29.9 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 18, 2024

PM beri jaminan profesion kewartawanan terus kekal bebas

Bagaimanapun beliau berharap wartawan terus menyiarkan laporan yang adil dan proaktif serta mengamalkan 'semak dan imbang'

Mesti Baca

PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini mengakui bahawa profesion kewartawanan harus kekal bebas dan berfungsi tanpa gangguan dan campur tangan pihak lain bagi menjamin kebebasan bersuara di negara ini.

Sehubungan itu, beliau menegaskan, kerajaan tidak pernah menghalang media daripada menyiarkan sebarang laporan berita yang adakala dijadikan panduan pihak berwajib untuk mengambil tindakan susulan seperti bertindak menyalurkan bantuan untuk kesejahteraan keluarga Malaysia.

Malahan Perdana Menteri berkata, kerajaan sentiasa mendengar dan prihatin terhadap laporan yang dibangkitkan oleh media.

“Semua kementerian dan agensi kerajaan sentiasa memberi kerjasama kepada media dalam membantu memudahkan penyaluran maklumat yang seimbang, tepat, sahih dan memuaskan hati seluruh Keluarga Malaysia.

“Saya beri jaminan bahawa tiada apa yang hendak disembunyikan oleh kerajaan dalam penyaluran maklumat demi kepentingan Keluarga Malaysia dan pembangunan negara,” katanya ketika berucap merasmikan sambutan Hari Wartawan Nasional (Hawana) 2022 di Melaka, hari ini.

Hadir sama Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa.

Bagaimanapun, Ismail Sabri berharap agar golongan wartawan terus menyiarkan laporan yang adil dan proaktif dalam mengeluarkan cadangan bagi penyelesaian kepada sesuatu isu yang dibangkitkan.

Perdana Menteri berkata, beliau yakin langkah ‘semak dan imbang’ terhadap setiap informasi yang diterima sebelum disebarkan tetap menjadi amalan media bagi mengelak berlaku sebarang salah lapor yang boleh menjejaskan juga integriti dan kepercayaan ramai terhadap media.

Pada masa yang sama, beliau berharap organisasi media dan wartawan dapat menangkis dan menolak laporan tidak benar serta menyedarkan ‘wartawan segera’ supaya tidak lagi meneruskan perlakuan sedemikian.

Beliau berkata, wartawan di Malaysia perlu bersatu dan memainkan peranan ke arah penyaluran maklumat yang benar dan sahih sebagai cara menangani isu berita palsu yang berleluasa.

Bagi mengangkat kewartawanan sebagai profesion yang mulia dan dihormati, beliau berkata, bakal wartawan perlu mendapat secukupnya latihan formal dalam membentuk kepakaran, tanggungjawab dan integriti.

Katanya, wartawan yang dilatih akan mempunyai integriti, mendukung etika serta berobjektif dalam menghasilkan laporan mereka untuk masyarakat,”

“Sebab itulah, saya melihat pentingnya wartawan mendukung etika kewartawanan kerana sebagai golongan yang berpengaruh, wartawan perlu mempunyai etika profesion yang dijadikan peraturan dan panduan dalam menjalankan tugas dengan berdisiplin dan bertanggungjawab ke arah memartabatkan profesionalisme kewartawanan negara,” katanya.

Justeru, kata Perdana Menteri, tiba masa golongan wartawan bersatu di bawah naungan sebuah persatuan khusus yang mewakili media cetak, media elektronik dan media Internet di Malaysia bagi memastikan etika kewartawanan dipelihara, profesion kewartawanan di perkasa dan kebajikan wartawan dijamin.

“Bolehlah persatuan ini dinamakan Persatuan Wartawan Malaysia,” katanya. – Edisi 9

Terkini

Piala Asia B23: Harimau Muda gagal jinakkan Uzbekistan

HASRAT skuad Harimau Muda negara untuk meraih sekurang-kurangnya satu mata daripada juara edisi 2018, Uzbekistan gagal apabila ditundukkan 0-2...

Lagi Artikel Berkaitan