikut khabar angin yang tersebar, lebih 10 ADUN PKR di Selangor sedia meninggalkan PH untuk menyertai PN. Ketika ini, PKR menguasai 19 daripada 56 kerusi di DUN.

Sememangnya senario politik yang berlaku seharusnya membimbang Aminuddin dan Amirudin itu, tetapi mereka perlu mengkaji kenapa semua itu berlaku?

Ia bukan salah UMNO atau Pas, kedua-dua parti itu hanya cuba menstabilkan keadaan apabila sesebuah kerajaan sama ada di peringkat pusat atau negeri tergugat berikutan pertelingkahan dalaman parti memerintah.

Itulah yang berlaku apabila Bersatu berpecah dua selepas Tun Dr. Mahathir Mohamad meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri kerana tidak bersetuju dengan ketegasan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang semakin tidak tahan dengan perangai DAP dalam Kerajaan PH.

Tindakan Mahathir mengubah lanskap pentadbiran kerajaan negeri di bawah PH seperti kita saksikan di Johor, Melaka dan Perak. Keadaan menjadi lebih parah kepada PH apabila berlaku pula pertembungan antara Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Azmin mengambil keputusan meninggalkan PKR dan bersama Muhyiddin di dalam Bersatu seterusnya menubuhkan Kerajaan PN. Berikutan itu perpecahan di peringkat akar umbi dalam PKR tidak boleh dielakkan, satu demi satu pemimpin kanan meninggalkan parti tersebut dan ia menjadi semakin kritikal apabila tindakan pecat memecat dilakukan.

Semua itu yang menyebabkan PKR tidak stabil dan Bersatu pula semakin ‘huru-hara’ dengan keghairahan Mahathir ‘menyerang’ Muhyiddin.

Justeru bukanlah sesuatu yang aneh jika pertelingkahan dalam dua parti itu akan menyaksikan jika selepas ini Selangor dan Negeri Sembilan pula dimiliki oleh PN. Dan jangan lupa di Sabah pun, kedudukan kerajaan negeri yang ditubuhkan hasil ‘lompat parti’ berada dalam keadaan terumbang-ambing.

Kalau betullah seperti mana kata Amirudin, “sabotaj paling besar kepada usaha pemulihan ekonomi negeri dan negara akibat kesan penularan wabak Covid-19 adalah ganggu gugat politik” – bagaimana pula dengan tindakan Mahathir mengganggu gugat pentadbiran Muhyiddin yang kini bertungkus lumus memerangi wabak itu.

Bagaimana pula dengan maki hamun dihamburkan oleh ahli Parlimen PKR apabila sidang Dewan Rakyat hanya sehari?

Apa pula pandangan Amirudin apabila Presiden partinya sendiri menyatakan bahawa misi PH dan Mahathir adalah mengembalikan mandat rakyat yang didakwa dirampas oleh PN.

Kesimpulannya, Amirudin dan Amiruddin berhak untuk bimbang kerana dalam politik segalanya berkemungkinan, sama seperti mana siapa sangka Mahathir akan letak jawatan Perdana Menteri, bubar Kabinet PH selepas itu mahu tubuh Kabinet Perpaduan dan kini ‘meracau-racau’ mahu menjatuhkan Muhyiddin. – EDISI9

3 pencapaian besar Bayern Munich

0

SELEPAS dua bulan tidak beraksi akibat COVID-19, Bayern Munich membuktikan dominasinya dalam Bundesliga dengan menewaskan Union Berlin 2-0 di gelanggang lawan kelmarin.

Sebelum perlawanan itu berlangsung, Bayern yang berada di kedudukan teratas Bundesliga telah mencatatkan tiga pencapaian yang memberangsangkan.

Rekod tanpa kalah 11 perlawanan

Bayern beroleh 31 mata daripada 11 perlawanan, dengan seri 0-0 ketika menentang Leipzig pada perlawanan ke-31.

Kelab itu juga menjaringkan 38 gol, bolos hanya enam gol dan gawang golnya tidak dapat ditembusi lawan dalam enam perlawanan.

Minimum tiga gol dalam lima perlawanan terakhir di gelanggang lawan

Secara keseluruhan, kelab kebanggaan Munich ini menjaringkan 73 gol dalam 25 perlawanan.

Hanya Bayern Munich sahaja yang pernah mengatasi rekod ini dengan 74 gol pada peringkat sama dalam musim 1973/74 dan 2013/14.

Aksi ke-1866 Bayern dalam Bundesliga

Bayern Munich telah memenangi 1,111 perlawanan setakat ini, menyamai rekod yang dicatatkan Hamburg (746 kemenangan).

Hanya Werden Bremen yang mengatasi kedua-dua kelab itu dengan rekod 1,890 perlawanan dalam sejarah 57 tahun Bundesliga.

Sumber: FCBayern.com

Hikmah di sebalik Covid-19

KITA hilangkan sedikit isu panas politik negara ketika ini dengan penulisan saya di perenggan seterusnya.

Ada hikmahnya wabak Covid-19 ini terjadi. Pelbagai aktiviti harian umumnya terhad.

Tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula Mac lalu. Sehingga fasa keempat telah diberi kelonggaran bersyarat PKPB.

Namun sehingga kelmarin, data polis merekodkan 1,175 kenderaan diarah berpatah balik.

Kemungkinan pertambahan akibat PKPB menjelang Aidilfitri beberapa hari lagi.

Seingat penulis ini kali pertama kerajaan tidak membenarkan rakyat balik kampung sambut Aidilfitri.

Penulis juga terkesan selepas bertahun sebelumnya menyambut lebaran di kampung halaman di Bentong dan Kuantan, Pahang.

Inilah hikmah di sebalik Covid-19 ini. Lebih-lebih lagi dalam bulan Ramadan.

Rata-rata sahabat penulis banyak berkongsi aktiviti harian mereka bersama keluarga.

Ada yang memasak, ada yang ‘jamming’. Ada yang melepas gian mendaki, ada juga yang solat terawih berjemaah bersama keluarga.

Inilah hikmah Covid-19. Wujudnya ‘kluster’ norma baharu kehidupan.

Penulis meraikan Aidilfitri bersama kejiranan. Bergotong-royong memasang pelita seperti aura kehidupan sambutan di kampung.

Moreh bersama dalam sistem penjarakan sosial sambil membawang.

Ini juga kali pertama buat penulis menyambut suasana malam ‘tujuh likur’ sambil berhajat menemui malam lailatulqadar.

Penulis juga percaya pembaca pun begitu. Inilah norma baharu.

Hadapi dengan tenang. Berlapang dada dalam apa jua keputusan pemerintah.

Bersama kita berdoa agar wabak ini segera ‘lenyap’ dipahat ‘sejarah’. – Edisi 9

Kelab Liga Perdana Inggeris dibenarkan berlatih dalam kumpulan kecil

0

SEMUA kelab yang bersaing dalam Liga Perdana Inggeris dibenarkan menjalani latihan dalam kumpulan kecil mulai petang 19 Mei 2020.

Memetik portal ManUtd.com, perkara itu diputuskan melalui undian sebulat suara oleh Pemegang-pemegang Saham Liga Perdana semalam.

Keputusan tersebut merupakan langkah pertama sebelum Liga Perdana Inggeris disambung semula apabila keadaan selamat untuk berbuat demikian.

Penjarakan sosial mesti dipatuhi semasa latihan manakala pemain-pemain tidak dibenarkan bersentuhan.

Langkah pertama itu diputuskan setelah berbincang dengan para pemain, pengurus, doktor kelab-kelab Liga Perdana, pakar bebas dan kerajaan.

Protokol perubatan yang ketat dengan standard tertinggi akan memastikan semua pemain kembali menjalani latihan dalam persekitaran yang paling selamat.

Liga Perdana Inggeris memberi keutamaan kepada kesihatan dan kesejahteraan semua peserta di mana proses latihan secara selamat dilaksanakan secara berperingkat.

Langkah seterusnya adalah mengadakan perbincangan dengan para pemain, pengurus, kelab, Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional (PFA) dan Persatuan Pengurus Liga (LMA) bagi merangka protokol untuk latihan penuh. – EDISI 9

JDT ranking ke-35 kelab Asia

0

JOHOR Darul Ta’zim tersenarai dalam kelompok 50 kelab terbaik Asia oleh FootyRankings, sekali gus menjadi kelab Malaysia menduduki ranking tertinggi di benua.

Juara Liga Super sebanyak enam kali dan Piala Malaysia dua kali itu menduduki tangga ke-35 dengan mengumpul 33.10 mata.

FootyRankings menerusi kemas kini terbaharu pada Mac lalu turut menyenaraikan tiga lagi kelab dari Malaysia iaitu Kedah di tangga 122, Felda United (126) serta Perak (133).

“Tiada pasukan lain yang tersenarai,” memetik kenyataan JDT menerusi Facebook Johor Southern Tigers.

Al Hilal dari Arab Saudi kekal sebagai kelab terbaik Asia diikuti Kashima Antlers (Jepun) dan Shanghai SIPG (China) di tempat ketiga.

Sementara itu, kelab berpangkalan di Larkin itu turut disenaraikan di tangga ke-1,923 dunia dan kedudukan 228 di peringkat benua Asia oleh FootballDatabase.

JDT menjadi satu-satunya pasukan Malaysia yang disenaraikan oleh agensi itu.

“JDT muncul satu-satunya kelab Malaysia yang mempunyai ranking membanggakan di peringkat benua dan dunia melalui penglibatan kelab ini dalam saingan Liga Juara-Juara AFC dan Piala AFC,” kata kenyataan itu. – Edisi 9

Rentas negeri: Jadilah kelompok bertamadun

SEMEMANGNYA pelik dan aneh apabila masih ada lagi orang ramai yang cuba merentas negeri untuk pulang ke kampung bagi menyambut Aidilfitri walaupun tidak dibenarkan.

Semalam sahaja polis mengarahkan 1,175 kenderaan berpatah balik, pada Sabtu 1,248 dikenakan tindakan yang sama,sekali ganda berbanding hari ini.

Soalnya kenapa degil sangat mahu menyambut Aidilfitri di kampung, walaupun kerajaan tidak membenarkannya bagi mengelakkan penularan wabak Covid-19? Arahan atau perintah itu dikeluarkan bukan untuk suka-suka?

Rasanya selepas berpuluh-puluh tahun, ini kali pertama kerajaan tidak membenarkan orang balik kampung sambut raya. Tak kanlah untuk kali ini, kita tidak boleh mematuhinya.

Memanglah sambut Aidilfitri seronok apatah lagi bersama ibu bapa tercinta, tetapi keadaan tidak mengizinkan. Wabak Covid-19 masih menular walaupun ada penurunan kes jangkitan yang ketara.

Malah Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah hari ini turut melahirkan kebimbangan kementerian itu bahawa tindakan sesetengah rakyat berdegil malah cuba merentas negeri boleh membawa kepada peningkatan kluster wabak tersebut.

Kalau menteri cakap mungkin orang ramai kata, “itu orang politik tidak boleh nak percaya”, tetapi kalaulah Dr. Noor Hisham yang berbulan-bulan bertungkus lumus bersama pasukannya memerangi wabak ini tidak juga dipercayai, memang mereka yang masih berdegil mahu rentas negeri ini ‘ada masalah’.

Begitu juga bila ada hujah dangkal sesetengah individu mempersoalkan kenapakah masjid masih tidak boleh dibuka untuk jemaah yang ramai sedangkan pasar boleh dibenarkan beroperasi.

Fahamilah, para mufti dan alim ulama membuat keputusan bukannya seperti membaca komen-komen dalam media sosial.

https://youtu.be/xk1nknHTqzE

Penulis bukannya menentang orang yang meminta masjid dibuka semula tetapi hormati keputusan kerajaan.

Janganlah kerana berbeza fahaman politik, penutupan masjid bagi membendung penularan Covid-19 dijadikan isu. Agak-agaklah kalau nak berpolitik pun.

Kesimpulannya, adalah wajar jika larangan rentas negeri dipatuhi. Tak matipun kalau tak berhari raya di kampung tetapi kita mungkin mendedahkan insan kesayangan di kampung dengan maut kalau kita tidak berhati-hati.

Oleh itu penulis menyokong ketegasan pihak polis mengarahkan, mereka yang degil mahu merentas negeri berpatah balik dan rasanya sudah sampai masanya, golongan ini dikenakan tindakan kompaun, nanti kalau ditahan bising pulak puak-puak yang kononnya memperjuangkan hak asasi.

Dan kepada yang sudah terlepas sampai ke kampung, mereka juga sepatutnya dikenakan tindakan kompaun apabila Aidilfitri selesai.

Semua ini sebagai pengajaran supaya belajarlah menjadi manusia bertamadun dengan menghormati peraturan dan undang-undang yang ditetapkan. – Edisi 9

Ops maksiat, jambatan bengkok

[SIRI CERITERA SANG PENCERITA – BAHAGIAN 8]

JOHOR antara biro terbesar, dari Johor Bahru, Mersing hinggalah ke Muar. Di selatan pula ada Singapore. Kalau ikutkan memang tak terkejar tapi melihat pasukan semangat jadi berkobar.

Apak, Fairuz, Kamil dan abang Jaafar, kami semua di bawah bos Zahar. Tidak ketinggalan Bob dan Farizwan selaku jurugambar. Mereka antara tulang belakang biro Utusan di Johor.

Ada seorang jurugambar sambilan, namanya Bazlan orangnya sopan. Punyai hubungan dengan pegawai atasan baik dalam PDRM, JPJ mahupun jabatan agama Islam.

Melalui dia aku selalu ikut operasi, serbu hotel di sana sini mencari pasangan buat maksiat di dini hari. Pengalaman itu tak aku perolehi sepanjang jadi wartawan selama ini.

Ikut operasi jabatan agama memang seronok, serbu hotel setiap pintu bilik diketuk. Bila kantoi tak cukup tanah mereka nak menyorok, kadang tak sempat hanya tutup dengan selimut.

Bila dah kantoi pegawai akan soal setiap pasangan sama ada mereka ini mahram atau bukan. Biasa mereka mengaku sudah bertunang, datang dari KL tak sempat pulang.

“Jadi kami bermalam di sini dan tunang saya temankan, kami tak buat apa-apa cuma berbual dari siang,” itulah antara alasan yang diberikan.

Ada juga mengaku sudah berkahwin, tapi bila ditanya bila tarikh nikah mulalah si lelaki kata lain, si perempuan kata lain. Bila dah kantoi masing-masing buat muka sardin.

Malam Hari Kekasih kami serbu kerana percaya banyak pasangan akan bercumbu, maklum masing-masing terbuai dengan pujuk rayu dan bisikan “I love you”.

Sekali itu kami rasa amat lucu bila sebuah bilik kami serbu, rupa-rupanya ada pasangan ini punyalah malu kerana mereka pekak dan bisu.

Walaupun dalam hati macam tak percaya, ada pasangan sedemikian rupa memadu kasih dan asmara di bilik hotel hanya berdua.

“Bagaimana mereka saling berbicara? Agaknya pakai bahasa isyarat sahaja,” para penguatkuasa agama pun saling tertanya-tanya.

Bukan serbuan jabatan agama sahaja kami ikut, JPJ dan polis trafik pun kami turut. Operasi lumba haram dan pemandu mabuk, nampak road block semua pakat kecut.

Sekali tu operasi lumba haram kami diminta datang, sebab katanya nak buat serbuan besar-besaran termasuk gunakan bas untuk halang laluan. Bila nampak anggota dari kejauhanan, apa lagi semua pakat lari lintang-pukang.

“Maaf encik kami tidak tahu, kami cuma lalu di situ, saya tak buat benda-benda macam tu,” seorang remaja cuba merayu tapi pihak polis buat tak tahu.

Sebenarnya pihak berkuasa bukan main serbu tetapi dah intip berminggu-minggu sebab itu mereka tahu apa yang perlu dan lokasi mana yang mereka nak tuju.

Di Linkedua lagi dahsyat, lumba haram guna kereta hebat-hebat. Ada yang guna negara jiran punya plat, taruhan pun bukan main lebat, siapa menang dialah yang dapat.

Tapi polis dah lama dapat hidu, sampai satu malam diadakan operasi bersepadu. Banyaklah pemandu sangkut malam itu, mereka didakwa satu persatu atas kesalahan memandu berbahaya dan melulu.


Sumber: Google

SEMASA di Johor, isu jambatan bengkok sedang havoc, masakan tidak sekejap mahu dihentikan sekejap kata tidak. Kami wartawan yang jadi benak, bila keputusan kerajaan yang asyik flip-flop.

Ikut perancangan jambatan dibina menggantikan tambak, yang sudah uzur dan semakin sesak tapi di pihak Singapura mereka menolak itu sebabnya dibuat bengkok.

Ketika pembinaan sedang rancak tiba-tiba Pak Lah mahu hentikan projek, menyebabkan ramai yang mula terpekik sebab tahu projek itu amat baik terutama bagi warga Johor yang berulang-alik.

Akhirnya jambatan bengkok tidak diteruskan, maka projek pembangunannya terhenti di tengah jalan. Pembinaan CIQ masih dilaksanakan, cuma tidak bersambung dengan jambatan.

Maka kekallah Tambak Johor sehingga sekarang, walau pun sesak bukan kepalang. Apakan daya tiada siapa menghalang, keputusan Pak Lah yang “cemerlang, gemilang dan terbilang”. – Edisi 9