KEDUDUKAN institusi fatwa kekal penting dan akan terus dipertahankan meskipun Mahkamah Persekutuan hari ini memihak kepada pertubuhan Sisters In Islam (SIS) Forum (Malaysia) dalam cabaran terhadap satu fatwa berkaitan fahaman liberalisme dan pluralisme agama.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar berkata, kerajaan menghormati prinsip kedaulatan undang-undang dan keputusan kehakiman yang dibuat oleh Mahkamah Persekutuan sebagai institusi tertinggi dalam sistem perundangan negara.
“Keputusan ini akan diteliti secara menyeluruh demi memastikan kedudukan dan kewibawaan institusi fatwa tidak terjejas dalam jangka panjang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Fatwa yang dikeluarkan Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor pada 17 Julai 2014 telah menetapkan bahawa fahaman liberalisme dan pluralisme agama adalah bercanggah dengan ajaran Islam, serta mana-mana individu atau kumpulan yang mendokong fahaman tersebut dianggap menyeleweng.
Walaupun keputusan mahkamah tidak membatalkan fatwa secara keseluruhan, kesannya adalah bahawa pemakaian fatwa tersebut tidak terpakai kepada SIS sebagai sebuah entiti perundangan bukan individu Muslim.
Ia sekali gus menimbulkan persoalan tentang bidang kuasa pihak berkuasa agama dalam menguatkuasakan fatwa ke atas organisasi.
Mengulas perkara itu, Dr. Na’im menyeru agar kerjasama antara institusi kehakiman, perundangan dan pihak berkuasa agama diperkukuhkan demi memastikan fungsi dan kewibawaan institusi fatwa sentiasa dihormati dalam kerangka sistem perlembagaan negara.
“Kerajaan MADANI akan memastikan pentadbiran hal ehwal Islam di Malaysia dilaksanakan secara adil dan berlandaskan prinsip syura, ilmu serta berpaksikan lunas undang-undang negara,” tambah beliau.
Beliau turut memberi jaminan bahawa Kerajaan MADANI komited mempertahankan kedudukan institusi agama Islam selaras dengan Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan bahawa Islam adalah agama bagi Persekutuan.
Keputusan tersebut, katanya, tidak harus dilihat sebagai melemahkan institusi fatwa, sebaliknya menjadi titik tolak untuk memperkukuh lagi kerangka perundangan Islam agar kekal relevan, dihormati dan berkesan dalam mendepani cabaran semasa masyarakat. — Edisi 9

