27.9 C
Kuala Lumpur
Wednesday, April 24, 2024

Bila badak makan anak

Mesti Baca

Hussaini Amran
Hussaini Amran
Hampir 15 tahun dalam bidang kewartawanan. Pernah menyertai Sinar Harian, Utusan Malaysia dan PN BBC Portal.

KALAU hendak tahu apa maknanya perumpamaan ‘badak makan anak’, bacalah Hikayat Raja Pasai.

Dek kerana menurutkan hawa nafsu, Raja Ahmad ‘Perumudal Perumal’ yang riwayatnya mendominasi hikayat ini sanggup membunuh dua orang puteranya sendiri.

Manusia jenis apakah Raja Ahmad ini yang berahi akan dua puterinya yang rupawan iaitu Tun Medam Peria dan Tun Takiah Dara?

Hajat buruk baginda itu disuarakan secara berkias dengan bertanya kepada para menteri dan hulubalang: “Jika seorang bertanam tanaman, siapa yang harus dahulu makan dia?”

Mujurlah Tun Perpatih Tulus Agung Tukang Sukara yang panjang akalnya menjawab: “Ya tuanku Shah Alam, jikalau kami yang diperhamba ini bertanam-tanaman, orang yang lain juga harus dahulu makan dia, lagi terlalu besar pahalanya mendahulukan jamu itu.”

Putera sulung Raja Ahmad yang bernama Tun Beraim Bapa membawa Tun Medam Peria dan Tun Takiah Dara ke Tukas yang di bawah penguasaannya sebaik sahaja mengetahui tentang niat buruk ayahandanya.

Akibatnya, Raja Ahmad berdendam dengan Tun Beraim Bapa dan cuba membunuhnya beberapa kali.

Tun Beraim Bapa akhirnya terbunuh apabila memakan kuih peniaram beracun yang dihantar oleh Raja Ahmad.

Tun Medam Peria dan Tun Takiah Dara meninggal dunia lebih awal kerana mereka memakan kuih tersebut bagi mengelakkan Tun Beraim Bapa diracun.

Walaupun Tun Beraim Bapa tahu kuih peniaram itu beracun, beliau tetap memakannya kerana tidak mahu derhaka terhadap raja.

Seorang lagi putera Raja Ahmad iaitu Tun Abdul Jalil masyhur dengan paras rupanya yang sangat kacak.

Sebaik sahaja, Radin Galuh Gemerencang iaitu puteri Ratu Majapahit melihat lukisan wajah Tun Abdul Jalil, beliau menjadi gila bayang.

Maka, belayarlah beliau bersama rombongan Majapahit ke Pasai untuk bertemu sendiri dengan putera idamannya.

Raja Ahmad yang juga berahi dengan Radin Galuh Gemerencang menjadi murka apabila mengetahui perkara itu.

Maka, baginda menitahkan agar Tun Abdul Jalil dibunuh dan mayatnya dicampakkan ke dalam laut.

Walau bagaimanapun, Radin Galuh Gemerencang tetap tidak menjadi milik Raja Ahmad kerana puteri Majapahit itu berdoa agar kapal yang dinaikinya karam setelah mendengar berita kematian Tun Abdul Jalil.

Advertisements

Doa itu dimakbulkan dan Radin Galuh Gemerencang pun tenggelam bersama kapalnya.

Ratu Majapahit yang bergelar Sang Nata menjadi terlalu sedih dan murka dengan kejadian yang menimpa puterinya lalu menitahkan tenteranya menyerang Pasai.

Habis diamuknya Pasai dan segala jajahan takluknya kecuali Periangan yang didiami etnik yang kemudiannya dikenali sebagai Minangkabau.

Kebijaksanaan Patih Suatang (Perpatih Pinang Sebatang) dan Patih Ketemenggungan telah berjaya mengalahkan Ratu Majapahit dalam pertandingan laga kerbau.

Penduduk di kawasan itu seterusnya dikenali sebagai orang Minangkabau.

Kemudian, dengan menggunakan tipu muslihat, Patih Suatang dan hulubalangnya berjaya membunuh sebahagian besar tentera Majapahit dalam jamuan yang diadakan selepas pertandingan itu.

Orang Minangkabau memang hebat.

Legenda di sebalik pembukaan Pasai mempunyai persamaan dengan pembukaan Melaka.

Sultan Malikul Saleh atau Merah Silau (nama sebelum menganut agama Islam) menitahkan negeri yang baharu dibuka di lokasi baginda menyaksikan kegagahan seekor pelanduk mengusir anjing perburuannya.

Negeri itu seterusnya dinamakan Pasai.

Pada awal hikayat ini turut dikisahkan tentang Puteri Betung yang kononnya ditemukan di dalam buluh betung.

Tidak diketahui siapakah pengarang sebenar Hikayat Raja Pasai.

Mungkin ia dikarang sebagai peringatan kepada pemerintah agar jangan terlalu menurut kehendak hawa nafsu ketika berada di atas takhta kuasa.

Apabila negara hancur binasa, rakyat juga yang menjadi mangsa.

Tajuk: Hikayat Raja Pasai

Diusahakan oleh: Russell Jones

Penerbit: DBP, Kuala Lumpur

Tahun penerbitan: 2016

Bil. halaman: 129

Sumber: Blog Bicara Buku

Advertisements

Terkini

Bantuan awal kepada waris mangsa nahas helikopter TLDM

KERAJAAN bersetuju untuk menyalurkan bantuan awal sebanyak RM10,000 kepada setiap keluarga mangsa nahas dua helikopter milik Tentera Laut Diraja...

Lagi Artikel Berkaitan