32.3 C
Kuala Lumpur
Friday, May 17, 2024
Home Blog Page 1694

Haramkan jual arak, tiada lagi pemandu mabuk

SUDAH berbuih mulut rakyat merungut mengenai isu pemandu mabuk tetapi masih juga berlaku.

Bukan sekali dua, sudah banyak kali sehingga meragut nyawa pengguna jalan raya yang lain.

Yang terbaharu, melibatkan seorang anggota polis, Allahyarham Koperal Safwan Muhammad Ismail.

Dalam keadaan negara berdepan COVID-19, ada lagi manusia bengong yang memandu dalam keadaan mabuk.

Memang itu urusan peribadi dia tetapi kalau sudah sampai menyebabkan orang lain terbunuh memang tak boleh dibiarkan begitu sahaja.

Apakah pemandu-pemandu mabuk ini tak takut dengan undang-undang?

Atau peruntukan undang-undang sedia ada tidak menakutkan mereka?

Mungkin setakat denda maksimum RM10,000 dan penjara paling lama 12 bulan tak menjadi masalah bagi mereka.

Walaupun orang yang dilanggar meninggal dunia dan menyebabkan keluarga yang ditinggalkan berduka lara.

Cuba bayangkan betapa berat beban yang ditanggung jika yang meninggal dunia itu ketua keluarga yang menjadi tempat isteri dan anak-anak bergantung.

Memang pernah kedengaran kerajaan berura-ura untuk mengenakan hukuman yang lebih berat terhadap pemandu mabuk.

Itu sahajalah jawapan standard setiap kali insiden kemalangan maut yang berpunca daripada pemandu mabuk berlaku.

Ura-ura meminda undang-undang jalan raya sedia ada prosesnya pula lambat seperti kura-kura.

Selain meningkatkan jumlah denda dan tempoh penjara, kerajaan juga mesti memikirkan tentang kebajikan keluarga mangsa.

Mereka memerlukan sumber kewangan untuk meneruskan kehidupan, lebih-lebih lagi bagi keluarga yang mempunyai anak-anak kecil.

Perkenalkan peruntukan yang mewajibkan pesalah membayar pampasan dalam jumlah yang besar kepada keluarga mangsa yang terkorban atau cedera parah sehingga tidak mampu lagi bekerja.

Elok juga sekiranya lesen memandu si pemabuk ditarik balik atau digantung untuk tempoh yang panjang.

Manusia berperangai macam tenuk tidak boleh dibiarkan bebas memandu di jalan raya.

Kalau susah sangat, haramkan sahaja jualan arak di Malaysia. Bila tiada arak, tiada lagi orang memandu dalam keadaan mabuk.

Habis cerita.

Temu Duga Tanpa Mandi

[SIRI CERITERA SANG PENCERITA – BAHAGIAN 2]

TERINGAT aku pergi temu duga di Utusan lepas habis belajar di negara orang. Sambil tunggu panggilan, aku kerja sambilan di negeri kelahiran.

Habis kerja pukul lapan dengan sehelai sepinggan aku naik bas malam. Sampai di Pudu Raya dah pukul 5 pagi, aku hanya cuci muka dan gosok gigi dengan baju pun tak berganti.

Pukul 8 aku dah terpacak di tepi jalan, fikirkan ke mana haluan sebab aku bukan tahu sangat jalan-jalan di tengah kota raya metropolitan.

Akhirnya aku ke satu hentian menunggu teksi yang mencari penumpang. “Bang, boleh bawa saya ke Utusan,” bila datang satu teksi merah putih entah apa yang ditulis di pintu kenderaan tak sempat aku bacakan.

Pemandunya Cina tua yang tak begitu mesra, cuma angguk tanda iya. Aku masuk teksi sambil dalam hati bimbang bukan kepalang bila mula fikir yang bukan-bukan. Dibawanya aku ke lorong belakang, bukannya aku faham.

Sampai di depan satu bangunan usang aku fikir dalam-dalam. Apakah betul ini pejabat Utusan atau gudang tempat simpan barang. Pemandu teksi arah aku turun sekarang sambil aku hulur duit tambang.

Kepada seorang pengawal keselamatan aku tanya, “bang, betul ke ini pejabat Utusan,” lalu dia angguk sambil suruh aku masuk dalam.

Sampai dalam pejabat terkebil-kebil aku cari tempat buang hajat. Bukan nak lepaskan hajat tapi tali leher belum diikat.

Aku diminta tunggu di tingkat satu kerana semua calon sudah menunggu. Sambil menunggu pegawai interview, kami diminta menjamah sarapan terlebih dahulu.

Ada seorang lelaki berisi duduk di kerusi sambil memegang surat khabar di sisi. Tekun membaca tak toleh kanan dan kiri. Dalam hati agaknya dialah penemu duga kami, rupanya sama-sama minta kerja di sini. (Al-fatihah untuk Allahyarham Nordin Jonid)

Masuk bilik temu duga dah menunggu tiga jejaka. Duanya lebih berusia, satu lagi masih bertenaga. Aku ditanya macam-macam perkara sampai hal politik pun depa duga.

“Menurut saudara apakah Pas boleh memerintah negara.” Panik juga aku dibuatnya apabila tanya soalan sebegitu rupa. Aku jawablah sedaya upaya walaupun tidaklah sebernas mana.

Pusingan kedua kami mengadap si penemu duga, buat sidang media konon-konon polis lepas razia. Kami diminta tanya soalan, macam seorang wartawan sedang bertugas di lapangan.

Aku hentam sahaja pertanyaan sebab aku bukannya ada pengalaman. Lainlah rakan-rakan pernah bekerja sama bidang, atau paling tidak memang di universiti itulah jurusan.

Habis temu duga aku tahan bas mini. Tengok dalam poket duit pun tak ada lagi. Macam mana aku nak harungi sepanjang hari ini kalau duit pun tak berbaki. Niat nak ronda KL aku tak patuhi, akhirnya ke Pudu Raya aku kembali.

Nak beli tiket balik Terengganu duit aku tak mencukupi akhirnya tiket ke Melaka yang aku beli dan adalah baki 30 sen lagi. Untuk aku telefon mentua kalau dah sampai nanti supaya dia jemput aku pulang ke rumah isteri.

HENTIAN Pudu Raya (lama) menjadi ‘rumah persinggahan’ sementara penulis sebelum ke tempat temu duga. – Foto: Skycrapercity.com

Dua jam aku menanti, perut aku tak henti berbunyi. Maklum aku cuma sarapan pagi masa temu duga tadi, sampai sekarang tak jamah nasi lagi.

Pukul 5 petang baru nampak mentua aku datang maklum dari Tangkak jauhnya bukan sembarang. Nampak wajah mereka hati jadi girang, maklum badan dah letih perut lapar bukan kepalang.

Malu aku simpan dalam-dalam sebab mereka faham aku masih belum berwang. Kami kahwin masa belajar, belum sempat habis cita-cita kami kejar.

Belanja kahwin ditaja saudara-mara, habis nak buat macam mana kalau jodoh dah tiba. Duduk negara orang kalau tak ada ikatan banyak godaan syaitan. Kalau tak kuat iman boleh hanyut di tengah lautan.

Selang beberapa bulan aku terima surat panggilan diminta lapor diri di Utusan sekian-sekian hari bulan. Gembira hati tidak terbilang, akhirnya impian aku dimakbulkan Tuhan. – Edisi 9

Hukuman berat untuk pemandu mabuk – CUEPACS

Hukuman yang berat dan setimpal mesti dijatuhkan terhadap pemandu yang memandu secara mabuk sehingga meragut nyawa orang lain.

Lebih-lebih lagi jika mangsa yang terbunuh adalah anggota pasukan keselamatan yang bertugas di sekatan jalan raya semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Adnan Mat berkata demikian ketika meluahkan kekesalan dengan tragedi yang menimpa seorang anggota polis, Koperal Safwan Muhammad Ismail.

Allahyarham meninggal dunia selepas dirempuh Toyota Hilux yang dipercayai dipandu oleh pemandu mabuk berhampiran Plaza Tol Kajang Selatan, Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS) pada awal pagi 3 Mei lalu.

“CUEPACS menganggap kejadian tersebut merupakan satu mimpi buruk kepada seluruh pasukan keselamatan dan penjawat awam yang bertugas menjaga keamanan negara di saat krisis pandemik Covid-19 yang melanda ketika ini.

“CUEPACS menggesa siasatan terperinci dan pendakwaan kes tersebut dilakukan dengan segera sekiranya didapati berlaku kesalahan,” katanya dalam satu kenyataan.

ADNAN MAT

Pada masa yang sama, Adnan berharap pengurusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) melihat secara lebih mendalam tentang isu kebajikan anggota-anggota yang bertugas di barisan hadapan semasa penguatkuasaan PKP.

Pelbagai aduan diterima CUEPACS terutamanya yang kerenah birokrasi melibatkan tuntutan elaun COVID-19 berjumlah RM200.

Adnan menyatakan jumlah RM200 itu tidak setimpal jika dibandingkan dengan risiko yang dihadapi, malah jika dikira secara purata, anggota-anggota polis menerima sekitar RM6 sahaja sehari.

“Ada yang bertugas hampir 30 hari tanpa henti tetapi diminta mengisi pelbagai borang, kemukakan akaun bank serta meminta kelulusan daripada ketua jabatan untuk menerima elaun tersebut sedangkan semua maklumat tersebut sudah sedia ada,” katanya.

Betul juga kata Presiden CUEPACS itu, sepatutnya dipermudahkan urusan petugas-petugas barisan hadapan yang gigih bertugas memastikan orang ramai mematuhi PKP. – EDISI9

Azhar Ali dakwa jadi mangsa ‘scammer’

KEGEMBIRAAN rakyat Malaysia atas kejayaan seorang belia, Muhammad Azhar Ali yang dianugerahkan oleh biasiswa Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Negara (NASA) Amerika Syarikat (AS) tidak bertahan lama.

Ucapan tahniah yang diterima pemuda berusia 20 tahun itu bertukar menjadi kecaman setelah dia menjelaskan bahawa e-mel yang diterimanya tentang tawaran biasiswa tersebut adalah palsu.

Antara yang mengucapkan tahniah kepadanya ialah Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin dan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Wan Ahmad Fayhsal bin Wan Ahmad Kamal.

Muhammad Azhar memberi penjelasan sedemikian setelah ada pihak yang mempertikaikan kesahihan maklumat yang dikongsikannya dalam Twitter pada 30 April lalu.

Mereka mengesyaki ada sesuatu yang tidak kena selepas carian nama Muhammad Azhar dalam laman sesawang NASA tidak menemukan sebarang maklumat.

Seperti yang dijelaskan oleh pemuda yang mendakwa dirinya menjadi mangsa penipuan itu, dia memang menyertai cabaran anjuran NASA pada 20 Mac lalu.

Selepas dua minggu, Muhammad Azhar menerima e-mel yang menyatakan keputusan yang diterima melayakkannya menduduki tempat satu peratus tertinggi dalam kalangan lebih tiga juta peserta.

Kemudian dia berkongsi kegembiraan menerima tawaran tersebut dengan rakan-rakannya melalui Twitter.

“Dua perkara berlaku selepas itu, ramai yang mengucapkan tahniah kepada saya dan beberapa orang lagi menyemak kesahihan tawaran berkenaan.

“Terima kasih, anda semua adalah wira-wira saya. E-mel utama hanya mempunyai lampiran dan pautan ke portal untuk menghantar gambar saya,” jelasnya.

Muhammad Azhar juga mendapati e-mel yang kononnya diterima daripada Universiti Kebangsaan Singapura (NUS) adalah meragukan.

Dia juga mendakwa telah menghubungi NASA melalui laman sesawang agensi berkenaan.

Apa pula kata YB KJ setelah mengetahui perkembangan terkini tentang perkara ini?

“Ya, ini memang satu pengajaran untuk kita semua (termasuk saya) untuk menyemak fakta sebelum berkongsi dalam talian.

“Penghargaan yang anda terima daripada banyak pihak datang dari mereka yang mahu melihat kejayaan seorang anak muda dari Malaysia.

“Jangan berputus asa. Biarkan apa sahaja orang lain cakap, teruskan menggapai bintang.”

Namun, sebahagian besar netizen pula tidak berjiwa besar seperti YB KJ.

Berbakul-bakul juga Muhammad Azhar dikecam kerana berkongsi maklumat yang tidak sahih tentang tawaran biasiswa NASA itu.

Kalau nak kongsi kegembiraan dengan kawan-kawan pun, guna WhatsApp pun dah cukup rasanya. – EDISI9

Bagai ‘pak nujum’ dalam politik

ANDAI tajuk buku ini yang ditumpukan memang terasa mualnya. Tetapi apabila sudah membaca seluruh kandungan buku ini, maka fahamlah kenapa pengarang memilih tajuk sedemikian rupa.

Buku yang mengupas politik tanah air dalam tempoh sedekad dari tahun 2008 sehingga 2018 ini umpama buku ramalan bagi kalangan khalayak politik di mana tumbangnya parti pemerintah yang berkuasa lebih separuh abad, sudah diramalkan oleh penulis.

Buku ini dibahagikan kepada lima bahagian di mana bahagian pertama dan ketiga, tumpuan diberikan kepada ulasan dan pandangan penulis terhadap negarawan, Tun Dr Mahathir Mohamad. Ketaksuban penulis terhadap pemimpin itu akhirnya berubah arah lantaran perubahan sikap tokoh tersebut dalam berpolitik.

Manakala bahagian kedua dan keempat pula mengenai sikap pemimpin UMNO dan cara orang Melayu berpolitik yang lemah dan boleh menyebabkan parti itu menjadi lemah, sebelum tumbang selepas ditolak oleh rakyat menerusi peti undi.

Manakala bahagaian kelima pula mengupas mengenai hubungan dua parti politik Melayu dan Islam terbesar, yang gagal tidak pernah sunyi daripada pergeseran walaupun pelbagai usaha dibuat untuk menyatukan hati-hati ini.

Buku ini sesuai bagi mereka yang meminati politik dan mahu mengetahui tentang sikap dan sifat tokoh-tokoh politik tanah air mengikut perspektif penulis blog Mesin Taip Buruk. – Edisi9

Tajuk buku: KAHAK – Kompilasi Tulisan Blog Mesin Taip Buruk 2008-2018
Pengarang: Mesin Taip Buruk
Penerbit: Serata Cakra Resources, Ampang
Tahun Terbit: 2019

Jumlah Halaman: 120

Untuk pembelian buku ini, WhatsApp ke 012-6066492

DAP kembali memerintah kerana UMNO tidak berubah

BARU berusia lebih dua bulan tetapi kerajaan Perikatan Nasional (PN) sudah mula nampak goyah dalam ‘ikatan’ mereka dan menunggu masa untuk terlerai dan jika ini berlaku, maka bersedialah orang Melayu bahawa kita sekali lagi akan diperintah oleh DAP.

Demikian amaran yang dibuat oleh Presiden Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Datuk Azwanddin Hamzah dalam satu kenyataan, semalam.

Beliau berkata, hal ini berlaku kerana kepercayaan yang sudah diberikan majoriti rakyat kepada PN untuk menyelamatkan negara daripada dirosakkan Pakatan Harapan (PH) diketuai DAP kini sudah mula dikhianati.

“Ini kerana ada pemimpin UMNO yang tidak bertanggungjawab cuba mengkhianati perikatan ini hanya kerana tidak mendapat kuasa atau diberikan jawatan.

“Lebih menjijikkan lagi, pengkhianatan ini berlaku dalam kalangan UMNO sendiri antara puak tidak berjawatan dan mereka yang berjawatan,” katanya.

Azwanddin berkata, jika perkara itu dibiarkan berlarutan, akhirnya akan merugikan PN sendiri yang sudah mendapat momentum baik dan mula diterima kebanyakan rakyat.

Katanya, rakyat sanggup menerima PN kerana sebelum ini UMNO sering bercakap untuk menyatukan orang Melayu dan menolak DAP.

Malah dengan langkah yang mapan menangani Covid-19 juga berjaya mencuit hati rakyat Malaysia untuk terus menerima PN yang digelar kerajaan pintu belakang.

“Tetapi akhirnya apa yang sudah jadi? Kalangan UMNO ini sendiri yang berperangai lebih khianat daripada DAP kerana tamakkan kuasa dan kedudukan. Apakah UMNO sudah lupa bagaimana mereka dimalukan dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14)?

“Apakah UMNO lupa bahawa mereka berada dalam PN bukannya menerusi PRU, tetapi atas ihsan majoriti rakyat yang sudah serik dengan pentabdiran DAP selama 22 bulan,” tegas beliau.

Namun, katanya, suara-suara sumbang semakin rancak mengatur gerakan sama ada secara terang-terangan atau di belakang tadbir untuk mendapatkan kuasa, sekali gus mengkhianati kerjasama politik Islam-Melayu dalam PN.

Jelas Azwanddin, beliau tidak perlu menyebut nama pemimpin-pemimpin berkenaan kerana rakyat sendiri dapat menilai situasi politik semasa negara walaupun kita sibuk berjuang menentang Covid-19.

“Mungkin mereka fikir rakyat alpa dengan Covid-19 dan tidak sedar tentang percaturan jijik mereka untuk mengkhianati bangsa sendiri.

AZWANDDIN HAMZAH

“Oleh itu, saya mahu mengingatkan pemimpin PN terutamanya UMNO supaya berpegang kepada amanah dan tanggungjawab yang sudah diberikan rakyat. Renung kembali saat bagaimana UMNO dihukum oleh rakyat pada PRU-14.

“Kembalilah kepada perjuangan asal iaitu mahu menyatukan dan memperkasakan orang Melayu Islam, dan usah berlaku khianat lagi hanya kerana kuasa. Ingatlah, jika sekali lagi rakyat menolak anda, maka tiada lagi peluang yang akan diberikan,” katanya.

Tambah beliau, DAP akhirnya tersenyum kerana mereka tidak perlu membazir tenaga dan masa untuk memecahbelahkan orang Melayu kerana sifat khianat itu sudah ada dalam kalangan orang Melayu.

Justeru, dalam bulan Ramadan yang mulia ini, beliau berharap pihak-pihak berkenaan bermuhasabah dan menahan diri daripada dahagakan kuasa yang hanya bersifat sementara. – Edisi9

Catatan Pemula

DALAM ruangan ini penulis akan catatkan pengalaman sepanjang 24 tahun bergelar wartawan Utusan Malaysia. Mungkin catatan ini bersifat peribadi tetapi diharap ia dapat dijadikan pedoman kepada semua, atau paling tidak sebagai bacaan ringan semata-mata. Ikuti coretan bersiri ini:

[SIRI CERITERA SANG PENCERITA – BAHAGIAN 1]

AKU bukanlah wartawan yang hebat cuma berbekal dengan sedikit bakat. Pelbagai cerita aku garap untuk dimuat dalam akhbar Pencetus Fikiran Rakyat.

24 tahun bukan sekejap. Kalau anak dara dah boleh diayat untuk dijadikan peneman hidup sepanjang hayat. Maka banyak pengalaman sudah tersurat untuk dikenang anak cucu kelak.

Dari longkang tersembut sampai kisah-kisah cukup menyayat, aku hadap setiap saat untuk ditulis sebagai maklumat. Dari memburu bigfoot sampai kisah pencegah maksiat, semuanya aku catat kerana pengalaman itu bukan semua orang dapat.

Tugasan di luar negara dah macam tak hairan, hampir setiap bulan naik kapal terbang. Untung jadi wartawan, ke sana ke mari semua dibayarkan, mencari bahan untuk disiarkan dalam koran.

Jadi wartawan bukan semuanya seronok, kadang kala dimaki hamun atau kena kutuk hanya kerana menulis perkara yang benar, bukan sorok-sorok.

Aku pernah dilabelkan anjing kerajaan hanya kerana menjadi wartawan Utusan dan mempertahankan pemimpin pemerintahan padahal itu semua suruhan atasan sedangkan aku sekadar mencari makan.

Pernah juga aku disaman hanya kerana sedikit kesilapan, kecohlah pegawai undang-undang menyelesaikan salah-faham, akhirnya tuntutan saman tidak diteruskan. Lega hati bukan kepalang, bimbang aku dituduh sebar penipuan.

Tapi itu semua tak masuk ingatan kerana banyak lagi cabaran di hadapan. Bak kata Zam, “api di depan duri di belakang”, itulah semangat yang kami tanamkan dalam Utusan sejak zaman berzaman.

Ketua Pengarang juga pernah berpesan, kami ini ibarat pejuang, luka sana sini sudah tidak hairan kalau tak berparut tak usah nak sembang.

Lebih 20 tahun mengabdi kepada Utusan, akhirnya aku diminta ucapkan selamat jalan kerana syarikat sudah tidak mampu menanggung hutang, pada masa sama kekurangan pendapatan.

Ada yang anggap malang Utusan kerana kerajaan terdahulu tumbang, tapi bagi aku itu bukan satu-satunya alasan banyak lagi kekurangan yang terlepas pandang.

Penulis bersama beberapa rakan setugas semasa hari penutupan syarikat Utusan Melayu, Oktober tahun lalu.

Media sosial punya pukulan antara sebab Utusan tak mampu bertahan. Pembaca lebih percaya cerita songsang di telapak tangan daripada laporan akhbar yang sampaikan kebenaran.

Tidak mengapalah itu semua sudah menjadi sejarah, tidak perlulah saling menyalah atau tuduh menuduh sampai tak sudah.

80 tahun Utusan Melayu mampu bertahan, bukan calang-calang orang boleh lawan. Walaupun ditalkinkan dengan cara kurang senang, tapi aku anggap itu kehendak Tuhan. Pasti ada hikmah di sebalik kejadian.

Kini semua menunggu janji katanya Utusan Malaysia akan diterbitkan kembali, di bawah syarikat pemilik TV entah tidak entah jadi tidaklah diketahui kerana aku sendiri tidak terlibat lagi.

(Bersambung…)

Anggota polis maut dirempuh pemandu mabuk

LAGI kes kemalangan maut akibat pemandu mabuk.

Kali ini membabitkan seorang anggota polis yang sedang bertugas membuat sekatan jalan raya sempena Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Kajang, awal pagi ini.

Koperal Safwan Muhammad Ismail maut dirempuh dan dihempap sebuah pacuan empat roda ketika sedang bertugas dalam sekatan jalan raya Ops Covid-19 kira-kira pukul 3 pagi ini.

Dalam kejadian pukul 3 pagi, mangsa yang juga anggota polis Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang dirempuh berhampiran Plaza Tol Kajang Selatan, Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS).

SAFWAN MUHAMMAD ISMAIL

Kemalangan menyebabkan mangsa berusia 31 tahun dan berasal dari Ipoh, Perak maut serta merta di lokasi kejadian.

Difahamkan mangsa dirempuh pacuan empat roda model Toyota Hilux dipandu seorang lelaki tempatan berusia 44 tahun dipercayai dalam keadaan mabuk.

Mangsa dihempap oleh kenderaan itu dan mendapat kecederaan parah di bahagian kepala dan badan. Jenazah akan dibaw pulang ke Ulu Kinta, Perak untuk dikebumikan.

Susulan itu mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Serdang untuk bedah siasat.

Suspek turut mengalami kecederaan dan kini dirawat di hospital sama. – Edisi9

Jom masuk cabaran #MyDuitStory anjuran Bank Negara

Menguruskan kewangan peribadi, keluarga atau syarikat memang satu perkara yang memeningkan kepala.

Lebih-lebih lagi semasa penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang mengakibatkan pendapatan kita terjejas.

Bagi individu-individu yang pandai menguruskan kewangan, kesan PKP terhadap mereka atau syarikat mungkin tidak begitu ketara.

Justeru, Bank Negara Malaysia (BNM) menggalakkan rakyat yang mempunyai tip-tip menarik tentang pengurusan kewangan supaya berkongsi pengalaman mereka dalam media sosial melalui cabaran #MyDuitStory.

“Pengalaman anda boleh mencetus idea kepada orang ramai sambil kekal positif. Tunggu apa lagi? Jom kongsikan sekarang.

“Lihat apa yang dikongsikan oleh rakyat Malaysia menerusi #MyDuitStory,” jelas BNM melalui hantaran dalam Facebook.

#myduitstory
Facebook BNM

Cabaran #MyDuitStory kali ini merupakan siri yang kedua selepas dimulakan pada 14 April lalu.

Siri yang pertama bertemakan perkongsian kisah yang boleh memberi inspirasi kepada rakyat sepanjang tempoh PKP.

Memang bagus berkongsi perkara yang baik dengan orang ramai dan lebih bagus lagi kalau dapat berkongsi wang yang terlebih dengan kawan-kawan.

Kongsikan juga artikel ini supaya lebih ramai yang dapat baca dan tahu tentang cabaran #MyDuitStory. – EDISI9

Muhammad Azhar ungguli Cabaran Misi Artemis 2024 ke Marikh

DALAM keadaan seluruh dunia sedang bertungkus-lumus memerangi COVID-19, Muhammad Azhar Ali mengharumkan nama negara dengan kejayaannya memperolehi biasiswa Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Negara (NASA) Amerika Syarikat (AS).

Pemuda berusia 20 tahun itu kini layak bergelar Saintis Awam NASA dan akan terlibat dalam rekaan sut angkasa lepas untuk misi Artemis 2024 ke planet Marikh.

Muhammad Azhar bakal melanjutkan pengajian di Universiti Kebangsaan Singapura dan dibiayai sepenuhnya melalui Biasiswa Ijazah NASA.

Lebih membanggakan, beliau beroleh markah 96.77 peratus dalam Cabaran Artemis yang disertainya sekali gus meletakkannya dalam kalangan satu peratus peserta terbaik.

Keputusan yang diperoleh Muhammad Azhar. (Gambar: NASA)

Seramai 3,623,983 peserta bertanding dalam cabaran berkenaan dan hanya 1.52 peratus yang beroleh antara 90 hingga 100 markah dianugerahkan biasiswa tersebut.

Beginilah reaksi Muhammad Azhar dalam Twitter apabila menerima berita gembira daripada NASA:

“NASA menganugerahkan biasiswa kepada saya!? Ya Allah, saya tidak pernah menjangka perkara ini semasa saya menyertai Cabaran Artemis. Alhamdulillah. Cabaran itu adalah untuk mereka sut angkasa lepas yang sesuai dengan Misi Artemis 2024 ke Marikh, dan terima kasih kepada soalan @rafiqhilmi saya berjaya. Syukur.”

Pemuda pintar itu turut menerima ucapan tahniah daipada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin:

“Tahniah Saudara Azhar. Kejayaan yang amat membanggakan. Semoga terus maju jaya.”

Belia Malaysia yang teruja dan ingin mengikut jejak langkah Muhammad Azhar boleh menyertai Cabaran Artemis kelolaan NASA. – EDISI9

EPL masih tanda tanya, Liverpool terus menunggu

0

KEDUDUKAN Liga Premier Inggeris (EPL) musim ini sama ada disambung semula atau ditamatkan lebih awal seperti liga-liga lain di Eropah masih lagi menjadi tanda tanya.

Hal ini berikutan keputusan pihak pemegang saham EPL masih belum dapat membuat keputusan dan berharap ia dapat disambung semula dengan syarat keadaan sudah selamat dan liga layak diteruskan.

Dalam mesyuarat semalam, Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional (PFA), wakil-wakil EPL dan Persatuan Pengurus Liga (LMA) bersetuju untuk meneruskan liga musim ini dengan dua syarat tersebut.

“Keutamaan kami adalah memastika para pemain, jurulatih, pengurus, kakitangan kelab, penyokong dan orang awam sihat dan selamat,” kata kenyataan EPL dalam laman web rasminya, semalam.

Keputusan itu menyebabkan Liverpool dan para penyokongnya perlu menunggu lagi walaupun mereka berharap kelab mereka diumumkan sebagai juara liga musim ini dengan kadar segera.

Anak buah Jurgen Klopp itu kini mendahului liga dengan 82 mata hasil 27 kemenangan daripada 29 perlawanan, meninggalkan Manchester City ditangga kedua dengan 57, kurang satu perlawanan.

Dengan berbaki kira-kira 10 perlawanan untuk menamatkan musim, kedudukan Liverpool untuk merangkul juara liga dikatakan sukar digugat, walaupun EPL disambung semula selepas ini.

Liverpool hanya memerlukan dua kemenangan sahaja daripada sembilan baki perlawanan untuk membolehkan mereka merangkul juara liga dan ramai pemerhati EPL menilai perkara itu tidak mustahil dilakukan oleh Mohamad Salah dan rakan-rakan.

Selain berkunjung ke Emirates, Amex dan Goodison Park, Liverpool juga akan melayan kehadiran Crystal Palace, Chelsea, Burnley dan Aston Villa di Anfield dan baki dua perlawanan terakhir menentang saingan terdekatnya, City dan Newcastle di tempat lawan. – AGENSI

Sejak bila UNHCR keluarkan lesen memandu Malaysia?

2

SEMALAM, tular gambar lesen memandu yang didakwa dikeluarkan oleh Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) tular dalam Facebook.

Ramai netizen yang bertanya sama ada kad yang itu benar-benar dikeluarkan oleh UNHCR khusus untuk pelarian yang berada di negara ini.

Sekiranya lesen memandu itu sahih, timbul pula persoalan sama ada ia boleh digunakan di negara ini.

Semua persoalan terjawab dalam kenyataan media yang dikeluarkan oleh Ibu Pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) pada 1 Mei.

JPJ menegaskan bahawa lesen memandu UNHCR yang dimiliki pemegang kad suruhanjaya itu adalah tidak sah digunakan untuk memandu semua jenis kenderaan di Malaysia.

Ketetapan tersebut adalah selaras dengan Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Dengan maklum balas yang diberikan oleh JPJ itu, memang sah pelarian tidak boleh memandu kenderaan atau menunggang motosikal menggunakan lesen memandu UNHCR.

Itu pun kalau betul UNHCR mengeluarkan lesen memandu.

Kalau menunggang basikal memang tiada masalah, sesiapapun boleh buat sebab tak perlukan lesen memandu. – EDISI9