BERTOPENGKAN perniagaan salon lelaki, dua premis di sekitar Kuchai Lama dan Bandar Sri Petaling di ibu negara rupa-rupanya menjalankan aktiviti tidak bermoral apabila menawarkan khidmat seks warga asing sejak dua tahun lalu.
Serbuan dilakukan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) petang semalam berjaya membongkar kegiatan licik berkenaan selepas risikan selama dua minggu.
Menurut kenyataan JIM, operasi bermula jam 6 petang itu membabitkan seramai 38 pegawai dari Bahagian Penguatkuasaan, Jabatan Imigresen Malaysia, Putrajaya.
Katanya, seramai 59 individu diperiksa termasuk tiga lelaki dan 45 wanita warga asing serta 11 warga tempatan.
“Daripada jumlah itu, 51 ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen,” kata kenyataan itu hari ini.

Difahamkan, wanita warga asing berusia antara 23 hingga 35 tahun itu datang dari Vietnam, Indonesia, Bangladesh dan Laos.
Turut ditahan tiga lelaki tempatan yang dipercayai bertindak sebagai penjaga premis.
Kenyataan itu berkata, modus operandi sindiket terbabit adalah dengan menawarkan perkhidmatan potong rambut dan cucian muka untuk lelaki, namun dalam masa sama pelanggan turut ditawarkan pakej seks.
“Mereka menggunakan aplikasi WeChat untuk membuat tempahan dan memilih wanita dari katalog yang dihantar kepada pelanggan tetap.
“Bayaran yang dikenakan antara RM150 hingga RM250 mengikut jenis perkhidmatan,” katanya.
Premis berkenaan dipercayai mula beroperasi dari jam 3 petang hingga 2 pagi setiap hari.
Wanita terbabit turut disediakan bilik tidur seperti asrama di dalam premis sama.
“Keuntungan harian dianggarkan antara RM1,000 hingga RM1,500. Ketika serbuan, beberapa wanita warga asing sedang leka melayan pelanggan yang terdiri daripada warga tempatan dan pelancong asing,” katanya lagi.
Kes disiasat mengikut Akta Imigresen dan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM). – Edisi 9

