24.4 C
Kuala Lumpur
Friday, May 24, 2024
Home Blog Page 1690

Mahathir bagai ‘melukut di tepi gantang’

TUN Mahathir Mohamad mungkin berasa bangga kerana kononnya dapat ‘tunjuk kepada dunia’ bahawa beliau tegas menolak pembentukan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) dengan duduk di blok pembangkang bersama 106 ahli Parlimen (MP) lain pada sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Mungkin kalau tindakan tersebut dilakukan sebelum Pakatan Harapan (PH) memerintah, ia mungkin akan memberi manfaat kepada pakatan tersebut dan Mahathir sendiri, tetapi manuver politik terbaru ini ‘sudah basi’ dan ‘tidak laku’ lagi.

Rakyat sudah tidak melihat pemimpin berusia 95 tahun itu melakukannya atas dasar prinsip, apatah lagi untuk rakyat, sebaliknya mengikut amarah politiknya apabila Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Presiden Bersatu menubuhkan kerajaan bersama UMNO dan Pas serta Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Sebagai Pengerusi Bersatu, Mahathir sepatutnya sedar penubuhan Kerajaan PN adalah kesilapan beliau sendiri. Bukan orang lain yang membuka pintu belakang atau tebuk atap, tetapi Mahathir yang menebuk ‘bahtera’ PH sehingga ia akhirnya tenggelam.

Mahathir yang tersalah strategi apabila mahu mewujudkan pentadbiran negara mengikut kemahuan sendiri dengan berhasrat menubuhkan Kabinet Perpaduan. Hasrat itu ditentang oleh sekutunya dalam PH termasuk parti kesayangannya, DAP.

Akhirnya apabila setiap seorang daripada Ahli Parlimen dipanggil menghadap Yang di-Pertuan Agong bagi menentukan siapakah yang menjadi pilihan mereka menjadi Perdana Menteri, keputusannya ialah seperti mana titah Seri Paduka hari ini iaitu Muhyiddin dipilih sebagai Perdana Menteri selepas mendapati Ahli Parlimen Pagoh itu mendapati sokongan majoriti Ahli Parlimen.

Seri Paduka juga bertitah berasa dukacita kerana usaha memujuk Mahathir tidak meletakkan jawatan tidak berjaya.

Oleh itu tidak perlulah Mahathir mahu ‘bersandiwara’ seolah-olah kejatuhan Kerajaan PH berpunca daripada pengkhianatan Muhyiddin. Kalaulah Ahli Parlimen Langkawi itu bak kata orang Kedah ‘tak gatai-gatai pi letak jawatan’ sudah pasti PH tidak akan kehilangan tampuk pemerintahan negara.

Dengan faktor usia, Mahathir merajuk kerana Muhyiddin mahu bekerjasama dengan UMNO dan apabila beliau meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri, Mahathir berharap beliau akan mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen untuk kembali menduduki jawatan itu seterusnya memerintah mengikut cara beliau tanpa ada lagi tempoh bila mahu peralihan kuasa perlu dilakukan.

Ternyata helah politik Mahathir ini hanya ‘memakan diri’ apabila PH mencalonkan Datuk Seri Anwar Ibrahim manakala UMNO, Pas, GPS dan sebahagian Ahli Parlimen Bersatu mencalonkan Muhyiddin.

Dan kini Mahathir cuba menunjukkan beliaulah ‘pejuang sejati’ apabila tetap mahu bersama PH biarpun, Anwar sudah menyatakan pakatan itu kini hanya dianggotai oleh PKR, DAP dan Amanah dan “saya adalah Ketua Pembangkang – ini konsensus dalam PH.”

Mahathir tentu faham dengan kenyataan Anwar itu, beliau kini meletakkan dirinya bersama empat lagi Ahli Parlimen ibarat `melukut di tepi gantang’ dalam usaha bekerjasama dengan PH.

Parti-parti dalam pakatan itu hanya mahukan undi Mahathir dan geng beliau sahaja jika mereka mahu mencalonkan Anwar sebagai Perdana Menteri.

Mahathir tidak ada apa-apa kekuatan untuk membuat sebarang tuntutan kepada PH termasuklah kalaulah berhasrat untuk mencalonkan anaknya, Datuk Seri Mukhriz sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Tambahan pula sudah terdapat desas-desus yang menyatakan jumlah sokongan kepada Muhyiddin akan bertambah secara senyap jika benar undi tidak percaya dilaksanakan. Dari mana dan siapakah yang akan memberi sokongan secara senyap itu, sama-samalah kita tunggu.

Berdasarkan kepada kedudukan kerusi di Dewan Rakyat hari ini, ia memberi isyarat awal bahawa Muhyiddin sememangnya mempunyai majoriti dengan menyaksikan seramai 114 ahli Parlimen (122 jika termasuk Senator) duduk di blok kerajaan manakala Mahathir pula akan menamatkan perjalanan politiknya bersama 106 lagi ahli Parlimen di blok pembangkang jika beliau terus mempertahan pendirian yang berpunca daripada kesilapannya sendiri.

Bagaimanapun buat masa ini, Mahathir tidak perlulah mengganggu Muhyiddin menguruskan negara. Beliau boleh memberi pendapat secara ikhlas dan bukannya bermotif politik, apatah lagi dibaluti politik kebencian.

Kalau Mahathir yakin beliau akan mampu menumbangkan Muhyiddin melalui undi tidak percaya maka bersabarlah menanti sidang Dewan Rakyat Julai ini. Begitulah juga kalau beliau yakin Mukhriz mampu menumpaskan Perdana Menteri dalam perebutan kerusi Presiden Bersatu.

Tetapi berdasarkan senario politik hari ini, jika Mahathir merasakan beliau masih lagi kuat dan berpengaruh seperti mana sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dan PH masih bergantung kepada beliau untuk meraih sokongan rakyat, percayalah Ahli Parlimen Langkawi itu sedang ‘menggali kubur’ politiknya yang kalau tersilap langkah turut akan menyeret Mukhriz bersama.

Janganlah Mahathir terlalu yakin masih ada kekuatan sehingga pemimpin-pemimpin PKR dan DAP masih mahu terus bekerjasama dengan beliau, sebenarnya mereka kasihan kepada bekas Perdana Menteri itu kerana berada dalam kedudukan macam tidak keruan, bak kata seorang kawan, ‘ke kanan pun tidak, ke kiri pun tidak’.

Oleh itu apabila mereka ‘masih menerima’ Mahathir sekurang-kurangnya ada blok untuk beliau ‘menumpang kasih’ biarpun dilihat sudah berada pada kedudukan ‘melukut di tepi gantang’.

Tulisan ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Edisi 9.

Black Scorpions MTD juara ragbi Super Schools Malaysia 2020

0

MAKTAB Tentera Diraja (MTD) mengungguli kejohanan ragbi maya 15-sebelah Super Schools Malaysia musim 2020 yang berakhir semalam.

Pasukan Black Scorpions mengatasi Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR) setelah proses undian melalui laman Instagram Super Schools Malaysia selesai.

MTD bergelar johan setelah menerima 52 peratus undian berbanding 48 peratus undian yang diterima lawannya pada pusingan akhir.

MTD
Gambar: Instagram Super Schools Malaysia

Terdahulu, dalam pusingan separuh akhir, Black Scorpions menewaskan Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) manakala STAR mengatasi Kolej Sultan Abdul Hamid (KSAH).

MTD
Gambar: Instagram Super Schools Malaysia

Keputusan undian pusingan suku akhir adalah seperti di bawah.

MTD
Gambar: Instagram Super Schools Malaysia
Gambar: Instagram Super Schools Malaysia

Kejohanan ragbi Super Schools Malaysia tertangguh selama sebulan akibat penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan disambung semula menerusi kaedah undian maya untuk menentukan pemenang setiap pusingan.

Gambar: Instagram Super Schools Malaysia
Gambar: Instagram Super Schools Malaysia

Jadi, sebelum pandemik COVID-19 melanda, semua perlawanan peringkat kumpulan memang berlangsung di atas padang yang sebenar.

MTD
Gambar: Instagram Super Schools Malaysia

Kedudukan 12 pasukan yang berentap mengikut kumpulan masing-masing seperti yang dipaparkan di bawah.

Gambar: Instagram Super Schools Malaysia
Gambar: Instagram Super Schools Malaysia
Gambar: Instagram Super Schools Malaysia
MTD
Gambar: Instagram Super Schools Malaysia

Tahniah Black Scorpions MTD!

Politik Malaysia perlukan normal, wajah baharu

SELAMA 30 tahun kita dihidangkan dengan drama politik yang hampir sama oleh para pelakon sama yang memegang watak yang sama, plot cerita yang hampir serupa. Mana ada satu drama bersiri yang mampu bertahan sebegini lama?

Semasa penulis berusia remaja ada drama-drama bersiri di TV semasa itu yang seolah-olah tidak ada kesudahannya, setiap minggu ditayang selama bertahun-tahun. Antara yang penulis ingat Little House On The Prairie, The Sullivans atau Dallas.

Namun walaupun siri drama-drama ini begitu panjang sehingga memakan masa bertahun-tahun tetapi tetap ada pengakhirannya.

Berbeza dengan drama politik di Malaysia ini. Sejak tahun 1980-an kita disajikan dengan aksi perbalahan oleh dua watak iaitu Mahathir Mohamad dan Anwar Ibrahim sehinggalah salah seorangnya dihumban ke penjara.

Walaupun sudah berada di dalam penjara, Anwar masih mampu mengatur gerakan sehingga tertubuhnya parti politik yang bertujuan membebaskan dan mengangkat dirinya menjadi pemimpin tertinggi negara.

Pada masa yang sama wujud watak-watak tambahan seperti Kit Siang dan Mat Sabu yang menjadi bumbu bagi menguatkan lagi plot penceritaan dengan adegan-adegan suspen dan kadang kala aksi ‘stunt’ drama politik.

Tahun berganti tahun, bulan berganti bulan watak-watak ini terus mengisi slot drama politik tanah air walaupun kemudiannya wujud jalan cerita tambahan menerusi kisah 1MDB dan wang derma Arab menerusi watak Najib Razak, namun watak Mahahthir, Anwar dan Kit Siang tidak pernah mati atau dimatikan.

ANWAR dan Mahathir masih kekal sebagai pemegang watak utama dalam ‘drama politik’ negara selama lebih 30 tahun. – Sumber: Focus Malaysia

Maka andai penonton yang lahir pada tahun 1980-an dapat menyaksikan drama bersiri ini, sehinggalah dia berusia lebih 30 tahun drama politik dengan watak dan plot yang sama meleret-leret dan berlarutan masih dapat disaksikan sehingga ke hari ini.

Begitulah statiknya politik negara kita yang disuguhkan kepada rakyat sehingga ke hari ini. Tiada pembaharuan, tiada watak-watak baharu sebaliknya watak-watak yang sama mengisi slot perebutan jawatan, pecat-memecat, gantung-menggantung.

Sebagai penonton yang menyaksikan drama politik ini selama lebih 30 tahun, penulis merasa mual, loya dan ingin muntah di samping jenuh, bosan dan menyampah dengan drama politik tersebut tetapi mahu tidak mahu terpaksa menyaksikannnya kerana tiada pilihan.

Pilihan raya umum silih berganti, pakatan demi pakatan dibentuk dan kerajaan sudah bertukar ganti namun para pemainnya masih orang yang sama. Walaupun sudah berusia lanjut hampir satu abad, namun pelakon-pelakon ini masih tetap beraksi dengan watak masing-masing.

Penulis percaya hampir seluruh rakyat yang menjadi penonton sudah jenuh dengan drama ini. Mereka mengharapkan normal baharu dalam politik negara, dengan menampilkan wajah-wajah baharu yang lebih segar mental dan fizikal.

Mereka mahupuan watak-watak yang boleh membawa negara ke hadapan 50 tahun akan datang, bukannya menerusi ‘hero lama’ membawa wawasan lapok 30 tahun lalu ketika era multimedia di dalam cakera padat, untuk mengharungi zaman digital yang semuanya berada di dalam telefon pintar.

Sungguh, penulis masih tertanya-tanya apakah di negara kita ini memang ketandusan pelakon untuk memegang watak-watak utama sebagai Perdana Menteri atau pemimpin parti politik kita sehingga selama 30 tahun kita bergantung harap dengan pelakon-pelakon yang sama?

Apakah di Malaysia cuma Mahathir dan Anwar sahaja yang mampu menjadi seorang pemimpin negara? Apakah orang lain tidak layak, sepertimana Arnold Schwarzenegger yang masih kekal sebagai pemegang watak robot masa depan yang turun ke bumi untuk menyelamatkan John Connor walau pun sudah lanjut usia?

Penulis pernah menanyakan soalan ini kepada beberapa rakan yang aktif berpolitik dan mereka mengakui bahawa pelakon-pelakon ini tidak akan pernah berhenti sehingga nyawa mereka dicabut satu-persatu. Semasa itulah baharu akan lahir watak-watak baharu yang diharapkan dapat muncul.

Kalau begitulah kesudahannya, penulis amat berharap dalam pilihan raya umum akan datang tiada lagi mereka yang bernama Mahathir Mohamad, Anwar Ibrahim, Lim Kit Siang, Mohamad Sabu sebagai calon. Dan jika ada sekali pun, jangan jadikan mereka pilihan kita.

Berilah laluan kepada generasi muda yang lebih bertenaga dari segi fizikal dan mental untuk menerajui negara.

Sudah-sudahlah Mahathir, Anwar atau Najib sekali pun. Parti-parti politik tanpa mengira sama ada kerajaan atau pembangkang, bawalah orang muda ke hadapan untuk memimpin mereka agar kedinamikan politik negara dapat dirasai.

Kami sudah jenuh dengan cerita lama yang diulang-ulang oleh watak-watak yang sama. Kami mahukan satu pengkisahan politik negara yang segar, damai dan matang tanpa hiruk-pikuk perebutan kuasa sesama sendiri.

Kami mahu normal baharu dalam politik negara.

Duta China ke Israel ditemukan mati

DUTA Besar China ke Israel, Du Wei ditemukan mati di kediamannya di utara Tel Aviv, Israel pada awal pagi 17 Mei.

Memetik laporan Aljazeera, kejadian itu disahkan oleh Kementerian Luar dan polis Israel.

Polis Israel telah memulakan siasatan namun punca kematian tidak dimaklumkan.

Jurucakap polis, Micky Rosenfeld mengesahkan mayat Du Wei ditemukan oleh kakitangannya di rumahnya di Herzliya.

Berdasarkan laporan media, penilaian awal mendapati mendiang mungkin mati akibat serangan jantung.

Walau bagaimanapun, tiada pengesahan rasmi tentang dakwaan tersebut.

Du Wei mula bertugas di Israel sejak Februari lalu dan sebelum ini, beliau bertugas di Ukraine.

Beliau meninggalkan seorang isteri dan anak, kedua-duanya tidak berada di Israel.

Israel mempunyai hubungan yang baik dengan China.

Kematian Du Wei berlaku dua hari selepas beliau mengecam komen Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Mike Pompeo yang mengecam pelaburan China di Israel dan menyalahkan China kerana menyembunyikan maklumat tentang pandemik COVID-19.

Rayu Malaysia tegas pendirian bantah Israel rampas Tebing Barat

ENAM pertubuhan yang menyokong perjuangan rakyat Palestin di negara ini merayu kepada kerajaan Malaysia untuk menyuarakan pendirian terhadap rancangan rejim Zionis Israel untuk mengilhakkan sebahagian besar Tebing Barat.

Mereka menyuarakan rayuan tersebut melalui surat yang dikemukakan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini.

Teks penuh surat yang ditandatangani pemimpin-pemimpin Majlis Perundingan Pertubuhan-pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Humanitarian Care Malaysia Berhad (MyCare), Pertubuhan Kebudayaan Palestin Malaysia (PCOM), Yayasan Al-Quds Malaysia, BDS Malaysia dan Islamic Renaissance Front adalah seperti berikut:

Tarikh: 17 Mei 2020 / 25 Ramadan 1441H

Bismillahirrahmanirrahim

YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin
Perdana Menteri Malaysia

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

RAYUAN AGAR MALAYSIA MENYUARAKAN PENDIRIAN TERHADAP RANCANGAN MENGILHAKKAN TEBING BARAT OLEH ISRAEL

Dengan nama Allah, Yang Maha Pengasih, Yang Maha Penyayang.

Pujian-pujian kepada Tuhan sekalian alam. Selawat dan salam ke atas Nabi Muhammad SAW, keluarga dan semua sahabat baginda.

Kami berdoa semoga Tan Sri dikurniakan kesihatan yang baik dan kesejahteraan dalam bulan Ramadan Karim yang penuh keberkatan ini.

Bersempena dengan memperingati tahun ke-72 peristiwa Nakbah pada 15 Mei dan melihat kepada perkembangan semasa di Palestin, kami ingin menarik perhatian Tan Sri terhadap kenyataan-kenyataan rejim Israel baru-baru ini berhubung rancangan mereka untuk mengilhakkan Tebing Barat.

Kami menulis surat ini kepada YAB Tan Sri untuk merayu agar Tan Sri mengeluarkan kenyataan mewakili Malaysia bagi menyeru Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) untuk bertindak terhadap rancangan pengilhakan ini.

Tindakan pengilhakan itu akan mencetuskan bantahan keras bukan sahaja daripada rakyat Palestin malah daripada masyarakat sivil di seluruh dunia.

Dalam situasi pandemik COVID-19, rejim Israel sedang berusaha melengkapkan pendudukannya di seluruh kawasan Tebing Barat. Ini merupakan provokasi terang-terangan yang akan meningkatkan ketegangan dan disusuli dengan kekejaman tentera Israel.

Tidak ragu-ragu lagi, tindakan ini merupakan rancangan perluasan oleh rejim Zionis untuk merampas seluruh kawasan Tebing Barat. Sejak 1967, Israel telah menyasarkan untuk menduduki seluruh kawasan Palestin.

Kami percaya, jika masyarakat antarabangsa tidak memberi maklum balas yang keras dalam masa terdekat, Palestin akan lenyap sama sekali kerana Israel tidak akan berhenti selepas merampas beberapa kejiranan dalam wilayah yang diduduki. Ia menyasarkan untuk meneruskan agenda 1967 iaitu menduduki Jerusalem secara keseluruhan,

Apa yang dinamakan ‘kerajaan darurat’ antara Benjamin Netanyahu Benny Gantz akan membentangkan undang-undang untuk mengilhakkan sebahagian besar Tebing Barat pada Julai 2020.

Pembahagian wilayah Palestin melalui pengilhakan sebahagian besar Jerusalem dan Tebing Barat, termasuk Lembah Jordan, akan menghapuskan setiap inci tanah milik rakyat Palestin yang masih berbaki selain Genting Gaza.

Kesannya aka menjadi sangat buruk. Rakyat Palestin yang tidak mampu mempertahankan diri akan bergantung kepada belas kasihan rejim Israel. Kita akan menyaksikan kolonisasi, keganasan dan gengsterisme tentera Israel yang mencabuli hak-hak rakyat Palestin di tanah mereka sendiri.

Apa yang bakal dilakukan oleh Israel adalah pelanggaran secara langsung terhadap Konvensyen Geneva Keempat dan semua undang-undang antarabangsa. Di bawah Resolusi 242 Majlis Keselamatan PBB 1967, pengilhakan Jerusalem Timur pada 1980 dan Bukit Golan pada 1981 adalah bercanggah dengan undang-undang antarabangsa dan dikecam oleh PBB.

Walau bagaimanapun, tiada tindakan konkrit telah diambil untuk menghalang Israel daripada melakukan pelanggaran undang-undang antarabangsa secara terang-terangan.

Kami pasti bahawa YAB Tan Sri sudah lama menyedari tentang peranan Amerika Syarikat (AS) yang menyokong perluasan wilayah Israel yang merupakan sebahagian daripada agenda yang dinamakan Perjanjian Abad Ini yang dicadangkan oleh Presiden Donald Trump.

Dasar AS tidak pernah gagal dalam menyatakan sokongan terhadap penindasan Israel di Palestin. Dengan sokongan penuh daripada AS, Israel kini bebas untuk menindas Palestin dalam apa cara yang ia mahu.

Keganasan Israel telah berpanjangan selama lebih tujuh dekad dan AS telah memainkan peranan penting dalam mempertahankan tindakan ganas itu. Dan sokongan itu diteruskan apabila Israel secara terang-terangan melanggar resolusi-resolusi PBB dan undang-undang antarabangsa termasuk mengiktiraf Jerusalem sebagai ibu negara Israel dan Bukit Golan sebagai sebahagian daripada Israel dan memberi Israel kedaulatan ke atas Lembah Jordan.

Duta AS ke Israel, David Friedman telah mengesahkan bahawa pentadbiran AS bersedian untuk mengiktiraf rancangan pengilhakan itu.

Kami menyedari bahawa Malaysia mempunyai rekod yang panjang dalam bersikap konsisten ketika menyatakan pendiriannya dan mempunyai suara yang lantang dalam menuntut keadilan untuk Palestin. Sebarang inisiatif yang diambil Malaysia dalam hal ini akan diberi perhatian yang serius oleh masyarakat antarabangsa.

Dalam saat-saat getir ini kami merayu kepada YAB Tan Sri untuk membantu kelangsungan hidup rakyat Palestin yang mempertahankan tanah air mereka sendiri dan seterusnya agar Malaysia merayu kepada PBB untuk campur tangan sekiranya rancangan pengilhakan itu diteruskan.

Sekiranya tidak disekat, ketegangan akan meningkat dan berkemungkinan besar meletus menjadi pertumpahan darah yang menyebabkan ramai rakyat Palestin yang tidak bersenjata terkorban.

Malaysia seharusnya berada di hadapan dalam menuntut supaya tindakan Israel ini dihentikan dan ia dipertanggungjawabkan di hadapan masyarakat antarabangsa serta agar rakyat Palestin diberi kebebasan untuk menuntut semula tanah mereka dan hidup secara bermaruah.

Dengan segala hormatnya kami menunggu maklum balas daripada pihak YAB Tan Sri.

Terima kasih.

Saudara-saudara dalam perjuangan membebaskan Palestin,

Mohd Azmi Abdul Hamid
Presiden MAPIM

Dr Hafizi Mohd Nor
Pengerusi MyCare

Muslim Imran
Pengerusi PCOM

Dr Sharif Abu Shammala
Yayasan Al Quds Malaysia

Prof Mohd Nazari Ismail
BDS Malaysia

Dato’ Dr Ahmad Farouk Musa
Islamic Renaissance Front

Kali kedua pemimpin Pas jadi MB Kedah

KUALA LUMPUR – Kedah akan mendapat Menteri Besar Ke-14 hari ini apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri daripada Pas, Muhammad Sanusi Md. Nor mengangkat sumpah jawatan di hadapan Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah di Wisma Darul Aman, Alor Setar.

Perubahan kepemimpinan negeri Jelapang Padi itu berlaku apabila penyandang jawatan tersebut, Datuk Seri Mukhriz Mahathir meletakkan jawatan selepas tidak memiliki sokongan majoriti dalam Dewan Undangan Negeri (DUN).

Pelantikan Muhammad Sanusi menjadikan beliau pemimpin kedua daripada Pas menduduki kerusi tersebut selepas Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak yang memegang jawatan berkenaan pada 2008 hingga 2013.

Mukhriz terpaksa berundur daripada jawatan itu tersebut buat kali kedua dalam tempoh empat tahun apabila dua ADUN PKR mengisytiharkan keluar daripada parti itu.

Anak Tun Dr. Mahathir Mohamad itu sebelum ini terus kekal menjadi MB biarpun Bersatu meninggalkan Pakatan Harapan (PH) dengan majoriti 19-17.

Beliau mendapat sokongan daripada Bersatu (6 ADUN termasuk beliau), PKR (7), Amanah (4) dan DAP (2).

Bagaimanapun kedudukan beliau tergugat apabila dua ADUN PKR mengisytiharkan keluar daripada parti tersebut.

Mereka ialah ADUN Lunas, Azman Nasruddin dan ADUN Sidam, Dr. Robert Ling Kui Ee.

Keadaan menjadi ‘semakin parah’ untuk Mukhriz apabila empat ADUN Bersatu turut menyokong Perikatan Nasional (PN) – yang didakwa beliau atas arahan ‘orang atasan’.

Berikutan sokongan tersebut PN yang mencalonkan Sanusi sebagai MB akan menerajui Kedah dengan majoriti 23-13 iaitu Pas (15), UMNO (2), Bebas (2) dan Bersatu (4).

Kali pertama Mukhriz kehilangan jawatan berkenaan ialah pada tahun 2016 apabila turut tidak mendapat sokongan daripada majoriti ADUN termasuk daripada UMNO – partinya sendiri ketika itu.

Majlis angkat sumpah hari ini juga bakal menyaksikan 10 ADUN akan dilantik sebagai Exco Kerajaan Negeri iaitu lima ADUN Pas, tiga (Bersatu) dan masing-masing seorang daripada UMNO dan Bebas.

Mukhriz perlu matang, inilah politik!

WALAUPUN hadir dengan wajah ceria di Wisma Darul Aman, Alor Setar hari ini bagi mengumumkan peletakan jawatan sebagai Menteri Besar (MB) Kedah namun isi kandungan dan gaya percakapan Datuk Seri Mukhriz Mahathir ternyata tidak dapat menyembunyikan betapa kecewanya tersingkir kali kedua bagi kedudukan yang sama dalam tempoh empat tahun.

Pada sidang media lebih sejam itu, Mukhriz menggariskan pelbagai kejayaan kerajaan negeri di bawah pentadbiran beliau, senang cakap kalau ikut apa yang dibentangkan itu, orang boleh buat kesimpulan beliaulah MB terbaik yang pernah dilahirkan Kedah.- Itulah yang beliau harapkan.

Walaupun setiap kali balik kampung, penulis dengar banyak cerita mengenai pentadbiran Mukhriz tetapi penulis tidak menafikan ada juga jasa beliau kepada negeri Jelapang Padi tersebut, namun mahu meletakkan dalam kategori amat cemerlang, ia masih boleh diperbahaskan.

Tidak kisahlah, sebagai orang yang kecewa kerana disingkirkan cara demikian, Mukhriz boleh membentangkan apa sahaja rekod perkhidmatannya, samalah juga seperti mana dilakukan Dr.Maszlee Malik pada sidang media akhbar terakhir ketika mahu meletakkan jawatan Menteri Pelajaran, “selepas mendapat nasihat ayahanda Tun Mahathir.”

Tetapi Mukhriz tidak boleh ‘bersilat lidah’ atau berdolak dalik untuk mengakui beliau terpaksa meletakkan jawatan kerana PKR bertindak memecat ADUNnya sehingga menyebabkan seorang lagi ADUN daripada parti itu mengisytiharkan keluar parti sekali gus menyebabkan Mukhriz ‘hilang majoriti.’ Inilah punca sebenar!

Kalaulah pada sidang media tersebut Mukhriz menyatakan empat ADUN Bersatu turut menyokong Perikatan Nasional (PN) atas arahan Presiden parti itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, persoalannya adakah mereka itu tidak ada prinsip? Dan kalau Mukhriz serta bapanya Tun Dr.Mahathir Mohamad masih mendapat sokongan kukuh dalam Bersatu, mana mungkin keempat-empat ADUN tersebut menyokong PN?

Lagipun Mukhriz kena faham dan terimalah hakikat, tanpa sokongan empat ADUN itupun, PN dengan sokongan dua bekas ADUN PKR boleh menubuhkan kerajaan negeri dengan majoriiti 19-17. Kehadiran empat ADUN berkenaan hanya memperkukuhkan sahaja sokongan kepada PN menjadi 23-13.

Sepanjang sidang media itu juga, penulis melihat Mukhriz tidak mampu membendung rasa marah kepada UMNO. Walaupun tidak ditunjukkan melalui riak wajahnya, tetapi perkataan dan ayat yang digunakan ada ketikanya menampakkan beliau seolah-olah dikawal politik kebencian mendalam.

Bayangkanlah, kalau Datuk Seri Najib Tun Razak pun dikaitkan sedangkan bekas Perdana Menteri itu tidak lagi memegang jawatan dalam parti dan kerajaan, ia menampakkan ketidakmatangan Mukhriz dalam berpolitik dan dilihat terikut-ikut kebencian bapanya terhadap Najib.

Begitu juga apabila beliau melahirkan perasaan kecewa apabila PN dikatakan bermain politik dan mahu menjatuhkan kerajaan negeri di bawah kepemimpinannya ketika isu Covid19 masih belum selesai, tetapi sedarkah Mukhriz, kalau betullah mahu menumpukan perhatian kepada wabak tersebut, kenapakah bapanya membawa usul undi tidak percaya kepada Muhyiddin pada sidang Dewan Rakyat, esok?

Bagaimana kalau ada orang berkata, belum sempat si bapa menjatuhkan Perdana Menteri, Si anak tumbang dulu di Kedah!

Ketika hujah-hujah beliau dilihat memaparkan perasaan kecewa kerana diijatuhkan, Mukhriz sendiri menggunakan perkataan “saya akan menjatuhkan Muhyiddin” bagi merujuk kepada perebutan kerusi Presiden Bersatu.

Penggunaan ayat itu memberi gambaran seolah-olah misi beliau menentang Muhyiddin adalah untuk menjatuhkan Perdana Menteri sahaja tidak lebih daripada itu. Tetapi soalnya, adakah Mukhriz mempunyai kekuatan untuk berbuat demikian walaupun beliau berkata, menerima banyak mesej daripada akar umbi menyokong beliau?

Apapun Mukhriz sepatutnya redha dengan kehilangan jawatan MB buat kali kedua. Sama ada apa yang berlaku dianggap pengkhianatan atau tidak, rekod perkhidmatan beliau di negeri itu hebat atau tidak, biarlah rakyat menentukannya dalam pilihan raya umum akan datang.

Janganlah terlalu beremosi sehingga hujah politik yang dihamburkan hanya menjadi bahan lawak oleh netizen ketika sidang media tersebut disiarkan secara langsung dalam media-media sosial. Mukhriz perlu mengakui, untuk menjadi ahli politik hebat, ia perlu mempunyai kewibawaan dan keupayaan sendiri, bukannya dilihat hanya mengikut rentak politik bapanya sahaja.

Mukhriz perlu bermuhasabah dan jujur kepada diri sendiri, apakah beliau benar-benar sesuai untuk menjadi politik atau beliau sebenarnya hanya terpaksa sahaja terjun dalam bidang tersebut. Kalau beliau merasakan itu memang bidangnya maka jadilah ahli politik yang matang dengan berhujah berdasarkan fakta bukannya emosi.

Seperti mana penulis nyatakan dalam artikel sebelum ini Mukhriz adalah seorang berperibadi baik tetapi kematangan dan keampuhan beliau dalam politik masih dipersoalkan memandangkan orang melihat ahli politik berusia 56 tahun itu tidak akan ke mana tanpa sokongan bapanya. Mungkin ia sekadar persepi tetapi persepsi inilah yang semakin mengugat perjalanan politik Mukhriz.

Apapun sebagai seorang yang mengenali beliau, penulis doakan beliau tabah menghadapi ujian Allah ini kerana sebaik manapun perancangan manusia, Allah penentu segala-galanya. Pasti ada hikmat di sebaliknya semua ini, janganlah terlalu kecewa, inilah politik! – EDISI9

Orang kuat Wanita PKR Kedah keluar parti

TAWAR hati dengan kepimpinan yang mengutamakan kepentingan diri dikatakan menjadi punca Timbalan Ketua Wanita PKR Kedah, Noor Hashimah Abu Hashim meninggalkan parti itu.

Melalui hantaran Facebook pada 16 Mei, beliau mengumumkan melepaskan semua jawatan dalam parti termasuk Pengarah Jabatan Pilihan Raya Wanita Kedah dan Ketua Wanita Cabang Langkawi.

“Tiada agenda yang nak dipertahankan melainkan agenda sendiri.

“Tidak lagi menghargai akar umbi yang mempertahankan serta menaikkan nama parti di cabang-cabang,” jelasnya.

Tidak pasti pula sama ada tindakan Noor Hashimah itu ada kaitan dengan tersungkurnya rejim Pakatan Harapan (PH) Kedah yang diterajui Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir.

Mungkin perkembangan ini menandakan permulaan episod keluar parti beramai-ramai oleh ahli-ahli PKR Kedah.

Sudah menjadi rahsia terbuka bahawa PKR Kedah dalam keadaan berantakan selepas rejim PH tumbang di peringkat Pusat akibat sikap tamak kuasa pemimpinnya sendiri.

Keretakan yang berlaku semakin parah setelah Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan konco-konconya keluar parti dan menyokong Perikatan Nasional (PN).

Noor Hashimah juga pernah membayangkan wadah perjuangan baharu yang bakal disertainya dalam hantaran Facebook empat hari sebelum beliau keluar parti.

Turut disebut dalam hantaran itu ialah nama dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Dr Robert Ling Kui Ee (Sidam) dan Azman Nasrudin (Lunas) yang keluar PKR lebih awal.

Kedua-dua bekas pemimpin PKR tersebut memainkan peranan penting dalam peristiwa tumbangnya rejim PH Kedah.

Drama krisis politik Kedah nampaknya semakin menarik dan menjanjikan lebih banyak kejutan selepas ini.

Turki gesa Israel henti vandalisme moden

REJIM Zionis Israel mesti menghentikan semua kempen haramnya dan pada masa yang sama masyarakat antarabangsa perlu menghentikan vandalisme moden oleh entiti pengganas itu.

Perkara itu ditegaskan oleh jurucakap Presiden Turki, Ibrahim Kalin pada 16 Mei lalu.

“Dasar pendudukan dan pengilhakan Israel hanya mengundang lebih banyak konflik dan ketegangan.

“Turki dan sesiapa sahaja yang percaya dengan keadilan akan menyokong rakyat Palestin,” katanya.

Baru-baru ini, rejim Zionis Israel mengumumkan rancangan untuk melaksanakan pengilhakan wilayah yang lebih luas di wilayah-wilayah Palestin yang diduduki.

Langkah itu merupakan sebahagian daripada perjanjian yang dimeterai di antara Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan pemimpin parti Biru dan Putih, Benny Gantz.

Pengilhakan secara besar-besaran itu adalah sebahagian daripada ‘Perjanjian Abad Ini’ yang diumumkan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump pada 28 Januari lalu.

Perjanjian itu menyatakan bahawa Jerusalem sebagai ibu negara Israel dan mengiktiraf kedaulatan Israel ke atas sebahagian besar wilayah-wilayah yang diduduki.

Sumber: Palestinian Information Center

Bila badak makan anak

KALAU hendak tahu apa maknanya perumpamaan ‘badak makan anak’, bacalah Hikayat Raja Pasai.

Dek kerana menurutkan hawa nafsu, Raja Ahmad ‘Perumudal Perumal’ yang riwayatnya mendominasi hikayat ini sanggup membunuh dua orang puteranya sendiri.

Manusia jenis apakah Raja Ahmad ini yang berahi akan dua puterinya yang rupawan iaitu Tun Medam Peria dan Tun Takiah Dara?

Hajat buruk baginda itu disuarakan secara berkias dengan bertanya kepada para menteri dan hulubalang: “Jika seorang bertanam tanaman, siapa yang harus dahulu makan dia?”

Mujurlah Tun Perpatih Tulus Agung Tukang Sukara yang panjang akalnya menjawab: “Ya tuanku Shah Alam, jikalau kami yang diperhamba ini bertanam-tanaman, orang yang lain juga harus dahulu makan dia, lagi terlalu besar pahalanya mendahulukan jamu itu.”

Putera sulung Raja Ahmad yang bernama Tun Beraim Bapa membawa Tun Medam Peria dan Tun Takiah Dara ke Tukas yang di bawah penguasaannya sebaik sahaja mengetahui tentang niat buruk ayahandanya.

Akibatnya, Raja Ahmad berdendam dengan Tun Beraim Bapa dan cuba membunuhnya beberapa kali.

Tun Beraim Bapa akhirnya terbunuh apabila memakan kuih peniaram beracun yang dihantar oleh Raja Ahmad.

Tun Medam Peria dan Tun Takiah Dara meninggal dunia lebih awal kerana mereka memakan kuih tersebut bagi mengelakkan Tun Beraim Bapa diracun.

Walaupun Tun Beraim Bapa tahu kuih peniaram itu beracun, beliau tetap memakannya kerana tidak mahu derhaka terhadap raja.

Seorang lagi putera Raja Ahmad iaitu Tun Abdul Jalil masyhur dengan paras rupanya yang sangat kacak.

Sebaik sahaja, Radin Galuh Gemerencang iaitu puteri Ratu Majapahit melihat lukisan wajah Tun Abdul Jalil, beliau menjadi gila bayang.

Maka, belayarlah beliau bersama rombongan Majapahit ke Pasai untuk bertemu sendiri dengan putera idamannya.

Raja Ahmad yang juga berahi dengan Radin Galuh Gemerencang menjadi murka apabila mengetahui perkara itu.

Maka, baginda menitahkan agar Tun Abdul Jalil dibunuh dan mayatnya dicampakkan ke dalam laut.

Walau bagaimanapun, Radin Galuh Gemerencang tetap tidak menjadi milik Raja Ahmad kerana puteri Majapahit itu berdoa agar kapal yang dinaikinya karam setelah mendengar berita kematian Tun Abdul Jalil.

Doa itu dimakbulkan dan Radin Galuh Gemerencang pun tenggelam bersama kapalnya.

Ratu Majapahit yang bergelar Sang Nata menjadi terlalu sedih dan murka dengan kejadian yang menimpa puterinya lalu menitahkan tenteranya menyerang Pasai.

Habis diamuknya Pasai dan segala jajahan takluknya kecuali Periangan yang didiami etnik yang kemudiannya dikenali sebagai Minangkabau.

Kebijaksanaan Patih Suatang (Perpatih Pinang Sebatang) dan Patih Ketemenggungan telah berjaya mengalahkan Ratu Majapahit dalam pertandingan laga kerbau.

Penduduk di kawasan itu seterusnya dikenali sebagai orang Minangkabau.

Kemudian, dengan menggunakan tipu muslihat, Patih Suatang dan hulubalangnya berjaya membunuh sebahagian besar tentera Majapahit dalam jamuan yang diadakan selepas pertandingan itu.

Orang Minangkabau memang hebat.

Legenda di sebalik pembukaan Pasai mempunyai persamaan dengan pembukaan Melaka.

Sultan Malikul Saleh atau Merah Silau (nama sebelum menganut agama Islam) menitahkan negeri yang baharu dibuka di lokasi baginda menyaksikan kegagahan seekor pelanduk mengusir anjing perburuannya.

Negeri itu seterusnya dinamakan Pasai.

Pada awal hikayat ini turut dikisahkan tentang Puteri Betung yang kononnya ditemukan di dalam buluh betung.

Tidak diketahui siapakah pengarang sebenar Hikayat Raja Pasai.

Mungkin ia dikarang sebagai peringatan kepada pemerintah agar jangan terlalu menurut kehendak hawa nafsu ketika berada di atas takhta kuasa.

Apabila negara hancur binasa, rakyat juga yang menjadi mangsa.

Tajuk: Hikayat Raja Pasai

Diusahakan oleh: Russell Jones

Penerbit: DBP, Kuala Lumpur

Tahun penerbitan: 2016

Bil. halaman: 129

Sumber: Blog Bicara Buku

Bila jurufoto media utamakan ‘place first, shoot later’

SEJAK tular sekeping foto sekumpulan jurufoto media membuat liputan solat Jumaat pertama dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Masjid Negara, ramai pula netizen mempersoalkan tentang prosedur operasi standard (SOP) penjarakan sosial.

Mereka menunding jari seolah-olah jurufoto media langsung tidak tahu tentang SOP bagi mengelak penularan wabak Covid-19 tersebut.

Ya, umumnya nampak kesalahan itu ketara. Gambar boleh menghuraikan maksud sama ada tersurat ataupun tersirat. Bergantung kepada perakam dan pelihat mentafsirkannya.

Penulis tidak ingin memanjangkan isu ini cuma ingin mengupas dalam konteks kerjaya dan sudut pandang fotografi.

Foto yang tular dirakamkan pada sudut yang dilihat bukan sedang melakukan solat. Foto semasa jemaah sedang diberi taklimat perlaksanaan.

Pada ketika itu mungkin petugas media baru sahaja masuk. Meletakkan sudut dalam setiap rakaman itu penting pada seorang yang bergelar jurufoto. Walaupun mereka tahu isu penjarakan sosial ini penting.

Jangan terlalu ghairah menyalahkan terus kepada keadaan semasa namun penilaian penuh harus dibuat.

SEKUMPULAN wartawan dan jurufoto media terpaksa berasak-asak untuk mendapatkan sudut terbaik dalam satu sidang akhbar di Alor Setar, Kedah, baru-baru ini. – Foto: FB Zulfikar Egar

Nasi sudah menjadi bubur.

Penulis sedia maklum hujahan-hujahan netizen ada yang positif dan ada yang negatif.

Tidak kurang juga sahabat-sahabat golongan media juga turut mengecam. Kita ambil kesemua sudut positif.

Apabila sesuatu isu atau menjadi kebiasannya berita tumpuan negara jurufoto media yang akan ke hadapan.

Bagi mereka ‘place first, shoot later‘. Ini apa yang dipratikkan oleh jurufoto seluruh dunia tanpa mempedulikan keselamatan diri sendiri demi merakam ‘decesive moment’ berimpak tinggi untuk dipersembahkan kepada khalayak.

Ia bukanlah isu sangat tentang tidak pernah merakam solat Jumaat seperti apa yang dihebahkan oleh netizen.

Ini tentang isu semasa atau tumpuan berita terkini dalam tempoh PKPB negara kita.

Benar penulis akui keselamatan dalam menjaga jarak sosial amat diperlukan dalam semua sektor semasa PKP ini

Jurufoto media adalah petugas. Mereka juga ada keluarga. Ada perasaan. Ada anak kecil untuk disuap.

Mereka tahu ‘rules’ itu tetapi apabila jiwa keinginan merakam itu tinggi maka hilang semua kekangan dan perjanjian.

Maklumlah penulis pernah berhadapan dalam situasi sama semasa bekerjaya dahulu.

Buat sahabat-sahabat seperjuangan kuatkan semangat. Kritikan bukan untuk menjatuhkan. Kritikan untuk membina. Anda juga antara frontliner.

Terima kasih para netizen kerana masih peka untuk menegur dan memperbaiki kekhilafan kami. Anda adalah mata dan telinga negara.

Jurufoto media, anda adalah perakam sejarah negara.

Penulis adalah bekas Penolong Foto Editor Utusan Melayu (M) Berhad 
dan bekas Presiden Persatuan Jurufoto Profesional Media Malaysia.

Tun M, kembalilah bersama Muhyiddin

HUBUNGAN antara Tun Dr. Mahathir Mohamad dengan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sudah lama terjalin.

Bekas Perdana Menteri itu yang bertanggungjawab melantik Muhyiddin sebagai Setiausaha Parlimen Kementerian Luar Negeri pada tahun 1981.

Apabila Muhyiddin berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Pagoh dalam pilihan raya umum 1982, Mahathir melantik beliau sebagai Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, selepas setahun Muhyiddin bertukar portfolio sebagai Timbalan Menteri Perdagangan dan Perindustrian sehingga tahun 1986, sebelum dilantik menjadi Menteri Besar Johor selama tiga penggal.

Penulis sengaja memaparkan perjalanan awal politik Muhyiddin bersama Mahathir bagi menunjukkan betapa akrab kedua-dua pemimpin ini. Paling tidak boleh dilupa ialah pada tahun 2008 apabila Barisan Nasional (BN) mencatatkan prestasi buruk dalam Pilihan Raya Umum Ke-12.

Keputusan buruk itu dikaitkan dengan kritikan Mahathir terhadap kepemimpinan Abdullah sehingga mewujudkan persepsi dalam kalangan rakyat terhadap kerajaan BN.

Mungkin Mahathir lupa tetapi semua orang masih ingat bagaimana dalam wawancara bersama Mingguan Malaysia yang disertai oleh penulis, Muhyiddin dengan lantang menegaskan, masanya sudah tiba untuk UMNO melakukan perubahan kepemimpinan. – Ketegasan Muhyiddin itu dikaitkan dengan suara Mahathir.

Penulis masih ingat Muhyiddin menegaskan apa yang beliau lakukan demi kebaikan orang Melayu dan negara.

Apabila Najib dilantik sebagai Perdana Menteri, Muhyiddin pula menggalas tugas sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Apabila Mahathir mula ‘menyerang’ Najib berikutan isu 1MDB sekitar tahun 2015, Muhyiddin atas nama mahu menegakkan kebenaran telah bersama Mahathir biarpun mempertaruhkan kedudukan beliau sebagai Timbalan Presiden UMNO dan Timbalan Perdana Menteri.

Muhyiddin menyokong Mahathir menubuhkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) walaupun hakikatnya penubuhan parti itu menyebabkan Melayu semakin berpecah belah.

Muhyiddin tidak bercakap banyak apabila Mahathir sedia bekerjasama dengan DAP. Apabila sudah berada dalam Kabinet, Muhyiddin mula menyedari ‘wajah sebenar’ DAP.

Tetapi Muhyiddin tidak pernah bercakap secara terbuka kerana bimbang ia menjejaskan PH.

Pasti ada sesuatu yang dilakukan oleh DAP menyebabkan Muhyiddin mahu ‘berkerat rotan dan berpatah arang’ dengan parti berkenaan.

Bagaimanapun ia ditentang oleh Mahathir sehingga Bersatu terpecah dua dan Kerajaan PH ‘tumbang’ apabila Mahathir meletakkan jawatan.

Rentetan sejarah politik ini membuktikan bahawa Muhyiddin adalah penyokong setia Mahathir tetapi beliau bukan ‘penyokong fanatik’ bekas Perdana Menteri tersebut.

Muhyiddin terpaksa membuat langkah poltiik yang menimbulkan kemarahan Mahathir demi orang Melayu dan negara.

Bagaimanapun Mahathir tetap Mahathir, sesiapa sahaja yang menentang kemahuan politik pastinya ‘tidak akan selamat’, apatah lagi apabila bekerjasama dengan kelompok yang sudah dibenci ahli politik berusia 95 tahun tersebut.

Soalnya, sampai bilakah Mahathir mahu bermusuhan dengan Muhyiddin? Dan apakah keuntungan beliau perolehi dengan berbuat demikian?

Mahathir perlu faham beliau tidak ada apa-apa kekuatan. Dalam PH beliau sekadar ‘penumpang’ dan di dalam Bersatu, pengaruhnya semakin luntur mahu diharapkan kepada Datuk Seri Mukhriz, anaknya itu pun sudah ‘hanyut’ dari kerusi MB Kedah – kali kedua pulak tu.

Adalah lebih baik dalam usia semakin lanjut dan kudrat yang semakin berkurangan, Mahathir kembali bersama Muhyiddin.

Hakikatnya beliau tidak ada pilihan. Dalam soal ini penulis teringat satu mesej yang diterima melalui aplikasi WhatsApp hari ini. Antara lain isi kandungannya berbunyi;

“Buah fikiran saya…Tun bersama DAP dan PKR, beliau hanya dipergunakan untuk DAP dan PKR kembali berkuasa. Tun sudah tidak boleh ke kanan atau ke kiri. Beliau akan kembali dihormati sekiranya beliau bekerjasama dengan Tan Sri Muhyiddin dalam Perikatan Nasional dan berehat. Kedudukan Mukhriz akan lebih baik sekiranya Tun kembali bersama Muhyiddin dan berehat dengan menjadi MP (ahli Parlimen) biasa.’’

Tidak perlulah penulis nyatakan siapa pengirim mesej tersebut tetapi apa yang pasti, itulah harapan sebahagian orang Melayu.

Ia kerana politik kebencian yang dibawa oleh Mahathir sama sekali tidak akan menguntungkan orang Melayu, sebaliknya akan terus melemahkan kuasa politik orang Melayu.

Muhyiddin tidak ada apa-apa kesalahan dan tetap menghormati Mahathir. Muhyiddin hanya tidak mahu berkawan dengan DAP – sebuah parti yang menyebabkan orang Melayu semakin membenci PH.

Muhyiddin bukan Melayu bacul tetapi seperti mana pendirian beliau atas nama kebenaran menyokong Mahathir ketika bekas Perdana Menteri itu mengkritik Abdullah dan Najib dulu, begitulah juga sekarang Muhyiddin sanggup menggadaikan kedudukannya kerana “tahu apa sebenarnya berlaku dalam Kabinet”.

Dalam usia 95 tahun, seperti mana pesan pengirim mesej tersebut, Mahathir sepatutnya berehat dan menjadi ahli Parlimen biasa, sekali gus akan meletakkan kedudukan Mukhriz dalam arena politik lebih baik.

Mukhriz kini dilihat ‘mangsa’ politik bapanya. Mungkin ia sekadar persepsi tetapi berdasarkan kepada kedudukan Mukhriz sekarang, Mahathir seharusnya bertanggungjawab kerana perjalanan politik anak kesayangannya itu semakin ‘tersekat’.

Justeru demi orang Melayu dan masa depan negara, Mahathir perlu menyokong Muhyiddin. Sampai bila nak buat berperangai bergaduh dengan semua Perdana Menteri, takkanlah Mahathir merasakan beliau sahaja layak dan hebat menduduki jawatan berkenaan?

Dulu zaman Abdullah dan Najib mungkin beliau akan berjaya, tetapi pada era Muhyiddin, penulis yakin tersalah strategi, Mahathir akan tersisih daripada arena politik negara dalam keadaan memalukan. – EDISI9