26.6 C
Kuala Lumpur
Tuesday, December 3, 2024

Bertuahnya DAP ada Mahathir

Mesti Baca

Zulkiflee Bakar
Zulkiflee Bakar
Penulis Khas Edisi 9

KITA  amat memahami kekecewaan Tun Dr.Mahathir Mohamad apabila beliau kehilangan jawatan Perdana Menteri yang disandang buat kali kedua selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.

Beliau juga mungkin semakin marah apabila anak kesayangannya di Kedah, Datuk Seri Mukhriz akan hilang jawatan Menteri Besar, tetapi wajarkah pemimpin berusia 95 tahun itu menulis satu artikel yang sekali lagi memburuk-burukkan bangsa sendiri.

Mahathir mempertahankan DAP dengan melontarkan ayat, “saya amat malu apabila ramai orang Melayu percaya DAP akan hancurkan kita orang Melayu jika ia berada dalam kerajaan” – Penulis tidak mahu mengulas soal DAP.

Cuma apa yang penulis boleh katakan, beruntung dan bertuahnyan DAP kerana  seorang yang dianggap ‘ultra Malay’ satu ketika dahulu dan pernah menganggap DAP sebagai parti rasis sanggup mencaci serta menghina bangsa sendiri kerana hilang kuasa akibat salah strategi politik yang beliau sendiri aturkan.

Menggunakan perkataan ‘penyangak, penyamun, pencuri’ dan memaparkan ayat, “orang Melayu mempunyai banyak kelemahan”, “Tidak berjaya dalam perniagaan dan perusahaan”, “ramai orang Melayu miskin terlibat dengan dadah, jenayah tertentu dan rasuah serta dalam penjara pun terdapat ramai banduan Melayu.” – membuktikan Mahathir tidak pernah serik dituduh mencaci dan menghina bangsa sendiri.

Tidak perlulah memberi alasan bahawa ia bertujuan menyedarkan orang Melayu dengan menggunakan ayat-ayat seumpama itu. Adakah pemimpin-pemimpin bangsa atau kaum lain menggunakan pendekatan yang sama bagi menaikkan semangat kelompok mereka?

Pernah kita mendengar ada parti-parti politik bukan Melayu bertanya kepada bangsanya adakah mereka bacul?

Jawapannya tidak ada – yang ada perangai pelik itu hanyalah seorang iaitu Tun Mahathir Mohamad. Oleh itu dalam usia semakin lanjut, bekas Perdana Menteri itu sepatutnya belajar untuk redha dengan ketentuan Allah SWT. Bukankah beliau sendiri mengakui sering membaca tafsir al-Quran.

Kalau begitu beliau pasti memahami firman Allah SWT dalam surat Ali Imran ayat 26 yang bermaksud;

“Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan! Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan daripada sesiapa yang Engkau kehendaki.

“Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.”

Ayat ini dengan jelas mengingatkan kita, apapun berlaku segala-galanya atas kehendak Allah SWT dan sehebat manapun perancangan manusia, perancangan Allah akan lebih tepat.

Oleh itu janganlah terlalu mengikut nafsu kemarahan politik sehingga sanggup menghina bangsa sendiri.

Advertisements

Semua orang tahu ini bukanlah kali pertama Mahathir yang menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun dan kemudiannya 22 bulan berbuat demikian.

Sebelum ini sudah acap kali beliau dan  penyokong-penyokong tegarnya (termasuklah sang penasihat yang berasa hebat) menganggap ia bertujuan memberikan motivasi kepada orang Melayu.

Persoalannya teruk sangatkah orang Melayu pada kaca mata Mahathir?

Apakah kerana dendam politik dan kemarahan yang tidak dapat dibendung lagi terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak serta rasa benci mendalam kepada UMNO serta Pas, Mahathir mengambil pendekatan menuduh orang Melayu sebagai bacul dan penakut?

Kalaulah orang Melayu bacul dan penakut, Mahathir tidak akan menjadi Perdana Menteri kali kedua kerana semua orang tahu bagaimana sokongan orang Melayu beralih arah menyokong Pakatan Harapan (PH) dalam PRU-14 kerana termakan hasutan dan propaganda PH yang memburuk-burukkan kerajaan BN ketika itu.

Tetapi kini suasana berubah. Selepas diberi peluang memerintah selama 22 bulan, orang Melayu semakin sedar kesilapan yang mereka lakukan.

Tidak payahlah Mahathir dan konco-konconya mahu mempertahankan bahawa DAP tidak dominan dalam kerajaan PH. Dari segi kerusi kat Dewan Rakyat pun orang sudah boleh agak siapa paling berkuasa.

Sebenarnya Mahathir tahu apa yang berlaku sepanjang beliau bersama dengan DAP semasa dalam kerajaan, tetapi akibat hati sudah dibaluti politik kebencian mendalam dan ditambah pula salah strategi untuk terus menjadi Perdana Menteri maka Ahli Parlimen Langkawi itu menghamburkan apa sahaja dalam fikiran kepada orang Melayu – tidakkah tindakan tersebut tidak boleh dianggap pemimpin Melayu yang bacul kerana berani perlekeh bangsa sendiri sahaja?.

Ternyata kini, Mahathir sekarang bukan Mahathir dahulu – yang sentiasa berhati-hati dalam berkata-kata, biarpun sehebat manapun cabaran politik yang dihadapi.

Mungkin faktor usia  dan mungkin juga rasa kecewa yang mendalam mula bersarang di hati kerana sudahlah  impian untuk melihat Malaysia menjadi negara maju pada tahun 2020 tidak kesampaian, kini beliau pula berada di ambang  akan mengakhiri karier politik dalam keadaan memilukan.

Kasihan… bertabahlah Tun! – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Malaysia, Timor-Leste sepakat laksana pengecualian visa

MALAYSIA dan Timor-Leste hari ini sepakat untuk melaksanakan pengecualian visa bagi rakyat bagi kedua-dua negara, kata Perdana Menteri, Datuk...

Lagi Artikel Berkaitan