34 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Rayu Malaysia tegas pendirian bantah Israel rampas Tebing Barat

Mesti Baca

ENAM pertubuhan yang menyokong perjuangan rakyat Palestin di negara ini merayu kepada kerajaan Malaysia untuk menyuarakan pendirian terhadap rancangan rejim Zionis Israel untuk mengilhakkan sebahagian besar Tebing Barat.

Mereka menyuarakan rayuan tersebut melalui surat yang dikemukakan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini.

Teks penuh surat yang ditandatangani pemimpin-pemimpin Majlis Perundingan Pertubuhan-pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Humanitarian Care Malaysia Berhad (MyCare), Pertubuhan Kebudayaan Palestin Malaysia (PCOM), Yayasan Al-Quds Malaysia, BDS Malaysia dan Islamic Renaissance Front adalah seperti berikut:

Tarikh: 17 Mei 2020 / 25 Ramadan 1441H

Bismillahirrahmanirrahim

YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin
Perdana Menteri Malaysia

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

RAYUAN AGAR MALAYSIA MENYUARAKAN PENDIRIAN TERHADAP RANCANGAN MENGILHAKKAN TEBING BARAT OLEH ISRAEL

Dengan nama Allah, Yang Maha Pengasih, Yang Maha Penyayang.

Pujian-pujian kepada Tuhan sekalian alam. Selawat dan salam ke atas Nabi Muhammad SAW, keluarga dan semua sahabat baginda.

Kami berdoa semoga Tan Sri dikurniakan kesihatan yang baik dan kesejahteraan dalam bulan Ramadan Karim yang penuh keberkatan ini.

Bersempena dengan memperingati tahun ke-72 peristiwa Nakbah pada 15 Mei dan melihat kepada perkembangan semasa di Palestin, kami ingin menarik perhatian Tan Sri terhadap kenyataan-kenyataan rejim Israel baru-baru ini berhubung rancangan mereka untuk mengilhakkan Tebing Barat.

Kami menulis surat ini kepada YAB Tan Sri untuk merayu agar Tan Sri mengeluarkan kenyataan mewakili Malaysia bagi menyeru Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) untuk bertindak terhadap rancangan pengilhakan ini.

Tindakan pengilhakan itu akan mencetuskan bantahan keras bukan sahaja daripada rakyat Palestin malah daripada masyarakat sivil di seluruh dunia.

Dalam situasi pandemik COVID-19, rejim Israel sedang berusaha melengkapkan pendudukannya di seluruh kawasan Tebing Barat. Ini merupakan provokasi terang-terangan yang akan meningkatkan ketegangan dan disusuli dengan kekejaman tentera Israel.

Tidak ragu-ragu lagi, tindakan ini merupakan rancangan perluasan oleh rejim Zionis untuk merampas seluruh kawasan Tebing Barat. Sejak 1967, Israel telah menyasarkan untuk menduduki seluruh kawasan Palestin.

Kami percaya, jika masyarakat antarabangsa tidak memberi maklum balas yang keras dalam masa terdekat, Palestin akan lenyap sama sekali kerana Israel tidak akan berhenti selepas merampas beberapa kejiranan dalam wilayah yang diduduki. Ia menyasarkan untuk meneruskan agenda 1967 iaitu menduduki Jerusalem secara keseluruhan,

Apa yang dinamakan ‘kerajaan darurat’ antara Benjamin Netanyahu Benny Gantz akan membentangkan undang-undang untuk mengilhakkan sebahagian besar Tebing Barat pada Julai 2020.

Pembahagian wilayah Palestin melalui pengilhakan sebahagian besar Jerusalem dan Tebing Barat, termasuk Lembah Jordan, akan menghapuskan setiap inci tanah milik rakyat Palestin yang masih berbaki selain Genting Gaza.

Kesannya aka menjadi sangat buruk. Rakyat Palestin yang tidak mampu mempertahankan diri akan bergantung kepada belas kasihan rejim Israel. Kita akan menyaksikan kolonisasi, keganasan dan gengsterisme tentera Israel yang mencabuli hak-hak rakyat Palestin di tanah mereka sendiri.

Apa yang bakal dilakukan oleh Israel adalah pelanggaran secara langsung terhadap Konvensyen Geneva Keempat dan semua undang-undang antarabangsa. Di bawah Resolusi 242 Majlis Keselamatan PBB 1967, pengilhakan Jerusalem Timur pada 1980 dan Bukit Golan pada 1981 adalah bercanggah dengan undang-undang antarabangsa dan dikecam oleh PBB.

Walau bagaimanapun, tiada tindakan konkrit telah diambil untuk menghalang Israel daripada melakukan pelanggaran undang-undang antarabangsa secara terang-terangan.

Kami pasti bahawa YAB Tan Sri sudah lama menyedari tentang peranan Amerika Syarikat (AS) yang menyokong perluasan wilayah Israel yang merupakan sebahagian daripada agenda yang dinamakan Perjanjian Abad Ini yang dicadangkan oleh Presiden Donald Trump.

Dasar AS tidak pernah gagal dalam menyatakan sokongan terhadap penindasan Israel di Palestin. Dengan sokongan penuh daripada AS, Israel kini bebas untuk menindas Palestin dalam apa cara yang ia mahu.

Keganasan Israel telah berpanjangan selama lebih tujuh dekad dan AS telah memainkan peranan penting dalam mempertahankan tindakan ganas itu. Dan sokongan itu diteruskan apabila Israel secara terang-terangan melanggar resolusi-resolusi PBB dan undang-undang antarabangsa termasuk mengiktiraf Jerusalem sebagai ibu negara Israel dan Bukit Golan sebagai sebahagian daripada Israel dan memberi Israel kedaulatan ke atas Lembah Jordan.

Duta AS ke Israel, David Friedman telah mengesahkan bahawa pentadbiran AS bersedian untuk mengiktiraf rancangan pengilhakan itu.

Kami menyedari bahawa Malaysia mempunyai rekod yang panjang dalam bersikap konsisten ketika menyatakan pendiriannya dan mempunyai suara yang lantang dalam menuntut keadilan untuk Palestin. Sebarang inisiatif yang diambil Malaysia dalam hal ini akan diberi perhatian yang serius oleh masyarakat antarabangsa.

Dalam saat-saat getir ini kami merayu kepada YAB Tan Sri untuk membantu kelangsungan hidup rakyat Palestin yang mempertahankan tanah air mereka sendiri dan seterusnya agar Malaysia merayu kepada PBB untuk campur tangan sekiranya rancangan pengilhakan itu diteruskan.

Sekiranya tidak disekat, ketegangan akan meningkat dan berkemungkinan besar meletus menjadi pertumpahan darah yang menyebabkan ramai rakyat Palestin yang tidak bersenjata terkorban.

Malaysia seharusnya berada di hadapan dalam menuntut supaya tindakan Israel ini dihentikan dan ia dipertanggungjawabkan di hadapan masyarakat antarabangsa serta agar rakyat Palestin diberi kebebasan untuk menuntut semula tanah mereka dan hidup secara bermaruah.

Dengan segala hormatnya kami menunggu maklum balas daripada pihak YAB Tan Sri.

Terima kasih.

Saudara-saudara dalam perjuangan membebaskan Palestin,

Mohd Azmi Abdul Hamid
Presiden MAPIM

Dr Hafizi Mohd Nor
Pengerusi MyCare

Muslim Imran
Pengerusi PCOM

Dr Sharif Abu Shammala
Yayasan Al Quds Malaysia

Prof Mohd Nazari Ismail
BDS Malaysia

Dato’ Dr Ahmad Farouk Musa
Islamic Renaissance Front

Terkini

Lebih 27,000 kandungan diturunkan sejak awal tahun – MCMC

SEBANYAK 27,115 kandungan bersifat provokatif melampau dalam media sosial dan platform Over The Top (OTT) telah diturunkan dalam tempoh...

Lagi Artikel Berkaitan