27.9 C
Kuala Lumpur
Wednesday, April 24, 2024

Tun M, kembalilah bersama Muhyiddin

Mesti Baca

Zulkiflee Bakar
Zulkiflee Bakar
Penulis Khas Edisi 9

HUBUNGAN antara Tun Dr. Mahathir Mohamad dengan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sudah lama terjalin.

Bekas Perdana Menteri itu yang bertanggungjawab melantik Muhyiddin sebagai Setiausaha Parlimen Kementerian Luar Negeri pada tahun 1981.

Apabila Muhyiddin berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Pagoh dalam pilihan raya umum 1982, Mahathir melantik beliau sebagai Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, selepas setahun Muhyiddin bertukar portfolio sebagai Timbalan Menteri Perdagangan dan Perindustrian sehingga tahun 1986, sebelum dilantik menjadi Menteri Besar Johor selama tiga penggal.

Penulis sengaja memaparkan perjalanan awal politik Muhyiddin bersama Mahathir bagi menunjukkan betapa akrab kedua-dua pemimpin ini. Paling tidak boleh dilupa ialah pada tahun 2008 apabila Barisan Nasional (BN) mencatatkan prestasi buruk dalam Pilihan Raya Umum Ke-12.

Keputusan buruk itu dikaitkan dengan kritikan Mahathir terhadap kepemimpinan Abdullah sehingga mewujudkan persepsi dalam kalangan rakyat terhadap kerajaan BN.

Mungkin Mahathir lupa tetapi semua orang masih ingat bagaimana dalam wawancara bersama Mingguan Malaysia yang disertai oleh penulis, Muhyiddin dengan lantang menegaskan, masanya sudah tiba untuk UMNO melakukan perubahan kepemimpinan. – Ketegasan Muhyiddin itu dikaitkan dengan suara Mahathir.

Penulis masih ingat Muhyiddin menegaskan apa yang beliau lakukan demi kebaikan orang Melayu dan negara.

Apabila Najib dilantik sebagai Perdana Menteri, Muhyiddin pula menggalas tugas sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Apabila Mahathir mula ‘menyerang’ Najib berikutan isu 1MDB sekitar tahun 2015, Muhyiddin atas nama mahu menegakkan kebenaran telah bersama Mahathir biarpun mempertaruhkan kedudukan beliau sebagai Timbalan Presiden UMNO dan Timbalan Perdana Menteri.

Muhyiddin menyokong Mahathir menubuhkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) walaupun hakikatnya penubuhan parti itu menyebabkan Melayu semakin berpecah belah.

Muhyiddin tidak bercakap banyak apabila Mahathir sedia bekerjasama dengan DAP. Apabila sudah berada dalam Kabinet, Muhyiddin mula menyedari ‘wajah sebenar’ DAP.

Tetapi Muhyiddin tidak pernah bercakap secara terbuka kerana bimbang ia menjejaskan PH.

Pasti ada sesuatu yang dilakukan oleh DAP menyebabkan Muhyiddin mahu ‘berkerat rotan dan berpatah arang’ dengan parti berkenaan.

Bagaimanapun ia ditentang oleh Mahathir sehingga Bersatu terpecah dua dan Kerajaan PH ‘tumbang’ apabila Mahathir meletakkan jawatan.

Advertisements

Rentetan sejarah politik ini membuktikan bahawa Muhyiddin adalah penyokong setia Mahathir tetapi beliau bukan ‘penyokong fanatik’ bekas Perdana Menteri tersebut.

Muhyiddin terpaksa membuat langkah poltiik yang menimbulkan kemarahan Mahathir demi orang Melayu dan negara.

Bagaimanapun Mahathir tetap Mahathir, sesiapa sahaja yang menentang kemahuan politik pastinya ‘tidak akan selamat’, apatah lagi apabila bekerjasama dengan kelompok yang sudah dibenci ahli politik berusia 95 tahun tersebut.

Soalnya, sampai bilakah Mahathir mahu bermusuhan dengan Muhyiddin? Dan apakah keuntungan beliau perolehi dengan berbuat demikian?

Mahathir perlu faham beliau tidak ada apa-apa kekuatan. Dalam PH beliau sekadar ‘penumpang’ dan di dalam Bersatu, pengaruhnya semakin luntur mahu diharapkan kepada Datuk Seri Mukhriz, anaknya itu pun sudah ‘hanyut’ dari kerusi MB Kedah – kali kedua pulak tu.

Adalah lebih baik dalam usia semakin lanjut dan kudrat yang semakin berkurangan, Mahathir kembali bersama Muhyiddin.

Hakikatnya beliau tidak ada pilihan. Dalam soal ini penulis teringat satu mesej yang diterima melalui aplikasi WhatsApp hari ini. Antara lain isi kandungannya berbunyi;

“Buah fikiran saya…Tun bersama DAP dan PKR, beliau hanya dipergunakan untuk DAP dan PKR kembali berkuasa. Tun sudah tidak boleh ke kanan atau ke kiri. Beliau akan kembali dihormati sekiranya beliau bekerjasama dengan Tan Sri Muhyiddin dalam Perikatan Nasional dan berehat. Kedudukan Mukhriz akan lebih baik sekiranya Tun kembali bersama Muhyiddin dan berehat dengan menjadi MP (ahli Parlimen) biasa.’’

Tidak perlulah penulis nyatakan siapa pengirim mesej tersebut tetapi apa yang pasti, itulah harapan sebahagian orang Melayu.

Ia kerana politik kebencian yang dibawa oleh Mahathir sama sekali tidak akan menguntungkan orang Melayu, sebaliknya akan terus melemahkan kuasa politik orang Melayu.

Muhyiddin tidak ada apa-apa kesalahan dan tetap menghormati Mahathir. Muhyiddin hanya tidak mahu berkawan dengan DAP – sebuah parti yang menyebabkan orang Melayu semakin membenci PH.

Muhyiddin bukan Melayu bacul tetapi seperti mana pendirian beliau atas nama kebenaran menyokong Mahathir ketika bekas Perdana Menteri itu mengkritik Abdullah dan Najib dulu, begitulah juga sekarang Muhyiddin sanggup menggadaikan kedudukannya kerana “tahu apa sebenarnya berlaku dalam Kabinet”.

Dalam usia 95 tahun, seperti mana pesan pengirim mesej tersebut, Mahathir sepatutnya berehat dan menjadi ahli Parlimen biasa, sekali gus akan meletakkan kedudukan Mukhriz dalam arena politik lebih baik.

Mukhriz kini dilihat ‘mangsa’ politik bapanya. Mungkin ia sekadar persepsi tetapi berdasarkan kepada kedudukan Mukhriz sekarang, Mahathir seharusnya bertanggungjawab kerana perjalanan politik anak kesayangannya itu semakin ‘tersekat’.

Justeru demi orang Melayu dan masa depan negara, Mahathir perlu menyokong Muhyiddin. Sampai bila nak buat berperangai bergaduh dengan semua Perdana Menteri, takkanlah Mahathir merasakan beliau sahaja layak dan hebat menduduki jawatan berkenaan?

Dulu zaman Abdullah dan Najib mungkin beliau akan berjaya, tetapi pada era Muhyiddin, penulis yakin tersalah strategi, Mahathir akan tersisih daripada arena politik negara dalam keadaan memalukan. – EDISI9

Advertisements

Terkini

Bantuan awal kepada waris mangsa nahas helikopter TLDM

KERAJAAN bersetuju menyalurkan bantuan awal sebanyak RM10,000 kepada setiap keluarga mangsa nahas dua helikopter milik Tentera Laut Diraja Malaysia...

Lagi Artikel Berkaitan