33.4 C
Kuala Lumpur
Thursday, March 28, 2024

Hidup tanpa maruah ibarat kayu hulu kapak

Mesti Baca

Hussaini Amran
Hussaini Amran
Hampir 15 tahun dalam bidang kewartawanan. Pernah menyertai Sinar Harian, Utusan Malaysia dan PN BBC Portal.

Membaca buku ini seolah-olah membawa saya merentas terowong masa kerana ia mengingatkan mengapa saya begitu berminat menceburi bidang kewartawanan lebih 10 tahun lalu.

Sebagai seorang individu yang tidak memiliki pendidikan formal dalam kewartawanan, bidang ini dahulunya memang amat asing bagi diri saya.

Seorang wartawan seharusnya memainkan peranan sebagai suara mewakili sekelompok besar rakyat akar umbi yang tidak mampu bersuara atau tidak tahu bagaimana hendak menyuarakannya.

Bukan sekadar menyalurkan arahan daripada golongan elit politik yang menganggap segala kata-kata mereka adalah keramat dan mesti dijunjung oleh rakyat.

Suarakanlah rintihan seorang bapa yang bingung apabila bayinya yang baru lahir disahkan menghidap penyakit jantung berlubang.

Sampaikanlah keluhan penoreh getah yang pendapatannya tak menentu gara-gara permainan kapitalis di pasaran komoditi dunia yang tidak berhati perut dan tidak mengenal erti belas kasihan.

Siarkanlah kisah kanak-kanak yang tidak dapat ke sekolah kerana keluarganya tidak mempunyai wang yang cukup untuk membayar yuran dan membeli barangan persekolahan.

Tidak dapat digambarkan betapa puasnya hati apabila berduyun-duyun orang datang menghulurkan bantuan selepas kisah mereka disiarkan.

Semoga Allah memberi ganjaran yang setimpal dengan kebaikan mereka.

Saya mengikuti tulisan Ku Seman sejak awal 2000-an lagi dan tertarik dengan gaya penulisan yang bersahaja tetapi padat dengan makna dan sarat dengan unsur mendidik masyarakat.

Menjadi satu kebanggaan bagi saya kerana pernah bekerja di bawah satu bumbung dengan beliau walaupun tidak bekerja secara langsung dengannya.

Anekdot Ku Seman mesti dimiliki oleh sesiapa sahaja yang bergelar wartawan, ingin menceburi bidang kewartawanan atau bakal meninggalkan dunia media.

Profesion kewartawanan harus dimurnikan agar ia bersih daripada tekanan politik haluan kiri, kanan, atas, bawah dan tengah.

Buku ini juga mesti dibaca oleh setiap anggota masyarakat dalam suasana kecelaruan nilai yang ditimbulkan oleh lambakan isme yang disebarkan melalui media sosial.

Belajarlah mengkritik secara membina dan bukannya menyokong secara membabi buta.

Jangan sesekali menjadi kayu hulu kapak. – EDISI9

Judul: Anekdot Ku Seman – Kayu Hulu Kapak
Penulis: Ku Seman Ku Hussain 
Penerbit: ITBM, Kuala Lumpur
Tahun penerbitan: 2018
Jumlah halaman: 266 

Sumber: Blog Bicara Buku

Terkini

Merakyatkan ilmu sains demi masa depan

Oleh PROF MADYA TS DR ZUL ILHAM ZULKIFLEE LUBES DALAM era di mana kemeruapan drastik, ketidaktentuan, kerumitan dan kesamaran ialah...

Lagi Artikel Berkaitan