HARIMAU Malaya terus memperkasa barisan pemainnya apabila empat pemain warisan diumumkan secara rasmi menyertai skuad kebangsaan menjelang aksi Kelayakan Akhir Piala Asia 2027 menentang Vietnam, 10 Jun ini.
Empat pemain tersebut ialah Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Jon Irazabal dan Joao Figueiredo, masing-masing beraksi di pentas antarabangsa bersama kelab dari Colombia, Argentina, Azerbaijan dan Turkiye.
Menurut Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), keempat-empat pemain terbabit telah melaporkan diri dan menjalani latihan bersama pasukan.
Mereka juga menunjukkan prestasi memberangsangkan mengikut penilaian barisan kejurulatihan kebangsaan di bawah kendalian Peter Cklamovski.
Machuca, yang beraksi di posisi sayap menyifatkan peluang mewakili skuad Harimau Malaya sebagai satu penghormatan besar dalam kerjayanya.
“Sejak tiba di kem latihan negara, saya dapat merasakan sesuatu yang istimewa. Malaysia memberikan layanan terbaik dan saya akan berikan segalanya buat Harimau Malaya,” katanya.
Sementara itu, penyerang Holgado dari kelab America de Cali, Colombia pula meluahkan rasa cinta terhadap Malaysia sejak hari pertama menjejakkan kaki ke negara ini.
“Saya jatuh cinta dengan suasana dan rakyat Malaysia. Sekarang saya mula faham makna sebenar menyarung jersi Harimau Malaya. Saya bersedia memberikan segalanya,” katanya penuh semangat.
Pemain pertahanan Jon Irazabal yang kini beraksi bersama Sabah FK di Azerbaijan turut berkongsi keterujaan mewakili negara.
“Saya memilih Malaysia kerana percaya di sinilah tanggungjawab kebangsaan saya terletak. Ia satu pengalaman yang sangat unik dan membanggakan,” katanya.
Manakala Figueiredo yang juga penyerang menyatakan tekadnya untuk membantu pasukan kebangsaan melangkah lebih jauh di pentas Asia dan dunia.
“Musim ini sangat bermakna buat saya. Dapat berkongsi impian bersama seluruh rakyat Malaysia adalah satu penghormatan luar biasa. Saya tidak sabar menantikan sokongan padu penyokong negara,” ujarnya.
Minggu lalu, Cklamovski mengumumkan kehadiran, Facundo Garcés, tonggak pertahanan Deportivo Alavés dalam saingan La Liga, Sepanyol sebagai pemain kebangsaan untuk menghadapi Vietnam. – Edisi 9

