MALAYSIA sekali lagi membuktikan kemampuannya sebagai peneraju diplomasi serantau apabila berjaya menghimpunkan kuasa-kuasa ekonomi utama Asia dan Asia Barat menerusi Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China 2025 yang berlangsung di ibu negara hari ini.
Sidang kemuncak yang julung kali diadakan itu menyaksikan peranan aktif Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025, dalam merangka pelbagai strategi ekonomi yang bersifat inklusif, progresif dan berpaksikan kepentingan rakyat.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, Malaysia tampil bukan sahaja sebagai tuan rumah, malah berfungsi sebagai hab strategik pelaburan bagi menghubungkan ASEAN dengan negara-negara Majlis Kerjasama Teluk (GCC) serta China secara lebih holistik dan tersusun.
“Insya-Allah, hubungan erat yang terus dibina menerusi sidang ini akan menjadi pemangkin kepada penciptaan peluang pekerjaan, pembangunan ekonomi bernilai tinggi serta peluasan rangkaian perdagangan serantau dan global,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Menurut beliau, antara agenda penting sidang ialah sesi pertemuan dua hala dengan delegasi China menerusi Guangzhou Industrial Holdings Group dan China Council for the Promotion of International Trade (CCPIT), selain pertemuan dengan pelabur utama dari Emiriah Arab Bersatu (UAE) termasuk Abu Dhabi Investment Authority (ADIA) dan Dewan Perniagaan dan Industri Qatar.

Antara sektor tumpuan yang dibincangkan termasuk logistik, industri halal, kecerdasan buatan (AI), automotif dan tenaga hijau – satu langkah sejajar dengan aspirasi Malaysia dalam memperkasa ekonomi hijau dan teknologi masa depan.
Zahid turut mempengerusikan sesi libat urus antara delegasi kerajaan dan komuniti perniagaan dari Arab Saudi dan China, yang membuka ruang kepada peluasan pelaburan dua hala yang lebih kukuh.
Sidang ini juga membuktikan keyakinan tinggi pelabur antarabangsa terhadap potensi ASEAN, yang memiliki lebih 680 juta penduduk dan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) gabungan melebihi AS$3.6 trilion, menjadikannya antara pasaran paling strategik dan berkembang pesat di dunia.
Malaysia diyakini terus menjadi pintu masuk utama kepada syarikat-syarikat gergasi dari China dan GCC untuk menembusi pasaran ASEAN, dengan tawaran dasar pelaburan yang stabil, mesra pelabur serta visi ekonomi yang mampan dan menyeluruh.
“Kerajaan Malaysia akan terus komited untuk memperkukuh peranan sebagai pemudah cara utama dalam menghubungkan ekonomi ASEAN, GCC dan China, demi manfaat bersama,” ujar beliau lagi.
Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China 2025 sekali gus menjadi medan penting dalam melonjakkan profil Malaysia di persada antarabangsa, memperteguh peranannya sebagai pemacu utama pertumbuhan ekonomi rantau Asia Tenggara. – Edisi 9

