24.7 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 27, 2024

Politik Malaysia perlukan normal, wajah baharu

Mesti Baca

Mesin Taip Buruk
Mesin Taip Buruk
Blogger / Kolumnis Edisi 9

SELAMA 30 tahun kita dihidangkan dengan drama politik yang hampir sama oleh para pelakon sama yang memegang watak yang sama, plot cerita yang hampir serupa. Mana ada satu drama bersiri yang mampu bertahan sebegini lama?

Semasa penulis berusia remaja ada drama-drama bersiri di TV semasa itu yang seolah-olah tidak ada kesudahannya, setiap minggu ditayang selama bertahun-tahun. Antara yang penulis ingat Little House On The Prairie, The Sullivans atau Dallas.

Namun walaupun siri drama-drama ini begitu panjang sehingga memakan masa bertahun-tahun tetapi tetap ada pengakhirannya.

Berbeza dengan drama politik di Malaysia ini. Sejak tahun 1980-an kita disajikan dengan aksi perbalahan oleh dua watak iaitu Mahathir Mohamad dan Anwar Ibrahim sehinggalah salah seorangnya dihumban ke penjara.

Walaupun sudah berada di dalam penjara, Anwar masih mampu mengatur gerakan sehingga tertubuhnya parti politik yang bertujuan membebaskan dan mengangkat dirinya menjadi pemimpin tertinggi negara.

Pada masa yang sama wujud watak-watak tambahan seperti Kit Siang dan Mat Sabu yang menjadi bumbu bagi menguatkan lagi plot penceritaan dengan adegan-adegan suspen dan kadang kala aksi ‘stunt’ drama politik.

Tahun berganti tahun, bulan berganti bulan watak-watak ini terus mengisi slot drama politik tanah air walaupun kemudiannya wujud jalan cerita tambahan menerusi kisah 1MDB dan wang derma Arab menerusi watak Najib Razak, namun watak Mahahthir, Anwar dan Kit Siang tidak pernah mati atau dimatikan.

ANWAR dan Mahathir masih kekal sebagai pemegang watak utama dalam ‘drama politik’ negara selama lebih 30 tahun. – Sumber: Focus Malaysia

Maka andai penonton yang lahir pada tahun 1980-an dapat menyaksikan drama bersiri ini, sehinggalah dia berusia lebih 30 tahun drama politik dengan watak dan plot yang sama meleret-leret dan berlarutan masih dapat disaksikan sehingga ke hari ini.

Begitulah statiknya politik negara kita yang disuguhkan kepada rakyat sehingga ke hari ini. Tiada pembaharuan, tiada watak-watak baharu sebaliknya watak-watak yang sama mengisi slot perebutan jawatan, pecat-memecat, gantung-menggantung.

Sebagai penonton yang menyaksikan drama politik ini selama lebih 30 tahun, penulis merasa mual, loya dan ingin muntah di samping jenuh, bosan dan menyampah dengan drama politik tersebut tetapi mahu tidak mahu terpaksa menyaksikannnya kerana tiada pilihan.

Advertisements

Pilihan raya umum silih berganti, pakatan demi pakatan dibentuk dan kerajaan sudah bertukar ganti namun para pemainnya masih orang yang sama. Walaupun sudah berusia lanjut hampir satu abad, namun pelakon-pelakon ini masih tetap beraksi dengan watak masing-masing.

Penulis percaya hampir seluruh rakyat yang menjadi penonton sudah jenuh dengan drama ini. Mereka mengharapkan normal baharu dalam politik negara, dengan menampilkan wajah-wajah baharu yang lebih segar mental dan fizikal.

Mereka mahupuan watak-watak yang boleh membawa negara ke hadapan 50 tahun akan datang, bukannya menerusi ‘hero lama’ membawa wawasan lapok 30 tahun lalu ketika era multimedia di dalam cakera padat, untuk mengharungi zaman digital yang semuanya berada di dalam telefon pintar.

Sungguh, penulis masih tertanya-tanya apakah di negara kita ini memang ketandusan pelakon untuk memegang watak-watak utama sebagai Perdana Menteri atau pemimpin parti politik kita sehingga selama 30 tahun kita bergantung harap dengan pelakon-pelakon yang sama?

Apakah di Malaysia cuma Mahathir dan Anwar sahaja yang mampu menjadi seorang pemimpin negara? Apakah orang lain tidak layak, sepertimana Arnold Schwarzenegger yang masih kekal sebagai pemegang watak robot masa depan yang turun ke bumi untuk menyelamatkan John Connor walau pun sudah lanjut usia?

Penulis pernah menanyakan soalan ini kepada beberapa rakan yang aktif berpolitik dan mereka mengakui bahawa pelakon-pelakon ini tidak akan pernah berhenti sehingga nyawa mereka dicabut satu-persatu. Semasa itulah baharu akan lahir watak-watak baharu yang diharapkan dapat muncul.

Kalau begitulah kesudahannya, penulis amat berharap dalam pilihan raya umum akan datang tiada lagi mereka yang bernama Mahathir Mohamad, Anwar Ibrahim, Lim Kit Siang, Mohamad Sabu sebagai calon. Dan jika ada sekali pun, jangan jadikan mereka pilihan kita.

Berilah laluan kepada generasi muda yang lebih bertenaga dari segi fizikal dan mental untuk menerajui negara.

Sudah-sudahlah Mahathir, Anwar atau Najib sekali pun. Parti-parti politik tanpa mengira sama ada kerajaan atau pembangkang, bawalah orang muda ke hadapan untuk memimpin mereka agar kedinamikan politik negara dapat dirasai.

Kami sudah jenuh dengan cerita lama yang diulang-ulang oleh watak-watak yang sama. Kami mahukan satu pengkisahan politik negara yang segar, damai dan matang tanpa hiruk-pikuk perebutan kuasa sesama sendiri.

Kami mahu normal baharu dalam politik negara.

Advertisements

Terkini

Tugas banteras rasuah lebih mencabar, penjenayah makin licik

TUGAS membanteras kegiatan rasuah di negara ini semakin mencabar memandangkan jenayah tersebut bersifat unik, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan...

Lagi Artikel Berkaitan