25.6 C
Kuala Lumpur
Thursday, March 28, 2024

PKR punca Mukhriz tersingkir

Mesti Baca

Zulkiflee Bakar
Zulkiflee Bakar
Penulis Khas Edisi 9


AKHIRNYA Datuk Seri Mukhriz Mahathir tumbang di Kedah. Ternyata badi kerusi Menteri Besar (MB) negeri Jelapang Padi itu berterusan.

Lebih memeritkan ini merupakan kali kedua anak harapan Tun Mahathir Mohamad tersebut ‘tersingkir’ daripada jawatan berkenaan.

Kali pertama ialah pada 3 Februari 2016, apabila beliau mengumumkan peletakan jawatan selepas kehilangan majoriti di Dewan Undangan Negeri (DUN) dan hari ini senario sama berulang.

Mukhriz  ‘terhumban’ dari kerusi MB memandangkan beliau tidak lagi memiliki majoriti di DUN apabila dua ADUN PKR, Robert Ling Kui Ee (Sidam) dan Azman Nasarudin (Lunas) menarik sokongan kepada Pakatan Harapan (PH).

Keputusan kedua-dua wakil rakyat tersebut adalah lanjutan daripada krisis dalam PKR yang menyaksikan Kui Ee dipecat dan digantung keahlian beliau.

Untuk rekod, Kui Ee dan Azman dikatakan penyokong kuat Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang meninggalkan parti itu untuk menyertai Bersatu.

Berikutan tindakan mereka, Perikatan Nasional (PN) layak untuk menubuhkan kerajaan dan melantik MB memandangkan mereka menguasai 19 daripada 36 kerusi DUN.

Sebelum ini, PH memiliki 19 kerusi iaitu PKR 7 kerusi , Bersatu (6 kerusi), Bersatu  (4 kerusi) dan  DAP (2 kerusi).

Kedah merupakan negeri keempat PH kehilangan kerajaan negeri selepas Melaka, Johor dan Perak. Kesemuanya berlaku ada kaitan dengan perbalahan di dalam Bersatu dan PKR.

ADUN Jeneri Muhammad Sanusi Md Noor yang juga Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat dijangka dilantik menggantikan Mukhriz  yang berdasarkan sejarah politik negeri tersebut menyaksikan individu menduduki jawatan MB meninggalkan posisi itu dalam keadaan kontroversi.

Seorang sahabat di Kedah berseloroh, “Kalau betul pemimpin Pas tu dilantik, ni kali kedua la Kedah ada MB nama sama Sanusi”.

Kali ini pertama ialah bagi penggal 1996 hingga 1999 apabila Allahyarham Tan Sri Sanusi Junid dilantik memegang jawatan berkenaan sebagai MB Ketujuh.

Apapun, kejatuhan Mukhriz di Kedah sudah tentulah tamparan hebat untuk beliau. Jika kali pertama dahulu beliau menyalahkan UMNO kerana mendakwa ‘dijatuhkan’ berikutan kelantangannya dalam isu 1MDB, kali ini Mukhriz harus menyalahkan PKR.

AZMAN NASARUDIN dan Robert Ling Kui Ee bertindak meninggalkan PKR menyebabkan PH hilang majoriti dalam DUN Kedah.

Ia memandangkan walaupun PKR tahu suasana genting di Kedah, jika apa-apa tindakan diambil ke atas ADUN parti itu, namun oleh kerana amarah politik, perkara itu tiada dalam pertimbangan pucuk pimpinan PKR.

Paling malang, Mukhriz kehilangan jawatan tersebut ketika Mahathir sanggup bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim membuat kenyataan menolak Kerajaan PN. Mereka menganggap kerajaan sedia ada tidak sah.

Sama ada betul atau tidak, terdapat spekulasi di Kedah menyatakan kalaupun ADUN PKR tidak bertindak sedemikian, Mukhriz belum tentu selamat.

Ia memandangkan khabar angin menyatakan ada ADUN Bersatu yang tidak lagi sehaluan  dengan beliau dan menanti masa sahaja untuk menarik sokongan mereka kepada Mukhriz.

Oleh itu janganlah pula Mukhriz mengikut rentak politik bapanya menyalahkan UMNO dan Pas menjadi punca kejatuhan beliau. Mukhriz tersingkir bukan angkara kedua-dua parti itu tetapi kegagalan PKR untuk memahami kesan tindakan ke atas ADUN mereka serta kemelut dalam Bersatu.

Persoalannya, jika PKR yang memerintah Kedah, adakah parti itu akan melakukan tindakan yang boleh menumbangkan kerajaan negeri?

Tidakkah PKR tahu tindakan akan menyebabkan anak Mahathir hilang jawatan MB? Atau ada mesej yang mahu disampaikan kepada bekas Perdana Menteri?  

Penulis hanya bertanya kerana politik boleh dlihat daripada pelbagai sudut, tetapi yang pasti apa yang berlaku adalah ‘tragedi politik’ kepada Mukhriz yang sebelum ini pernah disebut-sebut akan menjadi Menteri Pelajaran menggantikan Dr.Maszlee Malik.

Maszlee berundur daripada jawatan itu ‘atas nasihat Ayahanda Mahathir’ pada 2 Januari lalu – kira-kira hampir dua bulan sebelum Kerajaan PH tumbang di peringkat pusat akibat tindakan Mahathir meletakkan jawatan Perdana Menteri dan Pengerusi Bersatu.

‘Tersingkirnya’ Mukhriz dari kerusi MB buat kali kedua, sudah tentulah sesuatu yang perit memandangkan ia terjadi ketika beliau sedang membuat persiapan untuk menumbangkan Muhyiddin bagi kerusi Presiden Bersatu.

Penulis percaya, konflik di Kedah ini akan memberi kesan kepada perjalanan politik Mukhriz, apatah lagi Mahathir pun bukan lagi Perdana Menteri dan semakin hilang cengkaman dalam Bersatu. Inilah politik – yang dikejar belum tentu dapat, yang dikendong semakin berciciran. – Edisi 9
 

2 COMMENTS

  1. Allah sentiasa betsama dengan merwka yg bertakwa dn boleh memimpin dengan adil dn saksama tanpa ada rasa riak dn sombong.. Pahlawan Mat kilau betkata “Jangan Sampai Melayu Kehilangan Tanah”. Maknanya.. Jangan sampai melayu di perintah oleh mereka yg Zalim. Fikir2kan. Renung2kan

Terkini

Merakyatkan ilmu sains demi masa depan

Oleh PROF MADYA TS DR ZUL ILHAM ZULKIFLEE LUBES DALAM era di mana kemeruapan drastik, ketidaktentuan, kerumitan dan kesamaran ialah...

Lagi Artikel Berkaitan