32.3 C
Kuala Lumpur
Friday, May 17, 2024
Home Blog Page 1689

Bila jurufoto media utamakan ‘place first, shoot later’

SEJAK tular sekeping foto sekumpulan jurufoto media membuat liputan solat Jumaat pertama dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Masjid Negara, ramai pula netizen mempersoalkan tentang prosedur operasi standard (SOP) penjarakan sosial.

Mereka menunding jari seolah-olah jurufoto media langsung tidak tahu tentang SOP bagi mengelak penularan wabak Covid-19 tersebut.

Ya, umumnya nampak kesalahan itu ketara. Gambar boleh menghuraikan maksud sama ada tersurat ataupun tersirat. Bergantung kepada perakam dan pelihat mentafsirkannya.

Penulis tidak ingin memanjangkan isu ini cuma ingin mengupas dalam konteks kerjaya dan sudut pandang fotografi.

Foto yang tular dirakamkan pada sudut yang dilihat bukan sedang melakukan solat. Foto semasa jemaah sedang diberi taklimat perlaksanaan.

Pada ketika itu mungkin petugas media baru sahaja masuk. Meletakkan sudut dalam setiap rakaman itu penting pada seorang yang bergelar jurufoto. Walaupun mereka tahu isu penjarakan sosial ini penting.

Jangan terlalu ghairah menyalahkan terus kepada keadaan semasa namun penilaian penuh harus dibuat.

SEKUMPULAN wartawan dan jurufoto media terpaksa berasak-asak untuk mendapatkan sudut terbaik dalam satu sidang akhbar di Alor Setar, Kedah, baru-baru ini. – Foto: FB Zulfikar Egar

Nasi sudah menjadi bubur.

Penulis sedia maklum hujahan-hujahan netizen ada yang positif dan ada yang negatif.

Tidak kurang juga sahabat-sahabat golongan media juga turut mengecam. Kita ambil kesemua sudut positif.

Apabila sesuatu isu atau menjadi kebiasannya berita tumpuan negara jurufoto media yang akan ke hadapan.

Bagi mereka ‘place first, shoot later‘. Ini apa yang dipratikkan oleh jurufoto seluruh dunia tanpa mempedulikan keselamatan diri sendiri demi merakam ‘decesive moment’ berimpak tinggi untuk dipersembahkan kepada khalayak.

Ia bukanlah isu sangat tentang tidak pernah merakam solat Jumaat seperti apa yang dihebahkan oleh netizen.

Ini tentang isu semasa atau tumpuan berita terkini dalam tempoh PKPB negara kita.

Benar penulis akui keselamatan dalam menjaga jarak sosial amat diperlukan dalam semua sektor semasa PKP ini

Jurufoto media adalah petugas. Mereka juga ada keluarga. Ada perasaan. Ada anak kecil untuk disuap.

Mereka tahu ‘rules’ itu tetapi apabila jiwa keinginan merakam itu tinggi maka hilang semua kekangan dan perjanjian.

Maklumlah penulis pernah berhadapan dalam situasi sama semasa bekerjaya dahulu.

Buat sahabat-sahabat seperjuangan kuatkan semangat. Kritikan bukan untuk menjatuhkan. Kritikan untuk membina. Anda juga antara frontliner.

Terima kasih para netizen kerana masih peka untuk menegur dan memperbaiki kekhilafan kami. Anda adalah mata dan telinga negara.

Jurufoto media, anda adalah perakam sejarah negara.

Penulis adalah bekas Penolong Foto Editor Utusan Melayu (M) Berhad 
dan bekas Presiden Persatuan Jurufoto Profesional Media Malaysia.

Tun M, kembalilah bersama Muhyiddin

HUBUNGAN antara Tun Dr. Mahathir Mohamad dengan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sudah lama terjalin.

Bekas Perdana Menteri itu yang bertanggungjawab melantik Muhyiddin sebagai Setiausaha Parlimen Kementerian Luar Negeri pada tahun 1981.

Apabila Muhyiddin berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Pagoh dalam pilihan raya umum 1982, Mahathir melantik beliau sebagai Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, selepas setahun Muhyiddin bertukar portfolio sebagai Timbalan Menteri Perdagangan dan Perindustrian sehingga tahun 1986, sebelum dilantik menjadi Menteri Besar Johor selama tiga penggal.

Penulis sengaja memaparkan perjalanan awal politik Muhyiddin bersama Mahathir bagi menunjukkan betapa akrab kedua-dua pemimpin ini. Paling tidak boleh dilupa ialah pada tahun 2008 apabila Barisan Nasional (BN) mencatatkan prestasi buruk dalam Pilihan Raya Umum Ke-12.

Keputusan buruk itu dikaitkan dengan kritikan Mahathir terhadap kepemimpinan Abdullah sehingga mewujudkan persepsi dalam kalangan rakyat terhadap kerajaan BN.

Mungkin Mahathir lupa tetapi semua orang masih ingat bagaimana dalam wawancara bersama Mingguan Malaysia yang disertai oleh penulis, Muhyiddin dengan lantang menegaskan, masanya sudah tiba untuk UMNO melakukan perubahan kepemimpinan. – Ketegasan Muhyiddin itu dikaitkan dengan suara Mahathir.

Penulis masih ingat Muhyiddin menegaskan apa yang beliau lakukan demi kebaikan orang Melayu dan negara.

Apabila Najib dilantik sebagai Perdana Menteri, Muhyiddin pula menggalas tugas sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Apabila Mahathir mula ‘menyerang’ Najib berikutan isu 1MDB sekitar tahun 2015, Muhyiddin atas nama mahu menegakkan kebenaran telah bersama Mahathir biarpun mempertaruhkan kedudukan beliau sebagai Timbalan Presiden UMNO dan Timbalan Perdana Menteri.

Muhyiddin menyokong Mahathir menubuhkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) walaupun hakikatnya penubuhan parti itu menyebabkan Melayu semakin berpecah belah.

Muhyiddin tidak bercakap banyak apabila Mahathir sedia bekerjasama dengan DAP. Apabila sudah berada dalam Kabinet, Muhyiddin mula menyedari ‘wajah sebenar’ DAP.

Tetapi Muhyiddin tidak pernah bercakap secara terbuka kerana bimbang ia menjejaskan PH.

Pasti ada sesuatu yang dilakukan oleh DAP menyebabkan Muhyiddin mahu ‘berkerat rotan dan berpatah arang’ dengan parti berkenaan.

Bagaimanapun ia ditentang oleh Mahathir sehingga Bersatu terpecah dua dan Kerajaan PH ‘tumbang’ apabila Mahathir meletakkan jawatan.

Rentetan sejarah politik ini membuktikan bahawa Muhyiddin adalah penyokong setia Mahathir tetapi beliau bukan ‘penyokong fanatik’ bekas Perdana Menteri tersebut.

Muhyiddin terpaksa membuat langkah poltiik yang menimbulkan kemarahan Mahathir demi orang Melayu dan negara.

Bagaimanapun Mahathir tetap Mahathir, sesiapa sahaja yang menentang kemahuan politik pastinya ‘tidak akan selamat’, apatah lagi apabila bekerjasama dengan kelompok yang sudah dibenci ahli politik berusia 95 tahun tersebut.

Soalnya, sampai bilakah Mahathir mahu bermusuhan dengan Muhyiddin? Dan apakah keuntungan beliau perolehi dengan berbuat demikian?

Mahathir perlu faham beliau tidak ada apa-apa kekuatan. Dalam PH beliau sekadar ‘penumpang’ dan di dalam Bersatu, pengaruhnya semakin luntur mahu diharapkan kepada Datuk Seri Mukhriz, anaknya itu pun sudah ‘hanyut’ dari kerusi MB Kedah – kali kedua pulak tu.

Adalah lebih baik dalam usia semakin lanjut dan kudrat yang semakin berkurangan, Mahathir kembali bersama Muhyiddin.

Hakikatnya beliau tidak ada pilihan. Dalam soal ini penulis teringat satu mesej yang diterima melalui aplikasi WhatsApp hari ini. Antara lain isi kandungannya berbunyi;

“Buah fikiran saya…Tun bersama DAP dan PKR, beliau hanya dipergunakan untuk DAP dan PKR kembali berkuasa. Tun sudah tidak boleh ke kanan atau ke kiri. Beliau akan kembali dihormati sekiranya beliau bekerjasama dengan Tan Sri Muhyiddin dalam Perikatan Nasional dan berehat. Kedudukan Mukhriz akan lebih baik sekiranya Tun kembali bersama Muhyiddin dan berehat dengan menjadi MP (ahli Parlimen) biasa.’’

Tidak perlulah penulis nyatakan siapa pengirim mesej tersebut tetapi apa yang pasti, itulah harapan sebahagian orang Melayu.

Ia kerana politik kebencian yang dibawa oleh Mahathir sama sekali tidak akan menguntungkan orang Melayu, sebaliknya akan terus melemahkan kuasa politik orang Melayu.

Muhyiddin tidak ada apa-apa kesalahan dan tetap menghormati Mahathir. Muhyiddin hanya tidak mahu berkawan dengan DAP – sebuah parti yang menyebabkan orang Melayu semakin membenci PH.

Muhyiddin bukan Melayu bacul tetapi seperti mana pendirian beliau atas nama kebenaran menyokong Mahathir ketika bekas Perdana Menteri itu mengkritik Abdullah dan Najib dulu, begitulah juga sekarang Muhyiddin sanggup menggadaikan kedudukannya kerana “tahu apa sebenarnya berlaku dalam Kabinet”.

Dalam usia 95 tahun, seperti mana pesan pengirim mesej tersebut, Mahathir sepatutnya berehat dan menjadi ahli Parlimen biasa, sekali gus akan meletakkan kedudukan Mukhriz dalam arena politik lebih baik.

Mukhriz kini dilihat ‘mangsa’ politik bapanya. Mungkin ia sekadar persepsi tetapi berdasarkan kepada kedudukan Mukhriz sekarang, Mahathir seharusnya bertanggungjawab kerana perjalanan politik anak kesayangannya itu semakin ‘tersekat’.

Justeru demi orang Melayu dan masa depan negara, Mahathir perlu menyokong Muhyiddin. Sampai bila nak buat berperangai bergaduh dengan semua Perdana Menteri, takkanlah Mahathir merasakan beliau sahaja layak dan hebat menduduki jawatan berkenaan?

Dulu zaman Abdullah dan Najib mungkin beliau akan berjaya, tetapi pada era Muhyiddin, penulis yakin tersalah strategi, Mahathir akan tersisih daripada arena politik negara dalam keadaan memalukan. – EDISI9

Berakhirnya perjuangan Mukhriz di Kedah

KUALA LUMPUR – Penulis menerima satu mesej daripada seorang sahabat di Alor Setar berbunyi, “ESOK, AHAD 17/5/2020 SIDANG MEDIA DSU MUKHRIZ TUN MAHATHIR DI BILIK GERAKAN NEGERI, BLOK E, WISMA DARUL AMAN – 10 HRS”.

Pemakluman itu diterima ketika khabar angin semakin kencang menyatakan negeri Jelapang Padi tersebut akan mendapat Menteri Besar (MB) baharu sebelah petang hari yang sama iaitu kira-kira enam selepas sidang media Mukhriz.

Setakat ini, belum ada sebarang kenyataan rasmi daripada Istana Kedah berhubung hasil majlis menghadap ke atas Sultan Kedah Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah oleh 36 ADUN Kedah di Alor Setar, semalam.

Lewat petang semalam beberapa portal berita melaporkan negeri tersebut akan mendapat kerajaan dan MB baharu, esok.

Menurut laporan berkenaan, Sultan Sallehuddin berpuas hati Perikatan Nasional (PN) memperolehi majoriti untuk membentuk kerajaan baru bagi menggantikan pentadbiran Mukhriz.

Hari ini, ketika dihubungi, satu sumber memberitahu penulis, “perjuangan Mukhriz sudah berakhir” yang sekali gus memberi isyarat anak kesayangan Tun Mahathir Mohamad itu akan kehilangan jawatan MB Kedah buat kali kedua.

Walaupun jumlah sebenar ADUN yang menolak kepemimpinan beliau tidak dimaklumkan secara rasmi, tetapi apa yang pasti Mukhriz sudah tiada majoriti di Dewan Undangan Negeri.

Sebelum ini 23 ADUN dikatakan hilang kepercayaan terhadap beliau. Mereka ialah Pas (15), UMNO (2), Bebas – bekas ADUN PKR (2) dan Bersatu (empat).

Bagaimanapun ada juga suara-suara nakal menyatakan jumlah ADUN yang menyokong PN menubuhkan kerajaan bukan sekadar enam orang tetapi lapan orang.

Ia memandangkan dalam kalangan ADUN PKR, ada di antara mereka bak kata orang Kedah, ‘tak berapa berkenan’ dengan Mukhriz.

Tanpa sokongan 23 ADUN tersebut, Mukhriz yang akan menentang Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi merebut jawatan Presiden Bersatu hanya memiliki 13 sokongan ADUN termasuk beliau dengan pecahan – Bersatu (2), Amanah (4), DAP (2) dan PKR (5).

“Terhumban” kali kedua dari kerusi MB sudah tentulah sesuatu yang perit bagi Mukhriz yang diharapkan oleh Mahathir meneruskan legasi perjuangan bekas Perdana Menteri itu dalam arena politik.

Lebih memeritkan senario hampir sama seperti 3 Februari 2016 apabila mengumumkan perletakan jawatan sebagai MB kerana kehilangan sokongan daripada majoriti ADUN.

Lebih perit lagi, kali ini empat daripada parti beliau sendiri iaitu Bersatu dikatakan memberi sokongan kepada Kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang mencalonkan ADUN Jeneri Muhamad Sanusi Md Nor bagi menggantikan Mukhriz sebagai Menteri Besar.

Kedudukan Mukhriz mulai tergugat apabila Mahathir meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri sehingga menyebabkan Kerajaan PH ‘tumbang’.

Tindakan Bersatu keluar daripada pakatan tersebut meletakkan Mukhriz berada dalam keadaan tidak stabil.

Ia memandangkan Mukhriz bekerjasama dengan DAP, PKR dan Amanah untuk menubuhkan kerajaan di Kedah dengan majoriti 19-17, bagaimanapun apabila Bersatu keluar daripada PH, Mukhriz yang tidak bersetuju dengan langkah itu mengikut bapanya untuk terus bekerjasama dengan PH, walaupun masih berada di dalam Bersatu.

Pendirian politik yang dianggap mengelirukan itu memungkinkan kedudukan Mukhriz dalam bahaya, walaupun pada awalnya ada kesepakatan bahawa Pas dan UMNO tidak akan mengganggu beliau sebagai MB.

Bagaimanapun senario berubah apabila pucuk pimpinan PKR – biarpun mengetahui kedudukan getir di Kedah membuat keputusan memecat ADUN Sidam, Dr. Robert Ling Kui Ee sehingga menyebabkan ADUN Lunas juga dari PKR, Azman Nasrudin mengisytiharkan keluar parti.

Kedua-dua mereka dikatakan penyokong kuat bekas Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang kini menyertai Bersatu.

Tindakan PKR menyebabkan Mukhriz kehilangan sokongan majoriti di DUN. Kalaupun empat ADUN Bersatu menyebelahi Mukhriz, beliau tetap tumbang kerana PN memiliki majoriti 19-17.

Sememangnya kita tidak pasti apa yang mahu diperkatakan Mukhriz dalam sidang media beliau esok.

Beliau boleh berkata apa sahaja tetapi jatuh kali kedua dari kerusi MB Kedah seharusnya menjadi pengajaran kepada ahli politik berusia 56 tahun itu untuk memahami ada sesuatu tidak kena terhadap pendekatan politiknya selama ini.

Sama ada betul, terserah kepada Mukhriz memikirkannya. Apapun terima kasih kerana menjadi MB penulis sebanyak dua kali dan simpati penulis kerana tersingkir sebanyak dua kali. – EDISI9

Dahulu jurufoto, kini usahawan tauhu bergedil

0

PENGUATKUASAAN Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu menjejaskan pendapatan sebahagian besar rakyat termasuk mereka yang bergiat dalam bidang fotografi.

Situasi itu memaksa seorang jurufoto bebas, Mohd Noordin Shariff mengubah haluan kerjaya demi meneruskan kehidupan.

Dia yang sebelum ini mencari rezeki dengan merakamkan gambar pada majlis perkahwinan dan majlis keramaian kini bergelar usahawan.

Noordin mengusahakan jualan tauhu bergedil yang diproses sendiri di rumahnya di Ayer Keroh, Melaka.

“Saya menyedari bahawa bidang fotografi agak terjejas sejak PKP dikuatkuasakan jadi saya mengambil inisiatif mengusahakan jualan makanan sebagai sumber pendapatan baharu,”jelasnya.

Setelah berkecimpung selama lapan tahun dalam bidang fotografi, Noordin menyedari bidang perniagaan mempunyai cabaran tersendiri yang perlu dihadapinya.

Tauhu Bergedil Bolat keluaran Zayran Kitchen dijual pada harga RM10 sebekas dan penghantaran dibuat ke sekitar Melaka Tengah, Sungai Udang dan Ayer Keroh.

Caj penghantaran bergantung kepada jarak dan masa perjalanan.

Tempahan dibuka setiap hari sepanjang Ramadan dan operasi penghantaran bermula pada pukul 4 petang.

Orang ramai yang ingin memesan tauhu bergedil perisa ayam dan daging yang dicecah dengan kuah kicap resepi turun-temurun dengan menghubungi Noordin di talian 018-2812445. – EDISI9

Acar buah Wan Norazah pilihan Bossku Najib Razak

0

ACAR buah yang dihasilkan bekas wartawan Utusan Malaysia, Wan Norazah Wan Chik menarik perhatian bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau turut berkongsi tentang perkara tersebut dalam laman Facebook miliknya baru-baru ini.

“Pasal acar buah ni, memang kegemaran saya, makan dengan beriani atau nasi putih sahaja pun sedap.

“Boleh la rasa masa berbuka puasa petang nanti,” katanya.

Najib menasihatkan orang ramai yang hilang pekerjaan ketika ini berusaha mencari rezeki melalui pelbagai cara.

“Mungkin ada yang berjaya dan ada yang perlu meningkatkan lagi usaha,” jelasnya.

Orang ramai yang ingin memesan acar buah daripada Wan Norazah boleh berbuat demikian melalui laman Facebook Azah Wanchik. – EDISI9

Anwar ingatkan siapa?

“SAYA beritahu bahawa dalam keputusan Pakatan Harapan (PH), saya sekarang Pengerusi PH dan Ketua Pembangkang. Walaupun ada usaha-usaha atau orang lain yang mahu mencabar kedudukan itu, tetapi (itu) konsensus yang dicapai dalam PH.”

Kenyataan tegas ini dibuat oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sekali gus memberi isyarat kepada Tun Dr. Mahathir Mohamad bahawa beliau janganlah memandai-mandai mahu jawatan berkenaan selepas meletakkan jawatan Perdana Menteri dan mencetuskan konfrontasi dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Ketegasan Anwar ini meletakkan kedudukan Mahathir semakin terumbang-ambing, pembangkang pun tidak, kerajaan pun tidak mahu.

Tindakan beliau yang awal-awal lagi menyatakan akan duduk di blok pembangkang dalam Dewan Rakyat boleh dianggap ‘memakan diri’.

Tindakan beliau yang awal-awal lagi menyatakan akan duduk di blok pembangkang dalam Dewan Rakyat boleh dianggap ‘memakan diri’.

Dikatakan daripada 35 Ahli Parlimen Bersatu, empat dikatakan bersama Mahathir yang juga Ahli Parlimen Langkawi.

Tidak mungkin Anwar akan membenarkan beliau dikecewakan atau terus mengikut rentak politik Mahathir yang kesudahannya menyaksikan Anwar tidak mendapat apa-apa.

Bagaimanapun ia tidak bermakna Anwar tidak akan menyokong usul tidak percaya dibawa oleh Mahathir ke atas Muhyiddin.

Lagipun Anwar sudah membuat kenyataan bersama Mahathir untuk mengembalikan semula mandat rakyat yang disifatkan mereka dirampas oleh Kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Persoalannya mampukah Mahathir dengan bantuan Anwar menumbangkan Muhyiddin?

Dan adakah Anwar akan membenarkan dirinya seolah-olah dipergunakan lagi oleh Mahathir bagi mencapai agenda politik balas dendam bekas Perdana Menteri tersebut?

Adakah Mahathir akan meminta Anwar melantik anaknya Datuk Seri Mukhriz menjadi Timbalan Perdana Menteri jika Muhyiddin berjaya ditumbangkan?

Dan Adakah Anwar akan mengotakan janji tersebut sedangkan Mahathir sendiri memungkirkan janji dengan Anwar?

Dan adakah Anwar dan PH akan meraih keuntungan politik dengan terus bersama Mahathir yang dilihat semakin ditolak oleh rakyat dan menjadi punca pakatan itu kehilangan kuasa selepas 22 bulan memerintah?

Bolehkah lagi mereka mempercayai kata-kata dan janji-janji ahli politik berusia 95 tahun itu?

Hakikatnya Mahathir seperti juga Mukhriz kini berada di posisi ‘yang dikejar belum tentu dapat, yang dikendong semakin berciciran’.

Penulis percaya pemimpin-pemimpin PH sudah serik dengan politik Mahathir.

Dulu mereka memusuhi beliau dan berkawan semula untuk menjatuhkan BN, tetapi sekarang Mahathir ‘menjatuhkan’ mereka selepas menjadi kerajaan dan kini mahu berkawan semula dengan mereka selepas ‘tiada lagi tempat bergantung’.

Mungkin atas sebab itulah juga, pemimpin-pemimpin PKR dan DAP tidak begitu teruja dengan keghairahan Mahathir untuk mengemukakan undi tidak percaya kepada Muhyiddin.

Mungkin tahap kepercayaan mereka kepada Mahathir mulai luntur selepas apa yang berlaku sepanjang 22 bulan berkawan rapat.

Kalau Mahathir mahu menjadi Perdana Menteri semula, ia boleh dianggap satu mimpi memandangkan beliau tidak mempunyai sokongan.

Ahli Parlimen Langkawi tersebut secara kasarnya hanya mempunyai sokongan sekitar 14 Ahli Parlimen termasuk beliau.

Selain daripada lima ahli Parlimen Bersatu, Mahathir mengharapkan sokongan sembilan Ahli Parlimen Warisan diketuai oleh Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal.

Tetapi khabarnya, kedudukan Mohd. Shafie di Sabah pun dikatakan semakin goyah.

Mahathir betul-betul berharap kepada sokongan PH yang terdiri daripada DAP (42 kerusi), PKR (40 kerusi) dan Amanah (11 kerusi), tetapi soalnya mahukah mereka memilih sebagai Perdana Menteri dan membuat perjanjian serah menyerah jawatan kepada  Anwar sekali lagi.

Bukankah ketika menjadi Perdana Menteri Interim, Mahathir mengusulkan supaya Kabinet sedia ada dibubarkan dan beliau mahu menubuhkan Kabinet Perpaduan?

Tetapi tidak perlu fikir jauh, hakikatnya Mahathir tidak akan mendapat majoriti sebaliknya ketika ini Muhyiddin dikatakan mendapat sokongan daripada UMNO yang memiliki 42 kerusi, Bersatu (30 kerusi), PAS (18 kerusi), Gabungan Parti Sarawak (18 kerusi), MCA (2 kerusi), MIC (1 kerusi), PBRS (2 kerusi). Keseluruhan 113 kerusi.

Oleh itu Mahathir perlu bersedia untuk menjadi seorang lagi bekas Perdana Menteri mencatatkan sejarah duduk di blok pembangkang, jika beliau masih juga mahu terus ‘berperang’ dengan Muhyiddin.

Boleh sahaja Mahathir mempertahankan prinsipnya tidak mahu berkawan dengan UMNO, tetapi beliau juga perlu bersedia menjadi pemimpin yang tidak ada apa-apa lagi kuasa mahupun pengaruh dalam politik.

Untuk Anwar pula, sebenarnya beliau mungkin lebih sesuai kembali menjadi Ketua Pembangkang tanpa perlu membuat perjanjian dengan sesiapa lagi. – EDISI9

Agih daging sumbangan rakyat Malaysia di Chittagong & Yogyakarta

DALAM suasana pandemik COVID-19 melanda di seluruh dunia, EZ Qurban tetap berusaha menunaikan tanggungjawab mengagihkan sumbangan daging daripada rakyat Malaysia di negara-negara lain.

Dua lokasi yang menerima sumbangan tersebut melalui Program Prihatin Ummah (PPU) 2020 baru-baru ini adalah Chittagong di Bangladesh dan Yogyakarta, Indonesia.

Penyerahan daging aqiqah di Chittagong kepada 84 keluarga diuruskan oleh wakil EZ Qurban di sana, Ustaz Arsyad.

“Terima kasih rakyat Malaysia. Semoga Ramadan ini memberi keberkatan untuk kita semua,” katanya.

Tahun ini, daging mentah diagihkan berbanding sebelum ini, di mana ia dimasak untuk juadah berbuka puasa.

Majlis berbuka buka puasa tidak diadakan bagi mematuhi penjarakan sosial untuk mengekang penularan COVID-19.

Agihan daging nazar di Yogyakarta.

Sementara itu, empat daerah di Yogyakarta dipilih sebagai lokasi agihan daging lembu yang disumbangkan oleh rakyat Malaysia yang bernazar.

Wakil EZ Qurban di sana, Ustaz Yuri Salam menjelaskan, proses penyembelihan dilakukan oleh lima kakitangan di Turi Seleman.

Pengurus EZ Qurban, Muhammad Hafezs Firdaus Toharudin bersyukur kerana PPU 2020 berjalan lancar walaupun terdapat sedikit perubahan berikutan situasi COVID-19. – EDISI9

Bertuahnya DAP ada Mahathir

KITA  amat memahami kekecewaan Tun Dr.Mahathir Mohamad apabila beliau kehilangan jawatan Perdana Menteri yang disandang buat kali kedua selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.

Beliau juga mungkin semakin marah apabila anak kesayangannya di Kedah, Datuk Seri Mukhriz akan hilang jawatan Menteri Besar, tetapi wajarkah pemimpin berusia 95 tahun itu menulis satu artikel yang sekali lagi memburuk-burukkan bangsa sendiri.

Mahathir mempertahankan DAP dengan melontarkan ayat, “saya amat malu apabila ramai orang Melayu percaya DAP akan hancurkan kita orang Melayu jika ia berada dalam kerajaan” – Penulis tidak mahu mengulas soal DAP.

Cuma apa yang penulis boleh katakan, beruntung dan bertuahnyan DAP kerana  seorang yang dianggap ‘ultra Malay’ satu ketika dahulu dan pernah menganggap DAP sebagai parti rasis sanggup mencaci serta menghina bangsa sendiri kerana hilang kuasa akibat salah strategi politik yang beliau sendiri aturkan.

Menggunakan perkataan ‘penyangak, penyamun, pencuri’ dan memaparkan ayat, “orang Melayu mempunyai banyak kelemahan”, “Tidak berjaya dalam perniagaan dan perusahaan”, “ramai orang Melayu miskin terlibat dengan dadah, jenayah tertentu dan rasuah serta dalam penjara pun terdapat ramai banduan Melayu.” – membuktikan Mahathir tidak pernah serik dituduh mencaci dan menghina bangsa sendiri.

Tidak perlulah memberi alasan bahawa ia bertujuan menyedarkan orang Melayu dengan menggunakan ayat-ayat seumpama itu. Adakah pemimpin-pemimpin bangsa atau kaum lain menggunakan pendekatan yang sama bagi menaikkan semangat kelompok mereka?

Pernah kita mendengar ada parti-parti politik bukan Melayu bertanya kepada bangsanya adakah mereka bacul?

Jawapannya tidak ada – yang ada perangai pelik itu hanyalah seorang iaitu Tun Mahathir Mohamad. Oleh itu dalam usia semakin lanjut, bekas Perdana Menteri itu sepatutnya belajar untuk redha dengan ketentuan Allah SWT. Bukankah beliau sendiri mengakui sering membaca tafsir al-Quran.

Kalau begitu beliau pasti memahami firman Allah SWT dalam surat Ali Imran ayat 26 yang bermaksud;

“Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan! Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan daripada sesiapa yang Engkau kehendaki.

“Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.”

Ayat ini dengan jelas mengingatkan kita, apapun berlaku segala-galanya atas kehendak Allah SWT dan sehebat manapun perancangan manusia, perancangan Allah akan lebih tepat.

Oleh itu janganlah terlalu mengikut nafsu kemarahan politik sehingga sanggup menghina bangsa sendiri.

Semua orang tahu ini bukanlah kali pertama Mahathir yang menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun dan kemudiannya 22 bulan berbuat demikian.

Sebelum ini sudah acap kali beliau dan  penyokong-penyokong tegarnya (termasuklah sang penasihat yang berasa hebat) menganggap ia bertujuan memberikan motivasi kepada orang Melayu.

Persoalannya teruk sangatkah orang Melayu pada kaca mata Mahathir?

Apakah kerana dendam politik dan kemarahan yang tidak dapat dibendung lagi terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak serta rasa benci mendalam kepada UMNO serta Pas, Mahathir mengambil pendekatan menuduh orang Melayu sebagai bacul dan penakut?

Kalaulah orang Melayu bacul dan penakut, Mahathir tidak akan menjadi Perdana Menteri kali kedua kerana semua orang tahu bagaimana sokongan orang Melayu beralih arah menyokong Pakatan Harapan (PH) dalam PRU-14 kerana termakan hasutan dan propaganda PH yang memburuk-burukkan kerajaan BN ketika itu.

Tetapi kini suasana berubah. Selepas diberi peluang memerintah selama 22 bulan, orang Melayu semakin sedar kesilapan yang mereka lakukan.

Tidak payahlah Mahathir dan konco-konconya mahu mempertahankan bahawa DAP tidak dominan dalam kerajaan PH. Dari segi kerusi kat Dewan Rakyat pun orang sudah boleh agak siapa paling berkuasa.

Sebenarnya Mahathir tahu apa yang berlaku sepanjang beliau bersama dengan DAP semasa dalam kerajaan, tetapi akibat hati sudah dibaluti politik kebencian mendalam dan ditambah pula salah strategi untuk terus menjadi Perdana Menteri maka Ahli Parlimen Langkawi itu menghamburkan apa sahaja dalam fikiran kepada orang Melayu – tidakkah tindakan tersebut tidak boleh dianggap pemimpin Melayu yang bacul kerana berani perlekeh bangsa sendiri sahaja?.

Ternyata kini, Mahathir sekarang bukan Mahathir dahulu – yang sentiasa berhati-hati dalam berkata-kata, biarpun sehebat manapun cabaran politik yang dihadapi.

Mungkin faktor usia  dan mungkin juga rasa kecewa yang mendalam mula bersarang di hati kerana sudahlah  impian untuk melihat Malaysia menjadi negara maju pada tahun 2020 tidak kesampaian, kini beliau pula berada di ambang  akan mengakhiri karier politik dalam keadaan memilukan.

Kasihan… bertabahlah Tun! – Edisi 9

Rejim Zionis Israel perluas imperialisme di Tebing Barat

KETIKA dunia sedang berhempas pulas memerangi pandemik COVID-19 dan rakyat Palestin sedang memperingatkan 72 tahun peristiwa Nakbah dan menderita di bawah pendudukan, rejim Zionis Israel sedang mengambil langkah-langkah serius untuk memperluaskan pendudukan imperialis yang tidak bermoral di tanah-tanah rakyat Palestin.

Perkembangan terbaharu bermula pada 20 April 2020 di mana parti Likud yang diketuai Benjamin Netanyahu serta blok Biru dan Putih yang diketuai Benny Gantz menandatangani perjanjian untuk membentuk sebuah kerajaan darurat yang membenarkan Israel meluluskan undang-undang untuk mengilhakkan sebahagian besar Tebing Barat mulai awal Julai 2020.

Rancangan pengilhakan itu bermatlamat untuk menghalalkan dan mentadbir secara langsung penempatan-penempatan warga Israel yang dibina secara haram di sebahagian besar kawasan Jerusalem dan Tebing Barat, termasuk Lembah Jordan, secara keseluruhan kira-kira 42% daripada keluasan Tebing Barat (63% Kawasan C), yang merangkumi 87% sumber asli di Tebing Barat, 90% daripada hutannya dan 49% daripada sistem jalan rayanya.

Langkah pengilhakan Israel itu merupakan satu lagi bentuk kolonisasi, keganasan dan gengsterisme yang dilakukan oleh rejim Zionis terhadap hak rakyat Palestin.

Merujuk kepada Konvensyen Geneva Keempat, kuasa yang menduduki tidak boleh memindahkan rakyatnya ke kawasan yang diduduki bagi mencegah kolonisasi di wilayah-wilayah yang diduduki.

Pengilhakan wilayah yang diperoleh melalui peperangan adalah dibenarkan di bawah undang-undang antarabangsa, seperti yang dinyatakan dalam mukadimah Resolusi 242 Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) 1967, dan pengilhakan secara paksa serta sehala itu dikecam oleh PBB seperti yang berlaku kita Israel mengilhakkan Jerusalem Timur pada 1980 dan Tebing Golan pada 1981.

Rancangan pengilhakan Israel itu dilakukan selaras dengan usul Perjanjian Abad Ini oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump yang mengiktiraf Jerusalem sebagai ibu negara Israel, Tebing Golan sebagai sebahagian daripada Israel dan memberi kedaulatan kepada Israel atas Lembah Jordan manakala membayangkan negara Palestin tanpa pasukan tentera.

Duta AS ke Israel, David Friedman telah mengesahkan bahawa pentadbiran AS bersedia untuk mengiktiraf pengilhakan Israel terhadap penempatan-penempatan di Tebing Barat.

Beberapa komuniti antarabangsa dan negara telah menolak rancangan Israel itu.

Pegawai-pegawai kanan Kesatuan Eropah (EU) dan PBB memberi amaran kepada Israel bahawa mereka menentang hasrat rejim berkenaan untuk mengilhakkan sebahagian Tebing Barat kerana tindakan itu merupakan kesalahan besar di bawah undang-undang antarabangsa.

Pegawai-pegawai Rusia juga telah menyatakan kebimbangan bahawa rancangan ini akan menjejaskan harapan untuk mewujudkan sebuah “negara Palestin yang bebas, berdaya maju dan mempunyai wilayah bersempadan”.

Perancis turut menggesa negara-negara EU mengancam untuk mengambil tindakan keras terhadap Israel jika rejim Zionis meneruskan pengilhakan tersebut.

Pegawai-pegawai Belgium, Ireland dan Luxembourg juga sedang membincangkan tentang kemungkinan untuk melaksanakan langkah-langkah menghukum Israel dari segi ekonomi.

Kami di Pertubuhan Kebudayaan Palestin Malaysia (PCOM) mengutuk sekeras-kerasnya rancangan rejim Zionis Israel untuk mengilhakkan wilayah-wilayah Palestin yang diduduki.

Kami menyeru semua kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan dan aktivis untuk menolak sepenuhnya rancangan ini dan meneruskan sokongan terhadap hak rakyat Palestin di atas tanah mereka sendiri.

Kami juga menyeru semua pihak mengambil langkah-langkah serius untuk melaksanakan sekatan dan memboikot Israel dalam semua aspek.

Kami turut memanjangkan seruan kepada kerajaan Malaysia untuk mengemukakan bantahan bertulis terhadap rancangan tidak sah Israel itu dan menggesa PBB, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan ASEAN untuk menggembleng tindakan antarabangsa bagi menghentikan keganasan Israel terhadap rakyat Palestin.

Semalam (13 Mei), PCOM telah menganjurkan mesyuarat tergempar dengan rakan-rakannya bagi membincangkan rancangan Israel itu.

Mesyuarat itu dihadiri oleh Islamic Renaissance Front (IRF), Humanitarian Care Malaysia (MyCARE), Majlis Perundingan Pertubuhan-pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Palestine Centre of Excellence (PACE) dan JUST International.

Pelan tindakan telah dirangka dengan merangkumi memulakan perhubungan bersama platform-platform rasmi dan wakil-wakil pertubuhan bukan kerajaan berkaitan, selebriti, aktivis, media dan sokongan serta melaksanakan aktiviti-aktiviti kesedaran dalam talian.

Lebih banyak tindakan akan diambil untuk menyokong tuntutan keadilan dan kebebasan untuk rakyat Palestin.

Selagi rakyat Palestin masih menderita, perjuangan dan penentangan terhadap pendudukan haram dan ganas oleh rejim Zionis Israel akan diteruskan.

PCOM

Apa ‘selera’ 36 ADUN di Kedah?

KUALA LUMPUR – Nasib Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebagai Menteri Besar Kedah akan ditentukan hari ini apabila kesemua 36 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) akan menghadap Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah di Wisma Darul Aman, Alor Setar.

Secara tidak rasminya, Perikatan Nasional (PN) dijangka mengambil alih tampuk kepemimpinan kerajaan negeri apabila 19 ADUN menyatakan sudah hilang kepercayaan kepada kepemimpinan Mukhriz. Mereka terdiri daripada 15 ADUN Pas, dua ADUN UMNO dan dua bekas ADUN PKR.

Jumlah itu tidak termasuk empat lagi ADUN Bersatu yang dikatakan akan turut berada dalam ‘kapal’ yang sama.

Semalam Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, 23 akuan bersumpah daripada ADUN Kedah telah diserahkan kepada Sultan Kedah oleh Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Presiden UMNO Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden Pas  Datuk Seri Abdul Hadi Awang, di Kuala Lumpur.

Walaupun tanpa sokongan empat ADUN Bersatu tersebut, PN masih boleh menubuhkan kerajaan berdasarkan majoriti mudah iaitu 19-17, sekali gus akan memungkinkan Mukhriz tersingkir buat kali kedua sebagai MB Kedah dan tempat beliau dikatakan akan diambil alih oleh Pengarah Pilihan Raya Pas yang juga ADUN Jeneri Muhammad Sanusi Md.Noor.

Namun begitu keputusan muktamad akan diketahui apabila Sultan Kedah selesai menerima menghadap kesemua ADUN berkenaan dan sekali gus menamatkan ketidaktentuan politik di negeri Jelapang Padi berkenaan.

Apapun keputusan, ia diharapkan akan diterima secara terbuka oleh semua pihak sama ada daripada PN mahupun PH.

Jangan pula nanti kalau keputusan memihak kepada PN, akan ada pemimpin-pemimpin tertentu membuat kenyataan Kerajaan Negeri Kedah tidak sah.

Terimalah sahaja hasil pertemuan Sultan Kedah dengan kesemua 36 ADUN tersebut. Tidak perlu lagi mempolemikkan perubahan kerajaan negeri jika ia berlaku.

Sama ada Mukhriz mahupun mana-mana pemimpin PH perlu faham bahawa politik Kedah tidak akan bergolak jika PKR tidak memecat ADUN Sidam, Dr. Robert Lin Kui Ee.

Pemecatan itu telah memungkinkan Kui Ee dan seorang lagi ADUN PKR, Azman Nasrudin (Lunas) mengumumkan keluar parti dan menyatakan sokongan kepada kerajaan PN di bawah kepemimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sepatutnya PKR perlu berhati-hati kerana mereka pasti mengetahui betapa rapuhnya kedudukan Mukhriz tetapi kepemimpinan parti tersebut tidak menghitung perkara berkenaan apatah lagi kedua-dua ADUN mereka itu dikatakan penyokong kuat bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang kini menyertai Bersatu.

Oleh itu seandainya Mukhriz tersingkir berikutan sokongan dua ADUN tersebut kepada Kerajaan PN maka yang harus dipersalahkan ialah PKR.

Mukhriz juga perlu menerima fakta ini dan bukannya menuding jari menyalahkan orang lain termasuk empat ADUN Bersatu yang mungkin akan menyokong Kerajaan PN.

Lagipun bapa Mukhriz dalam pertemuan dengan ADUN Kuah, Mohd.Firdaus Ahmad semalam telah berpesan, ‘tepuk dada, pilih selera’.

Oleh itu janganlah marah jika 23 ADUN termasuk empat ADUN Bersatu menukar ‘selera’ kerana merasakan ‘lauk yang sedia ada’ tidak lagi mengikut arus perubahan. – Edisi 9

Abang portal masuk TV

[SIRI CERITERA SANG PENCERITA – BAHAGIAN 7]

DARI Megabait, ke unit pendidikan aku dihantar untuk membangun portal pembelajaran barang sebentar. Padahal aku bukanlah seorang pakar tapi kerana tugas aku sedia ditukar.

Portal Pendidikan Utusan nama diberi, menyediakan bahan PnP setiap hari. Melalui internet pelajar boleh melayari, untuk memenuhi aplikasi Sekolah Bestari.

Berbulan juga kami siapkan, dari reka bentuk sampailah penyediaan bahan. Ramai pakar diminta turun padang untuk membantu merealisasikan impian.

Perdana Menteri diundang buat pelancaran dengan sambutan secara besar-besaran. Dalam ucapan beliau beri puji-pujian kerana menjadi media pertama hasilkan pendidikan dalam talian.

Bos pun happy bila dipuji sedemikan, mula merancang nak buat promosi berterusan. Ke sekolah-sekolah kami digerakkan, hampir seluruh negeri kami buat pelancaran. Dari Perlis, Negeri Sembilan sampailah Kelantan, Sabah dan Sarawak juga tidak ketinggalan.

Portal Pendidikan Utusan mulai dikenali, guru-guru dan pelajar menggunakannya secara free. Sampailah satu hari bos kata, “ini kena masuk TV”, maka Utusan dan RTM pun berbincanglah dari hati ke hati.

SEGMEN Abang Portal bersiaran setiap hari Isnin dalam Selamat Pagi Malaysia di TV1 sekitar tahun 2004.

Selamat Pagi Malaysia rancangan santai setiap pagi menyajikan pelbagai topik berbentuk informasi. Segmen Abang Portal ruang diberi, temu bual secara langsung dari studio Angkasapuri setiap Isnin pagi.

Teringat pula peristiwa lucu, bila segmen Abang Portal dibatalkan tapi tidak diberitahu. Aku datanglah seperti selalu, dimekapkan dahulu supaya tidak lama menunggu.

Tiba masanya aku tertunggu-tunggu, kenapa tak dipanggil seperti selalu, rupanya segmen Abang Poral dibatalkan hari itu produsernya lupa nak bagi tahu.

Pulang aku dengan mekap di muka ditanya rakan kenapa aku punya rupa, aku kata “tadi dimekap nak kasi seri naik ke muka, sekali segmen Abang Portal hari ini tiada.”

Setahun juga Abang Portal bersiaran sebelum segmen tidak diteruskan. Aku pula kembali menjelajah ke sekolah-sekolah memberi ceramah seperti yang diamanah.

Kali ini bukan lagi dalam talian punya kaedah, tetapi lebih kepada penggunaan akhbar dalam bilik darjah. Seluruh negara aku jelajah menjual surat khabar di sekolah-sekolah. Cuma tak sempat ke Sarawak dan Sabah.

Beri ceramah di sekolah banyak cabaran, kadang seronok kadang menyedihkan. Yelah aku bukan pakar motivasi macam Dr Fazilah Khamsah bila ceramah kau tidak diendah. Pulang ke pejabat terasa gundah.

Paling seronok bila ceramah untuk guru-guru, mereka semua khusyuk macam selalu. Tekun mereka nak mencari ilmu sampai habis majlis depa sanggup tunggu.

Semangat pun mula mengembang, bila ada cikgu-cikgu yang manis dipandang. Kadang ada sekolah minta kami datang, duit minyak turut disediakan padahal aku dah bilang tak usah disusahkan, semua elaun syarikat dah bayarkan.

Tapi mereka tetap berkeras, katanya “ilmu yang aku ajar tak termampu dibalas, jadi pemberian kami ini ikhlas kerana mendidik anak-anak murid kami supaya mereka cerdas.”

Kalau begitu sudah dikata, tak kan aku nak tolak pula. Anggap itu rezeki Allah yang sedia, menjadi penguat semangat untuk terus bekerja.

Lama juga aku di pendidikan sehinggalah aku minta ditukarkan. Bukan tak seronok bersama rakan-rakan cuma sengaja nak tambah pengalaman.

Bagi memenuhi aku punya permintaan, pihak atasan sudah berfikiran untuk menghantar aku jauh ke selatan, akhirnya di Biro Johor aku ditugaskan.

Gembiralah aku tidak terkira meninggalkan Jalan Lima buat kali pertama. Bertugas di biro jadi idaman semua, banyak pengalaman yang dapat ditimba, elaun tambahan pun turut tersedia.

Berangkatlah aku ke Johor Bahru tinggalkan isteri dan anak-anak aku walaupun mereka masih kecil masa itu, namun aku tetap pulang hampir setiap minggu, yelah mana tahan menanggung rindu.

Walaupun di Johor hanya setahun tapi banyak cerita yang aku kendong. Bab seterusnya aku akan ceritakan tentang bigfoot hinggalah isu jambatan. Tidak ketinggalan kisah Mawi putus tunang dan kehilangan ayah tersayang. – Edisi 9

Apa lagi Mukhriz tunggu?

DATUK Seri Mukhriz Mahathir nampaknya masih belum mahu berputus asa untuk terus mempertahankan kedudukannya sebagai Menteri Besar (MB) Kedah.

Tanpa sokongan dua ADUN PKR dan empat ADUN Bersatu, anak bekas Perdana Menteri itu seharusnya faham jawatan politik nombor satu di Kedah itu bukan lagi milik beliau.

Bagaimanapun Mukhriz enggan berundur dan mahu mendapat perkenan Sultan Kedah bagi memohon diadakan Sidang DUN untuk membolehkan undi percaya atau tidak percaya dilaksanakan.

Penulis percaya langkah itu tidak akan ke mana.

Dengan penyerahan surat akuan bersumpah oleh 23 ADUN kepada Sultan Kedah oleh Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Presiden UMNO Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, di Kuala Lumpur semalam, Mukhriz sepatutnya sudah mengemas pejabat MB Kedah dan melangkah keluar secara terhormat.

Apa lagi yang beliau tunggu? Terimalah hakikat bahawa 23 ADUN tidak lagi bersama beliau.

Tak kanlah mahu mempertahan kedudukan sedangkan beliau hanya mempunyai 13 kerusi sahaja termasuk beliau.

Mukhriz tidak mampu untuk meminta pertolongan parti kesayangan bapanya, DAP kerana parti tersebut pun hanya ada dua kerusi sahaja begitu juga sekutu rapat DAP, Amanah yang memiliki hanya empat kerusi manakala PKR lagi tidak boleh harap, mereka pun sebelum ini dikatakan tidak begitu memihak kepada beliau.

Kalau tanya kanak-kanak tadika pun mereka tahu antara 23 kerusi dan 13 kerusi yang mana paling banyak dan paling layak untuk menjadi MB Kedah.

Oleh itu Mukhriz tidak perlu membuang masa untuk mempertahankan kedudukannya.

Kalaupun tidak mahu menjadi Melayu yang bacul (meminjam istilah Mahathir) agak-agak la. Pengunduran beliau secara terhormat sama sekali tidak akan meletakkan beliau dalam kategori Melayu yang dikatakan oleh bapanya itu, sebaliknya menunjukkan jiwa besar untuk memastikan situasi politik di negeri Jelapang Padi itu kembali tenang.

Kedudukan kerusi di Kedah bukan terikat 18-18 seperti sebelum PRU-14 yang mana Mukhriz hanya boleh mengangkat sumpah selepas seorang ADUN UMNO menyertai Bersatu. Beliau kini tiada lagi sokongan majoriti – hanya 13 ADUN bersama beliau termasuk ADUN UMNO berkenaan.

Ketika sidang media semalam, beliau bercakap soal rakyat justeru kalau betul lah beliau mementingkan kelompok tersebut bersabar dan berundur secara terhormat.

Biarkanlah pentadbiran baru menguruskan negeri itu dan bukannya terus bergolak kerana Mukhriz dilihat mahu menunjukkan keberanian tidak bertempat.

Penulis percaya, Mukhriz bukanlah seorang pemimpin yang keras hatinya, cuma mungkin ia menjadi ‘keras’ kerana faktor-faktor tertentu, tetapi beliau perlu menerima qada dan qadar Allah SWT dan mungkin apa yang berlaku ada hikmahnya.

Penulis tidak kisah jika yang beria-ia mempertahankan Mukhriz adalah pegawai-pegawainya sehingga mengeluarkan hujah-hujah yang boleh dipertikaikan, tetapi  Mukhriz ada ‘kelas tersendiri’ dan tidak boleh diletakkan setaraf dengan pegawai yang orang bagi bantuan pun melenting.

Oleh itu Mukhriz harus membuat keputusan dengan hati  ikhlas bukan dikawal oleh nafsu politik pihak lain tidak kita siapapun mereka. Ia kerana keputusan hari ini akan menentukan nasib politik beliau pada masa depan. – Edisi 9