SUDAH berbuih mulut rakyat merungut mengenai isu pemandu mabuk tetapi masih juga berlaku.
Bukan sekali dua, sudah banyak kali sehingga meragut nyawa pengguna jalan raya yang lain.
Yang terbaharu, melibatkan seorang anggota polis, Allahyarham Koperal Safwan Muhammad Ismail.
Dalam keadaan negara berdepan COVID-19, ada lagi manusia bengong yang memandu dalam keadaan mabuk.
Memang itu urusan peribadi dia tetapi kalau sudah sampai menyebabkan orang lain terbunuh memang tak boleh dibiarkan begitu sahaja.
Apakah pemandu-pemandu mabuk ini tak takut dengan undang-undang?
Atau peruntukan undang-undang sedia ada tidak menakutkan mereka?
Mungkin setakat denda maksimum RM10,000 dan penjara paling lama 12 bulan tak menjadi masalah bagi mereka.
Walaupun orang yang dilanggar meninggal dunia dan menyebabkan keluarga yang ditinggalkan berduka lara.
Cuba bayangkan betapa berat beban yang ditanggung jika yang meninggal dunia itu ketua keluarga yang menjadi tempat isteri dan anak-anak bergantung.
Memang pernah kedengaran kerajaan berura-ura untuk mengenakan hukuman yang lebih berat terhadap pemandu mabuk.
Itu sahajalah jawapan standard setiap kali insiden kemalangan maut yang berpunca daripada pemandu mabuk berlaku.
Ura-ura meminda undang-undang jalan raya sedia ada prosesnya pula lambat seperti kura-kura.
Selain meningkatkan jumlah denda dan tempoh penjara, kerajaan juga mesti memikirkan tentang kebajikan keluarga mangsa.
Mereka memerlukan sumber kewangan untuk meneruskan kehidupan, lebih-lebih lagi bagi keluarga yang mempunyai anak-anak kecil.
Perkenalkan peruntukan yang mewajibkan pesalah membayar pampasan dalam jumlah yang besar kepada keluarga mangsa yang terkorban atau cedera parah sehingga tidak mampu lagi bekerja.
Elok juga sekiranya lesen memandu si pemabuk ditarik balik atau digantung untuk tempoh yang panjang.
Manusia berperangai macam tenuk tidak boleh dibiarkan bebas memandu di jalan raya.
Kalau susah sangat, haramkan sahaja jualan arak di Malaysia. Bila tiada arak, tiada lagi orang memandu dalam keadaan mabuk.
Habis cerita.