25.8 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Golongan berisiko tinggi Covid-19 bakal terima ubat antibodi Evusheld

Kajian menunjukkan bahawa ubat antibodi EVUSHELD dapat melindungi penerima dari jangkitan Covid-19 untuk jangka masa enam bulan selepas pemberian suntikan.

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

GOLONGAN berisiko tinggi bakal memulakan rawatan ubat antibodi monoclonal Tixagevimab plus Cilgavimab (EVUSHELD) dalam waktu yang terdekat.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, langkah berkenaan adalah sebahagian usaha Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk memastikan golongan berisiko tinggi terus mendapat perlindungan daripada jangkitan Covid-19 yang optimum.

Menurutnya, kajian menunjukkan bahawa ubat antibodi EVUSHELD dapat melindungi penerima dari jangkitan Covid-19 untuk jangka masa enam bulan selepas pemberian suntikan.

“Buat masa ini, ubat antibodi EVUSHELD ini hanya akan diberikan di hospital kerajaan dan ia boleh digunakan sebagai profilaksis pra-pendedahan atau Pre exposure prophylaxis (PrEP) untuk golongan yang belum dijangkiti Covid-19 tetapi berisiko tinggi untuk dijangkiti.

“Penilaian kelayakan pesakit untuk menerima ubat antibodi ini akan dilakukan oleh Pakar Perubatan yang merawat dan kriteria pemilihan pesakit adalah berumur 12 tahun dan ke atas serta mempunyai berat badan melebihi 40 kilogram,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ujar Khairy lagi, bagi kriteria dalam kalangan golongan Immunocompromised sederhana hingga teruk pula, ini mengambil kira tindak balas imun golongan ini terhadap vaksinasi Covid-19 yang berkemungkinan tidak mencapai tahap imuniti yang memuaskan atau individu yang tidak dapat mengambil vaksin sepenuhnya akibat sebab sebab perubatan atau mempunyai sejarah tindak balas teruk terhadap vaksin Covid-19.

Menurutnya, kaedah pemberian ubat antibodi ini adalah melalui dua suntikan intramuskular yang berasingan bagi dua jenis ubat iaitu Tixagevimab dan Cilgavimab serta diberikan secara berturut-turut.

“Bagi pesakit immunocompromised yang telah menerima vaksinCovid-19, EVUSHELD hendaklah diberikan sekurang kurangnya dua minggu selepas vaksinasi,” katanya.

Dalam pada itu, Khairy memaklumkan pemberian ubat Paxlovid akan diperluaskan kepada fasiliti kesiharan swasta terpilih dalam masa terdekat.

Menurutnya, pemberian kepada pesakit di fasiliti kesihatan swasta adalah secara percuma.

“Walau bagaimanapun, pesakit masih tertakluk kepada caj khidmat rundingan dan lain-lain caj berkaitan yang ditentukan oleh fasiliti kesihatan swasta tersebut,” katanya.

Ujar Khairy lagi, penggunaan ubat antiviral Paxlovid yang telah dimulakan di fasilti kesihatan KKM sejak 15 April lalu bagi merawat pesakit Covid-19.

“Paxlovid merupakan ubat antiviral oral pertama di Malaysia untuk merawat pesakit Covid-19 yang mengalami gejala ringan hingga sederhana ataupun kategori 2 dan 3.

“Keutamaan pemberian rawatan Paxlovid adalah kepada kumpulan pesakitCovid-19 yang berisiko tinggi.

Menurutnya, sehingga 5 Jun lalu, seramai 1,364 orang pesakit diberikan rawatan Paxlovid dan telah sembuh sepenuhnya serta tiada sebarang kesan sampingan teruk dilaporkan.

“Rawatan ini terbukti selamat dan berkesan serta dapat mengurangkan kesan teruk jangkitan dan kadar kematian pesakit Covid-19.

“Walaupun Malaysia telah memasuki Fasa Peralihan ke Endemik dan sempadan negara juga telah dibuka, golongan yang berisiko tinggi seperti warga emas dan individu dengan komorbiditi, termasuklah mereka yang belum menerima vaksinasi, mesti diberikan perlindungan yang terbaik agar mereka terhindar daripada mendapat kesan jangkitan Covid-19 yang teruk.

KKM katanya akan sentiasa berusaha untuk mempersiap dan melengkapkan sistem kesihatan negara dengan kelengkapan serta ubat ubatan yang selamat dan berkualiti tinggi untuk melindungi seluruh penduduk di Malaysia daripada dijangkit Covid-19 atau mendapat kesan jangkitan yang teruk.

“Dengan adanya ubat-ubatan serta kaedah rawatan yang sentiasa ditambahbaik, KKM percaya dan yakin bahawa Malaysia kini berada dalam landasan yang terbaik untuk melalui Fasa Peralihan ke Endemik ini dengan berkesan dan selamat.

KKM menurutnya akan terus komited untuk mempertingkatkan akses penduduk kepada ubat-ubatan bagi tujuan rawatan atau pencegahan penularan Covid-19 di Malaysia dan memastikan bilangan kematian akibat Covid-19 serta pesakit Covid-19 yang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) berada pada tahap yang rendah dan terkawal.

-EDISI9

Terkini

China minta lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan – Zahid

CHINA meminta agar lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan antara kedua negara, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid...

Lagi Artikel Berkaitan