29.7 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 27, 2024

Mahathir bagai ‘melukut di tepi gantang’

Mesti Baca

Zulkiflee Bakar
Zulkiflee Bakar
Penulis Khas Edisi 9

TUN Mahathir Mohamad mungkin berasa bangga kerana kononnya dapat ‘tunjuk kepada dunia’ bahawa beliau tegas menolak pembentukan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) dengan duduk di blok pembangkang bersama 106 ahli Parlimen (MP) lain pada sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Mungkin kalau tindakan tersebut dilakukan sebelum Pakatan Harapan (PH) memerintah, ia mungkin akan memberi manfaat kepada pakatan tersebut dan Mahathir sendiri, tetapi manuver politik terbaru ini ‘sudah basi’ dan ‘tidak laku’ lagi.

Rakyat sudah tidak melihat pemimpin berusia 95 tahun itu melakukannya atas dasar prinsip, apatah lagi untuk rakyat, sebaliknya mengikut amarah politiknya apabila Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Presiden Bersatu menubuhkan kerajaan bersama UMNO dan Pas serta Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Sebagai Pengerusi Bersatu, Mahathir sepatutnya sedar penubuhan Kerajaan PN adalah kesilapan beliau sendiri. Bukan orang lain yang membuka pintu belakang atau tebuk atap, tetapi Mahathir yang menebuk ‘bahtera’ PH sehingga ia akhirnya tenggelam.

Mahathir yang tersalah strategi apabila mahu mewujudkan pentadbiran negara mengikut kemahuan sendiri dengan berhasrat menubuhkan Kabinet Perpaduan. Hasrat itu ditentang oleh sekutunya dalam PH termasuk parti kesayangannya, DAP.

Akhirnya apabila setiap seorang daripada Ahli Parlimen dipanggil menghadap Yang di-Pertuan Agong bagi menentukan siapakah yang menjadi pilihan mereka menjadi Perdana Menteri, keputusannya ialah seperti mana titah Seri Paduka hari ini iaitu Muhyiddin dipilih sebagai Perdana Menteri selepas mendapati Ahli Parlimen Pagoh itu mendapati sokongan majoriti Ahli Parlimen.

Seri Paduka juga bertitah berasa dukacita kerana usaha memujuk Mahathir tidak meletakkan jawatan tidak berjaya.

Oleh itu tidak perlulah Mahathir mahu ‘bersandiwara’ seolah-olah kejatuhan Kerajaan PH berpunca daripada pengkhianatan Muhyiddin. Kalaulah Ahli Parlimen Langkawi itu bak kata orang Kedah ‘tak gatai-gatai pi letak jawatan’ sudah pasti PH tidak akan kehilangan tampuk pemerintahan negara.

Dengan faktor usia, Mahathir merajuk kerana Muhyiddin mahu bekerjasama dengan UMNO dan apabila beliau meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri, Mahathir berharap beliau akan mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen untuk kembali menduduki jawatan itu seterusnya memerintah mengikut cara beliau tanpa ada lagi tempoh bila mahu peralihan kuasa perlu dilakukan.

Ternyata helah politik Mahathir ini hanya ‘memakan diri’ apabila PH mencalonkan Datuk Seri Anwar Ibrahim manakala UMNO, Pas, GPS dan sebahagian Ahli Parlimen Bersatu mencalonkan Muhyiddin.

Dan kini Mahathir cuba menunjukkan beliaulah ‘pejuang sejati’ apabila tetap mahu bersama PH biarpun, Anwar sudah menyatakan pakatan itu kini hanya dianggotai oleh PKR, DAP dan Amanah dan “saya adalah Ketua Pembangkang – ini konsensus dalam PH.”

Advertisements

Mahathir tentu faham dengan kenyataan Anwar itu, beliau kini meletakkan dirinya bersama empat lagi Ahli Parlimen ibarat `melukut di tepi gantang’ dalam usaha bekerjasama dengan PH.

Parti-parti dalam pakatan itu hanya mahukan undi Mahathir dan geng beliau sahaja jika mereka mahu mencalonkan Anwar sebagai Perdana Menteri.

Mahathir tidak ada apa-apa kekuatan untuk membuat sebarang tuntutan kepada PH termasuklah kalaulah berhasrat untuk mencalonkan anaknya, Datuk Seri Mukhriz sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Tambahan pula sudah terdapat desas-desus yang menyatakan jumlah sokongan kepada Muhyiddin akan bertambah secara senyap jika benar undi tidak percaya dilaksanakan. Dari mana dan siapakah yang akan memberi sokongan secara senyap itu, sama-samalah kita tunggu.

Berdasarkan kepada kedudukan kerusi di Dewan Rakyat hari ini, ia memberi isyarat awal bahawa Muhyiddin sememangnya mempunyai majoriti dengan menyaksikan seramai 114 ahli Parlimen (122 jika termasuk Senator) duduk di blok kerajaan manakala Mahathir pula akan menamatkan perjalanan politiknya bersama 106 lagi ahli Parlimen di blok pembangkang jika beliau terus mempertahan pendirian yang berpunca daripada kesilapannya sendiri.

Bagaimanapun buat masa ini, Mahathir tidak perlulah mengganggu Muhyiddin menguruskan negara. Beliau boleh memberi pendapat secara ikhlas dan bukannya bermotif politik, apatah lagi dibaluti politik kebencian.

Kalau Mahathir yakin beliau akan mampu menumbangkan Muhyiddin melalui undi tidak percaya maka bersabarlah menanti sidang Dewan Rakyat Julai ini. Begitulah juga kalau beliau yakin Mukhriz mampu menumpaskan Perdana Menteri dalam perebutan kerusi Presiden Bersatu.

Tetapi berdasarkan senario politik hari ini, jika Mahathir merasakan beliau masih lagi kuat dan berpengaruh seperti mana sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dan PH masih bergantung kepada beliau untuk meraih sokongan rakyat, percayalah Ahli Parlimen Langkawi itu sedang ‘menggali kubur’ politiknya yang kalau tersilap langkah turut akan menyeret Mukhriz bersama.

Janganlah Mahathir terlalu yakin masih ada kekuatan sehingga pemimpin-pemimpin PKR dan DAP masih mahu terus bekerjasama dengan beliau, sebenarnya mereka kasihan kepada bekas Perdana Menteri itu kerana berada dalam kedudukan macam tidak keruan, bak kata seorang kawan, ‘ke kanan pun tidak, ke kiri pun tidak’.

Oleh itu apabila mereka ‘masih menerima’ Mahathir sekurang-kurangnya ada blok untuk beliau ‘menumpang kasih’ biarpun dilihat sudah berada pada kedudukan ‘melukut di tepi gantang’.

Tulisan ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Edisi 9.

Advertisements

Terkini

Tugas banteras rasuah lebih mencabar, penjenayah makin licik

TUGAS membanteras kegiatan rasuah di negara ini semakin mencabar memandangkan jenayah tersebut bersifat unik, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan...

Lagi Artikel Berkaitan