Tuesday, July 21, 2026

The Grand Puteri Hotel raih pendapatan lebih RM7.32 juta

Beri pulangan lebih RM830,000 kepada Yayasan Wakaf Malaysia dan bayaran pajakan hampir RM7 juta kepada MAIDAM - Mohd Na'im

Mesti Baca

THE Grand Puteri Hotel, Kuala Terengganu iaitu salah satu hotel yang diuruskan oleh Yayasan Wakaf Malaysia (YWM) berjaya mencatatkan pendapatan berjumlah RM7,322,549.76 sehingga November tahun lalu dengan kadar kepenghunian purata (AOR) sebanyak 57 peratus.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar berkata, daripada pendapatan itu, hotel tersebut berjaya memberi pulangan kepada YWM sebanyak RM832,929.22 sehingga 31 November 2024.

Manakala Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) selaku pemilik hotel berkenaan pula, menurutnya, menerima bayaran pajakan berjumlah RM6,877,419.35 sehingga 31 Disember 2024.

Beliau yang juga Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YWM berkata, hasil daripada keuntungan tersebut sebahagiannya dikembalikan ke tabung wakaf dan turut diagihkan kembali kepada masyarakat yang memerlukan.

“Ini jelas menunjukkan projek wakaf ekonomi seumpama ini menjadi pemangkin kepada pembangunan sosioekonomi yang mapan dan turut memberi manfaat yang berpanjangan kepada masyarakat dan negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

The Grand Puteri Hotel, Kuala Terengganu merupakan salah satu daripada tiga hotel yang diuruskan oleh Yayasan Wakaf Malaysia.

Selain The Grand Puteri Hotel, Kuala Terengganu, YWM turut menguruskan dua buah iaitu Puteri Bay Hotel di Tanjung Kling, Melaka serta Hotel Seri Warisan di Perak selain 19 buah rumah kedai di Selangor, Johor, Melaka dan Kedah.

Mohd Naim berkata, setelah 10 tahun menguruskan hotel tersebut melalui pajakan 25 tahun oleh MAIDAM manakala operasinya diuruskan oleh pihak ketiga, YWM telah mengambil alih sepenuhnya pengurus hotel tersebut melalui konsep mudhrabah.

“Selepas 10 tahun diuruskan melalui konsep ijarah (sewaan), YWM melalui anak syarikatnya iaitu Perbadanan Wakaf Nasional Berhad (PWNB) telah mengambil alih sepenuhnya pengurusan hotel ini melalui konsep Mudharabah.

“Melalui pengambilalihan ini turut menyaksikan persetujuan dan sokongan penuh daripada pihak MAIDAM dan JAWHAR (Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji) untuk menjenamakan semula hotel ini sebagai ‘The Grand Puteri Hotel’ dan turut serta dalam pengubahsuaian bagi meningkatkan lagi imej serta kemudahan hotel ini,” katanya.

Mohd Na’im berkata, YWM terus menunjukkan komitmen dan proaktif dalam meningkatkan dana wakaf dan mengembangkan potensinya selaras dengan hasrat kerajaan menjadikan wakaf sebagai elemen penting dalam pemerkasaan ekonomi rakyat.

Katanya, menerusi pelaksanaan inisiatif wakaf ekonomi yang bersifat komersil, dana wakaf dapat menghasilkan pulangan yang akhirnya akan dikembalikan manfaatnya kepada masyarakat yang memerlukan. – Edisi 9

Terkini

Hormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan sehingga PRU-16

SEMUA pihak diminta agar menghormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan peringkat Persekutuan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH)...

Lagi Artikel Berkaitan