JABATAN Imigresen Malaysia (JIM) menahan tiga ahli sindiket penyeludupan migran warga Indonesia dalam operasi khas yang dijalankan di sekitar Seremban, Negeri Sembilan dan Rawang, Selangor, Khamis lalu.
Operasi bermula kira-kira pukul 4 petang itu dijalankan sepasukan pegawai daripada Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya hasil maklumat awam serta risikan yang dilakukan.
JIM dalam kenyataan memaklumkan, seorang lelaki warga Indonesia dipercayai bertindak sebagai ‘transporter’ manakala dua lagi lelaki warga sama dipercayai menjadi penjaga rumah penampungan berjaya ditahan.
“Turut ditahan satu lelaki dan dua perempuan warganegara Indonesia yang dipercayai migran yang akan diseludup keluar melalui laluan yang tidak sah. Jumlah yang ditahan adalah seramai enam orang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut kenyataan itu, pihak berkuasa turut menyita tiga pasport Indonesia, empat telefon bimbit, wang tunai RM4,350 yang dipercayai hasil kegiatan sindiket serta sebuah Proton Perdana yang digunakan untuk mengangkut pendatang asing tanpa izin (PATI).

Siasatan mendapati sindiket terbabit menyasarkan warga Indonesia yang tidak memiliki dokumen perjalanan sah atau tinggal melebihi tempoh dibenarkan di negara ini untuk diseludup masuk dan keluar melalui laluan laut yang tidak diwartakan.
“Sindiket dipercayai menggunakan kenderaan sebagai pengangkut migran ke rumah penampungan sementara sebelum dibawa keluar melalui pintu masuk laut yang tidak sah.
“Sindiket ini dikendalikan oleh warganegara Indonesia dan mengenakan bayaran sebanyak RM1,500 bagi setiap migran,” katanya.
Dalam pada itu, lelaki yang dipercayai sebagai ‘transporter’ ditahan mengikut Seksyen 26J Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.
Dua penjaga rumah penampungan pula disiasat mengikut Seksyen 26A akta sama manakala tiga migran warga Indonesia ditahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 untuk siasatan lanjut.
JIM menegaskan pihaknya akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan bagi membanteras kegiatan penyeludupan migran demi memastikan keselamatan, kedaulatan dan kesejahteraan negara terus terpelihara. — Edisi 9

