26.5 C
Kuala Lumpur
Friday, April 19, 2024

Berakhirnya perjuangan Mukhriz di Kedah

Mesti Baca

Zulkiflee Bakar
Zulkiflee Bakar
Penulis Khas Edisi 9

KUALA LUMPUR – Penulis menerima satu mesej daripada seorang sahabat di Alor Setar berbunyi, “ESOK, AHAD 17/5/2020 SIDANG MEDIA DSU MUKHRIZ TUN MAHATHIR DI BILIK GERAKAN NEGERI, BLOK E, WISMA DARUL AMAN – 10 HRS”.

Pemakluman itu diterima ketika khabar angin semakin kencang menyatakan negeri Jelapang Padi tersebut akan mendapat Menteri Besar (MB) baharu sebelah petang hari yang sama iaitu kira-kira enam selepas sidang media Mukhriz.

Setakat ini, belum ada sebarang kenyataan rasmi daripada Istana Kedah berhubung hasil majlis menghadap ke atas Sultan Kedah Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah oleh 36 ADUN Kedah di Alor Setar, semalam.

Lewat petang semalam beberapa portal berita melaporkan negeri tersebut akan mendapat kerajaan dan MB baharu, esok.

Menurut laporan berkenaan, Sultan Sallehuddin berpuas hati Perikatan Nasional (PN) memperolehi majoriti untuk membentuk kerajaan baru bagi menggantikan pentadbiran Mukhriz.

Hari ini, ketika dihubungi, satu sumber memberitahu penulis, “perjuangan Mukhriz sudah berakhir” yang sekali gus memberi isyarat anak kesayangan Tun Mahathir Mohamad itu akan kehilangan jawatan MB Kedah buat kali kedua.

Walaupun jumlah sebenar ADUN yang menolak kepemimpinan beliau tidak dimaklumkan secara rasmi, tetapi apa yang pasti Mukhriz sudah tiada majoriti di Dewan Undangan Negeri.

Sebelum ini 23 ADUN dikatakan hilang kepercayaan terhadap beliau. Mereka ialah Pas (15), UMNO (2), Bebas – bekas ADUN PKR (2) dan Bersatu (empat).

Bagaimanapun ada juga suara-suara nakal menyatakan jumlah ADUN yang menyokong PN menubuhkan kerajaan bukan sekadar enam orang tetapi lapan orang.

Ia memandangkan dalam kalangan ADUN PKR, ada di antara mereka bak kata orang Kedah, ‘tak berapa berkenan’ dengan Mukhriz.

Tanpa sokongan 23 ADUN tersebut, Mukhriz yang akan menentang Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi merebut jawatan Presiden Bersatu hanya memiliki 13 sokongan ADUN termasuk beliau dengan pecahan – Bersatu (2), Amanah (4), DAP (2) dan PKR (5).

“Terhumban” kali kedua dari kerusi MB sudah tentulah sesuatu yang perit bagi Mukhriz yang diharapkan oleh Mahathir meneruskan legasi perjuangan bekas Perdana Menteri itu dalam arena politik.

Lebih memeritkan senario hampir sama seperti 3 Februari 2016 apabila mengumumkan perletakan jawatan sebagai MB kerana kehilangan sokongan daripada majoriti ADUN.

Lebih perit lagi, kali ini empat daripada parti beliau sendiri iaitu Bersatu dikatakan memberi sokongan kepada Kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang mencalonkan ADUN Jeneri Muhamad Sanusi Md Nor bagi menggantikan Mukhriz sebagai Menteri Besar.

Kedudukan Mukhriz mulai tergugat apabila Mahathir meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri sehingga menyebabkan Kerajaan PH ‘tumbang’.

Tindakan Bersatu keluar daripada pakatan tersebut meletakkan Mukhriz berada dalam keadaan tidak stabil.

Ia memandangkan Mukhriz bekerjasama dengan DAP, PKR dan Amanah untuk menubuhkan kerajaan di Kedah dengan majoriti 19-17, bagaimanapun apabila Bersatu keluar daripada PH, Mukhriz yang tidak bersetuju dengan langkah itu mengikut bapanya untuk terus bekerjasama dengan PH, walaupun masih berada di dalam Bersatu.

Pendirian politik yang dianggap mengelirukan itu memungkinkan kedudukan Mukhriz dalam bahaya, walaupun pada awalnya ada kesepakatan bahawa Pas dan UMNO tidak akan mengganggu beliau sebagai MB.

Bagaimanapun senario berubah apabila pucuk pimpinan PKR – biarpun mengetahui kedudukan getir di Kedah membuat keputusan memecat ADUN Sidam, Dr. Robert Ling Kui Ee sehingga menyebabkan ADUN Lunas juga dari PKR, Azman Nasrudin mengisytiharkan keluar parti.

Kedua-dua mereka dikatakan penyokong kuat bekas Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang kini menyertai Bersatu.

Tindakan PKR menyebabkan Mukhriz kehilangan sokongan majoriti di DUN. Kalaupun empat ADUN Bersatu menyebelahi Mukhriz, beliau tetap tumbang kerana PN memiliki majoriti 19-17.

Sememangnya kita tidak pasti apa yang mahu diperkatakan Mukhriz dalam sidang media beliau esok.

Beliau boleh berkata apa sahaja tetapi jatuh kali kedua dari kerusi MB Kedah seharusnya menjadi pengajaran kepada ahli politik berusia 56 tahun itu untuk memahami ada sesuatu tidak kena terhadap pendekatan politiknya selama ini.

Sama ada betul, terserah kepada Mukhriz memikirkannya. Apapun terima kasih kerana menjadi MB penulis sebanyak dua kali dan simpati penulis kerana tersingkir sebanyak dua kali. – EDISI9

Terkini

Amir Hamzah ketuai delegasi Malaysia ke mesyuarat IMF, WBG

MENTERI Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Musim Bunga Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF)...

Lagi Artikel Berkaitan