MALAYSIA antara negara yang memberikan suntikan vaksin COVID-19 kepada remaja paling cepat di dunia.
Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, hanya dalam tempoh dua bulan, 80 peratus kanak-kanak berusia 12 hingga 17 tahun sudah menerima dos pertama vaksin Pfizer.
Jelas beliau, dalam tempoh dua bulan, Malaysia mampu memberikan 80 peratus penduduk berusia 12-17 tahun sekurang-kurangnya dos pertama vaksin Pfizer.
“Salah satu pemberian vaksin COVID-19 remaja terpantas di dunia,” katanya dalam Twitter, hari ini.
Dalam masa sama, Khairy turut menzahirkan tahniah kepada Timbalan Menteri Kesihatan 1 Datuk Dr Noor Azmi Ghazali dan Timbalan Menteri Pendidikan I Datuk Dr Mah Hang Soon yang sebelum ini, dipertanggungjawabkan untuk mengendalikan pemberian vaksin untuk kumpulan berkenaan.
Dr Noor Azmi adalah Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Imunisasi COVID-19 Remaja (CITF-A).
Sebelum ini, Kementerian Kesihatan (KKM) menyasarkan sekurang-kurangnya 80 peratus daripada keseluruhan 3.2 juta remaja di negara ini menerima suntikan dua dos vaksin COVID-19, menjelang hujung tahun ini atau selewat-lewatnya sebelum sesi persekolahan 2022 bermula. – Edisi 9