24.9 C
Kuala Lumpur
Monday, June 17, 2024
Home Blog Page 1701

Belia Malaysia teguh bangkit mencipta kecemerlangan

Oleh: MOHAMMAD RIZAN HASSAN

JIKA tiada pandemik COVID-19, tarikh 15 Mei pastinya manis apabila Hari Belia Negara akan disambut bersama hari ulangtahun kelahiran Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Mengharungi ujian COVID-19 ini, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) telah mengumumkan bahawa Sambutan HBN akan ditangguhkan ke suatu tarikh yang akan diberitahu kemudian.

Namun, sejak zaman berzaman, 15 Mei adalah tarikh keramat bagi mereka yang bergelar aktivis belia yang lahir di tengah-tengah masalah masyarakat.

Itulah tarikh yang mereka rasakan suatu pengiktirafan di atas jasa dan bakti kepada masyarakat ketika ramai hanya bijak mengkritik akan peranan yang dimainkan oleh kepimpinan belia.

Menyedari realiti belia sebagai anggota masyarakat yang paling idealistik, pastinya pemimpin belia di cabar untuk jangan lagi sekadar berpuas hati berada di gerigi peristiwa, sebaliknya marilah bersama-sama untuk mencipta sejarah.

Bersama kerajaan

Dalam membangun belia, para pemimpin belia perlu bersama dengan kerajaan yang memerintah dan bukan taksub kepada mana-mana pertubuhan politik.

Pemimpin belia berperanan sebagai pelaku-pelaku aktif dalam proses membawa pembaharuan dan perubahan ke arah mencipta Malaysia yang kita impikan.

Kita perlu ada keyakinan yang tinggi bahawa orang muda  tentunya mempunyai banyak idea untuk dikongsi dalam menjana  pembangunan negara.

Dunia hari ini menyaksikan Malaysia tidak terkecuali dalam menangani pandemik COVID-19.

Negara berhadapan dengan cabaran besar untuk merealisasikan wawasan menjadi sebuah negara maju dengan rakyat yang berpendapatan tinggi.

Inilah masanya golongan belia tampil melalui platform yang ada seperti Majlis Belia Malaysia (MBM), Majlis Belia Negeri (MBN), Majlis Belia Daerah (MBD) serta badan gabungan belia yang lain untuk menggariskan matlamat dan pelan tindakan dari belia untuk belia serta berdiri teguh di sisi kerajaan untuk mencipta model baharu ekonomi negara yang berasaskan kreativiti dan inovasi.

Norma baharu

Atas sebab itu, sebagai generasi pewaris, anak muda Malaysia harus menyediakan diri untuk mengharungi norma baharu yang telah mengubah cara berfikir, cara bekerja dan cara hidup belia.

Sebaiknya, bagi memastikan kejayaan, warga belia perlu mendakap konsep pembelajaran sepanjang hayat dan bersedia untuk  learn, unlearn dan relearn ilmu pengetahuan serta kemahiran secara berterusan. 

Para pemimpin belia hendaklah tidak sama sekali akan berdikit  dalam iltizam mempersiapsiagakan warga belia dengan peluang-peluang untuk menggarap ilmu dan kemahiran dengan secukupnya agar mereka “not only survive but thrive in this new economy”.

Atas sebab itu, bersuaralah demi kebaikan semua anak muda. 

Kita tidak mahu balik ke zaman dahulu di mana belia mesti menerima tanpa soal semua yang disarankan oleh orang dewasa.

Gambar hiasan / Foto: FB UTeM

Amalan ini akan menjadikan sesuatu masyarakat atau negara itu statik, tidak bergerak maju.

Amalan ini akan mengekalkan pendapat dan perbuatan yang salah dan merugikan.

Di zaman moden masyarakat yang terlalu dikongkong oleh tradisi tidak mampu bersaing dengan masyarakat yang dinamik.

Tetapi tradisi tidak harus dihapuskan semata-mata kerana ia adalah tradisi.

Hanya tradisi yang jelas menghalang kemajuan sahaja yang perlu dikaji dan diganti dengan amalan yang baru yang jelas boleh memberi manfaat.

Untuk itu, golongan belia perlu menekan “restart button” dan sedar bahawa krisis COVID-19 telah memberi kesan yang besar kepada ekonomi dan pasaran buruh belia.

Belia berusia 15 hingga 29 tahun adalah kumpulan penting kepada pasaran buruh negara kerana merangkumi hampir 40 peratus daripada keseluruhan tenaga buruh.

Belia menganggur

Satu perkara yang menekan sekarang adalah pengangguran dalam kalangan belia.

Untuk mengatasi masalah ini kerajaan perlu meningkatkan proses industrialisasi kerana hanya kilang-kilang pembuatan sahaja yang boleh menyediakan peluang-peluang kerja dengan banyak.

Kilang pembuatan memerlukan pelaburan yang banyak dan teknologi yang moden.

Tidak ramai daripada para pelabur dalam negara yang memiliki modal dan teknologi untuk mengadakan kilang-kilang besar dan moden.

Oleh itu, pelaburan asing amatlah penting untuk menyediakan peluang-peluang pekerjaan.

Untuk menarik pelaburan asing pastinya kerajaan telah menyediakan banyak insentif.

Tetapi insentif yang terbesar sekali adalah kestabilan negara dan kesanggupan rakyat Malaysia khususnya golongan belia untuk bekerja kuat dan menjayakan perusahaan berkenaan.

Belia bangkit

Hikmah dari COVID-19 adalah norma baharu yang menghasilkan sikap dan pemikiran golongan belia yang ingin bangkit dari masa lalu.

Sebarang kegiatan yang memberi gambaran bahawa Malaysia tidak stabil merupakan penghalang kepada usaha mengatasi masalah pengangguran.

Membudayakan pembelajaran sepanjang hayat, upskilling dan reskilling dalam kalangan belia akan menampakkan imej negara sebagai tempat yang paling sesuai untuk pelaburan.

Sebagai sokongan kepada usaha kerajaan memulihkan ekonomi dan menyediakan pekerjaan kepada golongan belia, para pemimpin belia perlu aktif dan terkehadapan untuk membantu kerajaan dalam membangunkan sumber tenaga manusia dalam kalangan belia.

Ini perlu dirancang dengan lebih teratur dan berkesan.

Gambar Hiasan – FB TVET MARA

Perhatian yang lebih berat perlu diberikan terhadap melengkapkan belia-belia kita dengan berbagai kemahiran yang lebih tinggi.

Langkah-langkah penyesuaian wajar dilaksanakan supaya pengeluaran tenaga kerja menjadi selaras dengan perkembangan sains dan teknologi masa kini.

Penggunaan teknologi yang semakin canggih dalam sektor perindustrian memerlukan tenaga kerja yang mempunyai kemahiran yang setara dengan penggunaan teknologi moden.

Di samping itu, sama ada kemahiran pengurusan atau kemahiran ketukangan dan teknikal, hendaklah juga berorientasikan kualiti.

Capai kecemerlangan

Kesungguhan untuk mencapai tahap kecemerlangan merupakan ciri utama dalam pengurusan sumber manusia.

Golongan belia harus menyedari tentang tanggungjawab mereka dalam pencapaian matlamat perindustrian negara.

Negara kita memerlukan lebih ramai tenaga mahir terutamanya di peringkat kemahiran tinggi hari ini dan pada masa hadapan.

Kemahiran, bakat, dayacipta yang ada pada belia perlu dimajukan lagi sama ada melalui pendidikan atau latihan-latihan perindustrian yang lebih tinggi.

Seperkara yang patut diingati oleh semua belia adalah kecekapan dalam semua jenis kerja pertukangan datangnya dari mengulangi kerja itu berkali-kali.

Jika pada mulanya pencapaian adalah rendah, ini tidak harus mengecewakan.

Dengan ketekunan mengulang dan mengulang berkali-kali akhirnya kecekapan yang tinggi akan diperolehi.

Justeru, kita tidak patut takut untuk memasuki sesuatu bidang. Sesiapa sahaja boleh mencapai kecemerlangan. 

Kemahiran peringkat tinggi ini menjadi bertambah penting dalam konteks kemasukan pelaburan asing ke dalam negara kita.

Kekurangan tenaga mahir boleh menjejaskan minat pelabur asing untuk melabur dalam negara.

Oleh itu, para belia patut melengkapkan diri dengan berbagai kemahiran memandangkan mereka yang berkemahiran akan mempunyai peluang yang lebih baik untuk mendapat pekerjaan dan pendapatan yang baik.

Namun demikian, untuk mencapai matlamat sebuah negara perindustrian yang maju, kemahiran dan pengetahuan sains dan teknologi sahaja tidak mencukupi.

Usaha-usaha menerapkan nilai-nilai perindustrian kepada belia juga perlu dilakukan.

Justeru, sikap kerja yang betul dan nilai-nilai positif seperti ikhlas, berdisiplin, keutamaan bagi kumpulan, setia kepada syarikat, tekun, dedikasi dan gigih bekerja perlu disemai dan ditanam dalam hati para perkerja.

Kejayaan jangka panjang untuk kumpulan, syarikat dan masyarakat mestilah dianggap lebih baik daripada kepentingan diri dalam jangka masa pendek.

Kesemua ini bukan sahaja akan membantu meningkatkan mutu kerja, tetapi juga membolehkan kita melahirkan sebuah ekonomi yang dapat bersaing.

Kerjasama awam-swasta

Walau bagaimanapun, tanggungjawab bagi membangunkan belia yang berkemahiran dan berpengetahuan merupakan sesuatu yang berat dan tidak mampu dipikul oleh kerajaan semata-mata.

Sektor swasta diharapkan dapat sama-sama berganding bahu dengan kerajaan untuk memikul tanggungjawab ini.

Konsep Public-Private-Partnership (PPP) diyakini dapat membantu dalam peningkatan kualiti kemahiran, malah dapat memastikan jenis kemahiran yang ditumpukan adalah bersesuaian dengan keperluan industri.

Keseimbangan di antara permintaan dan pengeluaran tenaga manusia dapat mengurangkan “pembaziran” akibat “mismatch” dalam bidang latihan.

Ini akan mempertingkatkan lagi kecekapan sistem latihan dalam negara kita.

Manfaat daripada “pelaburan” sektor swasta dalam latihan teknikal ini, akhirnya akan dapat dinikmati oleh sektor swasta itu sendiri melalui bekalan tenaga mahir yang mencukupi dan yang sesuai dengan keperluan sektor tersebut.

Usaha-usaha untuk melahirkan lebih ramai tenaga kerja mahir dan separuh mahir dalam kalangan belia mungkin akan lebih berjaya jika kita dapat mengubah sikap dan tanggapan masyarakat ke atas pekerjaan kolar biru.

Pekerja kolar biru

Ibu bapa dan belia-belia khususnya, perlu menyedari tentang sumbangan besar yang boleh dibuat oleh pekerja-pekerja kolar biru kepada pembangunan ekonomi negara.

Pencapaian matlamat untuk menjadi sebuah negara perindustrian bergantung besar kepada kejayaan kita mewujudkan kumpulan pekerja belia berkemahiran yang mencukupi dalam berbagai bidang.

Oleh yang demikian, tanggapan negatif ke atas pekerjaan kolar biru wajarlah dihakis dalam kalangan kita semua.

Tidak ada cara yang lebih berkesan untuk menghakis tanggapan ini daripada memberi upahan yang lebih baik kepada pekerja kolar biru daripada pekerja kolar putih.

Hanya pengurusan sahaja yang harus diberi penilaian yang lebih tinggi daripada kolar biru.

Jika penghargaan ini dibuktikan maka bekalan pekerja kolar biru akan bertambah dan kemahiran mereka juga akan meningkat.

Cabaran pasca COVID-19

Cabaran-cabaran yang akan kita hadapi pasca COVID-19 akan menjadi lebih hebat.

Cabaran ini datangnya dari dalam negara dan juga dari luar negara.

Di dalam negara, ia berkaitan dengan perubahan struktur industri itu sendiri, serta kekurangan tenaga mahir.

Di luar negara pula kita terpaksa bersaing dengan negara-negara maju yang lain.

Kita tidak boleh lagi mengharapkan kelebihan daya saing kita berdasarkan kadar upah yang rendah.

Ini adalah kerana bertambahnya penggunaan teknologi atau jentera bagi menggantikan operasi yang melibatkan penggunaan buruh yang ramai.

Dengan itu tenaga-tenaga mahir, khususnya kemahiran teknikal yang tinggi, akan memainkan peranan penting dalam menentukan kelebihan daya saing pada masa akan datang.

Daya saing

Dengan tenaga kerja yang mempunyai kemahiran dan kecekapan yang tinggi, maka produktiviti kita akan meningkat dan kita akan terus mempunyai daya saing yang tinggi.

Semua yang berlaku hari ini adalah takdir Tuhan. Tetapi nasib kita tidak akan berubah melainkan kita sendiri mengubahkannya.

Jika golongan belia belajar dan menguasai ilmu, nasib mereka tidak akan sama dengan nasib jika mereka tidak belajar dan tidak memiliki ilmu.

Demikian juga jika mereka tidak berusaha, malas, tidak jujur – nasib mereka tidak akan sama dengan nasib jika mereka berusaha, rajin dan jujur.

Walaupun akhirnya Tuhan yang menentukan segala-galanya, ini tidak bermakna bahawa kita sendiri tidak boleh mempengaruhi apa yang berlaku kepada kita.

Selamat Menyambut Hari Belia Negara (HBN), yang jatuh pada setiap 15 Mei. Malangnya, ramai lupa tarikh ini.

Jadi, kalau ramai belia lupa pada segala hal penting dalam negara, ini mungkin satu daripada sebabnya. Sahutlah seruan keramat ini, Belia Bertindak Demi Kebenaran dan Keadilan!

Penulis ialah Tokoh Belia Negara 2011 / Tokoh Belia ASEAN 2011.

Sambut raya normal baharu… kuatkah kita?

0

TAHUN lepas penulis sekeluarga membuat keputusan menyambut Hari Raya Aidilfitri di rumah sendiri di ibu negara. Inilah kami pertama kami menyambut lebaran jauh dari kampung halaman, sama ada kampung penulis atau kampung sebelah isteri.

Kalau ditanya perasaan kami, memang terasa hambar. Pagi raya kami anak beranak sahaja yang menyiapkan juadah sedangkan kebiasaan riuh-rendah dengan sanak saudara, adik beradik, ipar-duai atau anak-anak buah.

Selepas solat sunat Aidilfitri, seperti biasa kami bersalaman dan bergambar bersama. Selesai itu kami semua seolah-olah kebingungan apa lagi yang kami harus lakukan sebagai meraikan hari kemenangan selepas sebulan berpuasa di bulan Ramadan.

Kami menanti kedatangan kawan-kawan atau jiran-jiran, tetapi sehingga ke petang tiada yang muncul. Kami lupa kalau di bandar jika tiada “open house” (rumah terbuka) rakan-rakan atau jiran-jiran tidak akan datang bertandang. Tidak seperti di kampung. Ada sahaja saudara-mara, rakan taulan atau jiran tetangga yang berkunjung dari pagi sehingga lewat malam.

Akhirnya, pagi-pagi hari raya kedua, kami mengemas pakaian masing-masing, masukkan dalam kereta dan kami sekeluarga menuju ke kampung halaman sebelah penulis. Biarpun tiada lagi emak dan ayah yang menunggu, sekurang-kurang dapat menjengah adik beradik sudah cukup seronok.

Itulah pengalaman pertama kali kami berhari raya di rumah sendiri, di bandar.

Tahun ini atas arahan kerajaan yang masih melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) akibat wabak Covid-19, semua tidak dibenarkan pulang ke kampung halaman merentas sempadan negeri.

Ini bermakna buat kali kedua dalam hidup kami, kedatangan Syawal akan di rumah sendiri di ibu kota, jauh dari kampung halaman dan tidak bersama sanak-saudara di kampung. Mahu tidak mahu kita terpaksa mengharungi normal baharu menyambut lebaran.

Memang payah sebetulnya, apatah lagi andai ini kali pertama. Hambar dan suram memang terasa tetapi itu lebih baik daripada membenarkan orang ramai pulang ke kampung menyambut lebaran, sudah tentu agak sukar untuk kerajaan mengawal penyebaran wabak Covid-19. Ada pula nanti kluster hari raya yang muncul.

Mahu tidak mahu kita kena ubah normal kehidupan menyambut lebaran. Andai kebiasaan kita semua “pulang kampung” meraikan perayaan ini, kali ini dengan normal baharu kita meraikannya bersama keluarga sendiri, jauh dari ibu bapa dan sanak saudara yang lain.

Normal baharu ini juga diharap rakan-rakan, jiran tetangga dan sanak saudara yang berada di negeri yang sama dapatlah saling kunjung-mengunjung dengan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah dicadangkan oleh pihak Kementerian Kesihatan.

Janganlah segan-silu untuk mengunjungi kawan-kawan, jiran tetangga dan janganlah perlu menunggu majlis rumah terbuka baharu nak datang bertandang. Bagi penulis, PKPB ini akan mengubah normal “kunjung mengunjung di hari raya” yang selama ini jarang dapat dilihat di bandar besar, khususnya di ibu negara.

Kinilah masanya kita ceriakan suasana hari raya di bandar, sama seperti di kampung-kampung di mana pada sebelah paginya jiran-jiran tetangga saling bertukar-tukar hidangan dan setelah solat Aidilfitri, masing-masing mula kunjung mengunjung sesama jiran.

Bagi yang berjauhan, hubungan silaturrahim boleh dieratkan dengan menggunakan sidang video antara sanak-saudara yang sudah tentu meriah dengan masing-masing berada di depan gajet atau komputer masing-masing. Seronok bukan?

Berikut SOP yang dicadangkan oleh Kementerian Kesihatan jika mahu berkunjung pada hari raya:

  • Berkunjung di rumah jiran terdekat dan keluarga yang tinggal dalam negeri yang sama sahaja.
  • Had maksimum 20 orang pada satu-satu masa sahaja.
  • Tiada jamuan besar-besaran atau rumah terbuka.
  • Kekalkan penjarakan sosial, memakai penutup mulut dan hidung.
  • Amalan kebersihan kendiri seperti penggunaan hand sanitizer.
  • Rumah sentiasa bersih.
  • Basuh pinggan mangkuk, sudu garpu, periuk-belanga dan lain-lain selepas digunakan untuk menjamu tetamu yang hadir.

Adalah diharapkan normal baharu menyambut lebaran kali ini tidak sedikit pun mencacatkan keberkatannya dan tidak sama sekali menghalang untuk kita merapatkan hubungan kekeluargaan, bermaaf-maafan sesama kita. – Edisi 9

PKR punca Mukhriz tersingkir


AKHIRNYA Datuk Seri Mukhriz Mahathir tumbang di Kedah. Ternyata badi kerusi Menteri Besar (MB) negeri Jelapang Padi itu berterusan.

Lebih memeritkan ini merupakan kali kedua anak harapan Tun Mahathir Mohamad tersebut ‘tersingkir’ daripada jawatan berkenaan.

Kali pertama ialah pada 3 Februari 2016, apabila beliau mengumumkan peletakan jawatan selepas kehilangan majoriti di Dewan Undangan Negeri (DUN) dan hari ini senario sama berulang.

Mukhriz  ‘terhumban’ dari kerusi MB memandangkan beliau tidak lagi memiliki majoriti di DUN apabila dua ADUN PKR, Robert Ling Kui Ee (Sidam) dan Azman Nasarudin (Lunas) menarik sokongan kepada Pakatan Harapan (PH).

Keputusan kedua-dua wakil rakyat tersebut adalah lanjutan daripada krisis dalam PKR yang menyaksikan Kui Ee dipecat dan digantung keahlian beliau.

Untuk rekod, Kui Ee dan Azman dikatakan penyokong kuat Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang meninggalkan parti itu untuk menyertai Bersatu.

Berikutan tindakan mereka, Perikatan Nasional (PN) layak untuk menubuhkan kerajaan dan melantik MB memandangkan mereka menguasai 19 daripada 36 kerusi DUN.

Sebelum ini, PH memiliki 19 kerusi iaitu PKR 7 kerusi , Bersatu (6 kerusi), Bersatu  (4 kerusi) dan  DAP (2 kerusi).

Kedah merupakan negeri keempat PH kehilangan kerajaan negeri selepas Melaka, Johor dan Perak. Kesemuanya berlaku ada kaitan dengan perbalahan di dalam Bersatu dan PKR.

ADUN Jeneri Muhammad Sanusi Md Noor yang juga Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat dijangka dilantik menggantikan Mukhriz  yang berdasarkan sejarah politik negeri tersebut menyaksikan individu menduduki jawatan MB meninggalkan posisi itu dalam keadaan kontroversi.

Seorang sahabat di Kedah berseloroh, “Kalau betul pemimpin Pas tu dilantik, ni kali kedua la Kedah ada MB nama sama Sanusi”.

Kali ini pertama ialah bagi penggal 1996 hingga 1999 apabila Allahyarham Tan Sri Sanusi Junid dilantik memegang jawatan berkenaan sebagai MB Ketujuh.

Apapun, kejatuhan Mukhriz di Kedah sudah tentulah tamparan hebat untuk beliau. Jika kali pertama dahulu beliau menyalahkan UMNO kerana mendakwa ‘dijatuhkan’ berikutan kelantangannya dalam isu 1MDB, kali ini Mukhriz harus menyalahkan PKR.

AZMAN NASARUDIN dan Robert Ling Kui Ee bertindak meninggalkan PKR menyebabkan PH hilang majoriti dalam DUN Kedah.

Ia memandangkan walaupun PKR tahu suasana genting di Kedah, jika apa-apa tindakan diambil ke atas ADUN parti itu, namun oleh kerana amarah politik, perkara itu tiada dalam pertimbangan pucuk pimpinan PKR.

Paling malang, Mukhriz kehilangan jawatan tersebut ketika Mahathir sanggup bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim membuat kenyataan menolak Kerajaan PN. Mereka menganggap kerajaan sedia ada tidak sah.

Sama ada betul atau tidak, terdapat spekulasi di Kedah menyatakan kalaupun ADUN PKR tidak bertindak sedemikian, Mukhriz belum tentu selamat.

Ia memandangkan khabar angin menyatakan ada ADUN Bersatu yang tidak lagi sehaluan  dengan beliau dan menanti masa sahaja untuk menarik sokongan mereka kepada Mukhriz.

Oleh itu janganlah pula Mukhriz mengikut rentak politik bapanya menyalahkan UMNO dan Pas menjadi punca kejatuhan beliau. Mukhriz tersingkir bukan angkara kedua-dua parti itu tetapi kegagalan PKR untuk memahami kesan tindakan ke atas ADUN mereka serta kemelut dalam Bersatu.

Persoalannya, jika PKR yang memerintah Kedah, adakah parti itu akan melakukan tindakan yang boleh menumbangkan kerajaan negeri?

Tidakkah PKR tahu tindakan akan menyebabkan anak Mahathir hilang jawatan MB? Atau ada mesej yang mahu disampaikan kepada bekas Perdana Menteri?  

Penulis hanya bertanya kerana politik boleh dlihat daripada pelbagai sudut, tetapi yang pasti apa yang berlaku adalah ‘tragedi politik’ kepada Mukhriz yang sebelum ini pernah disebut-sebut akan menjadi Menteri Pelajaran menggantikan Dr.Maszlee Malik.

Maszlee berundur daripada jawatan itu ‘atas nasihat Ayahanda Mahathir’ pada 2 Januari lalu – kira-kira hampir dua bulan sebelum Kerajaan PH tumbang di peringkat pusat akibat tindakan Mahathir meletakkan jawatan Perdana Menteri dan Pengerusi Bersatu.

‘Tersingkirnya’ Mukhriz dari kerusi MB buat kali kedua, sudah tentulah sesuatu yang perit memandangkan ia terjadi ketika beliau sedang membuat persiapan untuk menumbangkan Muhyiddin bagi kerusi Presiden Bersatu.

Penulis percaya, konflik di Kedah ini akan memberi kesan kepada perjalanan politik Mukhriz, apatah lagi Mahathir pun bukan lagi Perdana Menteri dan semakin hilang cengkaman dalam Bersatu. Inilah politik – yang dikejar belum tentu dapat, yang dikendong semakin berciciran. – Edisi 9
 

Duit yang hilang untuk ubah suai rumah – Syed Saddiq

KETUA Armada Bersatu, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menjelaskan bahawa wang dianggarkan kira-kira RM250,000 yang hilang dari peti besi miliknya pada Mac lalu sepatutnya digunakan untuk mengubah suai rumah.

Ahli Parlimen Muar itu juga kesal apabila pihak tertentu menuduh wang yang hilang mempunyai kaitan dengan rasuah.

Lebih-lebih lagi bila mengenangkan beliau merupakan salah seorang menteri pertama yang mengisytiharkan aset dan mengamalkan dasar tender terbuka bagi semua kontrak.

“Tiada seorang pun kontraktor yang dapat kontrak dari saya. Semua perlu melalui jawatankuasa tender yang bebas dari campur tangan menteri.

“Kenapa saya katakan ini? Sampai sekarang saya tidak faham mengapa ada keperluan untuk menteri makan rasuah,” katanya melalui kenyataan yang disiarkan dalam laman Facebook miliknya.

Bekas Menteri Belia dan Sukan itu mengakui menerima gaji dan elaun yang besar semasa masih berkhidmat dahulu.

Secara kasar, pendapatan yang diterima oleh seorang Ahli Parlimen yang bergelar menteri adalah seperti berikut:

  • Gaji – RM55,000 sebulan
  • Elaun pinggan mangkuk (sekali beri) – RM42,000
  • Elaun percutian tahunan – RM70,000
  • Elaun makanan – RM180 seorang
  • Elaun pindah rumah – RM10,000
  • Pampasan diberhentikan jawatan menteri (sekali beri) – RM150,000

Beliau tidak langsung membeli kereta mewah walaupun diberikan lesen import (AP) semasa menjadi menteri serta memiliki aset mahal atau baharu.

Rumah yang dimiliki beliau dan keluarga di Shah Alam pula dibeli sebelum menjadi menteri. -EDISI9

Adham tiada kaitan dengan KJSB, tuduhan berniat jahat

TUDUHAN kononnya Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba mempunyai kaitan dengan Khazanah Jaya Sdn Bhd (KJSB) yang menerima kontrak secara Perolehan Darurat bagi pelaksanaan projek Penyelesaian Mitigasi Makmal Untuk COVID-19 adalah tidak benar.

Pejabat Menteri Kesihatan dalam kenyataan media menegaskan, tuduhan itu juga berniat jahat dan bersifat pembunuhan watak.

Dr Adham dikatakan tidak pernah mempunyai sebarang kepentingan perniagaan dalam KJSB atau para pemegang saham syarikat terbabit.

“Perlu ditegaskan YB Menteri tidak pernah memberi sebarang arahan kepada pegawai kementerian agar meluluskan pemberian kontrak kepada KJSB atau mana-mana syarikat.

“Semua urusan pembelian dan perolehan oleh Kementerian Kesihatan sepanjang perang menentang COVID-19 ini dilakukan mengikut prosedur dan tatacara kewangan yang diketuai oleh Ketua Setiausaha Kementerian dan para pegawai yang bertanggungjawab,” jelas pejabat berkenaan.

Sebuah pertubuhan bukan kerajaan membuat provokasi umum tentang kemungkinan Dr Adham mempunyai kepentingan perniagaan dalam KJSB berdasarkan kedudukan Iskandar Mirza Ahmad pernah menjadi pengarah syarikat South Asia Noble Sdn Bhd (SANSB) yang mempunyai kaitan dengan pemilik KJSB.

Pejabat Menteri Kesihatan sekali menegaskan bahawa dakwaan itu jelas berniat jahat dan mendorong serta mencipta sangkaan buruk rakyat terhadap Dr Adham kerana Iskandar Mirza telah lama meninggalkan SANSB.

“Menggunakan fakta Iskandar Mirza sebagai bekas pekerja (Pengarah SANSB) bagi mengaitkan YB Menteri dengan tuduhan penyalahgunaan kuasa berkaitan syarikat lain sangat tidak masuk akal.

“Iskandar Mirza menyertai SANSB dari 18.07.2007 hingga 30.01.2015 sementara Tan Boon Keong dan Tan Jiat Jui menyertai SANSB hanya dari 30.01.2015,” jelas pejabat berkenaan.

Walau bagaimanapun, Dr Adham mengalu-alukan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang sedang berjalan dan bersedia memberi kerjasama sepenuhnya.

“Adalah penting untuk sesiapa sahaja yang mempunyai maklumat penyelewengan berkaitan pembelian oleh Kementerian Kesihatan menyerahkan bukti dan dokumen kepada SPRM, bukannya melempar tuduhan rambang sehingga menimbulkan fitnah dan gosip tidak benar,” kata Pejabat Menteri Kesihatan.

Selepas 4 bulan, Alif Syukri kembali ke pangkuan keluarga

KUALA LUMPUR – Selepas heboh diperkatakan mempunyai masalah rumah tangga, usahawan kosmetik terkenal Aliff Syukri akhirnya kembali kepada keluarga tercinta selepas empat bulan berjauhan.

Dalam Instagramnya dua hari lepas, Aliff menyatakan sangat rindu kepada anak-anak dan sanggup membuang egonya demi mengembalikan kebahagian keluarganya.

“Rindu sangat nak peluk anak saya Raudah ni. Lama saya menyepi….bukan merajuk…cuma muhasabah diri utk menjadi manusia yang soleh, menghargai, matang, dan (mengetahui) apa yang saya perlukan dalam hidup,” katanya.

Katanya, selepas empat bulan berjauhan dari keluarga, dirinya berasa sangat kosong dan membuat keputusan untuk kembali kepada mereka sempena bulan Ramadan ini.

“Apa yang berlaku bukan gimik untuk meraih publisiti tapi saya seperti orang biasa yang ada pasang surut dalam rumahtangga,” tambahnya.

Beliau mengakui bahawa apa yang berlaku adalah sesuatu yang sangat sukar tetapi keluarga telah menjadi keutamaan dan ingin menjadi seorang individu yang baru.

“Saya ingin menjadi Aliff Syukri yang lebih matang dan menghargai semua orang terutamanya isteri saya, famili saya, mak dan saya keluarga saya, (dan saya) sedar keluarga adalah segalanya,” katanya.

Sehari kemudian Aliff kembali memuat naik gambar dan videonya bersama keluarga selepas berbuka puasa buat pertama kalinya bersama mereka di bulan Ramadan ini.

Semalam, Aliff juga memuat naik status menyatakan dia tidak mahu berkongsi apakah menjadi punca pergaduhan dengan isteri kecuali menyatakan bahawa perkara itu adalah asam garam dalam kehidupan berumahtangga.

“Punca pergaduhan? Sedangkan lidah lagi tergigit, apakah pula suami isteri. Sesiapa yang sudah berkahwin mestinya akan tahu mengenai masalah yang sedang dihadapi, terutamanya yang mempunyai anak,” katanya.

Awal Mac lalu, pergolakan rumah tangga Aliff Syukri dan Nur Shahida menjadi bualan ramai apabila kedua mereka dikatakan saling tidak mengikuti akaun Instagram masing-masing. – EDISI9

Bincang cari penyelesaian isu elaun COVID-19 petugas barisan hadapan – CUEPACS

PENGURUSAN tertinggi Kementerian Kesihatan perlu mengadakan perjumpaan dengan wakil kesatuan, wakil pekerja dan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) bagi menyelesaikan isu tuntuan elaun COVID-19.

Presiden CUEPACS, Adnan Mat berkata, perbincangan dua hala antara majikan dan pekerja dapat menyelesaikan isu tersebut secara menyeluruh tanpa perkara berbangkit kelak.

“Pandangan dan suara daripada pihak kesatuan atau wakil pekerja perlu diambil kira bagi memastikan hak dan kebajikan petugas barisan hadapan terbela sepenuhnya.

“Ketika ini keputusan yang dibuat oleh ketua jabatan dilihat langsung tidak mengendahkan suara dan pandangan kakitangan dan pegawai bawahan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Sehubungan itu, CUEPACS berharap agar Kementerian Kesihatan dapat meneliti dan membuat pertimbangan sewajarnya bagi memudahkan kaedah pembayaran elaun COVID-19.

Adnan menegaskan, penambahbaikan yang dibuat haruslah bertujuan memudahkan urusan kerja petugas barisan hadapan dan tidak menidakkan hak yang sepatutnya mereka terima.

“Perlu diingatkan ada petugas yang ditempatkan di lapangan masing-masing tidak dibenarkan balik berminggu-minggu, cuti dibekukan, syif kerja yang membebankan dan sehingga kini tidak dibenarkan mengambil cuti,” jelasnya.

CUEPACS turut menggesa agensi dan jabatan lain seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Imigresen dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan lain-lain turut sama meneliti dan memudahkan urusan pembayaran elaun khas yang diterima untuk petugas barisan hadapan mereka.

“Elaun yang diberikan oleh kerajaan adalah suntikan semangat kepada petugas barisan hadapan. Janganlah kita lunturkan semangat dengan kerenah-kerenah birokrasi yang dicipta sendiri,” katanya.

Harap dapat diselesaikan isu ini secara baik agar elaun yang dijanjikan dapat dibayar kepada petugas-petugas barisan hadapan kita.- EDISI9

UMNO tak boleh jadi parti ‘pak turut’

UMNO hari ini berusia 74 tahun – menjadikan ia satu-satu parti Melayu paling lama di tanah air. Kalau ibarat manusia sudah pasti terdapat pelbagai parut-parut di tubuh sama ada akibat perbuatan orang lain mahupun perbuatan sendiri.

Begitulah juga UMNO, parti yang diasaskan oleh Dato’ Onn Jaafar ini sudah menempuh pelbagai cabaran, ranjau dan duri.

UMNO  berdiri tegak selama hampir 61 tahun di punca kekuasaan, sebelum ‘tersungkur’ di persada politik tanah air apabila tumpas dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.

Tetapi takdir menentukan segala-galanya. UMNO kembali menjadi parti dalam kerajaan dengan turut disertai Pas.

Puncanya akibat kesilapan strategi Tun Dr.Mahathir Mohamad yang meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri, Pengerusi Bersatu dan membubarkan Kabinet ketika dilantik sebagai Perdana Menteri Interim.

Kerajaan Perikatan Nasional (PN) ditubuhkan dengan diketuai oleh Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Pemimpin UMNO diberikan beberapa jawatan dalam Kabinet dan GLC.

Walaupun pembahagian itu sedikit sebanyak menimbulkan perasaan tidak puas hati memandangkan UMNO memiliki kerusi terbanyak dalam kerajaan namun parti itu akur kerana apa lebih penting ialah selamatkan negara yang terumbang ambing kerana salah strategi politik Mahathir.

Persoalannya, apakah perjuangan UMNO sudah selesai apabila ‘diajak’ menyertai kerajaan? Sudah tentu tidak!

Suka atau tidak, kita perlu mengakui imej UMNO masih belum pulih sepenuhnya dan kalau UMNO tidak berhati-hati, mereka sekadar menjadi ‘pak turut’ dalam kerajaan serta terus dituduh parti penuh masalah integriti.

UMNO sebetulnya belum betul-betul pulih walaupun kini parti ini menjadi sebahagian daripada kerajaan Perikatan Nasional. – Gambar Hiasan

Oleh itu pemimpin dan ahli UMNO perlu bersedia memperkukuhkan kembali parti itu dan menebus kembali maruah parti tersebut dalam pilihan raya. Berada dalam Kerajaan PN ini tidak lama, paling lama pun tiga tahun sebelum PRU-15.

Justeru pemimpin UMNO tidak boleh dibuai dengan kuasa yang diperolehi ‘secara ajakan’, sebaliknya kuasa itu seharusnya digunakan bagi membantu Muhyiddin mentadbir negara demi kesejahteraan rakyat dan pada masa sama memastikan Muafakat Nasional (MN) tidak terkubur.

Seperti mana kata Timbalan Presiden parti itu, Datuk Seri Mohamad Hasan, “kita hendaklah mengesek biola dengan kuat akan lagu gesekan kita; jangan sampai orang lain mengesek dan kita hanya menari sahaja menurut lagu gesekan.”

 Malah Mohamad juga menggariskan lima iltizam yang harus diperbaharui oleh pemimpin dan ahli parti tersebut iaitu:

  • Tidak jemu kepada pembaharuan dan pembaikan UMNO,
  • Tidak menjadikan UMNO tambatan kuasa, kekayaan dan kepentingan peribadi,
  • Menjadikan UMNO parti kepada semua bangsa Melayu dan bukan hanya sebahagian elit tertentu,
  • Tidak mengulangi lagi kesalahan lepas yang menghakis keyakinan bangsa dan rakyat
  • Benar-benar menjadi suara sebenar kepada orang Melayu dan rakyat Malaysia.

Bagi penulis, UMNO tidak boleh menjadi ‘pak turut’ kepada sesiapa. UMNO harus berjuang atas landasan sendiri dan mempertahankan prinsipnya biarpun apa terjadi.

UMNO perlu bangkit semula dengan kekuatan dalamannya dan melalui PRU-15, UMNO perlu kembali menjadi parti paling berkuasa di negara ini.

Tetapi impian itu tidak mudah dicapai. Jika dalam UMNO masih ada kelompok pemimpin yang menghalang pembaharuan dan pembaikan, masih ada pemimpin yang mahu menjadikan UMNO tambatan kuasa, kekayaan dan kepentingan peribadi, sudah takut untuk bercakap soal Melayu dan memperjuangkan Islam dan masih lagi menjadikan jawatan dalam UMNO sebagai ‘harta pusaka’ keluarga mereka sahaja.

UMNO perlu dibersihkan daripada kelompok seumpama ini. Masih ada dalam kalangan pemimpin parti termasuk di peringkat bahagian masih belum insaf dengan apa yang berlaku dalam PRU-14.

Banyak cerita yang penulis dengar. Mungkin betul atau tidak, tetapi persepsi jika dibiarkan boleh meranapkan parti dalam pilihan raya. Oleh itu pemimpin-pemimpin UMNO perlu benar-benar insaf dan meletakkan kepentingan parti mengatasi segala-galanya.

Iltizam yang digariskan oleh Mohamad bukanlah perkara baru, tetapi ada antaranya adalah ‘kluster’ lama yang bagaikan ‘sudah menjadi tradisi’ yang boleh menghancurkan UMNO buat selama-lamanya. Mungkin kali ini UMNO bernasib baik kerana ‘diajak’ menjadi kerajaan.

Tetapi jika selepas ini UMNO tidak juga insaf-insaf (mengambil analogi biola yang dikatakan oleh Mohamad) – tidak mustahil suatu hari kelak pemimpin dan ahli UMNO beramai-ramai mengesek biola dengan memainkan lagu Jeritan Batinku dan orang lain bertepuk tangan gembira mendengar ratapan tersebut. – Edisi 9

Palestin hargai sumbangan Malaysia kekang COVID-19

PERTUBUHAN Kebudayaan Palestin Malaysia (PCOM) menghargai sumbangan bekalan perubatan dan peralatan perlindungan daripada kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan Malaysia untuk mengangani pandemik COVID-19 di Palestin.

PCOM dalam kenyataan media hari ini memberitahu, sumbangan tersebut disampaikan oleh Wisma Putra pada 6 Mei lalu dengan kerjasama Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Pertubuhan Kebajikan THZ.

“Sumbangan itu menunjukkan hubungan persaudaraan yang kukuh antara Malaysia dan Palestin.

“Bagi pihak rakyat Palestin, PCOM ingin menyatakan penghargaan kepada Malaysia atas semangat muhibah dan solidariti yang berterusan dengan Palestin sepanjang masa,” kata PCOM.

PCOM turut memuji usaha kerajaan Malaysia, Kementerian Kesihatan, Angkatan Tentera Malaysia dan Polis Diraja Malaysia untuk mengekang penularan COVID-19 di negara ini.

“Kami berdoa kepada Allah Yang Maha Kuasa agar Malaysia dan seluruh dunia akan memenangi peperangan ini dalam masa terdekat,” kata PCOM.

Malaysia memang terkenal dengan reputasi sebagai sebuah negara yang prihatin dengan nasib yang menimpa saudara-saudara seagama yang hidup dalam penindasan di seluruh dunia. -EDISI9

PKPB dilanjutkan hingga 9 Jun, dilarang rentas negeri semasa raya

PERINTAH Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang berkuatkuasa hingga 12 Mei ini dilanjutkan lagi selama empat minggu lagi iaitu sehingga 9 Jun 2020.

Lanjutan tempoh itu diumumkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika menyampaikan perutusan khas situasi COVID-19 di Malaysia hari ini.

Maknanya, semua peraturan dan prosedur operasi standard (SOP) PKPB sedia ada akan kekal berkuatkuasa sehingga tarikh berkenaan.

Bagi orang ramai yang menyambut Hari Raya Aidilfitri, Pesta Kaamatan dan Hari Gawai, Muhyiddin mengingatkan mereka bahawa tempoh larangan pergerakan antara negeri masih berkuat kuasa sepanjang tempoh PKPB Fasa 2.

“Ini bermakna, minta maaf banyak-banyak, saya mohon ampun, demi menjaga keselamatan dan kesihatan kita semua, perjalanan balik kampung merentas sempadan negeri untuk tujuan berhari raya tidak dibenarkan.

“Saya tahu ramai yang sedih tak dapat balik berhari raya di kampung bersama keluarga. Bersabarlah. Bila keadaan kembali pulih sedikit masa lagi, saudara-saudari bolehlah balik ke kampung halaman menziarahi ibu bapa dan sanak saudara,” katanya.

Secara berseloroh, Perdana Menteri menyarankan supaya stesen-stesen televisyen dan radio memainkan lagu Dendang Perantau sekali-sekala.

“Kalau dimainkan selalu saya pun berasa sayu juga. Mainkanlah lagu-lagu Hari Raya yang boleh menceriakan suasana.

“Saya tengok dalam YouTube ada lagu ‘Jange Kelik La Weii’. Lagu ni pun OK lah,” jelasnya.

Pada masa sama, rakyat dibenarkan menziarahi jiran terdekat dan keluarga yang tinggal dalam negeri yang sama dengan had maksimum 20 orang dalam satu-satu masa.

Perkara-perkara lain yang ditekankan oleh Muhyiddin tentang sambutan Hari Raya Aidilfitri, Pesta Kaamatan dan Hari Gawai adalah:

  • Tidak perlu buat jamuan besar-besaran atau rumah terbuka.
  • Patuhi SOP kesihatan seperti penjarakan sosial, pemakaian penutup mulut dan hidung, dan amalan kebersihan kendiri seperti penggunaan cecair pembersih tangan.
  • Pastikan rumah sentiasa bersih.
  • Basuh pinggan mangkuk, sudu garpu, periuk belanga dan lain-lain selepas digunakan untuk menjamu tetamu yang hadir.
  • Elakkan daripada berada di tempat yang sesak atau tempat yang tertutup.
  • Tidak perlu duduk terlalu rapat semasa bersembang dengan tetamu.

Bagi yang tidak dapat pulang ke kampung, harap jangan bersedih dan hubungilah keluarga tercinta untuk melepaskan rindu di dada. – EDISI9

Tidak iktiraf kerajaan, ini sudah melampau – Najib

“INI bukan negara milik peribadi sesiapa. Suka hati nak iktiraf atau tak mahu iktiraf.”

Itu reaksi bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung kenyataan bersama yang dikeluarkan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang tidak mengiktiraf kerajaan hari ini kerana didakwa tidak mendapat mandat rakyat.

Menurut Ahli Parlimen Pekan itu, keputusan Yang di-Pertuan Agong melantik Perdana Menteri setelah Seri Paduka bermesyuarat dengan Majlis Raja-raja dan pelantikan tersebut mengikut Perlembagaan negara.

“Setelah menerima titah YDP Agong, Perdana Menteri pun membentuk kerajaan baru. Jika ada pihak yang umum mereka tak iktiraf kerajaan baru, adakah ini bermakna mereka juga tidak iktiraf perlembagaan negara, kuasa YDP Agong dan Majlis Raja-raja?

“Dan jika seseorang itu tak iktiraf kerajaan maka perlukah kerajaan iktirafkan mereka?” kata Najib dalam akaun Facebooknya hari ini.

Najib berkata, beliau masih boleh menerima jika ada yang membangkang atau menentang kerajaan, atau meminta usul tidak percaya dalam Parlimen malah menuntut pembubaran Parlimen sekali pun.

“Sekadar membangkang atau menentang kerajaan, itu hak mereka. Masih OK. Nak minta usul tidak percaya dalam parlimen pun saya terima. Jika berani tuntut bubar parlimen, let’s get ready to rumble.

“Tapi saya rasa ianya telah melampaui batas jika umum tak iktiraf kerajaan,” tegasnya.

DR MAHATHIR MOHAMAD dan Anwar Ibrahim membuat kenyataan bersama tidak mengiktiraf kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin. – Foto: Straits Times/AFP

Kenyataan bersama Dr Mahathir dan Anwar itu yang disiarkan oleh media semalam berkata, prinsip mereka jelas dari hari pertama kerajaan Pakatan Nasional (PN) ditubuhkan, iaitu ia berdiri tanpa mandat rakyat.

Katanya, PN tidak diperoleh secara sah menurut kertas undi di dalam pilihan raya.

“Sebaliknya ia didasari sikap tamak kepada pangkat dan jawatan semata-mata. Malah, tidak ada satu pun pemimpin kerajaan hari ini yang berjanji untuk berkhidmat kepada rakyat.

“Kami tidak sanggup untuk menggadaikan moral dan etika kami untuk menyokong kerajaan hari ini.

“Kami tidak ingin mengkhianati rakyat yang menghabiskan berjam-jam untuk beratur di pusat mengundi, beratus ringgit untuk terbang pulang mengundi, mengambil cuti tanpa gaji untuk membawa suara mengubah nasib negara,” menurut kenyataan itu yang dipetik dari BH Online. – Edisi 9

Solat berjemaah akan dibenarkan tidak lama lagi

KUALA LUMPUR – Umat Islam yang merindui solat berjemaah di masjid, terutama solat Jumaat, tarawih dan solat harian lima waktu dijangka dapat melakukannya tidak lama lagi, kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, kebenaran itu akan diperoleh selepas Jabatan Kemajuan Agama Islam (Jakim) selepas memperhalusi tatacara prosedur operasi standard (SOP) solat tersebut dalam masa terdekat.

Katanya, SOP itu kemudiannya dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja-Raja Melayu selaku Ketua Agama Islam Persekutuan dan negeri-negeri untuk diperkenankan sebelum kerajaan mengumumkan kebenaran untuk solat berjemaah.

“Saya tahu ramai umat Islam rindu untuk ke masjid, terutamanya untuk mendirikan solat Jumaat, solat Tarawih dan solat lima waktu. Insya-Allah, kita doakan keadaan akan bertambah baik.

“Tambahan pula telah banyak kawasan-kawasan hijau di seluruh negara dan dengan pelaksanaan SOP yang teratur, saya percaya masjid-masjid di kawasan ini telah bersedia untuk dibuka kepada ahli-ahli kariah,

“Berikan sedikit masa kepada pihak berkuasa agama Islam untuk memperhalusi SOP yang berkaitan,” katanya dalam perutusan khas yang disiarkan menerusi stesen televisyen di sini hari ini.

Perdana Menteri berkata, kerajaan juga akan mengumumkan SOP tertentu untuk gereja dan rumah-rumah ibadat bagi membolehkan penganut agama Kristian, Buddha, Hindu, Sikh dan lain-lain mengerjakan ibadat di rumah ibadat masing-masing.

Sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan dikuatkuasakan sejak 18 Mac sehingga ia dilonggarkan kepada Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat pada 4 Mei, kerajaan tidak membenarkan solat berjemaah di masjid untuk mengelakkan penularan wabak COVID-19.

Kerajaan memutuskan untuk menangguhkan semua aktiviti di masjid dan surau termasuk solat Jumaat dan berjemaah sejak 13 Mac lepas. – EDISI9