32.9 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 27, 2024

54 peratus pegawai perubatan tinggalkan sektor awam pada 2022

Mesti Baca

SEBANYAK 54 peratus daripada 100,696 pegawai perubatan meninggalkan sektor perkhidmatan awam pada 2022 atas faktor menerima tawaran untuk berkhidmat di sektor swasta atau badan berkanun.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, menerusi kajian yang dibuat, didapati 45 peratus daripada jumlah itu bekerja di luar negara.

“Selain itu, 28 peratus (meninggalkan perkhidmatan awam) disebabkan alasan peribadi, menerima tawaran berkhidmat di institusi pengajian tinggi awam (enam peratus), melanjutkan pelajaran (2.7 peratus), membuka klinik sendiri (0.8 peratus) dan 0.5 peratus tidak menyatakan sebarang alasan,” katanya.

Beliau menjawab soalan tambahan Fong Kui Lun (PH-Bukit Bintang) yang ingin tahu punca pegawai perubatan berhenti daripada sektor awam pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Dzulkefly berkata kerajaan melaksanakan pelbagai inisiatif untuk memastikan pegawai perubatan kekal bersama sektor awam antaranya menetapkan gaji permulaan pegawai kontrak gred UD41 sebanyak RM5,197, iaitu jumlah yang jauh lebih tinggi berbanding skim perkhidmatan awam lain.

Advertisements

Selain itu, kerajaan meningkatkan 9,822 pegawai lantikan tetap dalam tempoh 2019 – 2023, dengan jumlah itu dijangka meningkat kepada 6,000 orang untuk 2024 – 2025.

Dzulkefly berkata kerajaan juga menyediakan insentif penawaran pengajian kepakaran menerusi kemudahan cuti belajar bergaji penuh dengan Hadiah Latihan Persekutuan dan Program Latihan Kepakaran.

Pada masa sama, beliau meminta semua pihak untuk tidak membuat andaian berhubung skim pencen penjawat awam dan menunggu sehingga keputusan kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang sedang dilaksanakan pada masa ini diumumkan.

Beliau menjawab soalan asal Datuk Dr Alias Razak (PN-Kuala Nerus) mengenai perancangan jangka pendek dan panjang kementerian bagi menarik minat graduan perubatan untuk kekal berkhidmat dalam sektor kesihatan awam negara susulan kajian menghapuskan skim pencen penjawat awam. – BERNAMA

Advertisements

Terkini

PRK Kuala Kubu Baharu saksikan pertembungan empat penjuru

PILIHAN Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu menyaksikan pertandingan empat penjuru antara Khairul Azhari Saut...

Lagi Artikel Berkaitan