31 C
Kuala Lumpur
Wednesday, April 24, 2024

KRC berjaya tarik RM4 bilion pelaburan, 7,000 peluang kerja

Bakal tarik pelaburan berpotensi bernilai RM10 bilion selain mewujudkan 15,000 peluang pekerjaan menjelang tahun 2025

Mesti Baca

KEDAH Rubber City (KRC) yang akan menjadi hab industri getah bernilai tinggi di peringkat global berjaya menarik pelaburan komited sebanyak RM4 bilion serta bakal menjana hampir 7,000 peluang pekerjaan walaupun baharu dilancarkan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, jumlah itu adalah sebahagian daripada pelaburan berpotensi bernilai RM10 bilion yang bakal dijana menerusi projek pembangunan tersebut, selain mewujudkan 15,000 peluang pekerjaan menjelang tahun 2025.

“Sebagai contoh, kerjasama strategik di antara Mitsui & Co (Malaysia) Sdn Bhd dengan Hong Seng Consolidated Berhad (Hong Seng) melibatkan pelaburan bernilai kira-kira RM3 bilion untuk KRC.

“Kerjasama ini juga akan mengukuhkan rantaian bekalan bahan mentah dalam pembuatan polimer NBL dengan kepakaran Mitsui dalam industri ini.

“Pelaburan ini bukan sahaja bakal mewujudkan 1,600 peluang pekerjaan baharu tetapi juga dapat mengurangkan kebergantungan terhadap import polimer NBL kerana Hong Seng akan memindahkan teknologi canggih baharu yang diperolehi kepada negara,” kata Perdana Menteri.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Projek Strategik Koridor Wilayah Ekonomi Utara (NCER) – Kedah Rubber City di Padang Terap, Kedah hari ini.

Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Ismail Sabri berkata, selain kerjasama strategik tersebut, sembilan lagi pertukaran dokumen perjanjian, surat niat dan memorandum persefahaman (MoU) di antara pelabur dengan Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) serta agensi kerajaan yang lain turut akan dimeterai.

Mengenai KRC itu, Perdana Menteri berkata, pembangunan keseluruhannya meliputi kawasan seluas 503.43 hektar yang merangkumi 200 hektar untuk Fasa 1 dan 303 hentar lagi untuk Fasa 2.

Advertisements

Katanya, kerja-kerja fizikal pembangunan projek KRC oleh pihak NCIA berjalan lancar seperti yang dijadualkan, yang mana Fasa 1 projek telah pun siap dan bersedia untuk menerima kemasukan pelabur.

“Sehubungan itu, saya berharap agar pelabur dari dalam dan luar negara akan merebut peluang ini untuk menempatkan operasi mereka di KRC.

“Kerajaan Persekutuan dengan sokongan Unit Perancang Ekonomi (EPU) dan Jabatan Perdana Menteri telah meluluskan peruntukan sebanyak RM417.5 juta untuk Fasa 1 projek KRC.

“Berdasarkan kemajuan yang memberangsangkan di bawah Fasa 1, Fasa 2 projek KRC akan dilaksanakan pada tahun 2023,” kata beliau.

Ismail Sabri berkata, NCER kini sedang berdepan dengan prospek pertumbuhan yang cerah, yang mana ia diunjurkan akan mencatatkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Wilayah sebanyak 6.5 peratus hingga 6.9 peratus dalam tempoh pemulihan 2021-2022.

Malahan jelas Perdana Menteri, NCER telah menyumbang majoriti pelaburan sektor pembuatan yang diluluskan di Malaysia sehingga suku tahun ketiga 2021 iaitu sebanyak 61.4 peratus daripada jumlah keseluruhan pelaburan di Malaysia.

“Kemasukan pelaburan swasta di NCER saling berkait rapat dengan pelaksanaan program-program modal insan berteraskan Keluarga Malaysia oleh NCIA, yang telah memberi manfaat kepada 67,935 orang dari 30 daerah di NCER sejak 2019 sehingga 2021,” katanya.

Pada masa yang sama, Ismail Sabri berkata, lokasinya yang strategik di kawasan Rubber Belt sempadan Malaysia-Thailand, KRC juga akan memupuk kerjasama dan integrasi serantau yang lebih erat antara kedua-dua negara.

Selain itu, ia juga dijangka menjadi penggerak dalam menghubungkan pengeluar-pengeluar getah utama di rantau ini di bawah platfom Segi Tiga Pertumbuhan Indonesia-MalaysiaThailand (IMT-GT) selain sebagai pusat inovasi produk getah yang boleh membantu aktiviti hiliran dan huluan untuk sektor tersebut. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Tak boleh tolak permohonan pelanggan tidak fasih bahasa Melayu

PARA pegawai Jabatan Imigresen Malaysia tidak dibenarkan menolak sebarang permohonan hanya kerana pelanggan gagal menguasai bahasa kebangsaan. Bagaimanapun, menurut Ketua...

Lagi Artikel Berkaitan