27.1 C
Kuala Lumpur
Sunday, May 5, 2024
Home Blog Page 1691

Selamatkah jika pelarian Rohingya pulang ke Myanmar?

0

ADA pihak yang mendakwa situasi di Myanmar kini sudah selamat dan pelarian Rohingya yang berada di Malaysia kini boleh pulang ke tanah air mereka.

Individu-individu yang mendesak kerajaan menghantar pelarian Rohingya kembali ke Myanmar itu membuat andaian tersebut berdasarkan laporan BH Online bertajuk Myanmar sudah laksana tindakan lindungi Rohingya: pemerintah.

Rohingya

Memang tiada apa yang salah dengan artikel yang disiarkan pada 24 Januari lalu itu.

Cuma netizen gagal memahami bahawa kerajaan Myanmar tidak dapat menjamin bahawa tentera atau pemberontak tidak akan mengulangi pembunuhan beramai-ramai terhadap etnik Rohingya seperti yang pernah berlaku pada 2017.

Dalam perenggan keenam laporan berkenaan, jurucakap kerajaan Myanmar, Myo Nyunt menyatakan secara jelas:

“Dalam keadaan politik semasa, kami mengalami kesukaran menyelesaikan beberapa isu, antaranya arahan bahawa kerajaan perlu memastikan tentera atau pemberontak bersenjata tidak melakukan atau cuba untuk melakukan pembunuhan beramai-ramai terhadap Rohingya atau Bengali.”

Salah satu punca segelintir netizen gagal memahami konteks kenyataan Myo Nyunt adalah berpunca daripada sikap mereka yang gemar membaca tajuk sahaja.

Secara purata, hanya kira-kira 10 peratus daripada netizen benar-benar mengklik pautan yang dipaparkan dalam laman atau kumpulan Facebook dan seterusnya membaca artikel yang disiarkan.

Sebahagian besar netizen pula terus melontarkan komen yang kadang-kadang agak emosional tanpa memahami hujung pangkal isu yang diketengahkan.

Maka, banjirlah ruangan komen dengan cadangan dan hujah yang dangkal, malah ada yang langsung tak masuk akal.

Jika mereka membaca dan menghadam artikel berkenaan sepenuhnya, pasti mereka memahami pelarian Rohingya berdepan kemungkinan disembelih beramai-ramai sekali lagi.

Berbeza dengan kerajaan, sebarang pertimbangan berhubungan isu pelarian Rohingya tidak boleh diputuskan setelah ‘membaca tajuk’ sahaja.

Banyak aspek yang perlu diambil kira seperti hubungan diplomatik, undang-undang antarabangsa, kemanusiaan dan persaudaraan umat Islam.

Bayangkan jika kerajaan akur dengan desakan puak cauvinis dan menghantar semua pelarian Rohingya pulang ke Myanmar.

Setelah beberapa ketika, konflik di wilayah Arakan yang sentiasa tegang dari dahulu tercetus semula dan pembersihan etnik pun berlaku sekali lagi.

Mana kerajaan hendak letak muka sekiranya perkara itu berlaku?

Dalam isu sebegini, lebih baik diserahkan kepada kerajaan untuk memutuskan pendekatan yang terbaik untuk menguruskan pelarian Rohingya.

Netizen pula perlu lebih rajin membaca agar mereka dapat memahami sesuatu isu secara mendalam sekali gus melindungi diri mereka daripada dimanipulasi pihak tertentu yang ingin menangguk di air keruh. – Edisi 9

Tudung terbaru Duck ciplak Sleepylllama?

0

KUALA LUMPUR – Usahawan fesyen terkenal, Datin Vivy Sofinas Yusof menyangkal dakwaan bahawa pihaknya menciplak rekaan orang lain bagi koleksi tudung terbaharu Duck.

Sambil menganggap ia tuduhan liar, Vivy berkata, rekaan koleksi The Artsy Duck keluaran syarikatnya, The Duck Group itu telah dibincang oleh pasukannya pada Jun 2018 lagi.

“Cetakan ini adalah milik kami yang sudah kami hasilkan bersama set alat tulis Threesome Pen. Saya sertakan tangkap layar e-mel gambar pasukan kami sejak Jun 2018.

“Koleksi pihak yang satu lagi melancarkannya pada Disember 2018. Tidak mungkin kami mencipta rekaannya atau siapa saja,”kata Vivy menerusi Instagram peribadinya, semalam.

Kontroversi tercetus apabila pemilik Sleepylllama, Nia Atasha memuat naik gambar membandingkan rekaan dan konsep ‘photoshoot’ miilknya dengan hasil rekaan dan konsep photoshoot oleh Vivy sempena pelancaran koleksi tersebut.

Ekoran dakwaan itu, Vivy mengeluarkan kenyataan yang menafikan dia mencuri idea Sleepylllama tetapi Nia turut menunnjukkan bukti e-mel di mana rekaannya telah dibincangkan sejak Mei 2018.

Nia berkata, dia tidak akan menyuruh orang ramai memboikot The Atsy Duck kena percaya ia telah dihasilkan dengan baik.

“Apa yang saya mahu tekankan bahawa ia bukan kali pertama berlaku dan ia adalah berkaitan dengan cap dagang,”katanya menerusi Instagram Sleepylllama.

Sebelum itu, usahawan tersebut turut terpalit dengn isu ciplak apabila satu jenama turban tempatan yang dikenali Echenta menzahirkan rasa terkilan dan marah terhadap Vivy yang dikatakan menciplak rekaan turbannya.

Vivy baru-baru ini dikecam teruk kerana mengeluarkan pernyataan yang tidak sesuai dan mengguris hati banyak pihak sehingga ada gerakan mendesak agar dia berundur sebagai ahli lembaga pengarah Universiti Teknologi Mara (UiTM). – Edisi 9

29 pelajar Malaysia di Magetan tidak dibenar berlepas pulang

0

JAKARTA – Seramai 29 daripada 164 pelajar Malaysia di Magetan, Jawa Timur didapati positif dalam pemeriksaan rapid test Covid-19, dan tidak dibenarkan berlepas pulang menaiki pesawat dari Surabaya ke tanah air.

Semua pelajar Pondok Pesantren Al-Fatah Temboro Magetan sebelum itu perlu melakukan pemeriksaan kesihatan, sebelum dibenarkan menaiki pesawat Malaysia Airlines di Lapangan Terbang Antarabangsa Juanda, Surabaya pada 8.30 malam semalam (27 April).

Ketua Rumpun Tracing Gugus Tugas Penanganan Covid-19 Jawa Timur, Kohar Hari Santoso ketika dihubungi Bernama berkata 29 pelajar itu kini menjalani rawatan lanjut berkaitan Covid-19 dan perlu menjalani kuarantin selama 14 hari.

“Mereka perlu menjalani kuarantin, dan menjalani pemeriksaan sampel lendir hidung atau tekak (PCR),” katanya.

Rapid test itu adalah sebagai usaha pemerintah Indonesia melakukan pengesanan awal sama ada seseorang itu dijangkiti tanda-tanda awal Covid-19 atau sebaliknya.

Ketua Badan Nasional Pengurusan Bencana Indonesia, Doni Monardo, sebelum ini berkata ujian rapid test itu bukanlah kaedah terbaik dalam mengesan virus itu, tapi lebih kepada pengesanan awal sekiranya seseorang mempunyai sindrom tidak sihat, yang berkemungkinan dijangkiti Covid-19.

Pada sidang media 19 April lepas, Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia Dr Noor Hisham Abdullah berkata Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan kluster Covid-19 baru di pintu masuk antarabangsa di Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) pada 16 April 2020.

Kluster berkenaan melibatkan pelajar Malaysia yang pulang dari Indonesia seramai 43 pelajar dari Temboro, 1 daripada tempat yang diisytiharkan sebagai zon merah di daerah Magetan, Indonesia. – Bernama

Ayda Jebat, Nabil Mahir bertunang secara dalam talian

PELAKON popular, Ayda Jebat dan pasangannya, Nabil Mahir tidak menjadikan tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebagai halangan untuk menzahirkan rasa cinta mereka dengan meneruskan majlis pertunangan yang dilakukan secara dalam talian.

Nabil melalui laman Instagramnya berkongsikan gambar mereka yang diedit apabila masing-masing mengenakan baju Melayu dan baju kurung yang bewarna merah jambu sedondon.

Menurutnya, proses meminang dan bertunang dilakukan secara dalam talian oleh keluarga masing-masing pada Selasa lalu dan bekas pengacara program Hlive itu berkongsi maklumat tersebut dengan menulis beberapa kerat pantun untuk tatapan peminat mereka. Pantun tersebut berbunyi:

Awal bermula dengan bismillah,
Syukur hanya kepada Allah.
Selawat Nabi kepada Rasullullah,
Semoga pertemuan ini membawa berkah.”

PKP arahan pemerintah,
Mengingkarinya akan disaman.
Hajat dihati dah nak melimpah,
Ingin menyunting bunga di taman.”

“Walaupun jauh cinta tidak terhenti,
Kumpulkan ahli keluarga di depan kamera,
Selesai sudah majlis meminang dan pertunangan online kami,
Harap doa yang baik-baik dari semua.”

PKP-4: 8 jenis perniagaan perlu dibuka segera!

Oleh MOHD RIDZWAN MD IMAN

MULAI esok, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan memasuki fasa keempat, yakni kesemua rakyat Malaysia telah diminta berada di rumah melebihi sebulan setengah – tidak boleh pergi ke tempat kerja, berniaga, beriadah atau keluar dari kawasan rumah tanpa alasan munasabah.

Bagi rakyat Malaysia, arahan itu dipatuhi tanpa masalah walaupun sebahagian besar daripada mereka telah mula ‘resah dan tertekan’ kerana terlalu lama terperuk di dalam rumah, terutama bagi yang tinggal di pangsapuri atau apartment.

Kesemua kedai juga diminta ditutup kecuali restoran, pasaraya, pasar basah atau kedai runcit yang mana operasinya hanya dibenarkan dari pukul 8 pagi hingga 8 malam. Alasannya tidak mahu orang ramai beramai-ramai berkumpul dalam satu kedai, kawasan dan seterusnya memudahkan penyebaran virus.

Bagi Che Wann, sudah tiba masanya beberapa jenis premis atau kedai lagi perlu dibuka ketika PKP fasa keempat ini memandangkan ia merupakan keperluan rakyat.

Sudah tentu langkah-langkah yang sama perlu dikenakan ke atas pembeli apabila berkunjung ke kedai-kedai yang baru dibuka itu seperti berkunjung ke restoran, kedai runcit atau pasaraya iaitu tidak boleh terlalu ramai di dalam kedai, mencuci tangan dan memakai topeng muka.

Antara kedai-kedai yang perlu dibuka segera ialah:

1. Kedai elektrik, perkakasan (hardware)

Kedai ini sangat penting kerana keperluan mendapatkan barangan perkakasan elektrik sangat penting sama ada barangan kecil seperti mentol, lampu suluh dan sebagainya. Tidak kurang pentingnya terutama di bulan Ramadan dna menjlang Hari Raya nanti, barangan seperti dapur memasak, mesin pengadun, ketuhar gelombang mikro dan sebagainya telah menjadi barangan keperluan.

Barangan perkakasan untuk bertukang atau membaiki juga sangat penting untuk membaiki apa sahaja barang-barang yang rosak di rumah seperti paip air, kerusi meja atau mengecat rumah sempena menyambut Syawal dan sebagainya.

2. Kedai makanan haiwan

Selain klinik haiwan yang telah dibenarkan beropasi, kedai makanan haiwan juga perlu mendapat kebenaran tersebut. Ini kerana ia merupakan keperluan kepada kebanyakan keluarga kini yang memelihara haiwan peliharaan seperti kucing atau anjing yang memerlukan makanan terbaik untuk kesihatan haiwan mereka.

3. Kembalikan waktu operasi restoran, pasar raya ke pukul 10
Tidak dipastikan kenapa kerajaan mengehadkan waktu operasi kedai-kedai runcit, pasaran dan restoran sehingga pukul 8 malam. Jika alasan tidak mahu rakyat keluar rumah pada waktu malam, adakah alasan itu boleh diterima? Adakah virus lebih mudah tersebar waktu malam?.

Penutupan kedai dan restoran yang terlalu awal menyebabkan kesesakan berlaku di pasaraya, kedai runcit dan restoran (kita dapat melihat betapa panjangnya orang beratur) pada waktu siang.

Tambahan pula, di bulan Ramadan ini juga menjadikan tempoh membeli bertambah singkat apabila orang ramai tidak akan berada di kedai pada lingkungan pukul 7 malam kerana ketika itu waktu berbuka dan orang ramai juga mahu membeli makanan sahur selepas berbuka.

4.  Kedai kesihatan tradisional

Kedai-kedai yang menjual pelbagai jamu, herba, kopi dan teh pelbagai khasiat dan sebagainya harus dibenarkan beroperasi kerana ramai rakyat Malaysia yang memerlukan makanan-makanan berkhasiat tersebut bagi menjaga kesihatan mereka.

Mungkin perkhidmatan berurut, berbekam, sauna, mencuci muka dan sebagainya tidak dibenarkan lagi setakat ini kerana kedudukan perawat dan penerima rawatan yang terlalu dekat dan memudahkan jangkitan.

5. Kedai jahit, pakaian dan butik

Memandangkan Hari Raya Aidilfitri bakal menjelma, kedai-kedai jahit, kedai pakaian dan butik harus dibenarkan beroperasi bagi membolehkan orang ramai menempah pakaian baru untuk sambutan hari raya mereka. Bagaimanapun, ibu bapa tidak boleh membawa anak-anak mereka secara beramai-ramai seperti dilakukan sebelum ini dan pematuhan arahan jarak sosial perlu juga dilakukan seperti biasa.

Keadaan ini juga boleh ‘menyelamatkan wang ringit’ ibu bapa yang menempah pakaian dalam talian yang apabila sampai – pakaian itu terpaksa dibuang, langsung tidak boleh pakai kerana saiz atau kualiti fakbrik yang teruk.

6. Bengkel motosikal/basikal

Tidak dapat dipastikan kenapa bengkel kereta telah dibenarkan beroperasi tetapi tidak untuk bengkel motosikal atau basikal kerana perkhidmatan yang diberikan adalah sama – membaiki kenderaan rosak.

7. Kedai telekomunikasi/membaiki komputer atau telefon bimbit

Memandangkan rakyat diminta berada di rumah. Peralatan seperti komputer, telefon bimbit menjadi keperluan masa kini untuk membolehkan kerja dilakukan di rumah atau berhubung dengan rakan-rakan sekerja atau saudara mara.

Penutupan kedai-kedai yang berkaitan dengan peralatan tersebut sememangnya menyusahkan ramai pihak yang memerlukan perkhidmatan mereka, selain peniaga yang kebanyakannya adalah peniaga kecil yang masih terpaksa membayar sewa kedai dan membayar gaji pekerja.

8.  Gerai-gerai di rumah

Video tular seorang penjual buah-buahan mengamuk apabila pihak berkuasa mengarahkannya menutup operasi walaupun kedainya adalah di dalam tanah kawasan rumahnya seharusnya jadi pengajaran kepada kerajaan. Dari segi logiknya, kemungkinan gerai peniaga itu boleh menularkan virus adalah sangat kecil berbanding kemungkinan kedai runcit atau restoran besar.

Jika peniaga gerai tidak lagi dibenarkan berniaga di tepi-tepi jalan tetapi setidak-tidaknya mereka harus dibenarkan berniaga di dalam kawasan laman rumah mereka asalkan gerai itu tidak membenarkan orang ramai berkerumun berpuluh-puluh orang. Kesihanilah mereka yang kehilangan punca pendapatan.

Kesimpulannya, tiada alasan lagi untuk menangguh pembukaan kedai-kedai tau gerai itu kerana langkah yang sama juga boleh dibuat apabila pembeli berkunjung ke kedai-kedai itu seperti yang dikenakan apabila mengunjungi restoran, kedai runcit atau pasaraya iaitu – tidak boleh berkumpul beramai-ramai.

Ramai peniaga kecil yang terseksa hidup mereka kerana PKP yang menghilangkan terus pendapatan. Sekiranya operasi perniagaan perniaga-peniaga kecil ‘tidak berpotensi atau berpotensi sangat kecil’ menyebarkan virus berbanding operasi premis perniagaan yang dibenarkan dibuka sekarang seperti restoran atau pasaraya – mengapa perlu lagi menyiksa mereka?

Sekurang-kurangnya benarkanlah mereka yang berada di zon hijau berniaga. – Edisi 9

‘Kuasa tular’ satukan semula 3 beradik selepas 20 tahun

TIADA apa yang lebih menggembirakan bagi Nur Faradila Shahidah Mohd Said, 23, menyambut Ramadan tahun ini melainkan dapat bertemu dengan adik-beradik lain yang terpisah sejak 20 tahun lalu.

Semuanya bermula apabila dia membuat hantaran di akaun Twitternya untuk mencari abang dan kakak kandungnya yang terpisah sejak kecil. Namun selepas tiga jam akhirnya dia dapat menemui kedua-duanya.

I need a miracle please (saya mengharapkan satu keajaiban), saya tengah mencari abang dan kakak kandung yang terpisah selama 20 tahun. Saya ada gambar bersama mereka masa kecil. Nama ayah kandung saya Mokhtar. Minta jasa baik warga Twitter tolong retweet (ciapan ulang).”

Selepas tiga jam seseorang menghubunginya memaklumkan ada mengenali abang dan kakaknya itu.

“Alhamdulillah berkat dari pertolongan semua warga Twitter, saya dah jumpa abang dan kakak kandung yang saya cari selama ni. Saya bersyukur di bulan yang mulia ni Tuhan permudahkan semuanya,” katanya sayu.

Menurut Nur Faradila, abangnya Muhammad Hafiq Haziq Mokhtar dan kakak, Noor Farrah Diva kini tinggal di Kuala Lumpur manakala dia di Kedah dan merancang untuk bertemu selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berakhir.

WAJAH terbaru Muhammad Hafiq Haziq Mokhtar (abang), Noor Farrah Diva (kakak) dan Nur Faradila Shahidah selepas mereka ditemukan menerusi kuasa tular media sosial. 

Katanya, abang dan kakaknya itu juga berusaha mencarinya dan adik-adik yang lain tetapi tidak bertemu kerana mereka tidak memiliki gambar saya.

“Saya berpisah dengan mereka semasa umur empat hari, jumpa sekejap masa umur tiga tahun, itupun sebab ayah kandung saya nak ambil saya balik tetapi mak angkat saya tidak benarnya.

“Ayah saya masa itu tidak bekerja, jadi mak angkat saya takut dia tidak boleh menjaga kami adik-beradik, yang lain pun dia bagi kepada orang (untuk dijaga),” kata Nur Faradila kepada Edisi 9.

Bagaimanapun, dia masih berharap agar dapat bertemu dua lagi adiknya Nur Farah Ain dan Muhammad Haziq Irfan yang sehingga kini masih tidak diketahui di mana mereka.

“Yang saya diberitahu, adik lelaki saya dibela oleh satu keluarga yang kerja JKR (Jabatan Kerja Raya),” katanya.

Justeru, dia berharap agar warganet dapat menggunakan kuasa tular untuk mencari dua lagi adiknya dan berharap mereka dapat ditemui menjelang Hari Raya Aidilfitri nanti.

Mahasiswa zon hijau selamat pulang, zon merah tunggu dulu!

KUMPULAN pertama mahasiswa dari zon hijau ke zon hijau selamat pulang ke pangkuan keluarga masing-masing selepas mereka dihantar pulang ke destinasi masing-masing malam tadi.

Ia susulan keputusan kerajaan yang membenarkan mahasiswa yang berada dalam zon hijau sahaja dibenarkan pulang ke kampung mereka yang juga terletak dalam zon hijau.

Sehubungan itu, seramai 1,128 mahasiswa institusi pengajian tinggi awam dan swasta pulang ke kampung dalam tempoh 24 jam bermula malam tadi,

Bagaimanapun, bagi pelajar yang berada di zon merah atau kampung halaman mereka dalam zon merah, mereka belum lagi dibenarkan pulang sehingga satu prosedur operasi standard (SOP) diputuskan oleh kerajaan.

“Kita sedang fikirkan cara terbaik untuk bantu penuntut pulang dari zon hijau ke zon merah atau dari zon merah ke zon hijau supaya mereka juga boleh balik,” kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Malam tadi, Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan meninjau proses penghantaran pulang mahasiswa terbabit di Dewan Tunku Canselor, Universiti Malaya.

“Mungkin cadangan kami kalau zon merah ke zon hijau kena lakukan saringan kesihatan untuk pastikan mereka tiada jangkitan COVID-19, baru kami benarkan mereka balik.

“Dari zon hijau ke zon merah mungkin tak boleh terus balik ke kampung mereka tetapi mereka boleh balik ke rumah keluarga terdekat di zon hijau. Bila semua okay baru boleh balik ke rumah masing-masing,” kata beliau seperti dilapor Bernama.

Buat masa ini kerajaan menumpukan untuk menyelesaikan proses penghantaran pulang mahasiswa dari zon hijau ke zon hijau terlebih dahulu manakala mereka yang berada di zon merah kenalah lebih bersabar.

Diharapkan proses penghantaran semua pelajar baik zon hijau, jingga atau merah dapat diselesaikan menjelang Hari Raya Aidilfitri, termasuk melibatkan mahasiswa yang merentasi lautan.

Ebit Lew ‘tayang’ banglo mewah hasil berniaga, bukan dari derma

0

PENDAKWAH bebas, Ebit Lew menunjukkan banglo mewah miliknya di laman Facebook iaitu hasil usaha dia bekerja dan menjalankan perniagaan selama lebih 10 tahun.

Anak kelahiran Muadzam Shah, Pahang itu berkata, dia mula bekerja dengan pakar motivasi terkenal, Datuk Dr Mohd Fadzilah Kamsah sebagai jurulatih dan motivator program bina semangat selama empat tahun sebelum menjalankan sendiri program tersebut dengan pelanggannya terdiri syarikat minyak dan gas serta kerajaan.

“Dulu saya tidur masjid. Pernah tidur atas guni. Dari kecil berdakwah dan menyebarkan kasih sayang. Soalan paling banyak saya dengar nanti kau sibuk tolong orang sana sini habis hilang dunia. Kau nak jadi apa dah besar. Sampailah universiti.

“Ramai tak nak ambil saya kerja sebab selekeh. Dengan janggut kopiah lagi. Kasut pun buruk. Dulu sekolah stokin pun tak ada. Masa itu susah betul. Duit gaji dekat mak semuanya RM800 dengan banyak kerja.

“Saya walau ada sepinggan nasi kongsi dengan kawan. Ada orang masuk RM2 dekat (dalam) poket sebab tolong isi minyak. Saya menangis dapat RM2 tu. Besar nilai untuk saya,” katanya menceritakan awal kehidupannya sebelum menceburi bidang perniagaan.

EBIT LEW

Pemiik nama penuh, Ebit Irawan Ibrahim Lew @ Lew Yun Pau itu berkata, selain menjalankan program bina semangat dan motivasi di seluruh negara, beliau juga memiliki tiga buah restoran dan merancang untuk mengembangkan Paramount Cofffee Housenya itu keseluruh negara, malah ke luar negara tetapi belum berkesempatan.

“Butik hari pertama buka sale (jualan) habis jubah semua. Selepas itu makin semangat. Syukur rezeki makin melimpah-ruah. Saya tulis sembilan (judul) buku.

“Tambahan lain Youtube dan Facebook. Rupanya Youtube dan Facebook bayar banyak juga kerana mereka tumpang iklan dekat Facebook dan Youtube,” katanya.

Tambah Ebit, 36, dia juga memperoleh pendapatan menerusi dua programnya di televisyen iaitu Door To Door di Astro Oasis serta A Bit With Ebit di TV Alhijrah yang sudah memasuki musim kedua, dengan kakitangan tetap 55 orang dan 40 lagi sukarelawan berbayar.

“Begitulah rezeki Allah beri. Tapi saya yakin Allah beri semua sekali. Dua perkara penting. Rajin dan yakin. Tiada tempat dunia dan akhirat untuk orang malas.

“Yakin pada Allah. Allah beri rezeki. Dia punya semua. Tiada kita punya. Jaga solat awal waktu. Bila susah selalu beri masa solat sunat. Tahajud dan dhuha. Jaga mak ayah dan mertua dengan baik,” katanya memberikan petua dan nasihat.

Sebelum ini ada individu tertentu menuduh dia hidup mewah hasil makan wang derma orang ramai, tanpa mengetahui bahawa dia berusaha gigih untuk mencapai tahap sekarang dan dapat membantu pula insan lain yang memerlukan. – Edisi 9

Penumpang tanpa topeng muka dilarang naik pesawat AirAsia

0

KUALA LUMPUR – AirAsia Group melaksanakan dasar perjalanan baharu untuk penumpangnya berikutan pandemik Covid-19, termasuk memerlukan mereka untuk membawa dan memakai topeng muka mereka sendiri sebelum, semasa dan selepas penerbangan mereka, serta semasa mendaftar masuk dan mengambil bagasi.

Penumpang tanpa topeng muka tidak akan dibenarkan untuk menaiki pesawat, kata Ketua Pegawai Keselamatan Kapten Ling Liong Tien dalam kenyataan di laman web AirAsia hari ini.

AirAsia turut menyemak semula dasar bagasi kabin untuk memudahkan penjarakan sosial, terutamanya semasa naik dan turun pesawat, membenarkan hanya satu bagasi kabin tidak melebihi lima kilogram bagi setiap penumpang.

Ling berkata langkah itu akan membantu mengurangkan kontak yang tidak diingini antara penumpang dan bagasi penumpang yang lain dan sebaliknya.

Terdapat juga pemeriksaan suhu di pusat pemeriksaan yang berbeza, termasuk pintu masuk, katanya, sambil menambah, semua kru akan dikehendaki untuk menjalani pemeriksaan suhu selepas setiap syif.  

“Sudah tentu, penjarakan sosial perlu dipantau, dan akan terdapat penanda di lantai di kawasan untuk beratur, termasuk kaunter daftar masuk dan kiosk.

“Langkah keselamatan lain ialah kaunter daftar masuk alternatif untuk memastikan jarak yang mencukupi, dan kami juga sedang mengusahakan untuk mempunyai proses daftar masuk tanpa kontak,” katanya.

Ling berkata kru kabin akan dikehendaki untuk memakai peralatan perlindungan di dalam pesawat, termasuk topeng muka dan sarung tangan.

Beliau berkata kakitangan pengeluaran akan dipantau mengikut garis panduan Covid-19 dan kru kabin yang mengendalikan item menu akan dikehendaki untuk memakai sarung tangan pakai buang.

“Selain itu, kru kabin kami telah dilatih dengan prosedur untuk menguruskan pesakit atau penumpang yang disyaki tidak sihat di dalam pesawat.

“Keselamatan menjadi komponen paling penting dalam industri penerbangan, dan sudah pasti kami akan terus berusaha untuk memastikan kesalinghubungan penting ini memenuhi semua standard kesihatan dan keselamatan yang diperlukan untuk pekerja dan penumpang kami,” katanya. – BERNAMA

Covid-19: Hotel Kinta Riverfront gulung tikar

0

KESAN daripada wabak Covid-19 terhadap sektor ekonomi khususnya perhotelan yang dibimbangi banyak pihak mula kelihatan apabila pengurusan Kinta Riverfront Hotel & Suites di Ipoh, Perak menamatkan perniagaannya mulai 1 Mei ini.

Menurut notis kepada semua kakitangan, tarikh akhir bekerja adalah pada 30 April ini dan mereka akan dihubungi oleh pengurusan untuk menjelaskan pakej pampasan yang dapat ditawarkan.

Notis yang ditandatangani wakil Lembaga Pengarah/Pengurusan, Tan Kim Hee berkata, pihak hotel mengalami kerugian sejak sebelum wabak Covid-19 tetapi tetap meneruskan operasi untuk memastikan semua kakitangan mempunyai pekerjaan.

“Bagaimanapun, segala usaha yang dilakukan untuk mendapatkan bantuan kewangan dan pelabur bagi mengekalkan perniagaan ini mengalami jalan buntu.

“Syarikat mengalami krisis kewangan teruk dan langkah terakhir yang kami terpaksa lakukan ialah menutup hotel ini dan melepaskan anda semua,” kata Kim Hee dalam notis bertarikh 22 April itu.

Beliau berkata, syarikat menanggung beban kos yang tinggi sejak berlakunya wabak Covid-19 yang bermula di China tahun lalu yang kemudian merebak ke seluruh Asia dan dunia.

Katanya, akibat penularan wabak itu pihaknya mengalami kerugian jutaan ringgit apabila tempahan bilik dan acara di hotel tersebut dibatalkan.

“Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) oleh kerajaan sejak 18 Mac menambahkan lagi kerugian pihak kami kerana aktiviti perjalanan tidak dibenarkan,” katanya.

Jelas beliau, pada masa yang sama wabak Covid-19 tidak menunjukkan tanda-tanda berkurangan dan lebih banyak negara kini dijangkitinya dan pelaksanaan perintah berkurung telah menjejaskan industri pelancongan di seluruh dunia.

Sebelum ini, Persatuan Hotel Malaysia (MAH) mengakui industri perhotelan terjejas teruk akibat Covid-19 apabila peringkat pertama PKP sahaja hampir 200,000 tempahan bilik dibatalkan melibatkan kerugian lebih RM75,000.

Malahan lebih 2,000 pekerja sektor perhotelan di seluruh negara telah diberhentikan manakala anggaran kerugian pendapatan industri hotel berikutan PKP berjumlah lebih RM500 juta. – Edisi 9

Covid-19: Dr Noor Hisham sampaikan khabar gembira

ALHAMDULILLAH… Itulah perkataan yang boleh diucap selepas mendengar perkembangan terkini kes wabak Covid-19 oleh Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah hari ini.

Setelah melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu dan sudah memasuki fasal keempat, hari ini Dr Noor Hisham menyampaikan khabar gembira, sekurang-kurangnya untuk meredakan perasaan seluruh rakyat.

Menurut beliau, jumlah kes baharu positif Covid-19 terus menunjukkan negara dalam tempoh pemulihan dengan hanya 38 kes rekodkan hari ini manakala pesakit yang pulih seramai 100 orang.

Tiada kematian dicatatkan dalam tempoh 24 jam lalu.

“Sehingga 26 April pukul 12 tengah hari, terdapat 38 kes baharu yang telah dilaporkan. Ini menjadikan jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 5,780 kes.

“Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 1,820 kes,” katanya pada sidang media perkembangan Covid-19 seperti dilaporkan Bernama hari ini.

Ini menjadikan 66.82 peratus atau 3,862 kes dari jumlah keseluruhan 5,780 kes positif telah sembuh.

Manakala jumlah pesakit yang di rawat di unit rawatan rapi juga menunjukan penurunan iaitu seramai 36 orang. Jumlah pesakit ICU yang memerlukan bantuan alat pernafasan juga menurun kepada 15 orang.

Jumlah kumulatif kes kematian akibat wabak itu di negara ini juga kekal sebanyak 98 kes atau 1.70 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Beliau berkata, sehingga kini, seramai 36 kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan daripada jumlah tersebut, 15 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Walaupun begitu orang ramai dinasihat terus berada di rumah, mengekalkan penjarakan sosial dan menjaga kebersihan diri termasuk mencuci tangan lebih kerap bagi memastikan rantaian Covid-19 dapat diputuskan dengan sepenuhnya.

Dugaan di bulan puasa: Bumbung rumah diterbangkan ribut

0

IPOH – Naluri hati seorang ibu tunggal yang berasakan seolah-olah perkara buruk akan berlaku benar-benar menjadi kenyataan apabila sebahagian bumbung rumahnya di Rancangan Perumahan Tersusun (RPT) Chepor Dalam di sini diterbangkan angin dalam kejadian ribut petir petang, semalam.

Nor Hasneza Mohd Razali, 39, berkata dalam kejadian kira-kira pukul 6.00 petang itu, beliau sempat melaungkan azan kerana ketakutan, namun tidak dapat menyelamatkan barangan rumah.

“Saya tak sempat menyelamatkan perabot serta barangan elektrik yang kebanyakannya sekarang sudah rosak,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Nor Hasneza yang tidak bekerja dan mempunyai empat anak berusia 11 hingga 19 tahun merupakan antara dua keluarga yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Surau Al Hidayah RPT Chepor sebelum dipindahkan ke sebuah inap desa petang ini.

Sementara itu, seorang lagi penduduk, Mohd Afifi Zulkefli, 35, hanya sempat menyelamatkan bapa mentua yang merupakan orang kurang upaya (OKU) serta empat anak keluar dari rumah apabila melihat kesemua bumbung rumah diterbangkan angin dalam kejadian ribut itu yang berlaku terlalu pantas.

Mohd Afifi berkata semasa kejadian dia bersama anak-anaknya dan bapa mentuanya, Mohamad Nawawi Abidin, 64, berehat di ruang tamu manakala isterinya Norashimah Mohamad Nawawi, 32, sedang menyiapkan juadah berbuka puasa di dapur.

“Tidak sempat selamatkan perabot dan barangan elektrik kerana pada masa itu saya hanya fikirkan keselamatan keluarga saya sahaja. Kejadian berlaku sangat pantas, kira-kira 10 minit. Saya perlu melakukan pendawaian elektrik baharu,” katanya yang bekerja sebagai kontraktor pembersihan.

Dalam pada itu, Pegawai Daerah Kinta Halizah Sipun berkata sebanyak 362 rumah di Mukim Ulu Kinta terjejas akibat ribut petir semalam melibatkan Taman Klebang Jaya (120); Kampung Sri Klebang (91 rumah); RPT Chepor Dalam (86) dan Taman Bertuah (65).

“Daripada jumlah itu hanya ada dua rumah melibatkan dua keluarga berpindah dan mereka ditempatkan sementara di inap desa,” katanya ketika dihubungi.

Halizah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah berkata Pejabat Daerah dan Tanah Kinta akan menguruskan bantuan Wang Ihsan Bencana kepada penduduk terlibat setelah memperoleh semua dokumen yang diperlukan.

Sementara itu, semakan di laman sesawang Jabatan Meteorologi Malaysia mendapati ribut petir, hujan lebat dan angin kencang dijangka berlaku di Perak petang ini.

Keadaan itu boleh menyebabkan angin kencang sehingga 50 kilometer sejam serta laut bergelora dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter dan berbahaya kepada bot-bot kecil. – Bernama