25.6 C
Kuala Lumpur
Thursday, March 28, 2024

PKR tak yakin Anwar boleh jadi PM?

Mesti Baca

Zulkiflee Bakar
Zulkiflee Bakar
Penulis Khas Edisi 9

PKR yang ditubuhkan pada tahun 1999 disebabkan pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada Kabinet dan UMNO dilihat tidak mempunyai keyakinan untuk mencalonkan Presiden PKR itu sebagai Perdana Menteri (PM)?

Berikutan itulah walaupun Tun Dr. Mahathir Mohamad meletakkan jawatan sebagai PM sehingga tumbangnya Kerajaan Pakatan Harapan (PH) namun PKR dilihat terus tidak bergantung kepada ahli politik berusia 95 tahun tersebut.

Justeru penulis tidak terkejut apabila Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil menafikan parti itu menarik balik sokongannya terhadap Mahathir untuk menjadi Perdana Menteri.

Beliau menyifatkan laporan akhbar Sin Chew bahawa Jawatankuasa Kepemimpinan Pusat PKR telah memutuskan menarik balik sokongan parti itu kepada Mahathir dalam pertemuan pada 17 Mei adalah palsu.

Dalam laporannya akhbar berkenaan, memetik satu sumber yang memberitahu, Anwar pada pertemuan tersebut bercakap mengenai hubungan dengan Mahathir dan antaranya menyatakan PKR masih akan terus mempertahankan hubungan kerja dengan bekas Perdana Menteri itu tetapi tidak lagi mendukung Ahli Parlimen Langkawi tersebut sebagai Perdana Menteri.

Mungkin Fahmi boleh menafikannya, namun sebagai seorang yang pernah bertugas dalam media arus Perdana, penulis percaya Sin Chew tidak akan sewenang-wenangnya membuat laporan berkenaan tanpa asas.

Sumber: FB Fahmi Fadzil

Bagaimanapun kenyataan Fahmi akan menyebabkan pelbagai spekulasi atau tafsiran dibuat. Apakah penafian itu membuktikan PKR masih bergantung kepada Mahathir untuk kembali berkuasa? Dan Adakah PKR sendiri tidak mempunyai keyakinan bahawa Anwar boleh menerajui PH memerintah negara dan sekaligus menjadi PM

Kalau begitu apa gunanya perjuangan PKR selama ini?

Lupakah PKR bahawa Mahathir yang bertanggungjawab memecat Anwar daripada Kabinet dan UMNO pada 1998 sehingga tercetusnya demonstrasi jalanan sebelum lahirnya PKR? Dan tak ingatkah apabila PH menang PRU-14, Mahathir dijulang sebagai wira dan dilantik sebagai PM dengan perjanjian jawatan itu diserahkan kepada Anwar selepas dua tahun.

Tetapi lagi dua bulan nak genap 24 bulan, Mahathir meletakkan jawatan sehingga menyebabkan Kerajaan PH yang baru memerintah selama 22 bulan tumbang. Walaupun sudah bertindak demikian, PKR nampaknya terlalu lemah dan tetap mahu mendukung Mahathir.

Adakah ini bermaksud jika PN berjaya ditumbangkan tak kiralah melalui undi tidak percaya atau pilihan raya, Anwar akan jadi ‘Bakal Perdana Menteri’ sekali lagi manakala Mahathir akan menjadi PM buat kali ketiga? Kasihan PKR walaupun mempunyai kedudukan parti ketiga terkuat di Dewan Rakyat selepas DAP dan UMNO, namun parti berkenaan masih berharap kepada Mahathir yang mempunyai lima sahaja kerusi termasuk beliau.

Kenyataan Fahmi itu membolehkan rakyat berpendapat, sia-sia sungguh perjuangan PKR sejak 1998 – sebuah parti yang ditubuhkan untuk menumbangkan Mahathir tetapi akhirnya dilihat terpaksa bergantung kepada ahli politik berusia 95 tahun bagi survival politik mereka.

Patutlah dari semasa ke semasa semakin ramai wakil rakyat, pemimpin dan ahli PKR meninggalkan parti itu dengan alasan, ” tidak lagi ada keyakinan dan kepercayaan kepada idealisme perjuangan serta hala tuju parti pada hari ini.”

Macam mana mahu ada hala tuju, kalau asyik bergantung kepada Mahathir sahaja untuk menjadi PM dan meraih sokongan rakyat kepada PH? Tidak yakinkah pemimpin dan ahli PKR kepada kehebatan Anwar yang sudah bersabar begitu lama untuk menjadi PM?

Tak kanlah mahu bergantung lagi kepada Mahathir yang semua orang tahu bukan sahaja semakin kehilangan cengkaman dalam kalangan ahli Parlimen malah dalam parti sendiri pun pengaruh beliau semakin luntur sehingga orang pun ‘dah tak tau apa jawatan dia.’

Oleh itu kalau PKR mahu terus setia dengan Mahathir, silakan sahaja…tetapi bagaimana dengan pemimpin dan ahli di peringkat umbi? Apa pendirian mereka? Kalau sekadar terus mendokong Mahathir sebagai PM, lebih baik jemput sahaja Mahathir menyertai PKR.

Tiada gunanya Anwar menjadi Presiden PKR dan Penasihat PH tetapi Mahathir yang tidak ada apa-apa jawatan dan semakin luntur kekuatan akan dilantik menjadi PM. Buat penat sahaja berjuang. – EDISI9

Tulisan ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Edisi 9.

Terkini

China minta lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan – Zahid

CHINA meminta agar lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan antara kedua negara, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid...

Lagi Artikel Berkaitan