KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ketika merasmikan Pembukaan Mesyuarat Parlimen Ke-14 di Dewan Rakyat, hari ini menyentuh pelbagai isu dalam titah Seri Paduka.
Berikut antara intipati titah Seri Paduka dalam perasmian mesyuarat yang menjadi tumpuan seluruh negara:
PENGHORMATAN UNTUK BARISAN HADAPAN
“Pengorbanan mereka tidak pernah mengenal erti penat mahupun takut hinggakan nyawa dan keselamatan diri sendiri menjadi taruhan demi menjaga kemaslahatan dan kepentingan orang ramai. Justeru sebagai tanda penghargaan negara, marilah kita bersama-sama dengan beta untuk berdiri dan memberikan tepukan yang gemuruh kepada semua wira dan wirawati petugas barisan hadapan negara.”
PUJUK MAHATHIR JANGAN LETAK JAWATAN
“Pada 24 Februari 2020 yang lalu, neratif lanskap politik negara telah sekali lagi digegarkan menerusi perletakan jawatan Perdana Menteri Malaysia Yang Ke-7. Sekitar jam 5 petang pada hari yang sama. Beta telah menerima menghadap Yang Berhormat Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Dalam pertemuan tersebut, beta telah meminta Yang Berhormat Tun Dr. Mahathir bin Mohamad untuk tidak meletak jawatan. Namun beliau tetap dengan keputusannya. Oleh yang demikian, beta bertanggungjawab untuk melantik seorang Perdana Menteri yang baharu seperti mana yang dikehendaki oleh Perlembagaan Persekutuan.
Perkara 43 memberi kuasa budi bicara kepada beta untuk melantik seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hemat beta mendapat kepercayaan majoriti ahli-ahli Dewan Rakyat.”
BERI MASA SECUKUPNYA UNTUK PERHITUNGAN DEMOKRASI
“Pada 25 dan 26 Februari 2020, beta telah mengadakan sesi pertemuan secara berseorangan dengan ahli-ahli Dewan Rakyat untuk menilai sendiri sokongan dan kepercayaan mereka. Pada 29 Februari 2020, beta telah menitahkan semua parti-parti politik yang mempunyai wakil dalam Dewan Rakyat untuk mencalonkan nama seorang Ahli Dewan Rakyat sebagai bakal Perdana Menteri.
Atas permintaan beberapa Ketua Parti Politik; beta telah berkenan pula untuk lanjutkan tempoh masa bagi parti-parti politik mengemukakan pencalonan mereka agar masa yang cukup diberikan dalam mereka membuat perhitungan secara demokrasi.”
MUHYIDDIN DAPAT SOKONGAN MAJORITI
“Sudah tentu setiap pertandingan pasti akan ada penamatnya. Kemelut politik negara tidak boleh dibiarkan berlarutan dan berpanjangan dengan tanpa ada penghujungnya. Lantaran itu setelah melalui semua proses tersebut dan selaras dengan Perlembagaan Persekutuan, beta telah mendapati Yang Amat Berhormat Tan Sri Muhyiddin bin Haji Yassin telah mendapat kepercayaan majoriti ahli-ahli Dewan Rakyat dan dengan demikian selayaknya dilantik sebagai Perdana Menteri Ke-8.”
NASIHAT KEPADA KERAJAAN
“Kepada kerajaan beta di bawah kepimipinan Memanda Perdana Menteri; Yang Amat Berhormat Tan Sri Muhyiddin bin Haji Yassin; Beta menaruh keyakinan bahawa usaha-usaha membawa negara untuk terus mendaki persada kejayaan yang lebih tinggi akan menjadi kenyataan. Nasihat beta, laksanakan amanah ini dengan jujur dan penuh tanggungjawab; serta jangan sekali-kali mengabaikan kesejahteraan rakyat jelata.”
PERANGI RASUAH HABIS-HABISAN
“Apa juga pelan dan program ke arah pembentukan sebuah negara maju yang stabil lagi makmur tidak akan tercapai jika negara terus dibelenggu dengan amalan rasuah. Justeru pelaksanaan program pembangunan berteraskan amalan integriti dan tadbir urus yang baik adalah penting bagi mencapai pertumbuhan ekonomi yang mampan serta demi menjaga kesejahteraan rakyat dan negara.
Beta menggesa agar kerajaan beta untuk terus komited dalam melaksanakan pelan anti-rasuah nasional. Beta menyeru semua pihak untuk mendukung aspirasi ini agar setiap agenda pembangunan negara tidak terhakis oleh amalan rasuah; penyelewengan dan salah guna kuasa. Tanamkan di dalam minda masyarakat semenjak di bangku sekolah lagi bahawa rasuah adalah jijik,kotora dan wajar diperangi habis-habisan.”
INGATAN KEPADA AHLI PARLIMEN
“Sebagai seorang pemimpin, ahli-ahli Yang Berhormat menjadi teladan dalam menyemai nilai-nilai positif kepada rakyat. Perbezaan pendapat tidak seharusnya diakhiri dengan permusuhan dan caci mencaci; Perbezaan pendapat seharusnya menjadi landasan kepada pencetus idea-idea baharu untuk membangun dan menyatupadukan negara.
Ahli-ahli Yang Berhormat hendaklah sentiasa mempamerkan kematangan dalam berpolitik. Ini termasuklah menjiwai keluh kesah rakyat, membela nasib rakyat, berpegang kepada prinsip keadilan, membudayakan politik yang bersih, tidak menyentuh sensitiviti ugama dan bangsa mahupun kedaulatan serta kedudukan Raja-Raja Melayu.
Jangan mengheret negara sekali lagi ke kancah politik yang tidak menentu ketika rakyat jelata masih berhadapan dengan pelbagai masalah dan masa depan yang sukar akinbat pendamic Covid-19.
Sesungguhnya perpaduan dan keharmonian bermula di dalam Dewan Yang Mulia ini. Beta yakin, rakyat akan terus erat bersatu padu dan sepakat dalam membangunkan negara jika rakyat tidak disogok dengan api permusuhan dan perpecahan. Justeru berbahaslah dengan penuh tanggungjawab dan sentiasalah menunjukkan kematangan politik yang positif untuk dicontohi oleh rakyat jelata.”
Untuk membaca teks penuh titah diraja Seri Paduka, sila klik pautan ini.