33.3 C
Kuala Lumpur
Tuesday, April 30, 2024

KRC bakal ubah nasib 73,642 pekebun kecil getah di Kedah

Mesti Baca

DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, projek pembangunan Kedah Rubber City (KRC) bakal mengubah nasib 73,642 pekebun kecil getah di negeri ini, termasuk 11,190 pekebun kecil di daerah Padang Terap.

Menurut Perdana Menteri, ini kerana projek KRC akan membantu meningkatkan pendapatan pekebun kecil dengan memastikan permintaan yang berterusan untuk bekalan getah asli mereka.

Di samping itu, beliau berkata, KRC juga menstabilkan harga getah melalui penggunaan getah asli secara optimum dengan penghasilan produk-produk hiliran yang bernilai tambah selain mewujudkan peluang pekerjaan baharu kepada penduduk setempat.

“Sebagai seorang anak penoreh getah, saya amat berbesar hati kerana projek KRC ini bakal memberi manfaat kepada pekebun kecil getah di negeri ini.

“Walaupun Kedah merupakan salah satu kawasan penanaman getah yang penting di tanah air, namun industri getah di negeri ini kebanyakannya masih tertumpu kepada aktiviti bernilai rendah dengan saluran pemasaran yang terhad.

“Ini mengakibatkan ramai pekebun kecil masih dibelenggu dengan pendapatan yang rendah dan kemiskinan,” kata Perdana Menteri ketika merasmikan Projek Strategik Koridor Wilayah Ekonomi Utara (NCER) – Kedah Rubber City di Padang Terap hari ini.

Hadir sama Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Advertisements

Ismail Sabri berkata, bagi tujuan itu Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) akan bekerjasama dengan RISDA bagi memaju dan membangunkan masyarakat pekebun kecil getah tempatan.

Beliau berkata, kerjasama itu amat dialu-alukan agar agenda strategik NCER dapat dicapai demi kemakmuran rakyat di pelbagai peringkat.

Perdana Menteri berkata, rakyat setempat akan turut berpeluang mengambil bahagian melalui program-program modal insan berteraskan Keluarga Malaysia untuk menangani kemiskinan.

Ini termasuk program peningkatan kemahiran dan keusahawanan yang disediakan oleh NCIA seperti empowerNCER dan entrepreneurNCER bagi membolehkan mereka mengambil bahagian dalam aktiviti rantaian bekalan penggiat industri yang bakal beroperasi di KRC.

“Kesemua ini adalah sejajar dengan sasaran sifar miskin tegar menjelang tahun 2025 seperti mana yang digariskan di dalam dokumen Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

“Ia juga adalah selaras dengan aspirasi Keluarga Malaysia bagi memastikan pengagihan ekonomi yang adil, saksama dan inklusif untuk seluruh rakyat,” kata Ismail Sabri. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

MB Perlis ditahan SPRM bantu siasatan salah guna kuasa

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini menahan Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli bagi membantu siasatan dakwan salah guna...

Lagi Artikel Berkaitan