TITAH Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah perlu menjadi titik noktah kepada mana-mana ahli politik yang gagal memahami realisme politik Malaysia dalam cakupan yang menyeluruh.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, titah baginda itu juga tepat pada masanya ketika ada ahli-ahli politik khususnya bukan beragama Islam cuba mencampuri urusan agama Islam yang menjadi prerogatif Raja-raja Melayu.
Beliau berkata, sebagau seorang pengamal undang-undang berpengalaman, sewajarnya pandangan dan komentar seumpama itu tidak ada sebarang keperluan pun untuk dipertimbang malah tiada kepentingan untuk dilontar sebagai sebuah topik perbincangan di permulaannya.
“Kewenangan pengurusan agama Islam yang menjadi prerogatif khusus sesebuah negeri melalui payung Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Raja Raja Melayu, sewajarnya difahami tanpa sebarang dakwa-dakwi yang memungkinkan penyelewengan tafsir berlaku sehingga mencetus keresahan yang tidak perlu,” katanya.
Semalam, Sultan Sharafuddin mengingatakn agar orang politik khususnya mereka yang bukan beragama Islam untuk tidak terus-menerus mencampuri urusan hal ehwal agama Islam.
Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) bertitah, penganut agama lain malahan seharusnya mencontohi umat Islam yang tidak mencampuri hal ehwal agama lain di negara ini.
Titah baginda, MKI yang dipengerusikan oleh baginda, memegang amanah dan tanggungjawab bagi melaksanakan segala hal ehwal berkaitan umat Islam.
Amirudin berkata, Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham selaku ahli politik berpengalaman wajar meneliti semula kapasiti pembicaraan beliau khususnya berhubung isu-isu melibatkan hal ehwal agama Islam, sementelah beberapa kali polemik yang berlegar pada skop yang sama dicetuskan beliau terdahulu.
Malahan katanya, kenyataan bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak itu membebani partinya sendiri yang pada ketika ini berada pada tahap terbaik untuk sama-sama memperjuangkan agenda Malaysia Madani melalui Kerajaan Perpaduan.
Katanya, kerajaan hari ini secara jelas dan tuntas meletakkan agama Islam di tahap tertinggi sebagai pembuktian komitmen Pakatan Harapan (PH) melalui kombinasi strategik bersama Barisan Nasional (BN) untuk menjadi perisai pertahanan agama Islam yang lebih baik berbanding mana-mana entiti terdahulu.
“Upaya Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang istiqamah dan tegas dalam memperihalkan perkara berkaitan agama Islam dan hal ehwal Melayu perlu disambut dengan adab, bijak dan cakna oleh setiap ahli politik khususnya Ahli-ahli Parlimen,” katanya. – Edisi 9