32.8 C
Kuala Lumpur
Friday, April 19, 2024

Covid-19: Hotel Kinta Riverfront gulung tikar

Mesti Baca

KESAN daripada wabak Covid-19 terhadap sektor ekonomi khususnya perhotelan yang dibimbangi banyak pihak mula kelihatan apabila pengurusan Kinta Riverfront Hotel & Suites di Ipoh, Perak menamatkan perniagaannya mulai 1 Mei ini.

Menurut notis kepada semua kakitangan, tarikh akhir bekerja adalah pada 30 April ini dan mereka akan dihubungi oleh pengurusan untuk menjelaskan pakej pampasan yang dapat ditawarkan.

Notis yang ditandatangani wakil Lembaga Pengarah/Pengurusan, Tan Kim Hee berkata, pihak hotel mengalami kerugian sejak sebelum wabak Covid-19 tetapi tetap meneruskan operasi untuk memastikan semua kakitangan mempunyai pekerjaan.

“Bagaimanapun, segala usaha yang dilakukan untuk mendapatkan bantuan kewangan dan pelabur bagi mengekalkan perniagaan ini mengalami jalan buntu.

“Syarikat mengalami krisis kewangan teruk dan langkah terakhir yang kami terpaksa lakukan ialah menutup hotel ini dan melepaskan anda semua,” kata Kim Hee dalam notis bertarikh 22 April itu.

Beliau berkata, syarikat menanggung beban kos yang tinggi sejak berlakunya wabak Covid-19 yang bermula di China tahun lalu yang kemudian merebak ke seluruh Asia dan dunia.

Katanya, akibat penularan wabak itu pihaknya mengalami kerugian jutaan ringgit apabila tempahan bilik dan acara di hotel tersebut dibatalkan.

“Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) oleh kerajaan sejak 18 Mac menambahkan lagi kerugian pihak kami kerana aktiviti perjalanan tidak dibenarkan,” katanya.

Jelas beliau, pada masa yang sama wabak Covid-19 tidak menunjukkan tanda-tanda berkurangan dan lebih banyak negara kini dijangkitinya dan pelaksanaan perintah berkurung telah menjejaskan industri pelancongan di seluruh dunia.

Sebelum ini, Persatuan Hotel Malaysia (MAH) mengakui industri perhotelan terjejas teruk akibat Covid-19 apabila peringkat pertama PKP sahaja hampir 200,000 tempahan bilik dibatalkan melibatkan kerugian lebih RM75,000.

Malahan lebih 2,000 pekerja sektor perhotelan di seluruh negara telah diberhentikan manakala anggaran kerugian pendapatan industri hotel berikutan PKP berjumlah lebih RM500 juta. – Edisi 9

Terkini

Beras dibuang di tapak pelupusan sampah tidak selamat dimakan

BERAS yang didakwa dibuang di tapak pelupusan sampah di Temerloh, Pahang didapati telah rosak dan tidak sesuai serta tidak...

Lagi Artikel Berkaitan