28 C
Kuala Lumpur
Tuesday, April 23, 2024

Berebut komputer, berebut berita

Mesti Baca

Lukman Ismail
Lukman Ismail
Editor Edisi 9

[SIRI CERITERA SANG PENCERITA – BAHAGIAN 3]

KALI pertama masuk pejabat, dalam hati duk ingat pejabat Utusan mesti hebat maklum namanya sudah melekat dalam benak fikiran rakyat.

Sejurus masuk aku tersentap bila diberitahu tiada meja untuk aku ditempat. Semua komputer dan meja tiada yang hak, siapa cepat dialah yang dapat.

Waktu pagi pejabatnya sepi, mula sibuk menjelang tengah hari bila rakan wartawan sudah kembali menyelesaikan tugasan yang telah diberi.

Sebelah petang kecoh sakan, bunyi keyboard komputer yang ditekan tak ada perlahan bagaikan air hujan yang jatuh atas papan. Masing-masing sibuk siapkan tugasan mengejar dateline yang perlu diikutkan.

Rakan-rakan lain pula berbaris menanti untuk guna komputer yang hanya beberapa biji. Sementara komputer tak ada lagi kami sembang macam kedai kopi.

Pejabat editorial dibahagikan beberapa bahagian mengikut segmen dalam akhbar Utusan. Ada meja jenayah, ada meja sukan, tidak ketinggalan meja hiburan.

Meja-meja sengaja disusun sedemikian umpama pulau di tengah lautan katanya untuk memudahkan pemantauan.

Aku ditempatkan di meja am bersama rakan-rakan yang lapor diri semalam. Tugasan diberi berdasarkan ketentuan oleh ketua wartawan yang segak bak pahlawan.

“Encik bagaimana saya nak ke tugasan sedangkan saya tak kenal jalan,” aku beritahu kepada ketua wartawan yang empunya nama Hanafiah Man.

Advertisements

“Itu kau jangan bimbang, kami tidak mungkin lepaskan kau seorang. Nanti kau ikut tugasan abang-abang yang akan berikan kau panduan.”

Aku menarik nafas lega mendengar kata sedemikian rupa. Bukan apa takut nanti aku sesat entah ke mana. Berita yang dicari tak kunjung jumpa.


SEKALI itu aku ditugaskan bersama senior, buat liputan Sidang Kemuncak ASEAN yang tersohor.

Entah apa rezeki aku, bertemu dengan bekas pemain badminton Indonesia termasyhur. Dapatlah aku berita eksklusif walaupun baru jadi wartawan junior.

VERAWATY FAJRIN (gambar kiri) ketika beraksi di gelanggang manakala (gambar kanan) Verawaty bersama suami, Fajrin Biduin Aham yang dirakam tahun 2018. – Foto: Amazon.com / Breakingnews.co.id

Nama Verawaty Fajrin cukup masyhur, tahun 1980 kejuaraan dunia sudah digondol. Kategori beregu wanita dan juga perseorangan keringat ditabur.

Datang ke Kuala Lumpur bukan bertanding, cuma bersama BJ Habibie beliau iring di bawah panji Ikatan Cendekiawan Muslim. Kalau dahulu hebat di gelanggang rupanya kini sudah menjadi pendakwah Islam.

Pulang ke pejabat dengan atasan aku ceritakan bagaimana dapat bertemu pemain badminton terbilang malang sekali wajahnya tidak dirakam.

Atasan aku tiada berhalangan, katanya: “Kalau begitu cepat berita digarapkan, supaya pembaca kita dapat pengetahuan. Bukan senang nak dapat bahan, akhbar lain tiada ketahuan.”

Gembira hati bukan kepalang, dapat penuhi apa atasan mahukan. Berita-berita eksklusif yang tidak dikongsikan dengan akhbar lain yang menjadi saingan.

Esoknya terpampang di dalam Utusan Malaysia, kisah pemain badminton dah jadi pendakwah di Indonesia.

Walaupun byline tidak diberi tapi aku puas tidak terperi dapat eksklusif pertama kali, jadi pembakar semangat untuk mencari lagi. – Edisi9

Verawaty Fajrin adalah Juara Perseorangan Wanita Dunia dan Naib Juara Beregu
Wanita Dunia tahun 1980. Bersama pasangannya Imelda Wigoena, beliau turut
menjuarai All England tahun 1979. Manakala ketika berganding dengan Rudy
Hartono, pasangan beregu campuran ini menjadi juara dunia tahun 1986 dan 
Naib Juara All England tahun 1989.

Advertisements

Terkini

Tiga wanita antara terkorban nahas helikopter TLDM di Lumut

TIGA wanita yang menjadi penumpang helikopter HOM antara 10 yang terkorban dalam nahas dua helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia...

Lagi Artikel Berkaitan