24.7 C
Kuala Lumpur
Wednesday, April 24, 2024

Bincang cari penyelesaian isu elaun COVID-19 petugas barisan hadapan – CUEPACS

Mesti Baca

Hussaini Amran
Hussaini Amran
Hampir 15 tahun dalam bidang kewartawanan. Pernah menyertai Sinar Harian, Utusan Malaysia dan PN BBC Portal.

PENGURUSAN tertinggi Kementerian Kesihatan perlu mengadakan perjumpaan dengan wakil kesatuan, wakil pekerja dan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) bagi menyelesaikan isu tuntuan elaun COVID-19.

Presiden CUEPACS, Adnan Mat berkata, perbincangan dua hala antara majikan dan pekerja dapat menyelesaikan isu tersebut secara menyeluruh tanpa perkara berbangkit kelak.

“Pandangan dan suara daripada pihak kesatuan atau wakil pekerja perlu diambil kira bagi memastikan hak dan kebajikan petugas barisan hadapan terbela sepenuhnya.

“Ketika ini keputusan yang dibuat oleh ketua jabatan dilihat langsung tidak mengendahkan suara dan pandangan kakitangan dan pegawai bawahan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Sehubungan itu, CUEPACS berharap agar Kementerian Kesihatan dapat meneliti dan membuat pertimbangan sewajarnya bagi memudahkan kaedah pembayaran elaun COVID-19.

Advertisements

Adnan menegaskan, penambahbaikan yang dibuat haruslah bertujuan memudahkan urusan kerja petugas barisan hadapan dan tidak menidakkan hak yang sepatutnya mereka terima.

“Perlu diingatkan ada petugas yang ditempatkan di lapangan masing-masing tidak dibenarkan balik berminggu-minggu, cuti dibekukan, syif kerja yang membebankan dan sehingga kini tidak dibenarkan mengambil cuti,” jelasnya.

CUEPACS turut menggesa agensi dan jabatan lain seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Imigresen dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan lain-lain turut sama meneliti dan memudahkan urusan pembayaran elaun khas yang diterima untuk petugas barisan hadapan mereka.

“Elaun yang diberikan oleh kerajaan adalah suntikan semangat kepada petugas barisan hadapan. Janganlah kita lunturkan semangat dengan kerenah-kerenah birokrasi yang dicipta sendiri,” katanya.

Harap dapat diselesaikan isu ini secara baik agar elaun yang dijanjikan dapat dibayar kepada petugas-petugas barisan hadapan kita.- EDISI9

Advertisements

Terkini

Piala Asia B23: Harimau Muda balik tangan kosong dari Qatar

DUA minggu berkampung di Doha, Qatar untuk menyesuaikan diri dengan keadaan sehingga korbankan hari raya Aidilfitri bersama keluarga ...

Lagi Artikel Berkaitan