TIADA kertas siasatan yang terbakar susulan insiden kejadian kebakaran yang turut melibatkan bilik Pejabat Pentadbiran Jenayah dan bilik Pegawai Penyiasat Kanan (SIO), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang semalam.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, tiada unsur khianat dan jenayah juga ditemui.
“Perkara itu disahkan pegawai daripada Bahagian Siasatan Kebakaran, Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Selangor.
“Pasukan yang diketuai Penguasa Kanan Bomba II Azlan Rahmat tiba di lokasi kejadian pukul 8.30 malam semalam bagi menyiasat punca kebakaran dibantu Unit Anjing Pengesan (K9).
“Selepas pemeriksaan selama dua jam, bomba mengesahkan tiada unsur khianat atau jenayah dikesan susulan kebakaran itu,” katanya.
Katanya, siasatan awal mendapati, kebakaran disyaki berpunca daripada pejabat pentadbiran Bahagian Siasatan Jenayah dan seterusnya merebak ke Pejabat Pegawai Penyiasat Kanan (SIO) serta bilik mesyuarat Bahagian Siasatan Jenayah.
Wan Kamarul Azran berkata, pemeriksaan awal mendapati hampir keseluruhan pejabat di Bahagian Siasatan Jenayah mengalami kerosakan akibat kebakaran itu.
“Lain-lain kerosakan yang dikenal pasti, termasuk gangguan talian internet bagi Integrated Police Reporting System (IPRS) kerana kabel fiber optik terbakar,” katanya.
Semalam, media melaporkan Pejabat Pentadbiran Jenayah dan bilik Pegawai Penyiasat Kanan (SIO), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang musnah dalam kebakaran.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan memberitahu pejabat berkenaan terbakar 100 peratus dalam kejadian yanh berlaku pukul 6.15 petang.-Edisi 9

