DEWAN Rakyat telah meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Majlis Media Malaysia (MMM) semalam, menandakan satu pencapaian penting dalam usaha memperkasa kebebasan dan profesionalisme kewartawanan di negara ini.
RUU itu bertujuan menubuhkan satu badan yang akan membangunkan dan melaksanakan kod etika pelaporan, menyelaraskan industri media, serta memastikan berita yang dilaporkan adalah sahih dan berintegriti.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil menyifatkan, kelulusan RUU itu sebagai satu kemenangan besar bagi industri media Malaysia.
“Ini adalah satu detik bersejarah buat pengamal media di Malaysia. Kita telah lama berbincang mengenai keperluan untuk mewujudkan badan yang dapat memastikan kebebasan media yang bertanggungjawab.
“Dengan adanya MMM, kita dapat mewujudkan mekanisme pengawalseliaan kendiri yang mampu menyeimbangkan antara kebebasan dan akauntabiliti dalam pelaporan berita,” katanya.

Cadangan untuk menubuhkan MMM telah diutarakan sejak tahun 1973 namun hanya dapat direalisasikan tahun ini.
Keperluan terhadap badan ini semakin mendesak dalam menghadapi landskap kewartawanan yang kian mencabar, termasuk peningkatan berita palsu, ketidaktepatan sumber maklumat, serta kewujudan ‘wartawan warga maya’ yang tidak mempunyai autoriti dalam pelaporan berita.
Salah seorang pengamal media, Raja Ahmad Yusof Raja Amzah, menyifatkan kelulusan RUU itu adalah satu kemenangan berharga bagi industri media tempatan.
“MMM akan memainkan peranan penting dalam menyelaras dan mengawal selia pelaporan berita yang beretika dan berintegriti.

“Ia juga menyediakan platform kepada rakyat untuk menyuarakan kebimbangan mereka terhadap berita yang tidak berasas serta memastikan laporan yang lebih bertanggungjawab di media sosial,” katanya.
Beliau menambah, badan itu juga dapat membantu menyekat penyebaran berita palsu yang semakin berleluasa.
Tambahnya, penularan berita yang tidak sahih boleh dikawal selia dengan lebih berkesan melalui majlis ini, walaupun tidak secara menyeluruh.
“Namun, kewujudan MMM memberi peranan signifikan dalam mendidik masyarakat mengenai tanggungjawab dalam pelaporan berita, kerana seperti yang kita tahu, ‘mata pena itu lebih tajam daripada mata pedang’,” ujar Ketua Operasi Siaran Saluran Sukan, Jabatan Penyiaran Malaysia RTM itu.
Sementara itu, editor Utusan Malaysia, Mohd Shariza Abdullah menyifatkan penubuhan MMM adalah satu perkembangan positif bagi profesionalismw kewartawanan di Malaysia.
Beliau berkata, dengan adanya badan tersebut, ia dapat memastikan pengamal media mempunyai satu garis panduan yang jelas dalam menghasilkan laporan yang lebih bertanggungjawab dan beretika.

“Dalam era digital ini, penyebaran berita tidak sahih semakin menjadi-jadi, dan adalah penting untuk kita mempunyai satu badan yang boleh bertindak sebagai penyelaras dan pemantau dalam memastikan berita yang disebarkan kepada masyarakat adalah tepat dan tidak mengelirukan,” kata beliau.
Pemilik portal Lensa Malaysia, Aziz Basiran, turut menyambut baik kelulusan RUU ini dan menganggap satu langkah besar ke arah memperkukuh kebebasan media dan memastikan kewartawanan yang lebih beretika serta bertanggungjawab di Malaysia.
Beliau berkata, dengan adanya badan yang dapat mengawal selia industri secara bebas, pihaknya percaya ia akan mewujudkan landskap media yang lebih telus, profesional, dan berdaya tahan.

“Kami berharap MMM akan berfungsi sebagai wadah untuk melindungi kepentingan pengamal media sambil terus memperjuangkan hak masyarakat untuk mendapatkan maklumat yang sahih dan berkualiti,” katanya.
Dengan kelulusan RUU tersebut, langkah seterusnya adalah pembentukan lembaga pengasas yang akan menentukan hala tuju MMM yang dijangka dapat diwujudkan sepenuhnya menjelang pertengahan tahun ini.
Dalam masa yang sama, Kementerian Komunikasi akan memperincikan anggaran peruntukan bagi pelaksanaan majlis ini menerusi satu memorandum kepada Jemaah Menteri.
Secara keseluruhannya, pelaksanaan MMM diharapkan dapat memperkukuh industri media tempatan dengan meningkatkan profesionalisme dan etika kewartawanan.
Langkah ini juga dijangka akan membawa manfaat kepada masyarakat dengan memastikan setiap laporan yang diterbitkan adalah lebih telus, bertanggungjawab, dan berpaksikan kepada kebenaran. – Edisi 9

