27.6 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 25, 2024

Sambut raya normal baharu… kuatkah kita?

Mesti Baca

Lukman Ismail
Lukman Ismail
Editor Edisi 9

TAHUN lepas penulis sekeluarga membuat keputusan menyambut Hari Raya Aidilfitri di rumah sendiri di ibu negara. Inilah kami pertama kami menyambut lebaran jauh dari kampung halaman, sama ada kampung penulis atau kampung sebelah isteri.

Kalau ditanya perasaan kami, memang terasa hambar. Pagi raya kami anak beranak sahaja yang menyiapkan juadah sedangkan kebiasaan riuh-rendah dengan sanak saudara, adik beradik, ipar-duai atau anak-anak buah.

Selepas solat sunat Aidilfitri, seperti biasa kami bersalaman dan bergambar bersama. Selesai itu kami semua seolah-olah kebingungan apa lagi yang kami harus lakukan sebagai meraikan hari kemenangan selepas sebulan berpuasa di bulan Ramadan.

Kami menanti kedatangan kawan-kawan atau jiran-jiran, tetapi sehingga ke petang tiada yang muncul. Kami lupa kalau di bandar jika tiada “open house” (rumah terbuka) rakan-rakan atau jiran-jiran tidak akan datang bertandang. Tidak seperti di kampung. Ada sahaja saudara-mara, rakan taulan atau jiran tetangga yang berkunjung dari pagi sehingga lewat malam.

Akhirnya, pagi-pagi hari raya kedua, kami mengemas pakaian masing-masing, masukkan dalam kereta dan kami sekeluarga menuju ke kampung halaman sebelah penulis. Biarpun tiada lagi emak dan ayah yang menunggu, sekurang-kurang dapat menjengah adik beradik sudah cukup seronok.

Itulah pengalaman pertama kali kami berhari raya di rumah sendiri, di bandar.

Tahun ini atas arahan kerajaan yang masih melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) akibat wabak Covid-19, semua tidak dibenarkan pulang ke kampung halaman merentas sempadan negeri.

Advertisements

Ini bermakna buat kali kedua dalam hidup kami, kedatangan Syawal akan di rumah sendiri di ibu kota, jauh dari kampung halaman dan tidak bersama sanak-saudara di kampung. Mahu tidak mahu kita terpaksa mengharungi normal baharu menyambut lebaran.

Memang payah sebetulnya, apatah lagi andai ini kali pertama. Hambar dan suram memang terasa tetapi itu lebih baik daripada membenarkan orang ramai pulang ke kampung menyambut lebaran, sudah tentu agak sukar untuk kerajaan mengawal penyebaran wabak Covid-19. Ada pula nanti kluster hari raya yang muncul.

Mahu tidak mahu kita kena ubah normal kehidupan menyambut lebaran. Andai kebiasaan kita semua “pulang kampung” meraikan perayaan ini, kali ini dengan normal baharu kita meraikannya bersama keluarga sendiri, jauh dari ibu bapa dan sanak saudara yang lain.

Normal baharu ini juga diharap rakan-rakan, jiran tetangga dan sanak saudara yang berada di negeri yang sama dapatlah saling kunjung-mengunjung dengan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah dicadangkan oleh pihak Kementerian Kesihatan.

Janganlah segan-silu untuk mengunjungi kawan-kawan, jiran tetangga dan janganlah perlu menunggu majlis rumah terbuka baharu nak datang bertandang. Bagi penulis, PKPB ini akan mengubah normal “kunjung mengunjung di hari raya” yang selama ini jarang dapat dilihat di bandar besar, khususnya di ibu negara.

Kinilah masanya kita ceriakan suasana hari raya di bandar, sama seperti di kampung-kampung di mana pada sebelah paginya jiran-jiran tetangga saling bertukar-tukar hidangan dan setelah solat Aidilfitri, masing-masing mula kunjung mengunjung sesama jiran.

Bagi yang berjauhan, hubungan silaturrahim boleh dieratkan dengan menggunakan sidang video antara sanak-saudara yang sudah tentu meriah dengan masing-masing berada di depan gajet atau komputer masing-masing. Seronok bukan?

Berikut SOP yang dicadangkan oleh Kementerian Kesihatan jika mahu berkunjung pada hari raya:

  • Berkunjung di rumah jiran terdekat dan keluarga yang tinggal dalam negeri yang sama sahaja.
  • Had maksimum 20 orang pada satu-satu masa sahaja.
  • Tiada jamuan besar-besaran atau rumah terbuka.
  • Kekalkan penjarakan sosial, memakai penutup mulut dan hidung.
  • Amalan kebersihan kendiri seperti penggunaan hand sanitizer.
  • Rumah sentiasa bersih.
  • Basuh pinggan mangkuk, sudu garpu, periuk-belanga dan lain-lain selepas digunakan untuk menjamu tetamu yang hadir.

Adalah diharapkan normal baharu menyambut lebaran kali ini tidak sedikit pun mencacatkan keberkatannya dan tidak sama sekali menghalang untuk kita merapatkan hubungan kekeluargaan, bermaaf-maafan sesama kita. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Sultan Nazrin berkenan letak batu asas IPTTI, URCC UPSI

SULTAN Perak, Sultan Nazrin berkenan berangkat ke Majlis Perletakan Batu Asas bagi Institut Pendidikan Tahfiz dan Turath Islami (IPTTI)...

Lagi Artikel Berkaitan