Tuesday, June 16, 2026

BN perkemas gerak kerja, pastikan kemenangan calon – Zahid

Kehadirannya bukan sahaja untuk menyatakan solidariti bersama calon di Likas, malah sebagai tanda keyakinan terhadap keseluruhan 45 calon BN yang bertanding.

Mesti Baca

DATUK Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menyeru seluruh jentera Barisan Nasional (BN) agar memperkemaskan gerak kerja dan memastikan parti itu kembali mendapat mandat rakyat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-17.

Pengerusi BN itu berkata demikian selepas memberikan sokongan kepada dua calon parti itu, Datuk Yakubah Khan (N.17 Karambunai) dan Arfanshah Abdul Ghafar (N.16 Darau) pada hari penamaan calon PRN Sabah Ke-17 di Dewan Maksak Likas, hari ini.

Menurut Zahid, kehadirannya bukan sahaja untuk menyatakan solidariti bersama calon di Likas, malah sebagai tanda keyakinan terhadap keseluruhan 45 calon BN yang bertanding.

“Saya melihat keyakinan yang tinggi dalam pasukan kita. Gabungan calon berpengalaman bersama 80 peratus wajah baharu memberi nafas segar kepada BN untuk menawarkan kepimpinan lebih baik kepada rakyat Sabah,” katanya yang juga Presiden UMNO.

Beliau menegaskan, BN tampil dengan barisan calon yang berwibawa, profesional dan mempunyai rekod khidmat yang diyakini rakyat.

Zahid turut mengingatkan seluruh jentera parti agar terus mendampingi rakyat, mendengar denyut nadi mereka dan memastikan mesej perjuangan BN disampaikan secara tersusun.

“Susun langkah dengan kemas, mantapkan gerak kerja dan eratkan kebersamaan. Inilah masanya untuk kita mengembalikan mandat bagi menerajui Sabah ke arah masa depan yang lebih stabil, makmur dan sejahtera,” ujarnya.

Beliau menyeru seluruh penyokong BN untuk memanfaatkan momentum permulaan kempen bagi memastikan kemenangan pada hari pengundian.

“Jom, kita bikin balik Sabah,” tegas beliau.

PRN Sabah menyaksikan persaingan sengit dengan BN mempertaruhkan campuran muka lama dan baharu dalam usaha mengembalikan penguasaan politik di negeri itu. — Edisi 9

Terkini

Pemimpin korporat perlu kuasai AI, elak ketinggalan

PEMIMPIN korporat di Malaysia perlu segera menguasai dan memanfaatkan kecerdasan buatan (AI) dalam operasi harian organisasi bagi memastikan mereka...

Lagi Artikel Berkaitan