27.6 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 25, 2024

UMNO tak boleh jadi parti ‘pak turut’

Mesti Baca

Zulkiflee Bakar
Zulkiflee Bakar
Penulis Khas Edisi 9

UMNO hari ini berusia 74 tahun – menjadikan ia satu-satu parti Melayu paling lama di tanah air. Kalau ibarat manusia sudah pasti terdapat pelbagai parut-parut di tubuh sama ada akibat perbuatan orang lain mahupun perbuatan sendiri.

Begitulah juga UMNO, parti yang diasaskan oleh Dato’ Onn Jaafar ini sudah menempuh pelbagai cabaran, ranjau dan duri.

UMNO  berdiri tegak selama hampir 61 tahun di punca kekuasaan, sebelum ‘tersungkur’ di persada politik tanah air apabila tumpas dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.

Tetapi takdir menentukan segala-galanya. UMNO kembali menjadi parti dalam kerajaan dengan turut disertai Pas.

Puncanya akibat kesilapan strategi Tun Dr.Mahathir Mohamad yang meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri, Pengerusi Bersatu dan membubarkan Kabinet ketika dilantik sebagai Perdana Menteri Interim.

Kerajaan Perikatan Nasional (PN) ditubuhkan dengan diketuai oleh Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Pemimpin UMNO diberikan beberapa jawatan dalam Kabinet dan GLC.

Walaupun pembahagian itu sedikit sebanyak menimbulkan perasaan tidak puas hati memandangkan UMNO memiliki kerusi terbanyak dalam kerajaan namun parti itu akur kerana apa lebih penting ialah selamatkan negara yang terumbang ambing kerana salah strategi politik Mahathir.

Persoalannya, apakah perjuangan UMNO sudah selesai apabila ‘diajak’ menyertai kerajaan? Sudah tentu tidak!

Suka atau tidak, kita perlu mengakui imej UMNO masih belum pulih sepenuhnya dan kalau UMNO tidak berhati-hati, mereka sekadar menjadi ‘pak turut’ dalam kerajaan serta terus dituduh parti penuh masalah integriti.

UMNO sebetulnya belum betul-betul pulih walaupun kini parti ini menjadi sebahagian daripada kerajaan Perikatan Nasional. – Gambar Hiasan
Advertisements

Oleh itu pemimpin dan ahli UMNO perlu bersedia memperkukuhkan kembali parti itu dan menebus kembali maruah parti tersebut dalam pilihan raya. Berada dalam Kerajaan PN ini tidak lama, paling lama pun tiga tahun sebelum PRU-15.

Justeru pemimpin UMNO tidak boleh dibuai dengan kuasa yang diperolehi ‘secara ajakan’, sebaliknya kuasa itu seharusnya digunakan bagi membantu Muhyiddin mentadbir negara demi kesejahteraan rakyat dan pada masa sama memastikan Muafakat Nasional (MN) tidak terkubur.

Seperti mana kata Timbalan Presiden parti itu, Datuk Seri Mohamad Hasan, “kita hendaklah mengesek biola dengan kuat akan lagu gesekan kita; jangan sampai orang lain mengesek dan kita hanya menari sahaja menurut lagu gesekan.”

 Malah Mohamad juga menggariskan lima iltizam yang harus diperbaharui oleh pemimpin dan ahli parti tersebut iaitu:

  • Tidak jemu kepada pembaharuan dan pembaikan UMNO,
  • Tidak menjadikan UMNO tambatan kuasa, kekayaan dan kepentingan peribadi,
  • Menjadikan UMNO parti kepada semua bangsa Melayu dan bukan hanya sebahagian elit tertentu,
  • Tidak mengulangi lagi kesalahan lepas yang menghakis keyakinan bangsa dan rakyat
  • Benar-benar menjadi suara sebenar kepada orang Melayu dan rakyat Malaysia.

Bagi penulis, UMNO tidak boleh menjadi ‘pak turut’ kepada sesiapa. UMNO harus berjuang atas landasan sendiri dan mempertahankan prinsipnya biarpun apa terjadi.

UMNO perlu bangkit semula dengan kekuatan dalamannya dan melalui PRU-15, UMNO perlu kembali menjadi parti paling berkuasa di negara ini.

Tetapi impian itu tidak mudah dicapai. Jika dalam UMNO masih ada kelompok pemimpin yang menghalang pembaharuan dan pembaikan, masih ada pemimpin yang mahu menjadikan UMNO tambatan kuasa, kekayaan dan kepentingan peribadi, sudah takut untuk bercakap soal Melayu dan memperjuangkan Islam dan masih lagi menjadikan jawatan dalam UMNO sebagai ‘harta pusaka’ keluarga mereka sahaja.

UMNO perlu dibersihkan daripada kelompok seumpama ini. Masih ada dalam kalangan pemimpin parti termasuk di peringkat bahagian masih belum insaf dengan apa yang berlaku dalam PRU-14.

Banyak cerita yang penulis dengar. Mungkin betul atau tidak, tetapi persepsi jika dibiarkan boleh meranapkan parti dalam pilihan raya. Oleh itu pemimpin-pemimpin UMNO perlu benar-benar insaf dan meletakkan kepentingan parti mengatasi segala-galanya.

Iltizam yang digariskan oleh Mohamad bukanlah perkara baru, tetapi ada antaranya adalah ‘kluster’ lama yang bagaikan ‘sudah menjadi tradisi’ yang boleh menghancurkan UMNO buat selama-lamanya. Mungkin kali ini UMNO bernasib baik kerana ‘diajak’ menjadi kerajaan.

Tetapi jika selepas ini UMNO tidak juga insaf-insaf (mengambil analogi biola yang dikatakan oleh Mohamad) – tidak mustahil suatu hari kelak pemimpin dan ahli UMNO beramai-ramai mengesek biola dengan memainkan lagu Jeritan Batinku dan orang lain bertepuk tangan gembira mendengar ratapan tersebut. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

UM mohon maaf berhubung kenyataan penceramah pro-Israel

UNIVERSITI Malaya (UM) memohon maaf berhubung kenyataan kontroversi seorang penceramah jemputan pro-Israel yang menuduh tindakan ahli politik Malaysia menyokong...

Lagi Artikel Berkaitan