28.8 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Anwar ingatkan siapa?

Mesti Baca

Zulkiflee Bakar
Zulkiflee Bakar
Penulis Khas Edisi 9

“SAYA beritahu bahawa dalam keputusan Pakatan Harapan (PH), saya sekarang Pengerusi PH dan Ketua Pembangkang. Walaupun ada usaha-usaha atau orang lain yang mahu mencabar kedudukan itu, tetapi (itu) konsensus yang dicapai dalam PH.”

Kenyataan tegas ini dibuat oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sekali gus memberi isyarat kepada Tun Dr. Mahathir Mohamad bahawa beliau janganlah memandai-mandai mahu jawatan berkenaan selepas meletakkan jawatan Perdana Menteri dan mencetuskan konfrontasi dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Ketegasan Anwar ini meletakkan kedudukan Mahathir semakin terumbang-ambing, pembangkang pun tidak, kerajaan pun tidak mahu.

Tindakan beliau yang awal-awal lagi menyatakan akan duduk di blok pembangkang dalam Dewan Rakyat boleh dianggap ‘memakan diri’.

Tindakan beliau yang awal-awal lagi menyatakan akan duduk di blok pembangkang dalam Dewan Rakyat boleh dianggap ‘memakan diri’.

Dikatakan daripada 35 Ahli Parlimen Bersatu, empat dikatakan bersama Mahathir yang juga Ahli Parlimen Langkawi.

Tidak mungkin Anwar akan membenarkan beliau dikecewakan atau terus mengikut rentak politik Mahathir yang kesudahannya menyaksikan Anwar tidak mendapat apa-apa.

Bagaimanapun ia tidak bermakna Anwar tidak akan menyokong usul tidak percaya dibawa oleh Mahathir ke atas Muhyiddin.

Lagipun Anwar sudah membuat kenyataan bersama Mahathir untuk mengembalikan semula mandat rakyat yang disifatkan mereka dirampas oleh Kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Persoalannya mampukah Mahathir dengan bantuan Anwar menumbangkan Muhyiddin?

Dan adakah Anwar akan membenarkan dirinya seolah-olah dipergunakan lagi oleh Mahathir bagi mencapai agenda politik balas dendam bekas Perdana Menteri tersebut?

Adakah Mahathir akan meminta Anwar melantik anaknya Datuk Seri Mukhriz menjadi Timbalan Perdana Menteri jika Muhyiddin berjaya ditumbangkan?

Dan Adakah Anwar akan mengotakan janji tersebut sedangkan Mahathir sendiri memungkirkan janji dengan Anwar?

Dan adakah Anwar dan PH akan meraih keuntungan politik dengan terus bersama Mahathir yang dilihat semakin ditolak oleh rakyat dan menjadi punca pakatan itu kehilangan kuasa selepas 22 bulan memerintah?

Bolehkah lagi mereka mempercayai kata-kata dan janji-janji ahli politik berusia 95 tahun itu?

Hakikatnya Mahathir seperti juga Mukhriz kini berada di posisi ‘yang dikejar belum tentu dapat, yang dikendong semakin berciciran’.

Penulis percaya pemimpin-pemimpin PH sudah serik dengan politik Mahathir.

Dulu mereka memusuhi beliau dan berkawan semula untuk menjatuhkan BN, tetapi sekarang Mahathir ‘menjatuhkan’ mereka selepas menjadi kerajaan dan kini mahu berkawan semula dengan mereka selepas ‘tiada lagi tempat bergantung’.

Mungkin atas sebab itulah juga, pemimpin-pemimpin PKR dan DAP tidak begitu teruja dengan keghairahan Mahathir untuk mengemukakan undi tidak percaya kepada Muhyiddin.

Mungkin tahap kepercayaan mereka kepada Mahathir mulai luntur selepas apa yang berlaku sepanjang 22 bulan berkawan rapat.

Kalau Mahathir mahu menjadi Perdana Menteri semula, ia boleh dianggap satu mimpi memandangkan beliau tidak mempunyai sokongan.

Ahli Parlimen Langkawi tersebut secara kasarnya hanya mempunyai sokongan sekitar 14 Ahli Parlimen termasuk beliau.

Selain daripada lima ahli Parlimen Bersatu, Mahathir mengharapkan sokongan sembilan Ahli Parlimen Warisan diketuai oleh Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal.

Tetapi khabarnya, kedudukan Mohd. Shafie di Sabah pun dikatakan semakin goyah.

Mahathir betul-betul berharap kepada sokongan PH yang terdiri daripada DAP (42 kerusi), PKR (40 kerusi) dan Amanah (11 kerusi), tetapi soalnya mahukah mereka memilih sebagai Perdana Menteri dan membuat perjanjian serah menyerah jawatan kepada  Anwar sekali lagi.

Bukankah ketika menjadi Perdana Menteri Interim, Mahathir mengusulkan supaya Kabinet sedia ada dibubarkan dan beliau mahu menubuhkan Kabinet Perpaduan?

Tetapi tidak perlu fikir jauh, hakikatnya Mahathir tidak akan mendapat majoriti sebaliknya ketika ini Muhyiddin dikatakan mendapat sokongan daripada UMNO yang memiliki 42 kerusi, Bersatu (30 kerusi), PAS (18 kerusi), Gabungan Parti Sarawak (18 kerusi), MCA (2 kerusi), MIC (1 kerusi), PBRS (2 kerusi). Keseluruhan 113 kerusi.

Oleh itu Mahathir perlu bersedia untuk menjadi seorang lagi bekas Perdana Menteri mencatatkan sejarah duduk di blok pembangkang, jika beliau masih juga mahu terus ‘berperang’ dengan Muhyiddin.

Boleh sahaja Mahathir mempertahankan prinsipnya tidak mahu berkawan dengan UMNO, tetapi beliau juga perlu bersedia menjadi pemimpin yang tidak ada apa-apa lagi kuasa mahupun pengaruh dalam politik.

Untuk Anwar pula, sebenarnya beliau mungkin lebih sesuai kembali menjadi Ketua Pembangkang tanpa perlu membuat perjanjian dengan sesiapa lagi. – EDISI9

Terkini

Beras dibuang di tapak pelupusan sampah tidak selamat dimakan

BERAS yang didakwa dibuang di tapak pelupusan sampah di Temerloh, Pahang didapati telah rosak dan tidak sesuai serta tidak...

Lagi Artikel Berkaitan