30.9 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

95 peratus Pakej Prihatin bernilai RM260 bilion telah dilaksanakan

Mesti Baca

KUALA LUMPUR – Kesemua 10 langkah utama pakej Prihatin telah dilaksanakan, mewakili 95 peratus daripada keseluruhan nilai pakej iaitu RM260 bilion, kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Memetik laporan Bernama, beliau berkata, jumlah peratusan tersebut meliputi bantuan kerajaan yang telah mula disalurkan termasuk Geran Khas Prihatin (GKP) yang dikhususkan bagi perusahaan kecil dan sederhana mikro.

“Pada 1 Mei, kerajaan telah memperuntukkan RM2.1 bilion (bagi GKP) yang mana RM3,000 akan diberikan kepada setiap PKS Mikro aktif yang berdaftar dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri, Suruhanjaya Syarikat Malaysia dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) pada 31 Disember 2019,” katanya semasa membentangkan Laporan Laksana Keempat Pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat, hari ini.

Menurutnya, permohonan GKP dibuka sehingga 15 Mei, 2020, dan keputusan akan diumumkan pada minggu pertama Jun dengan pembayaran dijangka dibuat pada hujung bulan yang sama.

Bagi sebarang maklumat lanjut mengenai perkara itu boleh dilayari di gkp.hasil.gov.my.

Sementara itu mengenai Fasa Pertama Bantuan Prihatin Nasional (BPN), Tengku Zafrul berkata pembayaran sebanyak RM5.5 billion telah dibuat kepada 7.78 juta penerima, peningkatan daripada 7.74 juta penerima dengan jumlah sebanyak RM5.47 bilion pada minggu lepas dan juga melibatkan mereka tanpa akaun bank yang telah menunaikan BPN di cawangan Bank Simpanan Nasional.

Manakala pembayaran Fasa Kedua dibuat secara berperingkat bermula 4 Mei, kepada 8.3 juta penerima B40 dan M40 yang diluluskan sebelum ini bernilai RM3.7 bilion.

Sehingga 29 April, 2020, hampir dua juta permohonan baharu dan rayuan telah diluluskan melibatkan jumlah sebanyak RM1.5 bilion.

“Dengan perkembangan terkini, adalah dijangka peruntukan tambahan sekurang-kurangnya RM1 billion diperlukan di atas peruntukan asal sebanyak RM10 bilion.

“Sukacita juga saya mengumumkan bahawa pembayaran untuk permohonan baharu dan rayuan yang layak akan dibuat bermula pertengahan bulan Mei,” kata Tengku Zafrul.

Sementara itu, dalam akaun Facebook beliau, Tengku Zafrul berkata, beliau telah menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk memberi taklimat dan perkembangan terkini mengenai perkara-perkara berkaitan dengan kewangan dan ekonomi negara.  

“Saya menghadap Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada 4 Mei, 2020 untuk memberi taklimat mengenai perkara-perkara berkaitan dengan kewangan dan ekonomi negara,” katanya.

Menurutnya, perbincangan semasa pertemuan itu turut merangkumi isu-isu mengenai kesan pandemik COVID-19 ke atas ekonomi negara, perniagaan dan pekerjaan serta memaklumkan kepada Seri Paduka Baginda mengenai pelan kerajaan untuk memulihkan semula ekonomi. 

Tengku Zafrul juga memberi taklimat kepada Seri Paduka Baginda mengenai pandangan terkini dan perkembangan pelan pemulihan ekonomi jangka pendek. 

Bernama

Terkini

Imigresen serbu pusat hiburan sediakan ‘call girl’, 63 ditahan

JABATAN Imigresen Johor menyerbu sebuah pusat hiburan yang disyaki menyediakan gadis panggilan (call girl) di Taman Mount Austin, Johor...

Lagi Artikel Berkaitan