26.7 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

PKP-4: 8 jenis perniagaan perlu dibuka segera!

Mesti Baca

Oleh MOHD RIDZWAN MD IMAN

MULAI esok, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan memasuki fasa keempat, yakni kesemua rakyat Malaysia telah diminta berada di rumah melebihi sebulan setengah – tidak boleh pergi ke tempat kerja, berniaga, beriadah atau keluar dari kawasan rumah tanpa alasan munasabah.

Bagi rakyat Malaysia, arahan itu dipatuhi tanpa masalah walaupun sebahagian besar daripada mereka telah mula ‘resah dan tertekan’ kerana terlalu lama terperuk di dalam rumah, terutama bagi yang tinggal di pangsapuri atau apartment.

Kesemua kedai juga diminta ditutup kecuali restoran, pasaraya, pasar basah atau kedai runcit yang mana operasinya hanya dibenarkan dari pukul 8 pagi hingga 8 malam. Alasannya tidak mahu orang ramai beramai-ramai berkumpul dalam satu kedai, kawasan dan seterusnya memudahkan penyebaran virus.

Bagi Che Wann, sudah tiba masanya beberapa jenis premis atau kedai lagi perlu dibuka ketika PKP fasa keempat ini memandangkan ia merupakan keperluan rakyat.

Sudah tentu langkah-langkah yang sama perlu dikenakan ke atas pembeli apabila berkunjung ke kedai-kedai yang baru dibuka itu seperti berkunjung ke restoran, kedai runcit atau pasaraya iaitu tidak boleh terlalu ramai di dalam kedai, mencuci tangan dan memakai topeng muka.

Antara kedai-kedai yang perlu dibuka segera ialah:

1. Kedai elektrik, perkakasan (hardware)

Kedai ini sangat penting kerana keperluan mendapatkan barangan perkakasan elektrik sangat penting sama ada barangan kecil seperti mentol, lampu suluh dan sebagainya. Tidak kurang pentingnya terutama di bulan Ramadan dna menjlang Hari Raya nanti, barangan seperti dapur memasak, mesin pengadun, ketuhar gelombang mikro dan sebagainya telah menjadi barangan keperluan.

Barangan perkakasan untuk bertukang atau membaiki juga sangat penting untuk membaiki apa sahaja barang-barang yang rosak di rumah seperti paip air, kerusi meja atau mengecat rumah sempena menyambut Syawal dan sebagainya.

2. Kedai makanan haiwan

Selain klinik haiwan yang telah dibenarkan beropasi, kedai makanan haiwan juga perlu mendapat kebenaran tersebut. Ini kerana ia merupakan keperluan kepada kebanyakan keluarga kini yang memelihara haiwan peliharaan seperti kucing atau anjing yang memerlukan makanan terbaik untuk kesihatan haiwan mereka.

3. Kembalikan waktu operasi restoran, pasar raya ke pukul 10
Tidak dipastikan kenapa kerajaan mengehadkan waktu operasi kedai-kedai runcit, pasaran dan restoran sehingga pukul 8 malam. Jika alasan tidak mahu rakyat keluar rumah pada waktu malam, adakah alasan itu boleh diterima? Adakah virus lebih mudah tersebar waktu malam?.

Penutupan kedai dan restoran yang terlalu awal menyebabkan kesesakan berlaku di pasaraya, kedai runcit dan restoran (kita dapat melihat betapa panjangnya orang beratur) pada waktu siang.

Tambahan pula, di bulan Ramadan ini juga menjadikan tempoh membeli bertambah singkat apabila orang ramai tidak akan berada di kedai pada lingkungan pukul 7 malam kerana ketika itu waktu berbuka dan orang ramai juga mahu membeli makanan sahur selepas berbuka.

4.  Kedai kesihatan tradisional

Kedai-kedai yang menjual pelbagai jamu, herba, kopi dan teh pelbagai khasiat dan sebagainya harus dibenarkan beroperasi kerana ramai rakyat Malaysia yang memerlukan makanan-makanan berkhasiat tersebut bagi menjaga kesihatan mereka.

Mungkin perkhidmatan berurut, berbekam, sauna, mencuci muka dan sebagainya tidak dibenarkan lagi setakat ini kerana kedudukan perawat dan penerima rawatan yang terlalu dekat dan memudahkan jangkitan.

5. Kedai jahit, pakaian dan butik

Memandangkan Hari Raya Aidilfitri bakal menjelma, kedai-kedai jahit, kedai pakaian dan butik harus dibenarkan beroperasi bagi membolehkan orang ramai menempah pakaian baru untuk sambutan hari raya mereka. Bagaimanapun, ibu bapa tidak boleh membawa anak-anak mereka secara beramai-ramai seperti dilakukan sebelum ini dan pematuhan arahan jarak sosial perlu juga dilakukan seperti biasa.

Keadaan ini juga boleh ‘menyelamatkan wang ringit’ ibu bapa yang menempah pakaian dalam talian yang apabila sampai – pakaian itu terpaksa dibuang, langsung tidak boleh pakai kerana saiz atau kualiti fakbrik yang teruk.

6. Bengkel motosikal/basikal

Tidak dapat dipastikan kenapa bengkel kereta telah dibenarkan beroperasi tetapi tidak untuk bengkel motosikal atau basikal kerana perkhidmatan yang diberikan adalah sama – membaiki kenderaan rosak.

7. Kedai telekomunikasi/membaiki komputer atau telefon bimbit

Memandangkan rakyat diminta berada di rumah. Peralatan seperti komputer, telefon bimbit menjadi keperluan masa kini untuk membolehkan kerja dilakukan di rumah atau berhubung dengan rakan-rakan sekerja atau saudara mara.

Penutupan kedai-kedai yang berkaitan dengan peralatan tersebut sememangnya menyusahkan ramai pihak yang memerlukan perkhidmatan mereka, selain peniaga yang kebanyakannya adalah peniaga kecil yang masih terpaksa membayar sewa kedai dan membayar gaji pekerja.

8.  Gerai-gerai di rumah

Video tular seorang penjual buah-buahan mengamuk apabila pihak berkuasa mengarahkannya menutup operasi walaupun kedainya adalah di dalam tanah kawasan rumahnya seharusnya jadi pengajaran kepada kerajaan. Dari segi logiknya, kemungkinan gerai peniaga itu boleh menularkan virus adalah sangat kecil berbanding kemungkinan kedai runcit atau restoran besar.

Jika peniaga gerai tidak lagi dibenarkan berniaga di tepi-tepi jalan tetapi setidak-tidaknya mereka harus dibenarkan berniaga di dalam kawasan laman rumah mereka asalkan gerai itu tidak membenarkan orang ramai berkerumun berpuluh-puluh orang. Kesihanilah mereka yang kehilangan punca pendapatan.

Kesimpulannya, tiada alasan lagi untuk menangguh pembukaan kedai-kedai tau gerai itu kerana langkah yang sama juga boleh dibuat apabila pembeli berkunjung ke kedai-kedai itu seperti yang dikenakan apabila mengunjungi restoran, kedai runcit atau pasaraya iaitu – tidak boleh berkumpul beramai-ramai.

Ramai peniaga kecil yang terseksa hidup mereka kerana PKP yang menghilangkan terus pendapatan. Sekiranya operasi perniagaan perniaga-peniaga kecil ‘tidak berpotensi atau berpotensi sangat kecil’ menyebarkan virus berbanding operasi premis perniagaan yang dibenarkan dibuka sekarang seperti restoran atau pasaraya – mengapa perlu lagi menyiksa mereka?

Sekurang-kurangnya benarkanlah mereka yang berada di zon hijau berniaga. – Edisi 9

Terkini

Beras dibuang di tapak pelupusan sampah tidak selamat dimakan

BERAS yang didakwa dibuang di tapak pelupusan sampah di Temerloh, Pahang didapati telah rosak dan tidak sesuai serta tidak...

Lagi Artikel Berkaitan