ISU limpahan air luar biasa di Sungai Golok yang sering mengakibatkan banjir di kawasan sempadan Kelantan dan Thailand menjadi fokus utama dalam pertemuan dua hala antara Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan rakan sejawatnya dari Thailand, Anutin Charnvirakul di Geneva hari ini.
Dalam pertemuan di sela-sela Eight Session of the Global Platform for Disaster Risk Reduction itu, Malaysia telah menyuarakan kebimbangan berhubung pelepasan air dari empangan di Thailand yang menjejaskan kawasan jajahan di Kelantan seperti Rantau Panjang dan Tanah Merah.
Menurut Zahid, kejadian limpahan yang berlaku sebelum ini dipercayai berpunca daripada pelepasan air secara mengejut oleh pihak Thailand selepas siapnya projek tebatan banjir di jajaran negara tersebut.
“Pelepasan air ini telah menyebabkan paras air meningkat mendadak dan menenggelamkan kawasan penempatan serta merosakkan struktur benteng di sebelah Malaysia. Ini bukan sahaja membebankan penduduk tempatan, malah memberi tekanan kepada sistem pengurusan bencana negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, Malaysia mencadangkan agar sebarang pelepasan air dari empangan di Thailand dimaklumkan sekurang-kurangnya tiga hingga empat hari lebih awal kepada pihak berkuasa Malaysia.
“Cadangan tersebut diterima dan dipersetujui oleh kerajaan Thailand. Langkah ini dijangka memperkukuh kesiapsiagaan menghadapi musim Monsun Timur Laut yang diramal bermula November ini,” katanya.
Zahid berkata, mekanisme pemakluman awal akan dibentuk bagi memastikan penduduk di sekitar Lembangan Sungai Golok dapat diberikan amaran lebih awal dan bersedia menghadapi sebarang kemungkinan.
Dalam pada itu, kedua-dua pihak turut menyambut baik pemeteraian perjanjian bagi projek Pembinaan Jambatan Kedua Rantau Panjang–Sungai Golok, serta pelaksanaan kerja-kerja mendalamkan muara dan pembinaan benteng sungai yang dijadualkan bermula Oktober ini.
Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah menyifatkan kerjasama erat Malaysia–Thailand sebagai contoh komitmen serantau dalam menghadapi cabaran bencana rentas sempadan secara bersama.
“Kesepakatan ini bukan sahaja mencerminkan hubungan diplomatik yang kukuh, tetapi juga keprihatinan kedua-dua negara terhadap keselamatan dan kesejahteraan rakyat di kawasan sempadan,” katanya. – Edisi 9

