28.1 C
Kuala Lumpur
Tuesday, November 28, 2023
Home Blog

Kumpulan nasyid Aeydan enggan dibayangi Rabbani

0

MENYEDARI mereka dilahirkan sebagai anak-anak Rabbani, ramai beranggapan kumpulan nasyid Aeydan bakal menyambung legasi kumpulan itu.

Namun begitu, ia membuatkan kumpulan yang dianggotai oleh enam anak muda ini kurang selesa apabila ada yang melemparkan persepsi negatif dan mengganggap mereka menumpang populariti Rabbani.

Mewakili teman-teman, Mohd Izwan Izzudin berkata, mereka sudah lali dengan situasi itu apatah lagi dikaitkan hanya sekadar menumpang nama Rabbani.

Baginya, sebagai anak-anak Rabbani perkara itu memang tidak dapat dielakkan apatah lagi sejak kecil masing-masing sudah terbiasa mendengar lagu-lagu yang dibawakan oleh Rabbani.

“Kami akur apabila dikatakan bakal pengganti Rabbani, meniru muzik kumpulan ini atau apa sahaja. Kerana kami memang tidak dapat lari disebabkan masing-masing memang membesar dengan lagu dan kehidupan Rabbani itu sendiri.

“Kami dilahirkan oleh Rabbani sendiri, kami semua adalah anak-anak anggota Rabbani,” katanya.

Apabila tampil dengan single pertama berjudul Bintang, kumpulan ini akur untuk mendengar apa juga kritikan yang diberikan.

“Kami memang tidak dapat lari daripada konsep Rabbani itu sendiri namun sebagai pendatang baru kami cuba membawakan konsep lagu sesuai dengan muzik sekarang.

“Namun begitu elemen nasyid masih diterapkan disamping kami mengetengahkan sedikit konsep k-pop,” katanya.

Anak kepada Azadan Abdul Aziz itu berkata, muzik video Bintang yang dilancarkan sebulan lalu itu mendapat sentuhan kreatif dan terbitan bersama Daqmie serta Wan Saleh.

 “Kami cuba tampilkan kelainan dengan mencampurkan muzik nasyid dan k-pop dan lagu itu juga diiringi tarian.

“Kami bersedia sekiranya lagu dan muzik video ini mendapat kritikan.

“Kami cuba lari sedikit dengan mengkomersilkan muzik nasyid yang dibawa dan ia sudah kami praktikkan sejak zaman sekolah lagi,” katanya ketika ditemui pada majlis graduasi Kem Mutawwif Integrasi Haramain (KMIH) yang diadakan di sebuah hotel di Ampang, Selangor, baru-baru ini.

Selain Mohd Izwan Aeydan turut dianggotai oleh anak keempat Allahyarham Asri Ibrahim, Muhammad Ilham Fikri selaku vokalis utama; Muhammad Farhan Islah dam Mohammad Fardeen Imran (anak Rithauddin), Muhammad Arif Haikal (anak Rahmat), dan Muhammad Alif Ihsan (anak Nazrul).

Untuk rekod, Aeydan yang tampil dengan genre world music dan lagu-lagu kerohanian berharmoni pada asalnya digelar Rabbani Junior.

Pemergian Asri pada 2009 mencetuskan idea untuk mencari pelapis Rabbani.

Selepas tamat pengajian, mereka kembali aktif dan merancang untuk dikenali sebagai Aeydan.

Dalam perkembangan lain, Mohd Izwan berkata, Aeydan bakal muncul dalam Konsert Simfoni Kesyukuran 2.0 di Zepp Kuala Lumpur pada 2 Disember ini.

Katanya, konsert anjuran Rabbani Empire Resources dengan kerjasama Intermedia Production itu adalah persembahan ketiga Aedan di depan khalayak setakat ini.

“Kami akan mengadakan persembahan pada konsert itu yang juga sebagai tanda solidariti bersama Palestin.

“Selain Aeydan, turut menjayakan konsert itu adalah Mawi, Zizi Kirana, Rabbani dan Adib Nahar,” katanya. -Edisi 9

Wan Junaidi dilantik Pengerusi Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah

0

YANG di-Pertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR).

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam satu kenyataan memaklumkan, pelantikan itu diperkenankan Yang di-Pertuan Agong bagi tempoh tiga tahun berkuat kuasa 9 Oktober lalu hingga 8 Oktober 2026.

Pelantikan berkenaan adalah atas nasihat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selaras dengan peruntukan Seksyen 14 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694).

Turut dilantik, Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Mohd Shahar Abdullah; Ahli Parlimen Batang Lupar, Mohamad Shafizan Kepli; Ahli Parlimen Tawau, Lo Su Fui dan Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman.

Surat cara pelantikan bagi ahli JKMR itu telah diserahkan Anwar dan disaksikan oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki di bangunan Parlimen, Kuala Lumpur pada Selasa.

Secara keseluruhan JKMR terdiri daripada tujuh ahli dan dua daripadanya masih dalam tempoh lantikan iaitu Ahli Dewan Negara, Md Nasir Hashim dan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim.

SPRM berkata, ahli JKMR berperanan untuk menasihati Perdana Menteri mengenai pelbagai aspek permasalahan rasuah dalam negara.

Selain itu, JKMR juga dikehendaki mendapatkan penjelasan mengenai Laporan Tahunan SPRM serta ulasan Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) terhadap perjalanan dan fungsi suruhanjaya ini di bawah Akta SPRM 2009.

“Semoga dengan pelantikan ahli JKMR dapat membantu memenuhi harapan masyarakat terhadap kebebasan, kecekapan, keberkesanan, ketelusan dan akauntabiliti suruhanjaya ini dalam penunaian fungsi-fungsinya,” kata SPRM. -Edisi 9

Maritim Malaysia gagalkan 413 pati masuk secara haram

0

KESIAPSIAGAAN dan tindakan pantas Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) melaksanakan  penguatkuasaan di kawasan perairan Selat Melaka sepanjang tahun ini telah berjaya menumpaskan 51 kes cubaan menyeludup masuk 413 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) ke negara ini. 

Pengarah Bahagian Penguatkuasaan dan Penyelarasan Maritim, Laksamana Pertama Maritim Vincent A/L Rajamony berkata, data berkenaan jelas menunjukkan iltizam Maritim Malaysia memastikan Zon Maritim Malaysia (ZMM) selamat daripada ancaman jenayah dan aktiviti salah laku maritim seperti rompakan, pencerobohan bot nelayan asing, penyeludupan barangan kontraban serta kemasukan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) atau mana-mana pihak melalui jalan laut secara haram.

Beliau berkata, selain rondaan dan operasi secara berterusan, Maritim Malaysia juga melaksanakan latihan berbentuk operasi di laut bagi mengukur kesiagaan dan keupayaan aset-aset Maritim Malaysia dalam melakukan tugasan yang diberikan.

Katanya lagi, Maritim Malaysia melaksanakan Eksesais Maritim Perkasa Barat 2023 bermula 26 November di Klang, Selangor dan akan berakhir di Pulau Langkawi pada 3 Disember ini.

Bakal melalui perairan Selat Melaka sepanjang 630 batu nautika, Vincent memaklumkan eksesais ini adalah kesinambungan daripada kejayaan Eksesais Maritim Perkasa Timur 2023 yang diadakan di kawasan perairan Sabah dan Sarawak pada awal November lalu.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Eksesais Maritim Perkasa Barat 2023 di sini, hari ini.

Turut hadir pada majlis berkenaan Pengarah Ekesais, Kepten Maritim Shahref Steve Mac Queen Abdullah dan Timbalan Pengarah Operasi Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Mohd Sharenliza Ghazali.

Mengulas lanjut berkenaan Eksesais ini, Vincent turut memaklumkan Eksesais Maritim Perkasa Barat 2023 akan membabitkan hampir 500 orang pegawai dan anggota dengan kekuatan sebanyak 15 buah kapal terdiri daripada Kelas OPV (2 unit), Kelas NGPC (2 unit), Kelas GAGAH (1 unit), Kelas RAMUNIA (1 unit), Kelas NUSA (2 unit) dan Kelas TUGAU (7 unit). Selain itu dua buah pesawat udara milik agensi ini iaitu helikopter Agusta Westland AW139 dan AS365 N3 Dauphin akan turut serta sepanjang eksesais terbabit.

Eksesais Maritim Perkasa Barat bakal menjalani tiga fasa latihan bermula dengan Fasa Pelabuhan iaitu sesi taklimat siri latihan dan sesi Table Top yang telah dilaksanakan pada 26 dan 27 November lalu di Klang, Selangor.

Selepas fasa berkenaan, pegawai dan anggota akan melalui fasa kedua iaitu Fasa Laut di mana pada peringkat ini aset-aset agensi melakukan pelayaran dari Perairan Klang ke Pulau Langkawi bermula 28 November hingga 1 Disember ini.

Fasa terakhir adalah Fasa Penutup Eksesais. Pada fasa ini sesi Post Exercise Debrief (PXD) akan dilaksanakan bagi melihat pencapaian dan penambahbaikan untuk eksesais akan datang di Pejabat Maritim Negeri Kedah dan Perlis di Pulau Langkawi pada 2 dan 3 Disember ini. -Edisi 9

Malaysia Airlines tawar tambang akhir tahun serendah RM79

0

SYARIKAT penerbangan nasional, Malaysia Airlines Bhd melancarkan jualan akhir tahun harga tiket bermula RM79 ke destinasi domestik dan daripada RM229 ke destinasi antarabangsa bagi pengembara yang menempah tiket antara 28 November hingga 11 Disember ini.

Malaysia Airlines dalam satu kenyataan berkata, tambang Kelas Ekonomi sehala ke ASEAN bermula daripada RM229 dari Kuching ke Singapura, RM249 dari Kuala Lumpur ke Kertajati dan RM299 ke Ho Chi Minh City.

Dengan pengumuman terbaharu kemasukan bebas visa 15 hari bagi rakyat Malaysia mengembara ke China berkuat kuasa 1 Disember ini, Malaysia Airlines menawarkan tambang pergi balik Kelas Ekonomi daripada RM1,099 ke Guangzhou, daripada RM1,599 ke Shanghai dan daripada RM1,699 ke Beijing.

Sementara itu, mereka yang menempah penerbangan ke laluan yang baru dilancarkan oleh Malaysia Airlines iaitu Amritsar, Trivandrum dan Ahmedabad boleh menikmati tambang pergi balik daripada RM999 di Kelas Ekonomi.

Pengembara juga boleh pergi ke Bengaluru pada harga tambang Kelas Ekonomi pergi balik daripada RM1,139, Hong Kong daripada RM1,399, Perth daripada RM1,959, dan Auckland daripada RM3,599.

Bermula 15 Januari 2024, syarikat penerbangan itu akan meningkatkan kekerapan laluan Kuala Lumpur-Amritsar, susulan permintaan dan prestasi faktor muatan yang tinggi, daripada dua kali seminggu kepada empat kali seminggu. -Edisi 9

Selangor berjaya tarik pelaburan bernilai RM88.88 bilion

0

KERAJAAN Selangor berjaya menarik pelaburan berjumlah RM88.88 bilion sejak 2018 sehingga Jun lalu meliputi 1,506 projek perkilangan.

Menteri Besarnya, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, sebanyak 95,610 potensi peluang pekerjaaan juga telah diwujudkan untuk dinikmati rakyat negeri berkenaan.

“Antara industri yang menjadi tumpuan adalah sains hayat, pembuatan makanan dan minuman serta produk elektrik dan elektronik.

“Malah untuk menggalakkan lagi nilai pelaburan, kelengkapan serta pengangkutan seperti aeroangkasa dan dron turut memacu ekonomi negeri,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, promosi pelaburan secara fizikal atau dalam talian dengan pihak dewan perniagaan tempatan dan luar negara juga rancak.

Malah, kerajaan negeri turut mengenal pasti sektor perkhidmatan berpotensi seperti perkhidmatan logistik, pelaburan digital seperti perniagaan perkhidmatan global, pusat data dan teknologi kreatif.

“Daripada keseluruhan jumlah, RM53 bilion membabitkan pelaburan modal asing manakala baki RM35.88 bilion datang dari tempatan.

“Insya-Allah, kejayaan ini akan terus ditingkatkan dan dikembangkan demi kemakmuran rakyat Selangor,” katanya lagi. -Edisi 9

Public Gold sasar pasang 30 mesin ATM emas di MYDIN

0

PUBLIC Gold menjalin kerjasama dengan peruncit dan pemborong halal terbesar di negara ini, Mydin Mohamed Holdings Bhd (MYDIN) untuk menambah bilangan mesin juruwang automatik (ATM) emas di cawangan MYDIN seluruh negara.

Kerjasama itu menyasarkan untuk memasang sebanyak 30 unit mesin ATM emas menjelang pertengahan tahun depan.

Rancangan pengembangan itu dibuat sejajar dengan peningkatan permintaan produk emas fizikal, sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Public Gold melihat kerjasama itu penting, bagi menggalakkan lebih ramai rakyat Malaysia memiliki emas fizikal sebagai simpanan jangka panjang.

ATM emas itu diiktiraf oleh Malaysia’s Book of Records sebagai ATM pertama yang mengeluarkan produk emas fizikal di Malaysia.

Matlamat utamanya adalah untuk memberikan lebih keselesaan kepada pelanggan Public Gold yang terdiri daripada rakyat tempatan, asing dan pelancong, untuk membeli produk emas pada bila-bila masa hanya dengan menekan satu butang.

Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Public Gold Group, Datuk Wira Louis Ng, berkata berdasarkan kajian terbaharu syarikat itu terhadap pasaran emas Malaysia, 70 peratus komuniti Muslim di negara ini memilih untuk melabur dalam dinar emas, manakala baki 30 peratus memilih jongkong emas.

“Ini adalah disebabkan dinar emas adalah patuh Syariah dan digunakan secara meluas sebagai mata wang di negara Islam tertentu.

“Justeru, ia lebih banyak disimpan dan mempunyai nilai pelaburan lebih besar dalam kalangan Muslim,” katanya dalam satu kenyataan.

Baru-baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan bahawa kerajaan akan meneliti semula idea untuk menggunakan dinar emas sebagai mata wang rizab semasa pertemuan ahli ekonomi dan kewangan Islam, yang dijadualkan bulan depan.

Beliau juga menambah bahawa penggunaan dinar emas adalah satu cadangan terpuji dan memberikan satu alternatif kepada negara-negara, sekali gus mengukuhkan kestabilan ekonomi domestik.

Buat permulaan, Public Gold telahpun memasang lima unit mesin ATM di MYDIN USJ, Selangor; MYDIN Bukit Mertajam, Pulau Pinang; MYDIN Pelangi Indah dan MYDIN Mutiara Rini masing-masing di Johor serta MYDIN Tunjong, Kelantan.

Menuju ke hadapan, Public Gold akan memasang tiga lagi unit mesin ATM di MYDIN Seremban 2 dan MYDIN Senawang di Negeri Sembilan serta MYDIN Manjoi, Perak bulan depan.

“Sasaran utama kami untuk memasang mesin ATM emas di seluruh negara adalah untuk memberikan lebih keselesaan dan akses mudah kepada pelanggan terhadap produk emas kami.

“Ini adalah bagi menggalakkan tabiat menyimpan yang baik dan mewujudkan budaya sihat dalam kalangan rakyat untuk menyimpan emas fizikal sebagai usaha membina kekayaan,” kata Ng lagi. -Edisi 9

Libya berminat hantar 1,000 pelajar ke Malaysia

0

KERAJAAN Libya berminat untuk menghantar seramai 1,000 pelajarnya bagi menyambung pendidikan tinggi di institusi pendidikan tinggi (IPT) di negara ini.

Perkara itu dinyatakan ketika perbincangan dalam kunjungan hormat Atase Akademik Kedutaan Libya ke Malaysia, Dr. Aiman Elmahmodi ke Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).

Ketua Pegawai Eksekutif MQA, Prof. Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran berkata, negara dari Afrika Utara itu mempunyai 5,000 pelajar yang semua ditaja biasiswa 100 peratus untuk dihantar ke luar negara.

Daripada jumlah itu, katanya, seramai 1,000 pelajar akan dihantar ke Malaysia kerana keyakinan mereka terhadap kualiti pendidikan tinggi negara ini.

Katanya, agenda utama perbincangan itu ialah bagi memperkukuh jalinan antara MQA dengan badan akreditasi Libya, The National Center for Quality Assurance and Accreditation of Educational and Training Institutions (NCQAAETI).

“Perbincangan ini juga bagi memudahkan proses kemasukan pelajar dari Libya untuk menyambung pengajian ke Malaysia kerana mereka juga berhasrat untuk menghantar lebih ramai lagi pelajar selepas ini.

“Mereka datang berjumpa MQA bagi memastikan bahawa syarat kemasukan, penarafan pelajar yang ingin melanjutkan pengajian di Malaysia di peringkat sarjana dapat direalisasikan segera,” katanya.

Hadir sama pada pertemuan itu, Penolong Atase Akademik Kedutaan Libya, Dr. Mohamed A.M Ahssi, Penasihat Atase Akademik Kedutaan Libya, Norhawaty Mansor; Pengarah Bahagian Akreditasi (Sains dan Perubatan), Abdul Saman Taip; Ketua Unit Hal Ehwal Awam dan Antarabangsa (UHEAA), Muhammad Hasfarizal Kamaludin.

Mohammad Shatar berkata, kohort pertama pelajar sarjana dari Libya akan masuk ke beberapa universiti awam pilihan mereka bermula awal tahun depan.

Katanya, MQA akan memberi komitmen dalam memudah cara kemasukan pelajar Libya ke IPT di Malaysia bersama rakan agensi lain di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi.

“MQA juga akan menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama NCQAAETI yang dijangka pada tahun 2024.

“Jalinan kerjasama itu bagi memastikan lebih ramai pelajar Libya memilih Malaysia sebagai destinasi pilihan menyambung pengajian selain kerjasama dalam usaha mendapatkan pengiktirafan bersama dua badan autoriti jaminan kualiti pendidikan tinggi.

“Usaha ini akan membantu merealisasikan hasrat Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin untuk menjadikan Malaysia sebagai hab bakat dan pengetahuan atau pusat ilmu sejagat,” katanya. -Edisi 9

Isteri gigit telinga suami hingga putus

0

BERANG dengan suami, seorang wanita di India didakwa menggigit telinga kanan suaminya sehingga putus selepas mereka bertikam lidah.

Portal NDTV melaporkan, jurucakap polis mengesahkan insiden berlaku di luar daerah Sultanpuri di New Delhi, India, pada Ahad.

Mangsa berusia 45 tahun memberitahu polis bahawa bahagian atas telinga kanannya terputus akibat gigitan dan dia terpaksa menjalani pembedahan.

“Saya pergi membuang sampah di luar rumah sekitar 9.20 pagi pada 20 November lalu. Saya meminta isteri membersihkan rumah.

“Tidak lama selepas saya pulang ke rumah, isteri saya mula bergaduh dengan saya kerana isu yang tidak diketahui,” lapor mangsa kepada polis.

Susulan itu, mangsa memfailkan laporan terhadap perbuatan isterinya selepas menerima rawatan.

Menurut mangsa, ketika bertengkar, isterinya itu memintanya menjual rumah dan memberi sebahagian hasil jualan itu supaya dia dapat tinggal berasingan dengan anak-anak.

“Saya cuba membuat dia faham, tetapi pertengkaran mulut berlaku. Dia juga cuba memukul saya, tetapi saya menolaknya.

“Ketika saya berjalan keluar dari rumah, dia (isteri) memegang saya dari belakang dan dalam keadaan marah menggigit telinga kanan saya dengan kuat sehingga bahagian atas telinga saya terputus.

“Anak membawa saya ke Hospital Sanjay Gandhi di Mangolpuri untuk mendapatkan rawatan,” kata mangsa kepada polis.

Katanya, dia juga perlu menjalani pembedahan di Hospital Golden Jaipur di Rohini.

Menurut polis, pihaknya menerima laporan kejadian itu pada 20 November daripada sebuah hospital dan satu pasukan dihantar untuk menyiasat perkara itu.

“Pada 22 November, mangsa menghubungi polis dan memberikan aduan bertulis. Kami sudah mendaftarkan laporan maklumat pertama (FIR) dan siasatan lanjut sedang dijalankan,” katanya. -Agensi

Terry Venables meninggal dunia pada usia 80

0
BEKAS pengurus pasukan kebangsaan England dan Tottenham Hotspur, Terry Venables meninggal dunia pada usia 80 tahun selepas sakit tua, menurut keluarganya.
Venables mengemudi England ke separuh akhir Kejohanan Eropah pada tahun 1996 di gelanggang sendiri sebelum tumpas di tangan Jerman menerusi penentuan sepakan penalti.

“Kami benar-benar sedih dengan kehilangan suami dan bapa yang baik yang meninggal dunia dengan aman selepas sakit lama,” menurut keluarga itu dalam satu kenyataan.

Selain mengemudi Tottenham, yang mana beliau memenangi Piala FA Inggeris pada musim 1990-91, beliau turut mengendali Crystal Palace, Leeds United dan Barcelona dalam karier pengurusan yang gemilang.

Ketika mengurus Barcelona, Venables mendapat nama gelaran El Tel, menjuarai La Liga dan layak ke final Piala Eropah pada 1986.

Venables turut bertanggungjawab membawa penyerang Britain, Gary Lineker dan Mark Hughes ke Nou Camp.

“Jurulatih terbaik, paling inovatif yang pernah saya berpeluang untuk bermain di bawah kendaliannya,” tulis Lineker, yang turut beraksi di bawah tunjuk ajar Venables di Spurs dan England, di laman X.

“Bagaimanapun beliau bukan sekadar pengurus yang hebat, beliau bersemangat, beliau menawan, beliau bijak, beliau seorang kawan.”

Venables memulakan karier profesional sebagai pemain Chelsea pada tahun 1960 dan beraksi bersama Tottenham Hotspur, Queens Park Rangers dan Crystal Palace sebelum bersara dan memegang jawatan pengurus di kelab itu.

Sebagai pemain, beliau tampil lebih 500 perlawanan liga dan memenangi Piala Liga bersama Chelsea pada 1965 dan Piala FA bersama Spurs pada 1967. Beliau beraksi dua kali bersama pasukan kebangsaan England.

Venables turut bertugas sebagai ketua eksekutif Spurs selama dua tahun dari 1991-93.

“Kami amat bersedih apabila mengetahui pemergian Terry Venables, bekas pemain, pengurus dan ketua eksekutif kami, yang meninggal dunia pada Sabtu,” menurut Spurs dalam satu kenyataan. -Agensi

SPRM diberi tempoh 3 hari nyahbeku akaun Aman Palestin

0

AMAN Palestin Berhad (Aman Palestin) memberi tempoh tiga hari kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyahbekukan akaun mereka yang dibekukan sejak minggu lalu.

Memetik laporan Berita Harian, peguam mewakili Aman Palestin, Muhammad Rafique Rashid Ali, berkata sekiranya agensi penguat kuasa itu gagal berbuat demikian, tindakan undang-undang akan diambil.

“Aman Palestin telah mengutus surat kepada Ketua Pesuruhjaya SPRM serta Pengarah Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA) SPRM, memberi notis bawah Seksyen 44A Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFAPUAA) 2001 untuk perintah pembekuan ini dibatalkan dan atau diubah,” katanya pada sidang media, malam tadi.

Muhammad Rafique berkata, Aman Palestin juga menggesa Ahli Parlimen sama ada kerajaan mahupun pembangkang, supaya membangkitkan isu itu di Dewan Rakyat.

“Isu derma dan bantuan kepada Palestin adalah isu sejagat. Kerajaan mesti menjelaskan mengapa agensi penguat kuasa bawah kerajaan mengambil tindakan membekukan akaun bagi aktiviti-aktiviti kemanusiaan,” katanya.

Beliau berkata, terdapat kandungan dalam kenyataan media SPRM bertarikh 23 November lalu, didakwa adalah komplot terancang dan propaganda jahat untuk membunuh karakter Aman Palestin serta ahli Lembaga Pengarahnya.

“Aman Palestin dan ahli-ahli Lembaga Pengarahnya kini disiasat oleh SPRM. Kali pertama SPRM hadir ke premis berdaftar Aman Palestin ialah pada 17 Oktober lalu, dan tiada serbuan atau tangkapan dibuat ketika itu,” katanya.

Beliau mendakwa, penggeledahan dan pembekuan akaun hanya berlaku sehari selepas kenyataan SPRM dikeluarkan pada 23 November lalu.

“Kerjasama baik diberikan oleh Aman Palestin mulai tarikh 17 Oktober hingga sekarang. Semua dokumen yang diminta juga diserahkan salinan masing-masing.

“Hingga kini, Aman Palestin telah mengeluarkan kos membuat salinan dokumen-dokumen berkenaan sebanyak hampir RM12,000,” katanya.

Setakat ini, Muhammad Rafique berkata, Ketua Pegawai Eksekutif, Awang Sufian Awang Piut, serta lima ahli Lembaga Pengarah Aman Palestin dan tiga pekerja telah dipanggil ke pejabat SPRM di Putrajaya.

Aman Palestin juga mengesahkan 41 akaun sudah dibekukan oleh SPRM dalam siasatan berkaitan mengikut peruntukan AMLATFAPUAA 2001.

Bagaimanapun, Muhammad Rafique menjelaskan, bukan kesemua 41 akaun itu adalah milik Aman Palestin, sebaliknya termasuk milik rakan strategik Aman Palestin dan akaun-akaun ahli Lembaga Pengarah serta kakitangan.

Beliau menegaskan, SPRM perlu menjawab semua persoalan, termasuk mengapa akaun kutipan dana untuk bantuan kemanusiaan dibekukan.

“Mengapakah tindakan itu diambil hanya sehari selepas Aman Palestin mengumumkan penyaluran wang untuk Kempen Bantuan Musim Sejuk dan ketika gencatan senjata diisytiharkan?

“Bagaimana wang derma, sumbangan rakyat dan individu-individu dikategorikan sebagai hasil aktiviti haram?” katanya.

Muhammad Rafique berkata, rakyat Palestin sedang menanti bantuan kemanusiaan, termasuk daripada masyarakat Malaysia menerusi Aman Palestin.

Sepanjang tempoh 18 tahun bergiat dalam bidang kemanusiaan, beliau berkata, Aman Palestin berjaya mengharumkan Malaysia di mata dunia, malah mendapat pengiktirafan dan penghargaan daripada rakyat Palestin.

Dalam pada itu, Aman Palestin turut menafikan jongkong emas yang dirampas SPRM, mempunyai kaitan dengan penyelewengan.

Sebaliknya, Muhammad Rafique mendakwa, jongkong emas terbabit adalah suatu bentuk pelaburan dan ia dibenarkan berdasarkan kuasa diberikan ahli Lembaga Pengarah Aman Palestin.

Beliau berkata, terdapat sejumlah kuasa diberikan kepada ahli Lembaga Pengarah Aman Palestin, dan kuasa untuk melabur ada dalam pelbagai mekanisme.

“Ia tidak salah. Lagipun, emas itu bernilai dan berharga serta mudah ditukarkan kepada tunai sebelum dihantar kepada mereka yang memerlukan bantuan,” katanya sambil menambah dakwaan berkait penyelewengan itu disifatkan sebagai tidak betul, tidak berintegriti dan berniat jahat.

Aman Palestin turut mendakwa sentiasa melakukan pengauditan dengan dokumennya boleh dilihat dalam laman sesawang Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM). -Edisi 9

Konsert Stars On Fire Hrithik Roshan tangguh

0

KONSERT Stars On Fire Kuala Lumpur Live In Concert yang bakal berlangsung di Stadium Nasional, Bukit Jalil, 1 Disember ini terpaksa ditangguhkan atas sebab yang tidak dapat dielakkan.

Penganjur konsert, Yess Boss Group dalam satu kenyataan memaklumkan pihaknya sedang mencari tarikh baharu yang sesuai untuk penganjuran konsert itu.

“Pemegang tiket yang dihormati, dukacita dimaklumkan bahawa acara amat dinantikan, Stars On Fire Kuala Lumpur Live In Concert yang sepatutnya berlangsung pada 1 Disember ini terpaksa ditangguhkan atas sebab yang tak dapat dielakkan.

“Kami sedang berusaha untuk mendapatkan tarikh baharu dengan artis.

“Kami memahami kesulitan yang timbul dan memohon maaf atas gangguan terhadap sebarang perancangan yang sudah disusun awal,” katanya.

Penganjur juga memberi jaminan akan memulangkan semula bayaran tiket susulan penangguhan itu.

“Memandangkan acara itu ditangguhkan, kami sudah memperkemaskan proses bayaran balik dengan kerjasama ejen tiket.

“Sekiranya anda mempunyai sebarang soalan atau kemusykilan mengenai proses bayaran balik, sila hubungi pasukan sokongan pelanggan ejen tiket.

“Kami amat menghargai sokongan anda yang tidak berbelah bahagi,” katanya.

Stars On Fire Kuala Lumpur Live In Concert menampilkan barisan bintang Bollywood yang diketuai pelakon terkenal, Hrithik Roshan.

Pelakon yang terkenal dengan filem Kabhi Khushi Kabhie Gham itu akan menampilkan persembahan dengan diiringi barisan penari serta koreografi tarian dan pengarah, Prabhu Deva.

Persembahan pentas yang penuh warna itu turut diserikan bersama kehadiran pelakon Aastha Gills, Vaani Kapoor, Maliaka Arora dan Sanya Malhotra. -Edisi 9

Aktiviti guna tanah punca banjir puing di Bukit Tinggi

0

AKTIVITI guna tanah di bahagian hulu saliran berkemungkinan menjadi punca kepada banjir puing di Bukit Tinggi, Bentong pada Sabtu lalu.

Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) memaklumkan aktiviti guna tanah itu menjadi penyumbang kepada kadar hakisan tanah yang tinggi melalui aktiviti pembukaan tanah untuk pertanian dan penggunaan sistem saliran tanaman yang tidak sesuai berdasarkan kepada bentuk serta kecerunan.

NRECC berkata, semakan dan tinjauan awal Pejabat Hutan Daerah Bentong menggunakan dron mendapati terdapat satu runtuhan tanah dalam Hutan Simpan Bukit Tinggi di tepi anak Sungai Tanglir, iaitu kawasan sekitarnya pernah diteroka secara haram untuk aktiviti pertanian seluas 2.02 hektar tetapi tindakan penguatkuasaan telah diambil pada Mac lalu.

“Penanaman semula pokok telah dilakukan di kawasan itu dan pada masa ini, semakan semula sedang dibuat untuk mengesan sekiranya terdapat kawasan baharu yang diteroka berhampiran kawasan kejadian,” kata NRECC dalam satu kenyataan.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 malam pada Sabtu, hujan lebat selama tiga jam dengan keamatan sederhana antara 23.5 milimeter (mm) hingga 53mm mengakibatkan banjir puing dengan beberapa rumah, premis perniagaan dan jalan raya dinaiki air pada purata kedalaman kawasan 0.3 meter (m) hingga 0.6m.

NRECC berkata, hujan lebat juga menyebabkan hakisan dan ketidakstabilan di bahagian hulu saliran seterusnya menyumbang kepada kejadian kepala air yang membawa batu dan enapan hingga menyebabkan lintasan jalan yang dibina tersumbat dan aliran Sungai Tanglir melimpah ke jalan.

Sebagai langkah mitigasi segera, NRECC menerusi Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sedang melaksanakan kerja penyelenggaraan sungai dan pembersihan sisa batuan serta enapan di kawasan bencana dan dijangka mengambil masa sebulan kerana membabitkan pengalihan batuan besar dan semua enapan dalam aliran sungai.

Pihak Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) akan mengenal pasti serta menandakan zon bahaya serta zon kawalan di tapak kejadian bagi membantu agensi responder (agensi tindak balas) serta agensi pelaksana dalam menjalankan mitigasi cerun, mengenal pasti elemen berisiko serta ancaman berlakunya runtuhan susulan.

Pihak JMG juga akan menjalankan pemetaan tapak bagi menandakan cerun yang telah runtuh dan berpotensi runtuh berdasarkan tanda ketidakstabilan serta mengenal pasti faktor yang mungkin menyumbang kepada kejadian aliran puing terbabit.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad yang turun padang meninjau kawasan insiden pada pagi Ahad berkata, langkah mitigasi jangka panjang turut dicadangkan termasuk pelaksanaan kajian Pelan Induk Saliran Mesra Alam (PISMA) daerah Bentong yang meliputi kawasan bencana berkenaan. -Edisi 9