NEWCASTLE United menamatkan penantian selama 70 tahun untuk menjulang trofi domestik apabila menyingkirkan juara bertahan Liverpool dalam merebut Piala Liga Carabao di Stadium Wembley awal pagi ini.
Meskipun tanpa penguasaan penuh, The Magpies ternyata memiliki sentuhan peluang yang lebih baik berbanding pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL) itu dengan mencipta 17 percubaan secara keseluruhan.
Malang bagi The Reds apabila tandukan Dan Burn pada separuh masa pertama menewaskan penjaga gol, Caoimhin Kelleher, sekali gus menjadi pencetus semangat buat Newcastle United.
Memasuki babak kedua permainan, pemain kebangsaan Sweden, Alexander Isak, menambah sengsara skuad kendalian Arne Slot untuk jaringan kedua, namun mujur jaringan itu dibatalkan oleh penjaga garisan ekoran ofsaid.
Tetapi, beberapa minit kemudian, Isak sekali lagi memastikan sepakan derasnya berjaya menambah kedudukan 2-0 untuk kelebihan sekali gus memberi tekanan kepada pasukan lawan.
Liverpool yang disingkirkan Paris St Germain dalam Liga Juara-juara pertengahan minggu lalu bagaimanapun mendapat gol saguhati menerusi pemain gantian, Federico Chiesa dalam masa kecederaan.
Para penyokong dan pemain serta pengurusan New Castle berhak meraikan kemenangan bersejarah itu sementelah kali terakhir kelab tersebut menjulang trofi domestik ialah menerusi Piala FA pada tahun 1955.
Bagi Liverpool, mereka kini hanya bergantung harap kepada EPL untuk menjulang trofi musim ini setelah terlepas Piala FA, Liga Juara-juara dan Piala Liga Carabao.
Walaupun mendahului dengan 12 mata berbanding Arsenal di tempat kedua, namun kedudukan mereka boleh tergugat sekiranya gagal memperbaiki prestasi dalam baki perlawanan selepas ini. – Agensi

