24.6 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

Mukhriz perlu matang, inilah politik!

Mesti Baca

Zulkiflee Bakar
Zulkiflee Bakar
Penulis Khas Edisi 9

WALAUPUN hadir dengan wajah ceria di Wisma Darul Aman, Alor Setar hari ini bagi mengumumkan peletakan jawatan sebagai Menteri Besar (MB) Kedah namun isi kandungan dan gaya percakapan Datuk Seri Mukhriz Mahathir ternyata tidak dapat menyembunyikan betapa kecewanya tersingkir kali kedua bagi kedudukan yang sama dalam tempoh empat tahun.

Pada sidang media lebih sejam itu, Mukhriz menggariskan pelbagai kejayaan kerajaan negeri di bawah pentadbiran beliau, senang cakap kalau ikut apa yang dibentangkan itu, orang boleh buat kesimpulan beliaulah MB terbaik yang pernah dilahirkan Kedah.- Itulah yang beliau harapkan.

Walaupun setiap kali balik kampung, penulis dengar banyak cerita mengenai pentadbiran Mukhriz tetapi penulis tidak menafikan ada juga jasa beliau kepada negeri Jelapang Padi tersebut, namun mahu meletakkan dalam kategori amat cemerlang, ia masih boleh diperbahaskan.

Tidak kisahlah, sebagai orang yang kecewa kerana disingkirkan cara demikian, Mukhriz boleh membentangkan apa sahaja rekod perkhidmatannya, samalah juga seperti mana dilakukan Dr.Maszlee Malik pada sidang media akhbar terakhir ketika mahu meletakkan jawatan Menteri Pelajaran, “selepas mendapat nasihat ayahanda Tun Mahathir.”

Tetapi Mukhriz tidak boleh ‘bersilat lidah’ atau berdolak dalik untuk mengakui beliau terpaksa meletakkan jawatan kerana PKR bertindak memecat ADUNnya sehingga menyebabkan seorang lagi ADUN daripada parti itu mengisytiharkan keluar parti sekali gus menyebabkan Mukhriz ‘hilang majoriti.’ Inilah punca sebenar!

Kalaulah pada sidang media tersebut Mukhriz menyatakan empat ADUN Bersatu turut menyokong Perikatan Nasional (PN) atas arahan Presiden parti itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, persoalannya adakah mereka itu tidak ada prinsip? Dan kalau Mukhriz serta bapanya Tun Dr.Mahathir Mohamad masih mendapat sokongan kukuh dalam Bersatu, mana mungkin keempat-empat ADUN tersebut menyokong PN?

Lagipun Mukhriz kena faham dan terimalah hakikat, tanpa sokongan empat ADUN itupun, PN dengan sokongan dua bekas ADUN PKR boleh menubuhkan kerajaan negeri dengan majoriiti 19-17. Kehadiran empat ADUN berkenaan hanya memperkukuhkan sahaja sokongan kepada PN menjadi 23-13.

Sepanjang sidang media itu juga, penulis melihat Mukhriz tidak mampu membendung rasa marah kepada UMNO. Walaupun tidak ditunjukkan melalui riak wajahnya, tetapi perkataan dan ayat yang digunakan ada ketikanya menampakkan beliau seolah-olah dikawal politik kebencian mendalam.

Bayangkanlah, kalau Datuk Seri Najib Tun Razak pun dikaitkan sedangkan bekas Perdana Menteri itu tidak lagi memegang jawatan dalam parti dan kerajaan, ia menampakkan ketidakmatangan Mukhriz dalam berpolitik dan dilihat terikut-ikut kebencian bapanya terhadap Najib.

Advertisements

Begitu juga apabila beliau melahirkan perasaan kecewa apabila PN dikatakan bermain politik dan mahu menjatuhkan kerajaan negeri di bawah kepemimpinannya ketika isu Covid19 masih belum selesai, tetapi sedarkah Mukhriz, kalau betullah mahu menumpukan perhatian kepada wabak tersebut, kenapakah bapanya membawa usul undi tidak percaya kepada Muhyiddin pada sidang Dewan Rakyat, esok?

Bagaimana kalau ada orang berkata, belum sempat si bapa menjatuhkan Perdana Menteri, Si anak tumbang dulu di Kedah!

Ketika hujah-hujah beliau dilihat memaparkan perasaan kecewa kerana diijatuhkan, Mukhriz sendiri menggunakan perkataan “saya akan menjatuhkan Muhyiddin” bagi merujuk kepada perebutan kerusi Presiden Bersatu.

Penggunaan ayat itu memberi gambaran seolah-olah misi beliau menentang Muhyiddin adalah untuk menjatuhkan Perdana Menteri sahaja tidak lebih daripada itu. Tetapi soalnya, adakah Mukhriz mempunyai kekuatan untuk berbuat demikian walaupun beliau berkata, menerima banyak mesej daripada akar umbi menyokong beliau?

Apapun Mukhriz sepatutnya redha dengan kehilangan jawatan MB buat kali kedua. Sama ada apa yang berlaku dianggap pengkhianatan atau tidak, rekod perkhidmatan beliau di negeri itu hebat atau tidak, biarlah rakyat menentukannya dalam pilihan raya umum akan datang.

Janganlah terlalu beremosi sehingga hujah politik yang dihamburkan hanya menjadi bahan lawak oleh netizen ketika sidang media tersebut disiarkan secara langsung dalam media-media sosial. Mukhriz perlu mengakui, untuk menjadi ahli politik hebat, ia perlu mempunyai kewibawaan dan keupayaan sendiri, bukannya dilihat hanya mengikut rentak politik bapanya sahaja.

Mukhriz perlu bermuhasabah dan jujur kepada diri sendiri, apakah beliau benar-benar sesuai untuk menjadi politik atau beliau sebenarnya hanya terpaksa sahaja terjun dalam bidang tersebut. Kalau beliau merasakan itu memang bidangnya maka jadilah ahli politik yang matang dengan berhujah berdasarkan fakta bukannya emosi.

Seperti mana penulis nyatakan dalam artikel sebelum ini Mukhriz adalah seorang berperibadi baik tetapi kematangan dan keampuhan beliau dalam politik masih dipersoalkan memandangkan orang melihat ahli politik berusia 56 tahun itu tidak akan ke mana tanpa sokongan bapanya. Mungkin ia sekadar persepi tetapi persepsi inilah yang semakin mengugat perjalanan politik Mukhriz.

Apapun sebagai seorang yang mengenali beliau, penulis doakan beliau tabah menghadapi ujian Allah ini kerana sebaik manapun perancangan manusia, Allah penentu segala-galanya. Pasti ada hikmat di sebaliknya semua ini, janganlah terlalu kecewa, inilah politik! – EDISI9

Advertisements

Terkini

Khairul Azhari calon PN bagi PRK Kuala Kubu Baharu – Muhyiddin

PEMANGKU Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Hulu Selangor, Khairul Azhari Saut diumumkan sebagai calon Perikatan Nasional (PN)...

Lagi Artikel Berkaitan